TUNKU ISMAIL secara terbuka mengkritik mutu pengadilan Liga M yang dianggap lemah.
FAM siasat kenyataan Tunku Ismail
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan disiasat selepas mengeluarkan kenyataan mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM tidak akan mengambil pendekatan dwistandard bagi menangani kes tersebut.
Menurutnya, Tunku Ismail tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin badan induk bola sepak negara itu sekiranya didapati bersalah.
Bagaimanapun, Azzuddin memberitahu, FAM akan mengkaji kembali kenyataan Tunku Ismail kepada pihak media sebelum tindakan susulan diambil.
“Seperti biasa, mengenai kenyataan Tunku Ismail yang mengkritik mutu pengadilan Liga M, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.
“Tunku Ismail tetap akan disiasat sebagaimana prosedur biasa dijalankan dalam kes tata- tertib seperti itu.
“Namun, pihak FAM akan meneliti kenyataan Tunku Ismail terlebih dahulu, sama ada ia berbentuk kritikan atau perhatian kepada FAM,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selasa lalu, dalam satu sidang akhbar khas di Johor Bahru, Tunku Ismail mempersoalkan mutu pengadilan Liga M yang dianggap lemah.
Tunku Ismail memberitahu bahawa tindakan beberapa pengadil yang ‘menutup mata’ terhadap kekasaran atau kesalahan pemain, jelas menunjukkan tiadanya standard dalam mutu pengadilan.
Bagi menyokong kenyataannya itu, Tunku Ismail memaklumkan, PBNJ sudah mengambil semua rakaman video dan akan menyerahkannya kepada pihak terbabit untuk menjalankan siasatan.
Pada masa sama, baginda sanggup menerima segala kecaman dan hukuman daripada FAM jika apa yang dinyatakannya itu salah.
Azzuddin turut memberikan reaksi berhubung hukuman penggantungan selama dua tahun setengah dan denda RM39,000 ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim kerana didapati bersalah atas empat pertuduhan, antaranya mengkritik FAM.
“Peraturan tetap peraturan. Kes itu dibawa oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM dan beliau (Shahidan) tetap dihukum seperti yang termaktub dalam peraturan.
“Tiada sebarang unsur politik mengenai kes ini dan ia adalah keputusan penuh daripada Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM, bukan daripada mana-mana pihak,” katanya.-kosmo
P/s: Baguslah kalau berani...
|
Perasaan curiga dan cemburu seorang wanita terhadap suaminya yang dipercayai curang menyebabkan dia tergamak memotong alat kelamin suaminya dengan sebilah pisau dapur, dalam satu kejadian di Jawa Timur, semalam.
Kejadian yang menggemparkan itu berlaku di Kampung Langsar, dalam daerah kecil Saronggi, Sumenep, lapor portal berita Tempo.Co.
"Kejadiannya sekitar pukul 4 pagi," kata Mahrus, penduduk Langsar sebagaimana dipetik laman portal berita itu.
Beliau berkata ketika itu lelaki berkenaan sedang tidur nyenyak dalam bilik, isterinya yang terjaga dari tidur terus menuju ke dapur, mengambil sebilah pisau, kembali ke bilik tidur dan memotong alat kelamin suaminya.
Pasangan suami isteri itu berusia 33 tahun.
Jurucakap polis daerah Saronggi yang megesahkan kejadian itu berkata berdasarkan maklumat yang dikumpul polis, wanita itu nekad memotong alat kelamin suaminya kerana mengesyaki beliau menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.
"Suspek sudah kami tahan dan masih menjalani proses siasatan di balai polis," katanya.
Mangsa kejadian itu kini sedang menjalani rawatan intensif di Hospital Daerah Moh Anwar, Kota Sumenep.
- Bernama
|
Arianie, bekas isteri Hattan
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Hattan memberitahu dia mungkin akan melangsungkan pernikahan dengan bekas isterinya iaitu Arianie pada Jun depan.
Menurut Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dia merancang untuk mengadakan majlis itu serentak dengan perkahwinan adik lelakinya iaitu Achem.
"Adik saya akan kahwin pada Jun depan. Harap-harap kalau dapat buat sekali pun bagus juga.
"Lagi pun saya cuma buat majlis kecil-kecilan untuk keluarga dan rakan rapat sahaja," katanya.
Hattan ditemui selepas tayangan rakaman langsung konsert kumpulan rock legenda Led Zeppelin pada 2007 iaitu Celebration Day di GSC One Utama di sini, petang Rabu.
Hattan dan Arianie pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 14 tahun.
Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan ini juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.
