Saya petik:
[HD] PEKAN, 17 Mac: Provokasi Umno dengan mengadakan ceramah bersebelahan ceramah PAS dan perbuatan memekik-melolong tidak sepatutnya berlaku di kawasan yang diketuai Presiden Umno yang juga Perdana Menteri jika penyokong parti itu berpolitik dengan matang.
Malangnya setelah pelbagai slogan dilaungkan seperti transformasi, wasatiyah dan rakyat didahulukan cara berpolitik kuno juga menjadi pilihan konco-konco Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.
Serentak dengan itu, PAS Pahang melahirkan rasa kesal, kecewa dan tidak puas hati yang tidak terhingga dengan kejadian gangguan ceramah di Sungai Miang di sini kelmarin yang melibatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Turut berceramah ialah bekas Adun (BN) Pulau Manis yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Pekan Datuk Mohd Ariff Sabri, bekas bloger Umno Aspan Alias dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kasim Manaf.
(Antara yang membuat kacau di majlis ceramah PAS)
Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad yang turut berada di pentas ceramah berkata, bukan sahaja ceramah Umno dibuat saat akhir dalam jarak tidak sampai 100 meter dari lokasi ceramah PAS, pembesar suara pula dihalakan dengan kuat walaupun ceramah mereka tidak ramai yang hadir.
“Malah sekumpulan pemuda Umno yang diketuai timbalan ketua pemudanya sendiri memekik dan melolong macam orang gila dan disampuk hantu mengganggu ceramah Mat Sabu.
“Lebih mengecewakan kami, pihak polis yang sepatutnya bertindak menjaga keamanan hanya melihat aksi provokasi melampau itu seolah-olah mahu melihat pergaduhan sesama Melayu pada malam itu,” ujarnya kesal.
Tambah Suhaimi, pihak keselamatan sepatutnya bertindak profesional dan mesti berani bertindak demi keamanan, bukan dilihat "takut" apabila berhadapan dengan samseng Umno.
Serentak dengan itu, Suhaimi berkata PAS Pahang akan menghantar surat bantahan mengenai perangai Umno dan pasukan polis Pekan kepada Perdana Menteri dan menteri berkaitan dalam masa terdekat ini.
(Ceramah Umno yang kosong tetapi pembesar suara dipasang secara maksima)
“PAS Pahang juga memuji penyokong Pakatan Rakyat dan Unit Amal yang dilihat tenang berhadapan dengan provokasi itu dan mujurlah tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
“PAS beranggapan gangguan ini hasil daripada ketakutan Umno yang sarat dengan masalah dan rasuah sehingga amat takut apabila mahu dibuat pendedahan walaupun mereka sudah menguasai media cetak dan elektronik.
“Jadi gangguan dan provokasi melampau ini berlaku kerana Umno Pekan dilihat semakin terdesak untuk mempertahankan kuasa sebab kalau Umno cukup kuat di Pekan apa perlunya ceramah PAS diganggu,” jelasnya.
sementara itu seorang ahli PAS Pekan yang dikenali sebagai Rahim, berpendapat sudah sampai masanya pimpinan tertinggi PAS Pahang bertemu dengan pemimpin Umno negeri ini bagi membincangkan supaya tidak akan terjadi lagi gangguan yang sedemikian rupa kerana boleh mendatangkan kesan yang amat negatif kepada demokrasi dan keharmonian penduduk setempat.
Tambahnya, cukuplah Umno Melaka yang suka mengganggu ceramah PAS dan kejelekan itu tidak sepatutnya berlaku di negeri ini dengan berpolitik secara matang apatah lagi di kawasan Perdana Menteri.
Bulan lalu ceramah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar, Kuantan kecoh setelah diserbu oleh samseng Umno tempatan sehingga hampir mencederakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Sebelum itu beberapa ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pahang turut diganggu oleh penceramah Umno Umi Hafilda Ali.
Saya petik:
[HM] KUALA LUMPUR: “Dia menelefon saya dan berkata aku dah bunuh isteri aku. Suaranya teresak-esak seperti menangis. dan selepas itu panggilan terputus,” kata rakan baik kepada seorang suami yang menikam isterinya bertubi-tubi hingga mati di rumah mereka di tingkat 8, Blok B, Pangsapuri Permai, Sungai Besi, petang semalam.
