(Gambar: Mohd Ashraf)
Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 5 pagi tadi.
Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.
Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.
Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.
Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.
Katanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.
Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.
- Bernama
KUALA LUMPUR: Polis mengemukakan soalan tidak masuk akal kepada peguam, N Surendran termasuk bertanya samada beliau merupakan seorang pakar gas pemedih mata dalam soalannya.
Soalan itu ditanya pihak berkuasa itu ketika mengambil keterangan Surendran di balai polis Jalan Travers, petang semalam.
Lebih melucukan adalah soalan bertanyakan sama ada lima plat titanium yang dimasukkan ke rahang pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Al-Bakri dilakukan oleh manusia, kata peguam Latheefa Koya.
“Memang tak masuk akal. Apa relevannya soalan ini? Apakah kita perlu menjadi pakar gas pemedih mata untuk membuat laporan polis? Kenapa menyoal peguam sedangkan tugas sebenar mereka ialah membuat siasatan?,” soal Latheefa.
Surendran, yang juga Naib Presiden KEADILAN dipanggil memberi keterangan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Acara Jenayah berdasarkan satu laporan yang dibuat berhubung kenyataannya kepada media yang didakwa ‘mengancam ketenteraman awam’
Ia difailkan seorang anggota polis yang tidak dinamakan pada hari yang sama Fayyadh membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, 20 Julai lalu.
Keterangannya dirakamkan oleh ASP Sabri Yanteng, di balai polis Jalan Travers.
Menganggap proses itu sebagai gangguan, Surendran yang ketika itu sedang menemani anak guamnya Fayyadh Al-Bakri, namun terpaksa pula ditemani Latheefa untuk memberi keterangan.
“Begitu juga soalan – ‘apakah kamu tahu apa itu Bersih, ‘siapakah MP Khalid Samad seperti yang dimaksudkan’ dan ‘apakah itu kanister? Memang tak masuk akal. Mereka sepatutnya menyiasat laporan yang dibuat Fayyadh,” tegas Latheefa.
Surendran dalam reaksinya menuntut pentadbiran tertinggi Polis dan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein menjawab tindakan ganas ketika menyuraikan peserta himpunan Bersih 2.0.
“Ini sikap dan mentaliti apabila polis membiarkan institusi mereka diperkudakan kerajaan. Mereka tak membuat siasatan, tetapi menyiasat orang yang membuat laporan.
“Saya bertegas dengan kenyataan sebelum ini bahawa tindakan berbahaya yang dilakukan polis, iaitu mengacu dan mengarahkan muncung senapang gas pemedih mata ke arah peserta himpunan Bersih di KL Sentral adalah salah kerana ia akan menyebabkan kecederaan serius.
“Jangan berdalih atau cuba mengalih isu. Kami takkan berhenti untuk mendesak siasatan supaya keadilan dapat ditegakkan,” kata Surendran. -KDaily
PETALING JAYA: Pelakon Ammar Alfian Aziz (gambar) menjelaskan tidak mencekik dan memukul kekasihnya, Puteri Sarah seperti mana yang didakwa dalam sebuah akhbar harian, Rabu.
Menurut pelakon drama Dia Atilia ini, mereka tidak mengetahui langsung bagaimana isu tersebut boleh timbul sedangkan hubungan mereka masih berjalan dengan baik.
“Saya dan Sarah tidak tahu apa-apa sehinggalah seorang kawan menghubungi saya hari ini (Rabu) dan memberitahu cerita tentang saya mencekik Sarah seperti yang ditulis dalam surat khabar.
“Saya terkejut apabila mendengar berita buruk ini, padahal semalam (Selasa) saya dan Sarah tidak bergaduh sebaliknya kami masing-masing sibuk membuat persediaan ke Melbourne dan Sydney, Australia pada Isnin depan untuk bertemu adik Sarah yang belajar di sana.
“Jadi, cerita tentang saya mencekik dan memukul Sarah itu tidak betul sama sekali,” kata Ammar kepada mStar Online menerusi lambang sembang Facebook miliknya berhubung perkara itu di sini, Rabu.