Mengenai perancangan menikahi semula bekas isteri, Hattan berkata, perasaan sayang yang mendalam mempengaruhi keputusan berkenaan selepas bermuhasabah diri atas kesilapan lalu.
"Saya banyak bermuhasabah diri dan buang ego. Pada awalnya, Arianie berat hati (berkahwin semula) tetapi saya yakinkan dia bahawa saya sudah ubah kesilapan lepas yang garang terhadapnya.
"Setiap kali berjumpa dengan dia, saya rasa sangat bahagia dan seperti jatuh cinta. Insya-Allah saya akan putuskan keputusan ini (kahwin) selepas menunaikan umrah pada Mei depan," katanya.
Hattan berkata, anak tunggal mereka Adam Eiman bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi teruja mengenai perkara itu.
"Adam okey sahaja bila saya kata nak berkahwin semula dengan ibunya. Dia tidak tunjuk reaksi teruja langsung," katanya dalam nada bergurau.
Dalam perkembangan lain, Hattan yang dijemput menyaksikan rakaman konsert Led Zeppelin berkata, ia mengimbau semula kenangan di mana dia dan beberapa artis Warner Music pernah mengadakan persembahan tribute untuk kumpulan itu pada 1995.
"Ketika itu saya, Amy (Search), Ramli Sarip dan Maman (Teacher's Pet) pernah terlibat dalam pertunjukan tribute untuk Led Zeppelin di Hard Rock Cafe.
"Mungkin Led Zeppelin tidak begitu dekat dengan generasi sekarang tetapi mereka seperti godfather kepada penyanyi dan peminat muzik rock lama," katanya.
Album Celebration Day yang dirakam ketika konsert “reunion” kumpulan itu pada 10 Disember 2007 di Arena O2, England kini berada di pasaran.
Ia ditawarkan dalam empat set iaitu edisi standard - 1 DVD/2 CD, edisi deluxe (2 DVD/2 CD atau 1 Disk Blu Ray/1 DVD/2 CD), edisi audio versi Blu Ray dan edisi vinyl (3 piring hitam). -mStar
TK: Baguslah...Buang yang keruh, ambil yang jernih...
|
Terkejut: Ahli keluarga Voon menunggu di luar banglo, lokasi mangsa dibunuh dan ditanam di dalam dinding di Brunei.
BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang wanita warga Malaysia berusia 39 tahun ditemui mati dan mayatnya ditanam di dalam dinding sebuah rumah milik kawannya di sini.
Voon Su Ching yang menjalankan perniagaan cuci kereta dan baik pulih di Brunei pergi ke rumah kawannya itu untuk menjaga banglo tersebut kerana pemiliknya balik ke kampung halaman sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.
Voon diberi segugus kunci banglo terbabit.
Apabila pemiliknya pulang ke rumah pada malam Ahad, dia menyedari dinding simen setinggi 3 meter yang meragukan di taman rumahnya.
Malah, bau busuk turut dihidu dari dinding tersebut.
Dia membuat laporan polis pada keesokkan harinya dan membawa kepada penemuan mayat Voon, lima hari selepas dia dilaporkan hilang pada Rabu.
Difahamkan pembunuh telah menutup mayat Voon dengan beberapa keping zink sebelum menanamnya dengan simen.
Polis menahan seorang lelaki dalam usia lingkungan 40-an untuk membantu siasatan.
Dia didapati menghantar dua trak simen ke banglo tersebut.
Polis masih mengenal pasti motif pembunuhan.
Menurut khabar angin, Voon menjalin hubungan dengan seorang profesor dan telah membawanya bertemu dengan beberapa rakan baru-baru ini.
Rakan-rakannya menyifatkan Voon sebagai seorang periang dan peramah yang gemar berjenaka dengan mereka. -mStar
|
PETALING JAYA: Ketika heboh majlis pertunangan rahsia Fizz Fairuz dengan seorang wanita yang berlangsung pada 10 Februari lalu, pelakon tersebut sebenarnya telah bertunang dengan isteri orang.
Rahsia wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang tersebut terbongkar apabila Fizz sendiri dimaklumkan oleh kawan kepada adik wanita tersebut mengenai status “tunangnya” itu.
“Empat hari selepas bertunang barulah saya tahu wanita itu merupakan isteri orang. Sabtu lalu saya telah berjumpa dengan suami wanita itu. Lelaki itu menjelaskan wanita berkenaan adalah isteri keduanya selepas mereka bernikah di Thailand,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro pada Rabu.
Fizz juga menganggap dia benar-benar tertipu dan berasa hairan perkenalannya yang singkat dengan wanita berkenaan telah membuka hatinya untuk bertunang berbanding hubungannya dengan pelakon Almy Nadia yang sudah terjalin selak tujuh tahun lalu.