Rakan yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, sebaik menerima panggilan daripada suspek berkenaan yang berusia 42 tahun, dia terus bergegas ke rumah lelaki itu.
Menurutnya, sebaik tiba, dia mendapati rakannya itu berada di dalam rumah manakala isterinya yang sudah meninggal dunia dibalut dengan selimut dan diletakkan di ruang tamu.
“Saya segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang bekerja di bahagian kewangan sebuah syarikat swasta di Ampang dijemput suaminya yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan di ibu kota untuk pulang ke rumah.
Saya petik:
[HM] GEORGETWOWN: “Saya dan isteri terpaksa menanggung malu kepada rombongan pengantin perempuan yang tiba dari Terengganu, penduduk kampung serta jemputan,” kata Md Saad Hasan, 68, mengulas tindakan seorang lelaki yang dikatakan pemimpin parti pembangkang, melarikan satu periuk nasi majlis kenduri kahwin dua anak lelakinya di Kampung Pulau Betong, di sini, 4 Mac lalu.
Menurutnya, hingga kini penduduk kampung masih bercakap mengenai kegagalannya menyediakan sajian istimewa iaitu nasi hujan panas yang sepatutnya dihidangkan untuk rombongan keluarga pengantin perempuan yang tiba dengan sebuah bas.
Md Saad berkata, dia kesal dan kecewa dengan tindakan pemimpin parti pembangkang Kampung Terang yang sanggup melarikan periuk nasi ketika majlis kenduri itu tanpa berjumpa dengannya terlebih dulu.
“Saya difahamkan, mereka mengambil nasi terbabit untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang untuk satu program anjuran kerajaan negeri di kampung ini.
“Mereka melarikan periuk berisi nasi itu menggunakan sebuah lori yang siap menunggu,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Warga emas itu berkata, ketika itu dia bersama isteri dan ahli keluarga lain sibuk melayan tetamu apabila dimaklumkan tukang masak bahawa satu periuk nasi dilarikan lelaki berkenaan.
“Keadaan menjadi kelam kabut dan saya serta isteri bergegas ke dapur. Keadaan menjadi kecoh kerana tiada nasi boleh diganti untuk dihidangkan kepada tetamu.
“Ketika itu juga rombongan keluarga pengantin perempuan terdiri daripada 50 orang tiba dengan sebuah bas dan saya kecewa apabila mereka terpaksa pulang dalam keadaan lapar,” katanya.
“Sikap pemimpin parti itu menunjukkan dia hanya mementingkan diri tanpa memikirkan perasaan orang lain menyebabkan majlis kenduri yang dirancang dengan baik menjadi kelam kabut,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian bertemu dengan pemimpin berkenaan untuk meminta kepastian berhubung tindakannya melarikan periuk nasi itu.
“Ketika bertemu dengannya, dia meminta maaf dan mengakui kesalahannya kerana mendakwa nasi yang dimasak di lokasi mereka melakukan program ketika itu mentah, biarpun sudah dua kali masak.
“Dia mendakwa terpaksa mengambil nasi di rumah saya untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan lancar,” katanya.
Md Saad yang tidak berpuas hati dan rasa dirinya dimalukan pemimpin berkenaan membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau, kelmarin.
P/s: Kalau parti pembangkang di Pulau Pinang BN kan?
[HM] KUALA LIPIS: Akibat dipercayai gagal menarik brek tangan, seorang pemandu lori hantu terpaksa menempuh azab hampir setengah jam sebelum disahkan meninggal dunia apabila tersepit antara pintu lorinya dengan sebatang pokok sawit dalam kejadian di Ladang Sungai Kelembung, Jalan Felda Telang Satu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 2.20 petang itu, mangsa, Lau Hon Yong, 53, dari Mantin, Negeri Sembilan menemui ajal di tempat kejadian selepas kepala dan perutnya tersepit.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang membaiki kerosakan kenderaan berat berkenaan tanpa menyedari lori itu bergerak sendiri secara perlahan dan hanya terhenti selepas menghimpit mangsa yang ketika itu tersandar di batang pokok sawit berdekatan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu disedari pekerja ladang yang mendengar jeritan mangsa sebelum menghubungi Balai Polis Trafik Lipis.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dengan bantuan orang awam mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara pintu lori dengan pokok sawit berkenaan.
