PETALING JAYA: Seorang pelakon baharu yang mendakwa dicabul oleh seorang pengarah drama pada minggu lalu berasa lega apabila individu itu ditahan polis pada Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Pelakon yang mahu dikenali sebagai Ffarrah Ismail, 23, berkata, dia menganggap maruahnya terbela dengan penahanan itu dan berharap kes cabul tersebut dapat dilaksanakan seadil mungkin agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.
"Apabila mendapat tahu dia ditahan, saya rasa maruah saya akhirnya terbela selepas beberapa bulan saya simpan rahsia ini kerana terlalu takut. Sekarang ini ia sudah pun menjadi kes polis dan kita tunggu sahaja apa akan berlaku," katanya.
Ffarrah ditemui pada sidang media khas anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang ingin membela nasib pelakon baharu itu di Plaza Damansara, di sini, Khamis.
Bagaimanapun wanita ini memohon agar wajahnya dikaburkan semata-mata ingin mengelak daripada menjadi perhatian ramai.
Turut hadir Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Pada 17 Jun dan 23 Jun lalu, Ffarrah telah membuat laporan masing-masing di Balai Polis Mutiara Damansara di sini dan Tampin, Negeri Sembilan dengan mendakwa seorang pengarah drama berusia 60-an yang memegang jawatan dalam sebuah persatuan seni telah mencabulnya ketika di lokasi penggambaran.
Freddie (kiri) mengambil tanggungjawab untuk membantu Ffarrah.
Dalam penggambaran yang dijalankan awal bulan Januari lalu di Tampin itu, Ffarrah mendakwa telah dicabul beberapa kali dan turut dipaksa menjadi pembantu peribadi pengarah itu bagi memudahkan dia mengambil kesempatan.
Tambah Ffarrah, dia tidak menyangka banyak cabaran yang perlu dilaluinya untuk bergelar seorang pelakon.
Sementara Freddie berkata, pihaknya akan membantu Ffarah dalam memastikan dia tidak membuat sebarang tindakan melulu selain akan memberi pandangan daripada aspek perundangan untuk kes tersebut.
"Sebagai persatuan yang membantu artis-artis negara ini, pihak kami ingin menolong Ffarrah dalam menyelesaikan masalahnya dengan menghulurkan bantuan guaman selain memberikan khidmat nasihat kepadanya," kata Freddie.
Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan seorang pengarah drama telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul selepas mendapat laporan daripada pelakon baharu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, pengarah tersebut ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah itu bagi membantu siasatan berhubung laporan berkenaan.
Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
|
Benjy pernah ditahan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di rumahnya pada tahun 2010.
PETALING JAYA: Pelakon Khaeryyl Benjamin Ibrahim, atau Benjy sekali lagi ditahan pada pagi Rabu atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa dekat sini.
Utusan Online melaporkan, anak kepada pelakon, Azean Irdawaty itu ditangkap pada kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu.
Pihak polis akan memohon perintah reman terhadap pelakon itu pada Khamis di bawah Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hasil pemeriksaan polis ke atas pelakon tersebut ketika serbuan bagaimanapun tidak menemui dadah yang dibawa bersamanya," kata sumber polis.- mStar
|
PONTIAN - “Saya dan anak bergilir-gilir melaungkan azan ketika hujan air batu secara tiba-tiba turun,” kata Ahmad Mahmud Jufri ketika menceritakan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Parit Serong Benut, dekat sini, dihujani dengan hujan air batu, lewat petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut disertai dengan angin kencang dan hujan lebat selama hampir setengah jam.
Menurut Ahmad, ketika kejadian dia bersama isteri, Salbiah Malik dan anak mereka Masehor sedang berehat di luar rumah sebelum dikejutkan dengan kejadian angin kencang.
“Cuaca sangat cerah pada petang itu, tapi tiba-tiba saja keadaan berubah, memaksa kami sekeluarga masuk ke dalam rumah menyelamatkan diri.
“Tidak lama kemudian hujan turun dan kami dikejutkan dengan bunyi bising batu dibaling ke arah atap zink rumah,” katanya.
Katanya, bunyi kuat itu menyebabkannya sekeluarga berada dalam ketakutan kerana tidak pernah berhadapan situasi sedemikian sebelum ini.
“Kalau hujan lebat sebelum ini, atap zink tidak berbunyi kuat seperti itu. Kami juga tersentak dengan bunyi angin yang begitu kuat menyebabkan zink rumah bergoyang.
“Ketika itu, ketulan ais kecil seperti batu halus membolosi atap zink rumah dengan jumlah yang banyak,” katanya.
Bimbang atap zink rumah akan jatuh kerana hujan air batu yang semakin lebat, Ahmad terus melaungkan azan yang turut diikuti oleh anaknya agar keadaan kembali reda.
“Syukur hujan air batu berlaku hanya kira-kira lima minit saja, bagaimanapun kawasan ruang tamu rumah dipenuhi dengan ketulan ais kecil,” katanya.
Sementara itu Ketua Kampung Kawasan Tiga, Mukim Ayer Baloi, Mahadi Mahadan berkata, hujan air batu yang berlaku itu adalah kejadian pertama berlaku di sini.
“Sebanyak lapan rumah dari tiga kampung iaitu Kampung Parit Bujang, Kampung Parit Serong dan Kampung Parit Kasan mengalami kerosakan di bahagian atap zink rumah akibat hujan air batu, itu” katanya. -sinarharian
|
BUKIT MERTAJAM: Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Abdul Rahim Man meninggal dunia di rumahnya di Kampung Junjung Tasek, Simpang Ampat, dekat sini akibat jangkitan kuman di hati.
Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Abdul Rahim, 61, meninggal dunia di Hospital KPJ di Bandar Perda di sini pada kira-kira pukul 7.10 malam Rabu.
"Allahyarham telah dimasukkan ke wad di Hospital KPJ tiga hari lalu selepas mengalami jangkitan kuman di hati dan demam panas dan beliau tidak sedarkan diri sejak semalam.
"Saya dimaklumkan oleh anggota keluarganya yang Allahyarham dibawa pulang ke rumah petang tadi selepas doktor memaklumkan keadaannya yang kritikal," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Rabu.
Katanya jenazah Abdul Rahim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan IslamKampung Junjung pagi Khamis.
Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Abdul Rahim dilantik sebagai Penyelaras Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Norhazlina Abdullah dan lima orang anak. - BERNAMA
-mStar
|
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A.Rahman Mokhtar meninggal dunia, kira-kira pukul 10 pagi, Rabu.
Beliau meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat kanser paru-paru.
Jenazah akan dikebumikan di Masjid Teluk Bayu, Kuala Besut, Kuala Terengganu.
Dr A. Rahman, 55, baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Exco Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.
Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 peratus Cina dan 0.1 peratus India.
Dr A. Rahman dilahirkan 22 Mac 1958 di Kampung Pulau Perhentian, Besut dan merupakan pemegang ijazah kedoktoran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau kemudian menyambung pelajaran ke Kolej Kesihatan Umum Universiti Of Philippines di Manila dan dilantik menjadi exco kerajaan negeri sejak 2008.
Beliau meninggalkan balu, Azizah N. Omar dan empat orang anak, Mohd. Zaihan, Mohd. Razhan, Mohd. Zaffuan dan Nurul Najihah. -mStar
|
|