Malah Fizz juga memohon maaf kepada Almy Nadia kerana kejadian itu termasuklah kepada semua pihak.
“Saya benar-benar tertipu dan tidak menyangka tunang saya itu isteri orang.
"Kehidupan saya seolah-olah ‘diatur’ oleh dia (bekas tunangnya) sejak kami berkenalan setahun lalu,” katanya yang menyifatkan kemungkinan dia terkena buatan orang.
Pertunangan Fizz,34, secara diam-diam dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu, mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini dia hangat bercinta dengan pelakon, Almy Nadia, 27.
Sementara itu, Almy Nadia enggan memberi sebarang komen dan tidak mahu masuk campur berkaitan urusan pelakon lelaki itu lagi.
Memetik laporan mStar Online pada 14 Februari lalu, pendakwah selebriti, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata tindakan Fizz Fairuz yang menyarung cincin ke jari manis tunangnya merupakan satu kesalahan daripada segi adat Melayu dan haram hukumnya dalam agama Islam.
Wan Akashah juga turut menasihati Fizz supaya perlu menguar-uarkan majlis pertunangannya kepada umum untuk mengelak sebarang prasangka. -mStar
|
Elok jika pencacai umno tu dicampak ke dalam sungai...kah kah kah
|
Lt. Jeneral (B) Abdul Ghafir Abdul Hamid
Selepas sekurang-kurang dua orang pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat keputusan menerjunkan diri ke dalam politik ia diikuti oleh empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Di Raja Malaysia (ATM).
Empat orang pegarai tinggi ATM yang telah membuat pengakuan dan bersiap sedia melakukan penjelajahan menerangkan kepincangan kerajaan ialah, Lt. Jeneral (B) Abdul Ghafir Abdul Hamid, Brig. Jeneral (B) Abdul Hadi Al Khatab, Laksamana Pertama (B) Imran Hamid (Laut) dan Brig. Jeneral (B) Najmi Ahmad (Kagat).
Kempat-empat pegawai tinggi ATM ini sudah membuat sidang akhbar menyatakan pendirian mereka dihadapan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim kelmarin dulu. Abdul Ghafir misalnya sudah mendedahkan bagaimana kemungkinan berlaku banyak salah laku dalam ATM terutamanya mengenai perihal pembelian peralatan ketenteraan.
Tindakan pegawai tinggi polis dan ATM ini nampaknya menjadi satu fenomena baru dan menguatkan lagi gelombang kebangkitan untuk menumbangkan kerajaan UBN. Nampak tindakan itu tidak terhenti di situ saja. Mengkagumkan penyertaan mereka bukan kerana ingin bertanding dalam pilihan raya tetapi atas tanggungjawab sosial mereka kepada negara ini.
Bagaimana ada di antara mereka akan diletak bertanding dalam pilihan raya sebagai persediaan untuk membolehkan suara mereka akan turut bergema di parlimen.
Salah seorang pegawai tinggi polis yang sudah menzahirkan diri ialah bekas Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Fauzi Shaari yang menyertai PAS. Beliau disebut-sebut akan diletakkan sebagai calon PAS di kerusi Parlimen Larut, Perak.
Dan maklumat terbaru diterima lewat malam ini, menyatakan dua orang lagi pegawai tinggi ATM termasuk seorang Panglima Angkatan Tentera akan mengambil keputusana sama. Mereka akan menyatakan sokongan terbuka kepada Pakatan Rakyat dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan UBN pimpinan Najib Razak hari ini.
Kedua-dua pegawai tinggi itu akan membuat pengumuman tidak lama lagi, paling cepat ialah menjelang pembubaran parlimen yang dijangka minggu depan. Difahamkan antara sebab mengapa mereka membuat keputusan itu kerana tidak tergamak membiarkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat yang dikaut atas nama keselamatan negara sebaliknya ia adalah untuk mengenyangkan kroni seperti mana mereka ketahui sendiri.
Tindakan bekas pegawai tinggi ATM ini menyerang balik kerajaan dilihat satu pukulan moral kepada Menteri Pertahanan yang kini disandang oleh Ahmad Zahid Hamidi. Tindakan mereka memberi gambaran bahawa menteri pertahanan hari ini gagal untuk mengawal gindak tanduk bekas pegawai tinggi tentera yang lazimnya akan tetap setiap bersama kerajaan selepas bersara.
Dikatakan semua penyelewengan dan salahguna kuasa itu bukan berlaku sewaktu Zahid menjadi menteri, tetapi di era Najib Razak memegang jawatan itu. Najib memegang kementerian itu sebanyak dua kali
- Mohd Sayuti Omar
|
|