Saya petik:
[KD] SHAH ALAM 15 Mac: Lima gelen air yang berasingan dari buffet untuk tetamu dalam majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib Razak menimbulkan persoalan, kata Koordinator Jingga 13, Faris Musa.
Ini kerana katanya, kebiasaanya hidangan untuk buffet dipakejkan sekali dengan minuman.
“Persoalannya mengapa 5 gelen air itu diasingkan dari hidangan buffet untuk tetamu?
“Adakah air 5 gelen itu air arak yang dihidang untuk tetamu dalam majlis pertunangan anak Najib?” soalnya.
Berdasarkan pendedahan Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli sebelum ini, majlis pertunangan itu menyatakan Najib membayar RM20,700 untuk hidangan buffet 100 tetamu.
Manakala lima gelen air itu diasingkan dengan harga keseluruhan RM750.
“Kita menuntut Najib tampil memberi penjelasan adakah benar arak turut dihidang dalam majlis pertunangan anak beliau,” soalnya.
Sementara itu, dalam sidang medianya, Faris memberitahu Jingga 13 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat surat dari pengurusan Hotel Shangrila yang menyatakan bil untuk majlis pertunangan anaknya itu dicaj kepada Najib.
Segala dokumen itu turut diserahkan pihaknya kepada SPRM selain isu penggunaan wang rakyat melibatkan majlis hari lahir Najib pada 24 Julai tahun lalu.
“Jingga 13 mendesak SPRM menyiasat isu ini dengan telus, profesional dan adil bagi memastikan tiada satu sen pun wang rakyat diseleweng Najib dan keluarganya,” tegasnya.
Pada 9 Mac lalu, Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli mendedahkan bahawa Najib didakwa mengguna dana rakyat M409,767 untuk menanggung kos majlis pertunangan anak perempuannya, di Seri Perdana 17 Jun tahun lalu.
Kos merangkumi tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang menyedia perkhidmatan katering dan dicaj kepada Pejabat Najib di Putrajaya.
Terbaru, beliau mendedahkan perbelanjaan mewah hari jadi Najib Razak pada 24 Julai 2011 berjumlah RM79,053.
Majlis itu menyajikan 47 juadah istimewa termasuk daging panggang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.
Berdasarkan ‘Banquet of Order’, majlis dibuat Pejabat Perdana Menteri, walaupun jelas ia majlis peribadi Najib, kata Rafizi yang mendedahkan perkara itu.
Purata perbelanjaan untuk 100 tetamu itu ialah RM207, RM7,000 bagi undangan kugiran Syed Sobri dan undangan kugiran ‘Batak’ (RM5,000) serta RM750 bagi 5 gelen minuman.
Manakala RM30,000 untuk gubahan bunga dan RM12,000 caj pengendalian cukai menjadikan jumlah keseluruhan RM79,053.
Saya petik:
[SH] KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata adalah lebih baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah supaya membubarkan Parlimen selepas istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda disempurnakan 11 April nanti.
Beliau berkata ia penting supaya tidak timbul sebarang persoalan atau dicabar di mahkamah kelak mengenai kesahihan pembubaran itu.
"Banyak intepretasi undang-undang mengenai perkara ini. Seri Paduka bersemayam di takhta sekarang kerana perkhidmatan Agong yang lepas telah tamat.
"Ada yang berpendapat apabila Agong belum ditabalkan, jadi tak boleh bubar Parlimen. Pada saya ini adalah pandangan peribadi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember lepas menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat pemerintahan pada 11 November 2011.
Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah satu formaliti dalam proses peralihan kuasa ketua negara.
Beliau berpendapat apabila Yang di-Pertuan Agong baru sudah dilantik dan menduduki takhta berkenaan, satu penyerahan kuasa telah berlaku.
"Sekiranya tidak, Agong yang baru dilantik tidak boleh berada di situ dan tidak boleh digelar Yang di-Pertuan Agong.
"Berkenaan sama ada Perdana Menteri boleh menasihatkan Agong untuk membubarkan (Parlimen), itu tidak timbul masalah," katanya.
Pembubaran Parlimen sebelum Yang di-Pertuan Agong ditabalkan tidak pernah berlaku sebelum ini, kata Shamrahayu. - Bernama
KEADAAN lelaki yang cedera dibelasah selepas didakwa mencabul seorang wanita di sebuah kafe di Taman Tunku Haminah, Sungai Petani semalam.