Ammar dan Sarah
Dia diminta mengulas kenyataan sebuah akhbar yang memetik sumber polis kononnya seorang pelakon lelaki telah menumbuk dan mencekik serta mengugut untuk membunuh kekasihnya di sebuah kondominium di Damansara dekat sini.
Laporan itu turut mendedahkan pelakon lelaki berkenaan dikatakan berang apabila kekasihnya yang juga pelakon wanita popular mendapati dia berlaku curang apabila berdua-duaan dengan wanita lain ketika datang untuk membuat kejutan di kondominium terbabit.
Ammar yang pernah membuat kontroversi mahu “membunuh” wartawan sebelum ini mengetahui laporan berkenaan ditujukan kepadanya walaupun tidak menyebut nama artis.
Tambahnya: “Sarah ada memberitahu saya bahawa wartawan ada menghubunginya dan bertanyakan tentang laporan polis berhubung kes saya memukul dan mencekiknya.
“Namun, dia menafikan perkara itu. Tetapi saya pelik juga apabila cerita seperti ini tersebar walaupun tidak betul.
“Apabila difikirkan semula, saya pernah terlibat dengan kontroversi sebelum ini dan harus belajar daripada kesilapan. Kalau dulu saya melawan tetapi tiada gunanya, jadi lebih baik saya diamkan diri sekarang walaupun perkara tersebut tidak betul.”
Selain itu, dia lebih gemar menyibukkan diri dengan latihan untuk mempersiapkan diri berlakon filem berjudul Skandal.
“Saya terpaksa menjaga badan dengan mengurangkan makan nasi kerana mungkin ada aksi melompat dan bertarung. “Selain itu, banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan agar dapat mengurangkan berat badan bagi mendapat badan yang lebih ringan untuk melakukan aksi tersebut,” ceritanya. - MStar
KUALA LUMPUR, 27 Julai: Video Bersih 2.0 yang dirakam dan ditayangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya atau 'tidak laku', sehingga Menteri Penerangan terpaksa digunakan untuk memberikan publisiti mengenainya.
Sekiranya video itu menarik dan benar-benar menceritakan kejadian sebenar, ia pasti akan menarik perhatian orang ramai menontonnya tanpa dipaksa.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, dengan itu, pihak PDRM hanyalah melakukan kerja yang sia-sia dan membazirkan wang rakyat untuk menghasilkan video itu kerana ia tetap tidak diminati oleh orang ramai.
Menurut beliau, nasib video polis itu samalah seperti nasib filem-filem negara yang sememangnya tidak menarik minat orang ramai untuk menontonnya walaupun pembikinannya mengambil masa agak lama dan memakan belanja yang besar.
Katanya, untuk tidak mensia-siakan pembikinan video itu, pihak kerajaan kini terpaksa memaksa stesyen-stesyen TV di tanah air menyiarkannya tetapi usaha tersebut tetap gagal, apabila hanya pihak RTM sahaja yang sudi menayangkannya.
"Keengganan stesen-stesen TV lain khususnya TV swasta untuk menayangkan video polis itu kerana diyakini video itu tidak akan menarik perhatian orang ramai untuk menontonnya, malah kalau disiarkan pasti akan memberikan kesan buruk kepada stesen-stesen TV itu sendiri.
"Kini media-media utama tanah air yang dikuasai kerajaan sudah tidak lagi dipercayai oleh orang ramai. Sekiranya video polis itu juga turut disiarkan, orang ramai pasti akan menjadi lebih tidak mempercayai stesyen-stesyen TV berkenaan. Menyedari hakikat itulah stesen-stesen TV swasta enggan menyiarkannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat negara ini hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayangkan oleh PDRM berhubung himpunan Bersih 2.0.
Menurut Mahfuz, saranan Rais itu sememangnya menggelikan hati kerana ia jelas membuktikan video tersebut tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya, sehingga menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menggunakan Menteri Penerangan untuk membuat publisiti mengenainya dan membuat seruan seperti itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga yakin pihak RTM sendiri sebenarnya turut tidak berminat untuk menyiarkan video itu, tetapi ia terpaksa disiarkan juga kerana terpaksa setelah dipaksa oleh kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang.
