PETALING JAYA: Bekas penyiasat persendirian P. Balasubramaniam meninggal dunia dalam ambulans ketika dalam perjalanan dari Rawang ke Hospital Sg Buloh pada Jumaat.
Dikenali sebagai PI Bala, beliau telah menjalani tiga ujian di Pusat Perubatan Sime Darby sejak 5 Mac apabila doktor mendapati tiga arterinya tersekat dan memerlukan pembedahan.
Difahamkan Bala berada di rumah ketika tiba-tiba mendapat serangan jantung.
Isterinya telah menefelon ambulan namun semuanya sudah terlambat.
Mayatnya di bawa ke Hospital Sungai Buloh. -mStar
_________________________________________________
KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang ini ketika mendapat rawatan di Klinik Rawang.
Demikian tulis Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa melalui twitter.
Bala telah dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Subang jaya (SJMC) selepas seminggu dirawat di situ, angioplasty menunjukkan terdapat tiga sekatan utama pada saluran jantungnya.
Mendiang dijadualkan menjalani pembedahan pintasan tiga minggu lagi, selepas ditangguhkan sebelum ini.
Bala mendapatkan rawatan susulan pagi ini di SJMC dan kelihatan sihat.
Namun, beliau mengalami sesak nafas sekitar jam 1.30 petang.
-harakahdaily
|
Campur tangan Ilahi dan malaikat pelindung telah menyelamatkannya daripada kematian yang dekat.
Begitu bekas penyiasat persendirian kontroversi P Balasubramaniam
menyifatkan kejadian pada 3 Mac lalu di wad jantung di sebuah hospital
swasta selepas dia disahkan mempunyai penyakit saluran koronori
tersumbat.
Balasubramaniam,
53, percaya beliau boleh mati akibat serangan jantung pada bila-bila
masa selepas meninggalkan India untuk pulang ke kampung halaman, justeru
terlibat dalam kempen Pakatan Rakyat dan pelbagai program pertemuan
dengan orang ramai.
Lebih dikenali sebagai PI Bala,
kepercayaannya kuat untuk menyakini bahawa "pihak di atas" dan semangat
wanita Mongolia yang terbunuh Altantuya Shaariibuu masih memerlukan dia
dan perjuangannya.
"Tiap tahun, pada 19 Oktober, saya
bersembahyang untuk dia (Altantuya). Saya harap suatu hari keadilan akan
ditegakkan," kata Bala kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif pada Isnin lalu.
|
|
Musa Hitam: Tidak boleh ambil mudah isu Lahad Datu
SHAH ALAM - Isu pencerobohan di Lahad Datu tidak wajar diambil mudah!
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, kerajaan perlu kaji dengan lebih mendalam dan melihat isu ini dengan lebih jauh.
Katanya, isu ini tidak harus ditangani seperti dahulu menerusi kaedah ketenteraan tanpa mengira kesan sampingan.
"Jangan ambil mudah seperti isu lain, jangan ucapkan syabas terlalu awal. Kita perlu sedar, ini adalah isu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"Kita perlu pertimbang untuk buat kajian terperinci dan melihat isu ini lebih jauh. Isu ini bukan hanya perang menembak, (tetapi) peperangan psikologi," katanya, semalam.
Musa turut menegaskan kerajaan perlu berhati-hati bagi mengelakkan kesan negatif terhadap negara.
"Apa yang kita boleh buat dengan mereka (pengganas), kerana mereka ada di sana.
"Jika isu ini jadi negatif dan anggap semua orang Sulu adalah musuh, anda akan menghadapi masalah, kerana mereka sudah ada di sana," kata beliau.
Beliau turut melahirkan rasa khuatir isu ini jadi serius.
"Apa yang perlu kita buat, saya tidak tahu bukan kerja saya, tetapi saya amat khuatir terhadap isu ini," katanya.