Saya petik:
[kosmo] SUNGAI PETANI - Sebuah kafe di Taman Tunku Haminah di sini kecoh semalam apabila seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertindak memegang dan meraba punggung seorang wanita yang sedang mengambil makanan di kafe itu.
Semasa kejadian pada pukul 1 pagi, seorang wanita Cina berusia 30-an pergi ke kafe itu bersama teman lelakinya untuk makan tengah malam.
Namun, semasa leka memilih makanan, mangsa terkejut dan berasa amat malu apabila punggungnya didakwa dipegang dan diraba oleh seorang lelaki bertubuh besar.
Sebelum mencabul mangsa, lelaki itu didakwa asyik memerhatikan wanita itu yang berdiri ketika memilih makanan.
Wanita berkenaan yang terkejut dengan kejadian itu membatalkan hajatnya mengambil makanan dan pergi ke meja sebelum mengadu kepada kekasihnya mengenai insiden tersebut.
Kekasih mangsa yang geram dengan tindakan lelaki Cina itu terus membelasahnya sebelum pelanggan lain di restoran tersebut turut memukul lelaki yang didakwa mencabul itu.
Ada antara pelanggan membelasah lelaki itu menggunakan topi keledar.
Selepas kira-kira lima minit menjadi mangsa belasahan, lelaki yang berusia 30-an itu cedera teruk di kepala, muka bengkak dan berdarah beberapa anggota badan. Dia diselamatkan oleh beberapa orang awam lain yang melihat kejadian itu.
Dia yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dengan ambulans.
Difahamkan, wanita itu mengenali lelaki berkenaan. Semasa kejadian wanita itu dan lelaki tersebut yang dipercayai tinggal di kawasan sama datang secara berasingan.
Malaysiakini telah mendapat maklumat bahawa bukti mengenai skandal 'Copgate' yang diminta oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memulakan siasatan terhadapnya, 'sudahpun ada'.
Sebahagian daripada maklumat ini adalah dalam bentuk surat bertarikh 12 September 2007, yang dihantar kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Johari Baharom oleh peguam bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff.
Surat itu menyebutkan tindakan Pejabat Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu yang membawa kepada terdedahnya identiti pemberi maklumat polis yang telah membantu penangkapan penjenayah Johor, Goh Cheng Poh @ Tengku Goh.
Hishammuddin (kanan dalam gambar), dalam reaksinya kepada
laporan Malaysiakini pada hari Ahad, telah meminta bukti-bukti berhubung dakwaan wujudnya pakatan di kalangan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan sri Musa Hassan; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tengku Goh untuk menutup satu siasatan mengenai rasuah.
Laporan itu menyatakan bagaimana pemberi maklumat - yang maklumatnya membawa kepada penangkapan Tengku Goh pada tahun 2007 - telah dipaksa untuk membabitkan enam pegawai polis yang menyiasat kes itu.
Reaksi Menteri Dalam Negeri pada hari Isnin lalu ialah: "Buktikan, buktikan. Kalau mereka kemukakan buktikan, kita boleh ambil tindakan."
Surat dari peguam Ramli kepada Johari - timbalan menteri dalam negeri ketika itu - menyatakan bahawa berikutan penangkapan Tengku Goh dan diletakkan di bawah "kediaman terhad" di Jeli, Kelantan, pada 8 Ogos 2007, maklumat telah dibocorkan kepada beberapa organisasi media, yang melaporkan bahawa BPR sedang menyiasat dakwaan salahguna kuasa dalam "penyiasatan, penangkapan, penahanan dan pengeluaran perintah kediaman terhad" terhadap Tengku Goh.
Laporan berita itu juga mendakwa bahawa Tengku Goh telah dibersihkan.
Berikutan laporan media itu, satu mesyuarat telah diadakan di Pejabat Peguam Negara seminggu kemudian pada 15 ogos 2007 - di mana yang hadir termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (paling kiri), bekas Timbalan Ketua Polis negara, Datuk Mohd Najib Abdul Aziz , bekas ketua pendakwaan Mohd Yusof Zainal Abiden dan Ramli.
Siasatan yang membawa kepada penangkapan Tengku Goh telah dibincangkan dalam mesyuarat itu dan telah ditegaskan bahawa identiti pemberi maklumat yang membantu dalam penangkapan tersebut, mesti dirahsiakan.