"Rakyat negara kita sekarang sudah semakin cerdik. Rakyat sendiri tahu yang mana video yang bermutu dan yang mana video yang tidak bermutu.
"Rakyat sendiri tahu yang mana video yang benar dan yang patut ditonton dan yang mana video yang tidak benar yang tidak patut ditonton malah kalau ditonton pasti hanya menggelikan hati.
"Oleh itu, pihak kerajaan sendiri dapat mengambil pengajaran dari nasib malang yang dialami oleh video polis itu untuk mengetahui realiti sebenar tentang rakyat di negara kita sekarang yang sudah tidak boleh diputarbelitkan lagi," tegas beliau.
Malah semakin diputarbelit, tegas beliau, rakyat akan menjadi semakin marah dan meluat dengan kerajaan sehingga menyebabkan segala tindakan kerajaan sekarang akan menjadi pertikaian di kalangan rakyat.
"Begitulah nasib kerajaan BN kini setelah sekian lama memerintah dan setelah sekian lama memutarbelit dan menzalimi rakyat dalam pelbagai aspek," ujar beliau. -harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 Julai: 10 orang termasuk enam anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis di stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.
Mereka ditahan kira-kira jam 2.50 petang ketika sedang berbaris bersama pelatih PLKN menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di sini.
Antara yang ditahan termasuklah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azin Mat Rasip, Exco AMK Pusat, Zaki Yamani, Zulfikar Ali Ariffin, Manivannan Gowindasamy dan pembantu ahli parlimen Ampang, Mohamad Fareez Kamal Intidzan.
Insiden berlaku apabila Zaki cuba masuk ke dalam laluan Najib bagi menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri itu.
Sebaik sahaja beliau masuk sambil memanggil "Datuk Seri", empat pengawal peribadi Najib terus memegangnya dan mengheret beliau keluar dari tempat tersebut dan diserahkan kepada anggota polis yang sedia berkawal.
Najib juga dilihat sempat melihat ke arah Zaki dan pergelutan yang berlaku yang hanya berjarak kira-kira satu meter darinya.
Seorang rakannya, Zulfikar pula ditahan apabila cuba menayakan kepada polis kenapa Zaki ditahan dengan cara kasar.
Ekoran itu kesemua mereka yang memakai baju kuning itu ditahan pihak polis.
Kesemuanya difahamkan dibawa ke Balai Polis Jalan Travers. - harakah
P/s: Nak serah surat pun tak boleh?
Penderitaan wanita berusia 28 tahun yang dipaksa membuat ketuk ketampi dalam keadaan berbogel sambil dirakamkan oleh pihak polis di balai Petaling Jaya berakhir hari ini apabila mereka yang bertanggungjawab dan kerajaan bersetuju membayar pampasan.
Penyelesaian kes itu dicatatkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Lau Bee Lan. Bagaimanapun jumlah pampasan yang dibayar itu tidak didedahkan.
Hemy Hamisa Abu Hasan Saari, yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga orang anak juga tidak hadir di mahkamah hari ini.
Beliau diwakili oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Hazizah Kasim manakala kerajaan diwakili oleh Nor Mastura Ayob.
Mimpi ngerinya bermula enam tahun lalu apabila video yang dirakamkan diedarkan sehingga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah.
Ketika memfailkan saman ke atas kerajaan pada 2005, Hemy menuntut pampasan sebanyak RM10 juta dan berkata apa yang berlaku “adalah tidak adil” kepada dirinya kerana dimalu sedemikian di khalayak umum oleh tindakan polis berkenaan.
Pada Januari 2006, kerajaan meluluskan peraturan melarang tahanan yang bogelkan membuat ketuk ketampi dan mencangkung selepas panel inkuiri mendapati tindakan itu bukan sahaja menghina tetapi mencabuli hak asasi manusia serta tidak dapat diterima mengikut Islam.