-sinarharian
|
Portal Parpukari antara blog umno yang telah menarik balik artikel yang memfitnah Tian Chua
Hari ini saya telah menghantar satu lagi Surat tuntutan melalui peguam saya kepada Zaini bin Haris (IC: 811104-01-6015) pengurus portal MyMassa. Portal MyMassa merupakan punca berita palsu yang menyatakan kononnya saya menghina Pasukan Keselamatan dengan kata-kata ” KOMANDO MATI KATAK”.
Selain daripada itu, saya juga telah hantar surat tuntutan kepada Mohamad Salim bin Iskandar (IC: 730709-08-5123) yang mengurus portal Parpukari. Namun, sejak semalam berita yang merujuk kepada berita fitnah tersebut telah diturunkan. Dengan ini, saya secara rasminya menarik balik surat tuntutan saya terhadap Parpukari.
Disamping surat tuntutan, peguam saya telah mengirim surat amaran kepada semua pengendali portal yang menyiarkan berita fitnah yang sama. Mereka ini termasuk: Gelombang Wangsa Maju, Apple Biru, Malaysia Delima, Kelateloni, Pistol Nakal, Aloqlaloq, Talk with Hand, Flying Kick, dan lain-lain lagi.
Mulai sekarang, saya tidak teragak-agak untuk menghantar surat saman sekiranya ada lagi berita fitnah tersebut diulangi di mana-mana portal.
Tian Chua
Ahli Parlimen Batu
-keadilandaily
|
LAHAD DATU - Kumpulan pengganas bersenjata Sulu dipercayai mencari seorang lelaki tempatan iaitu individu pertama yang membuat laporan polis, mendedahkan kehadiran mereka pada 9 Februari lalu di Kampung Tanduo.
Perkara itu didedahkan anak saudara lelaki berkenaan, Rano Julasi, 34, ketika ditemui di pusat perpindahan sementara Dewan Amara Budi, Felda Sahabat 17 di sini, semalam.
Menurut Rano, cerita itu dimaklumkan oleh sepupunya yang dapat melarikan diri selepas Kampung Tanjung Batu, 7 kilometer (km) dari Kampung Tanduo, ditawan penceroboh, 3 Mac lalu.
Rano berkata, sepupunya itu dapat melarikan diri selepas dipaksa keluar ke pekan membeli beras.
"Dia tidak pulang selepas diarahkan membeli beras. Dia berasa takut kerana penceroboh mencari bapanya untuk membalas dendam.
"Penceroboh juga mengacukan parang di lehernya selepas mengetahui dia adalah anak kepada individu yang mendedahkan pergerakan mereka kepada polis," katanya.
Katanya, bagaimanapun penceroboh tidak dapat mengesan bapa saudaranya kerana sewaktu kejadian lelaki itu keluar ke bandar.
Dalam pada itu, ketika ditanya keadaan selepas mengetahui penceroboh berada di Kampung Tanjung Batu, Rano berkata, dia bersama isteri dan tiga anak terus lari menyelamatkan diri.
"Kami keluar dari kampung Tanjung Labian sehelai sepinggang. Saya berasa takut kerana Kampung Tanjung Batu hanya sejauh 3 km dari rumah," katanya.
Rano berkata, dia bersyukur dapat menyelamatkan diri dan turut bersimpati dengan penduduk yang terperangkap di kampung berkenaan hampir seminggu.
-sinarharian
|
KUALA LUMPUR 12 MAC: Bapa kepada Saiful Bukhari mengulangi kenyataannya sebelum ini mengenai penglibatan Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai antara dalang konspirasi kes Fitnah II.
“Kenyataan saya jelas. Dalang di belakang kes liwat II ialah Khairil Anas Jusoh,” kata Azlan Md Lazim ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media semalam.
Menyifatkan tiada keperluan untuk bersumpah bagi membuktikan kebenaran, Azlan juga sedia mengulangi pendedahannya berkaitan konspirasi berkenaan.
“Dalam Malaysia ini, kita sudah tengok banyak orang bersumpah. Saya tegaskan dalam kenyataan, saya tidak takut. Kalau takut, saya tidak akan buat apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakannya mendedahkan hal sebenar berkaitan konspirasi itu bukan bertujuan menganiayai anaknya, Saiful Bukhari.