Ramli berhujah bahawa identiti pemberi maklumat polis tidak perlu didedahkan kerana ia akan melanggar Perintah Tetap Ketua Polis Negara.
Apa yang berlaku seterusnya ialah Ramli menerima arahan dari BPR bertarikh 20 Ogos 2007 mengkehendakinya menyerahkan fail kes asal, bersama-sama dengan kenyataan pemberi maklumat dan identiti mereka.
Saya petik:
[SH] KULIM - “Kalau hang tak mahu pada orang tua ni, hang bunuh dia. Bagi aku tanam. Dia ni bapak hang,” antara ungkapan kecewa diluahkan penjaga seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa ketika berlaku pertengkaran di hadapan rumah anak perempuan mangsa di sini kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
Kejadian berlaku apabila mangsa menyatakan hasrat untuk tinggal di rumah anak perempuan tunggalnya kerana setelah sekian lama dijaga adik-beradiknya.
Waris yang juga anak saudara mangsa buntu dan membawa mangsa ke Balai Polis Kulim apabila mangsa tidak mahu lagi tinggal di rumah mereka.
Seorang waris berkata, mangsa berada bersama keluarganya lebih 30 tahun lalu tetapi berhasrat untuk tinggal bersama anaknya di sebuah taman perumahan di sini dan untuk memenuhi hasratnya, mereka menghantar mangsa ke rumah anak kandungnya.
Menurutnya, sebelum menyerahkan mangsa kepada keluarganya, mereka meminta nasihat polis untuk mengiringi kerana khuatir berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Apabila tiba di rumah anak mangsa, polis terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah dibuka. Malang bagi mangsa apabila anaknya itu berpura-pura tidak mengenalinya.
“Perkara ini menimbulkan tidak puas hati dan kemarahan anak saudara mangsa dan berlaku pertengkaran mulut. Anak mangsa terus mendesak supaya bapanya itu tidak ditinggalkan di rumahnya kerana dia tidak mahu menjaganya,” katanya.
Waris mangsa berkata, sejak dulu lagi anak mangsa tidak pernah menjaga kebajikan bapanya itu sebaliknya segala tanggungjawab itu diberikan kepada keluarganya.
Katanya, memandangkan kasihan dengan nasib menimpa mangsa, mereka setuju untuk menjaganya sejak 30 tahun lalu.
“Tok sudah tidak mahu tinggal bersama kami dan meminta kami menghantarnya ke rumah anak perempuannya. Kami semua sudah berkahwin tetapi masih boleh menjaganya. Seingat saya, sekarang saya sudah berusia 28 tahun. Sebelum itu pun tok sudah tinggal bersama kami. Sejak akhir-akhir ini, tok memberontak mungkin kerana dia nyanyuk.
“Dia sering mencederakan dirinya sendiri. Bagaimanapun kami terus menjaganya walaupun bersikap keanak-anakan. Memandangkan dia mahu tinggal bersama anak perempuannya maka kami setuju untuk menghantarnya ke sana. Malangnya anak tok enggan menerimanya,” katanya.
Sebelum itu, jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah anak mangsa memaklumkan kepada waris berkenaan bahawa bapanya telah meninggal dunia. Waris yang mendengar pengakuan dibuat jiran terpinga-pinga dan memperkenalkan kepada mereka bahawa warga emas itu merupakan bapanya.
Polis yang mengiringi waris mangsa kemudiannya memapah mangsa keluar dari kereta dan menunjukkan kepada anaknya, namun anaknya itu masih tidak membuka pintu pagar dan membenarkan bapanya masuk ke dalam rumah.
Atas sikap prihatin, polis meminta anak mangsa untuk memberikan kerusi kepada bapanya kerana mangsa tidak tahan berdiri lama kerana sudah tua.
Pertengkaran antara keluarga itu berterusan di mana anak mangsa tetap tidak membenarkan bapanya masuk ke rumah. Polis kemudiannya menasihatkan supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan secara aman kerana ini merupakan permasalahan keluarga.
Polis memaklumkan, anak mangsa datang ke Balai Polis Sungai Kob kira-kira jam 9 malam untuk mencari rumah sepupunya bertujuan menghantar mangsa kepada mereka.