Bagaimanapun sehingga hari, pihak berkuasa masih meneruskan amalan ketuk ketampi sambil berbogel bagi mencari dadah atau barangan lain yang disembunyikan di bahagian tertentu tubuh seseorang. - m'kini
SYAFIQ
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun dan dilaporkan hilang oleh keluarganya selama empat hari akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya beribu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
Muhammad Syafiq Abu Ani, 25, dari Batu Pahat, Johor ditemui mati akibat terjatuh dari sebuah kondominum di Pattaya, Thailand, 23 Julai lalu.
Menurut laporan akhbar dalam talian, pattayaone.net, siasatan polis Thailand mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14, Niran Grand Condominium di Soi Arunothai, berdasarkan penemuan barangan peribadi mangsa termasuk selipar dan tiket penerbangan balik ke Malaysia di sebuah unit di aras berkenaan.
Butiran tiket menunjukkan mangsa sepatutnya kembali ke Malaysia sehari sebelum penemuan mayatnya.
Penghuni kondominium itu juga mendakwa tidak mengenali mangsa dan sebab kehadirannya di Thailand masih dalam siasatan polis.
Berdasarkan laporan itu, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai membunuh diri namun siasatan lanjut akan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok. Sementara itu jurucakap Wisma Putra mengesahkan kematian mangsa.- hmetro
KUALA LUMPUR, 27 Julai — PAS berpendirian bahawa Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR) wajar menggunakan dakwat kekal berbanding sistem biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya berpendirian bahawa penggunaan sistem biometrik bukan penyelesaian terbaik mengatasi isu pengundi hantu.
“PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi blognya semalam.
“Begitu juga pendaftaran pemilih secara automatik,” kata Ahli Parlimen Marang ini sambil menambah, “kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik.”
Kedua-duanya merupakan antara isu yang menjadi tuntutan Bersih 2.0.
PKR juga melahirkan pendirian yang sama Ahad lalu.
Hadi juga menambah, sistem biometrik masih boleh dimanipulasikan oleh pihak yang mengendalikannya terutamanya pegawai yang bertugas di pusat mengundi.
“Cadangan SPR untuk menggunakan kaedah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindan bukan penyelesaian yang sebenar.
“Malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir yang ada kepakaran dan terlibat dalam mengendalikan sistem ini,” katanya.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mengadakan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
Dalam komennya kepada The Malaysian Insider kelmarin, badan pemantau pilihan raya tempatan Mafrel menegaskan sistem biometrik hanya boleh digunakan jika SPR dapat memberi jaminan berjaya menangani isu pengundi hantu sepenuhnya.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jika sistem biometrik masih gagal mengatasi isu pengundi hantu, amat tidak wajar SPR menggunakannya ketika pilihan raya ke-13.
Ketika bercakap pada satu wacana di Shah Alam petang semalam, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, kajian mengenai sistem biometrik sudah berada di peringkat akhir tetapi SPR tidak dapat memberi jaminan sama ada ia boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13.
Spekulasi menyebut pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat selepas sambutan Aidilfitri awal September ini.Mandat semasa Parlimen hanya berakhir April 2013.
“Kita masih di peringkat kajian dan kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan kerana kita tak tahu bila Parlimen akan dibubarkan,” katanya.
Mengulas sistem biometrik yang mendapat tentangan Pakatan Rakyat yang tetap mahu dakwat kekal digunakan, Wan Ahmad berkata sistem itu akan menggunakan imbasan ibu jari tangan untuk mengesahkan identiti pengundi.
“Tiada seorang manusia pun yang mempunyai dua biometrik yang sama... apabila aplikasi ini sudah siap, kita dengan rekod biometrik yang terdapat di JPN, kita boleh padankan dengan daftar pemilih kita.
“Kita merasakan sudah sampai masa sistem ini digunakan untuk membersihkan daftar pemilih,” katanya. -TheMalaysianInsider
P/s: SPR sendiri masih tidak pasti sama ada sistem biometrik boleh dilaksanakan pada PRU 13 nanti. Kalau begitu, laksanakan dakwat kekal ini. Ianya sangat mudah. Hanya celup jari bagi sesiapa yang ingin mengundi....
