KUALA LUMPUR - Taksub kepada majikan dipercayai menjadi punca enam pekerja Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Banting sanggup melakukan pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, terdapat di kalangan pekerja itu telah 15 tahun bekerja dengan majikan itu.
Menurut beliau, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.
Perbuatan kejam itu ada kaitan dengan majikan mereka yang dipercayai turut berada di lokasi kejadian.
Berikutan kejadian itu, kata Bakri, polis yakin telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kes pembunuhan itu dan menghentikan operasi mencari bahan bukti di sekitar Ladang Gadong.
"Polis percaya kes pembunuhan empat mangsa itu telah dapat diselesaikan berdasarkan urutan peristiwa, tindakan-tindakan dan juga bukti yang telah diperoleh.
"Kita akan mengemukakan hasil siasatan kepada pejabat Peguam Negara, berkemungkinan minggu hadapan," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini semalam.
-kosmo
|
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap wartawan masa kini dapat membuat keputusan sendiri dalam membuat laporan berita dalam konteks negara Malaysia. Ini, katanya kerana banyak media arus perdana tidak melaporkan perkara yang sebenar terutamanya apabila berkaitan dua kumpulan besar iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
“Kita lihat di negara kita kini, media arus perdana begitu takut untuk melaporkan perkara sebenar, oleh itu saya rasa wartawan yang hadir malam ni kena fikir balik dan jangan lagi duduk dalam akhbar yang bersekongkol dengan pemimpin yang rasuah dan politik dunia semata-mata,” ujar beliau pada majlis dialog dengan wartawan sempena Idulfitri di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS membuat perbandingan dua akhbar arus perdana di mana ada yang hanya menyiarkan berita dari pihak kerajaan Pusat sahaja dan satu lagi menyiarkan bagi kedua-dua pihak.
Ini, katanya menyebabkan rakyat Kelantan kini semakin kurang memilih akhbar yang hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.
Semasa sesi dialog dibuka, wakil akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Bernama, Harakah, Sin Chew Daily dan Astro Awani mengambil bahagian untuk bertanyakan pelbagai isu dan dijawab mesra oleh Menteri Besar.
Di antara isu yang dibangkitkan ialah ada akhbar arus perdana yang seolah-olah dipinggirkan dalam program Menteri Besar dan kesukaran mendapat maklumat tepat dari pihak kerajaan negeri dalam pelbagai isu.
Nik Aziz ketika menjawab persoalan tersebut berkata, mereka bukannya dipinggirkan tetapi media itu sendiri yang menjauhkan diri dari berhadapan dengan kenyataan yang sebenar.
“Saya tahu wartawan ni pada hakikatnya menulis apa yang dilihat sendiri tetapi maklumlah bila kerja dengan akhbar milik Pusat, apa yang dibuat oleh kita serba tak kena dan susahlah mereka nak laporkan perkara sebenar.
“Saya rasa cukuplah kerja dengan mereka ni, buat kerja secara jujurlah sebab di akhirat nanti akan ditanya semua ni,” katanya lagi.
-harakahdaily
(Gambar: Mufti Kedah)
Undang-undang manusia sememangnya tidak mampu membendung jenayah yang dilakukan oleh manusia. Hanya hukum Allah sahaja yang dapat mengawal tingkah laku manusia. Allah yang menciptakan manusia maka sudah pasti Allah mengetahui kemampuan manusia.Saya petik:[SH] ALOR SETAR - Masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii.Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hanya hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah dan orang sekeliling dapat membendung jenayah kejam daripada terus berleluasa.“Hukuman sedia ada tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada masyarakat, tidak hairanlah jenayah makin berleluasa sehingga ada pihak sanggup membunuh warga emas, kanak-kanak mahupun membuang bayi tanpa ada belas kasihan,” katanya.Sheikh Muhamad Baderudin berkata, hukuman Qisas seperti yang termaktub dalam kitab suci adalah sesuai untuk semua zaman, malah Allah SWT telah menyebut bahawa hukuman ini dapat memberi kehidupan yang selesa pada masyarakat.“Apabila masyarakat melihat kesan daripada hukuman ini, contohnya mencuri hukumannya potong tangan. Mereka akan takut untuk melakukan jenayah itu kerana boleh menyebabkan mereka hilang anggota badan. Oleh itu mereka tidak berani buat begitu pada orang lain kerana hukum balas ini adalah supaya pesalah merasai keperitan mangsa,” katanya.Sheikh Muhamad Baderudin mengulas kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipukul, dibunuh dan dibakar selain abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai, baru-baru ini.Tragedi yang turut memberi kesan pada masyarakat ialah insiden seorang warga emas wanita, Lian Osman, 74, yang tinggal bersendirian di Yan, mati dibunuh selepas disamun di dalam rumah sendiri pada 15 Ogos lalu.Kejadian lain membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun, Suhana Mohd Shariff dari Kota Tanah, dekat sini, yang ditikam rakan baiknya sendiri sebanyak tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter. Kejadian pada 2 Mei itu menggemparkan rakyat Kedah kerana dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.Sheikh Muhamad Baderudin berkata, manusia menjadi semakin kejam apabila kehidupan mereka bertunjangkan duniawi sehingga sanggup berbunuhan demi harta kekayaan.“Banyak faktor yang menyumbang kepada kekejaman, antaranya tekanan hidup, gila harta dan kuasa. Sikap cintakan duniawi punca berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Kita sudah hilang nilai-nilai murni dan agama yang sepatutnya dipupuk sejak kecil,” katanya.Menurutnya, ajaran Islam tidak hanya mementingkan hukuman setimpal, sebaliknya sebelum pesalah dikenakan hukuman, mereka perlu diberi didikan.“Jika didikan tidak beri kesan, barulah dikenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran. Ini termasuk gejala sosial seperti buang anak dan berzina,” katanya.Sheikh Muhamad Baderudin turut kesal kerana perbuatan kejam yang banyak dipaparkan di dada akhbar menunjukkan realiti kepincangan masyarakat kini.“Orang yang bertamadun tidak akan melakukan kekejaman yang melampau,” katanya.
KUALA LUMPUR - PAS mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap segelintir anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa cuai dan tidak serius dalam menyiasat beberapa laporan kes kehilangan.Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata parti itu memandang berat kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius."PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius," katanya.Ujarnya lagi, PAS meletakkan kepercayaan terhadap jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat dengan serius."Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru," katanya lagi sambil menyifatkan sangat malang jika perkara tersebut benar-banar berlaku.PAS, jelasnya tidak mahu lagi melihat akan ada lagi pembunuhan bersiri seperti yang berlaku kepada Allahyarhamah Sosilawati dan tiga yang lain.Kecekapan polis, ujarnya juga sedang dipersoal apabila rakyat tertanya-tanya kenapa tindakan pantas tidak dibuat sebelum ini seperti mana tindakan pantas terhadap kematian Allahyarhamah Sosilawati Lawiya.Beliau merujuk kepada laporan kehilangan seorang jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari 2010 selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan.Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk."PAS tidak mahu negara ini dikuasai oleh “mafia” yang menganggu ketenteraman negara dan keharmonian rakyat di negara ini," katanya.Sehubungan itu, PAS mengharapkan segala laporan yang pernah dibuat kepada polis mengenai kehilangan misteri perlu diselongkar kembali, pegawai yang terlibat perlu disiasat untuk menjaga maruah institusi polis.
-harakahdaily
Benarkah kematian jutawan kosmetik ini didalangi ahli perniagaan bergelar "Datuk"?
Ucapan takziah buat keluarga mangsa...