Sinar Harian kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia mengarahkan supaya anak mangsa menyerahkan mangsa ke JKM sebelum dibawa ke mahkamah untuk arahan penempatan tinggal di rumah orang tua.
Saya petik:
[KD] KUALA LUMPUR 14 Mac: KEADILAN hari ini mendedahkan perbelanjaan mewah hari jadi Najib Razak pada 24 Julai 2011 di Seri Perdana berjumlah RM79,053.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli pada sidang medianya di Parlimen memberitahu, majlis tersebut menyajikan 47 juadah istimewa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.
“Berdasarkan ‘Banquet of Order’ (BEO), majlis tersebut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun jelas ia adalah majlis peribadi Najib,” kata Rafizi.
Purata perbelanjaan untuk 100 tetamu itu ialah RM207, RM7,000 bagi undangan kugiran Syed Sobri dan undangan kugiran ‘Batak’ (RM5,000) serta RM750 bagi 5 gelen minuman.
Manakala RM30,000 untuk gubahan bunga dan RM12,000 caj pengendalian cukai menjadikan jumlah keseluruhan RM79, 053.
Rafizi turut mendedahkan bukti baru yang belum disangkal Najib berhubung tempahan majlis pertunangan anaknya di Hotel Shangri-La atas nama pejabat Perdana Menteri.
Salinan BOE Shangri-La Hotel yang dikemukakan Rafizi menunjukkan pada ruang ‘function’ bertulis ‘Private Dinner hosted by PM’.
Manakala alamat penganjur ialah ‘Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan’, iaitu pejabat Perdana Menteri sendiri.
“Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan, tetapi ketelusan dan operasi pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan kepentingan peribadi dengan tugasan rasmi.
“Najib menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial. Tapi gagal menunjukkan contoh,” tegas Rafizi mempersoalkan slogan yang dilaungkan BN seperti dasar ETP (Program Transformasi Politik).
“Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung penaja, apakah ia tidak mempengaruhi keputusan Najib selama ini? Dan wajarkan Najib berbelanja mewah ketika konsep ‘wasatiyyah’ dan kesederhanaan diperkenalkannya sendiri dalam pentadbiran.
Katanya lagi, sementara rakyat ‘ikat perut’ dan berjimat cermat, purata belanja hari jadi Najib yang mencecah RM800 itu lebih tinggi dari pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang berjumlah hanya RM500.
Saya petik:
[SH] KUALA LUMPUR - Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dimansuhkan, masih timbul persoalan mengenai status bayaran terkini yang diterima 36 anggota dalam Kumpulan Premier dan 350 penyandang Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) yang telah menandatangani dokumen persaraan di bawah skim gaji kontroversial itu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, persoalan timbul kerana kumpulan itu telah diminta menandatangani persaraan dan dilantik semula sebagai penyandang jawatan kontrak mulai 1 Januari lalu.
“Mereka telah bersara ketika SBPA dimansuhkan sedangkan mereka telah dilantik mengikut SBPA dan diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini bahawa mereka telah menerima imbuhan atau gaji dari Januari hingga Februari.
“Ini menunjukkan mereka telah terima gaji selama dua bulan mengikut SBPA di mana gaji Kumpulan Premier 4 adalah RM35,000; Premier 3, RM40,000; Premier 2, RM45,000 dan Premier 1, RM60,000 iaitu gaji yang diterima Ketua Setiausaha Negara,” katanya yang juga Naib Presiden Pas pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri menyatakan penangguhan pelaksanaan dan semakan semula SBPA dan mengapa kerajaan tidak memanggil Cuepacs untuk berbincang berhubung penggubalan skim itu.
Mahfuz turut mempertikaikan jawapan Perdana Menteri yang didakwa tidak menjawab soalan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi.
“Penjelasan PM tadi begitu menyedihkan. Sepatutnya beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Gaji Peringkat Kabinet sebelum perkara ini diputuskan dan dibentangkan untuk dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) 27 Disember lalu tahu apa kelemahan skim ini.
“Setelah ianya dibatalkan, saya hanya mahu tahu status terkini gaji mereka, mengapa Najib memberikan jawapan yang tidak masuk akal. Dia kata saya jaga 36 orang sedangkan dia jaga 1.3 juta orang,” katanya.
Mahfuz turut mempertikaikan jumlah bayaran diterima kumpulan itu setelah bersara.