SHAH ALAM, 26 Julai: Wacana Sinar Harian bertajuk 'Apa selepas 9 Julai' yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karang Kraf di sini menyaksikan setiap penjelasan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambut 'boo' oleh hadirin hingga ke akhir program.
SPR yang diwakili timbalan pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicemuh seawal beliau berhujah menjawab soalan yang dikemukakan moderator iaitu Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful dalam soalan awalnya bertanya kenapa SPR dilihat menggunakan ayat-ayat 'difensif' dalam buku terbaru mereka berhubung penjelasan tentang pilihan raya.
Menjawab soalan itu, Wan Ahmad dengan tegas berkata "SPR tidak difensif, kita tidak berpihak kepada mana-mana parti".
Jawapan itu lantas disambut 'boo' oleh hadirin sekaligus menjadikan auditorium gamat seketika dan kemudiannya ditenangkan oleh moderator.
Wacana hampir dua jam itu menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Pegerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Professor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Ia bagaimanapun seolah-olah didominasi wakil SPR apabila hanya beliau diaju soalan oleh para hadirin.
Sepanjang penjelasannya, Wan Ahmad beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa SPR 'tiada kuasa' untuk melakukan perubahan malah menjelaskan perubahan sistem pilihan raya hanya boleh dibuat oleh Pejabat Peguam Negara sebelum diluluskan di Parlimen.
Membidas penjelasan itu, seorang hadirin bangun mempersoal kenapa SPR menolak bulat-bulat kesemua lapan tuntutan Bersih termasuk pembersihan daftar pemilih dan tidak membawa cadangan penambahbaikan itu kepada Pejabat Peguam Negara.
Menjawab soalan itu Wan Ahmad berkata SPR tidak ada kuasa mengeluarkan mana-mana nama dalam daftar pemilih melainkan mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau turut mengakui senarai pemilih yang wujud sejak 1959 itu tidak bersih kerana ada individu sudah meninggal dunia namun tiada pengesahan kematian dibuat warisnya kepada JPN.
"Sebab itu kalau kita dengar tadi ada orang berumur lebih 100 tahun, of course sebab kalau dia daftar pemilih pada tahun 1959 tentu umurnya sudah lebih seratus tahun kerana warisnya tak pernah melapor kematian dia kepada JPN," katanya namun sekali lagi dicemuh hadirin kerana dilihat cuba menyalahkan rakyat.
Lantas dengan itu beliau terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan.
Ketika membuat penjelasan lanjutnya, Wan Ahmad tiba-tiba berkata "SPR ditembak dituduh dari pelbagai penjuru, tetapi parti Barisan Nasional dia tidak menentang SPR..."
Kenyataan itu menyebabkan beliau sekali lagi ditertawakan hadirin yang dilihat majoritinya adalah menyokong reformasi sistem pilihan raya dibuat.
"Sebenarnya tuan-tuan tak menggunakan fikiran yang waras...tuan-tuan tak baca undang-undang.
"Tak payah la angkat suara kuat-kuat...Saya rasa tuan tuan tak layak la duk berbincang di sini," kata Wan Ahmad kecewa selepas terus menerus di'boo' hadirin.
Beliau kemudiannya merayu agar semua pihak termasuk hadirin yang hadir agar tidak melayan SPR seperti musuh mereka.
Malah katanya semua pihak harus bersama dengan SPR untuk melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya.
Membidas kenyataan itu, Ambiga pula mempersoal siapa sebenarnya yang dilayan seperti musuh sejak Bersih 2.0 mengumumkan mengadakan himpunan pada 9 Julai lalu.
"You yang layan kami macam musuh. Tengok sahaja Bersih diserang sejak enam minggu lalu," tegasnya.
Bagaimanapun wacana yang bermula kira-kira jam 2.15 petang itu terpaksa berakhir awal 15 minit apabila moderator mengumumkan beliau mendapat arahan dari pihak atasan untuk menamatkannya tanpa sempat membenarkan ahli panel membuat penggulungan.
"Pihak atasan ni bukan pihak penganjur, tapi atas lagi daripada pihak penganjur," kata Wan Saiful. - harakah