“Kasih sayang saya tidak berbelah bagi. Sebagai bapa, saya tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku di sebalik tabir, apa yang orang tak tahu.
“Terpulang pada masyarakat untuk percaya,” katanya yang menolak tanggapan kononnya pendedahan dan penyertaannya dalam KEADILAN, mengkhianati Saiful Bukhari.
“Bukan bermakna saya menyertai KEADILAN, saya akan sisihkan Saiful dan anak-anak yang lain,” katanya yang turut menyebut nama timbangan anaknya yang lain, ‘Tati’ dan ‘Su’.
-keadilandaily
|
PETALING JAYA 11 MAC: Bapa Saiful Bukhari, Azlan Md Lazim mengumumkan menyertai KEADILAN pagi ini di ibu pejabat KEADILAN, di sini.
Borang keahlian diserah kepada Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan disaksikan Ahli Parlimen (MP) Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; MP Kuala Langat, Abdullah Sani dan MP Shah Alam, Khalid Samad.
“Saya dah lama menyokong perjuangan KEADILAN, sejak 1998. Tetapi sebagai penyokong akar umbi.
“Saya mengikuti dengan penuh minat perjuangan KEADILAN. Saya menyokong penuh dan mengumumkan sebagai ahli KEADILAN.
“Saya juga mendoakan semoga ahli dan parti komponen Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” katanya kepada pemberita. -keadilandaily
|
|
LAHAD DATU - Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini hari ini.
Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu "dipaksa" berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.
Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.
Mengimbas kembali, wartawan Bernama Mohd Hisham Abdul Rafar berkata pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.
Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah "kampung berhantu" kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.
"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung. Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.
"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu," katanya.
Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.
Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam yang memegang senjata berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.
Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.
Dalam pada itu katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan rakan-rakan supaya tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu bertindak ganas.
"Saya sempat menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan berselindung di sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun bersyukur penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.
Normimie berkata dalam perjalanan pulang mereka kemudiannya berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke kampung tersebut.
Kesemua kumpulan wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiba dengan selamat di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.
Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang berlarutan sejak 12 Februari lepas. - Bernama
|
Idderis Kassim
MELAKA: Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga Timbalan Speaker DUN Melaka Datuk Idderis Kassim meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putra di sini kira-kira 6.50 petang Ahad.
Allahyarham Idderis, 66, meninggalkan isteri Datin Rohani Yunus dan dua anak lelaki Zamran dan Zulkarnain.
Zamran, 39, ketika ditemui pemberita berkata bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 19 Februari lepas.
"Arwah menghidap penyakit barah sejak 2011 dan keadaannya bertambah kritikal kira-kira 4.30 petang tadi sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di hadapan seluruh ahli keluarga," katanya.
Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ayer Limau pada 11 pagi esok.
Katanya Allahyarham Idderis sempat menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi DUN Lendu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina sebelum dimasukkan ke hospital berkenaan.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru besar di Sekolah Agama Ayer Limau pada 1970 dan mengembangkan kerjayanya dalam bidang pendidikan sebagai Ketua Unit Pengurusan Sekolah-sekolah Jabatan Agama Islam Melaka sebelum bersara pada 2003.
Beliau juga terkenal sebagai penceramah yang sentiasa menjalankan aktiviti dakwah di surau serta masjid di negeri itu dan menceburi bidang politik sejak 1970-an.
Pada pilihan raya umum ke-12, Allahyarham Idderis yang mewakili Barisan Nasional menewaskan calon PAS Mohd Amir Yaakub dengan majoriti 1,633 undi.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan pemergian Idderis menghadap Ilahi sebagai satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan rakyat Melaka.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Allahyarham cukup komited dan berdedikasi ketika hayatnya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN dan Timbalan Speaker.
"Allahyarham amat disenangi rakyat di kawasannya, marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya. - BERNAMA
|