“Bila mereka pencen, mereka akan diberikan ganjaran pencen, saya difahamkan ada antara mereka yg terima ganjaran pencen hampir RM500,000. Najib patut mohon ampun dari Yang di-Pertuan Agong kerana seolah-olah mempersendakan baginda. Pada 27 Disember mohon perkenan, bulan Mac pula umum batal,” katanya.
Saya petik:
[KD] KUALA LUMPUR, 14 Mac: Ketika ramai pemimpin Umno masih tergamam dengan tamparan yang diberikan oleh Tan Sri Rafidah Aziz semalam terhadap pengunduran Datuk Seri Shahrizat Jalil daripada kabinet Datuk Seri Najib Razak, hari ini Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu meletakkan aksi politik Shahrizat dalam konteks yang lebih tepat.
“Shahrizat ini bukan letak jawatan. April ini, beliau habis tempoh, luput atau kata Inggerisnya expired jadi senator, sebab itu tak boleh jadi menteri,” kata Mohamad Sabu ketika dihubungi Harakahdaily.
Sehari sebelum suaminya yang juga Pengerusi National Feedlot Corporation, Datuk Seri Mohamad Salleh didakwa pecah amanah dalam skandal menyelewengan pinjaman RM250 juta, Shahrizat telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan selepas 8 April ini apabila senator beliau habis tempoh. Namun, beliau terus akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno.
Sejurus selepas pengumuman Shahrizat, ramai pemimpin Umno termasuk Najib dan timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyanjung tinggi ‘pengorbanan’ Shahrizat, yang disifatkan mereka mempunyai keberanian yang luar biasa dalam mengambil keputusan sedemikian demi parti dan kerajaan.
Namun, aksi politik Shahrizat diselar terus oleh bekas bossnya Rafidah Aziz di Malay Mail yang menegaskan sekeras-kerasnya bahawa pengganti beliau tidak melakukan sebarang pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa.
"Berundur? Apa berundur...? Tidak timbul isu berundur atau meletakkan jawatan! Tidak ada apa-apa untuk berundur kerana secara sah beliau tidak lagi menjadi menteri pada 8 April...
"Jadi, sebenarnya, tiada langsung pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa," kata Rafidah yang dipetik.
Sementara itu, Mohamad Sabu berharap dengan Shahrizat tidak lagi menteri lagi di April, Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berasa lebih bebas untuk menyiasat skandal NFC lagi.
“Lagi banyak yang perlu disiasat termasuklah mereka yang meluluskan dana kepada projek ini. Harap nanti, Najib tak halanglah sebab Shahrizat dah tiada,” kata beliau.
Saya petik:
[SH] SHAH ALAM - Hotel Shangri-la Kuala Lumpur menafikan kos katering bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa ditanggung oleh Jabatan Perdana Menteri.
Sebaliknya menurut pengurusan hotel itu hari ini, pembayaran dibuat oleh Najib sendiri.
Kenyataan itu sekali gus menafikan tuduhan Jingga 13 dan PKR sebelum ini, mendakwa Pejabat Perdana Menteri menanggung kos RM409,767.
Menurut kenyataan itu, Hotel Shangri-la Kuala Lumpur ada menerima pengesahan tempahan katering di luar pada 2 Jun 2011 bagi satu majlis di Seri Perdana Putrajaya yang dijadualkan berlangsung pada 17 Jun 2011.
"Adalah menjadi prosuder biasa setiap tempahan yang dibuat hendaklah disahkan. Bagi majlis ini, ia disahkan pada empat hari sebelumnya iaitu 13 Jun.
"Majlis berkenaan adalah pada 17 Jun dan pembayaran keseluruhannya dibuat oleh perdana menteri pada 30 Jun, bukannya dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Najib menafikan majlis pertunangan anak perempuannya itu bersama warga Khazakhstan, Daniar Nazabayev menggunakan duit kerajaan.
Katanya, perbelanjaan pertunangan anak perempuannya tidak ditanggung oleh Pejabat Perdana Menteri sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak,” kata mesej menerusi Twitter di bawah akaun Pejabat Akhbar Perdana Menteri (Msia PM Press Office).
Mesej susulan pula menyebut, “Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dakwaan dalam waktu terdekat.”
Semalam, Jingga 13 meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung isu tersebut.
P/s: Wow!! Sampaikan hotel pun terpaksa membuat kenyataan penafian....