Saya petik:
Amerika Syarikat sambut baik pembebasan Anwar
Amerika Syarikat mengalu-alukan keputusan Mahkamh Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.
Menurut AFP yang memetik kenyataan media jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Victoria Nuland keputusan itu adalah peluang bagi rakyat Malaysia untuk maju ke hadapan.
"Kami alu-alukan kes yang telah kami perhatikan sekian lama ini akhirnya ditutup.
"Keputusan mencerminkan kebebasan badan kehakiman di Malaysia dan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk memfokuskan kepada masa depan," kata Nuland.
Keputusan di luar jangkaan semalam mengakhiri perbicaraan dua tahun di mana bekas timbalan perdana menteri itu didakwa meliwat seorang pembantu peribadinya. Sebelum ini, Anwar yang dipecat pada tahun 1998 pernah dipenjarakan atas tuduhan liwat.
Bercakap kepada AFP, Anwar berkata beliau kini mampu memberi tumpuan untuk menguasai Putrajaya sejak disingkirkan dari Umno pada tahun 1998.
Liwat adalah haram di Malaysia yang sebahagian besar penduduknya beragama Islam dan boleh dihukum penjara sehingga sehingga 20 tahun.
Semasa lawatan ke Kuala Lumpur pada November 2010, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton membincangkan kes Anwar dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman yang berjanji bahawa ketua pembangkang itu akan mendapat perbicaraan yang adil.
Gambar: Pada tahun 1998, mata Anwar lebam kerana tumbuk diri sendiri
Saya petik:
[Mstar] PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Isnin berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya membuktikan satu perkara iaitu tidak pernah wujud sebarang konspirasi untuk memenjarakan Anwar sama ada dahulu mahu pun sekarang.
“Segala-galanya tentang teori konspirasi ini hanyalah pandangan serong Anwar bahawa dia akan disabitkan dengan kesalahan untuk membuat dia hidup sengsara.
“Tetapi keputusan mahkamah hari ini (Isnin) adalah bukti bahawa tidak wujud sebarang konspirasi sebelum atau sekarang untuk mengenakannya,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir juga berkata, sebelum ini pun kerajaan pernah kalah dalam beberapa kes di mahkamah termasuklah Umno diharamkan oleh mahkamah.
Ini, kata Dr Mahathir menunjukkan di Malaysia, sistem kehakiman negara adalah bebas dan berkecuali dan tidak ada mana-mana pihak termasuklah kerajaan mahupun pembangkang boleh campur tangan,” katanya lagi.
P/s: Anda percaya dengan kata-kata Cehe Det ini?

[TMI] KUALA LUMPUR, 9 Jan — Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata beliau redha dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat namun menegaskan “hukuman akhirat pasti akan berlaku.”
Mohd Saiful, 26, bekas pembantu peribadi Anwar dan pengadu dalam kes liwat berkata beliau akan terus bertenang, berdoa dan bersabar menerima keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.
Mohd Zabidin membuat keputusan itu atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan Mohd Saiful selain pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar melakukan perbuatan itu.
Anwar berdepan pertuduhan meliwat Mohd Saiful tiga tahun lalu.
“Tidak di dunia, namun di Masyar pasti. Redha dgn ketentuan-Nya. Akan terus tenang, doa, istiqamah dan sabar. Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi (Ya Allah engkaulah matlamatku dan aku mencari keredaan-Mu),” kata Mohd Saiful dalam akaun Twitter miliknya.
Semasa keputusan diumumkan Mohd Saiful (gambar) tidak hadir ke mahkamah.
Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Ini pertuduhan liwat kedua yang dihadapi Anwar. Pada 2000, beliau didakwa meliwat pemandu Azizan Abu Bakar.
P/s: Betul la tu. Hukuman akhirat pasti akan berlaku tetapi janganlah pulak hang yang terkena...
Saya petik:
[BH] GEORGETOWN: Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 52 dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara selepas didapati bersalah kerana berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringgi di sini, April tahun lalu.
Hakim Mahkamah Syariah negeri, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan hukuman selepas menilai semua faktor dan aspek.
P/s: Ini bukan konspirasi politik. Jadikanlah pengajaran...
Semuanya berjiwa waja dan kuat semangat dengan apa yang berlaku kepada bapanya. Lihatlah pemakaian mereka. Sejuk mata memandang. Hasil didikan ibu bapa. Bagaimana dengan pemakaian anak-anak menteri? Anda lihat dan nilailah sendiri....
[TMI] KUALA LUMPUR, 9 Jan — Walaupun mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat namun Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menegaskan “segalanya belum muktamad.”
Ini kerana jelas beliau, pihak pendakwaan masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Saya percaya pendakwa raya akan membuat rayuan supaya berlaku adil kepada (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan), pengadu yang mengaku diliwat oleh Anwar.
“Jika pendakwa raya merayu (maka) proses keadilan belum selesai. Selepas Mahkamah Rayuan, (kemudian) ada lagi Mahkamah Persekutuan. Jadi segala-galanya belum muktamad,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas.
Anwar, Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh hari ini dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan itu dengan alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa selain pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar melakukan perbuatan itu.
Keputusan itu diraikan penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat serta keluarga Anwar yang turut hadir memberikan sokongan.
Menurut Ibrahim (gambar) yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas ini, semua pihak perlu menerima keputusan itu dan jangan melakukan perkara yang boleh menimbulkan huru-hara.
“Sebelum ini ada pihak yang terang-terang menuduh mahkamah berat sebelah, konspirasi dan mahu rakyat menjadi hakim.
“Apa yang mereka mahu kata sekarang? Apakah mereka tidak percaya kepada keadilan mahkamah? Jika tidak serah kepada mahkamah rakyat,” katanya.




Saya petik:
[TMI] KUALA LUMPUR, 9 Jan — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Keputusan itu diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.
Anwar berdepan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lepas.
Penyokong Anwar mula bersorak kegembiraan apabila mahkamah memutuskan Ketua Pembangkang didapati tidak bersalah dalam pertuduhan liwat II.
LAPORAN LANGSUNG DARI MALAYSIAKINI
8.37am: Para diplomat dan wartawan mula dibenarkan masuk. Turut dibenarkan ialah Menteri Besar Selangor Tan SriKhalid Ibrahim.
8.32am: Turut kelihatan adalah Nasir Hashim PSM dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang bersama dengan rakyat.
8.30am: Anwar dan keluarganya tiba sambil diberi sambutan gemuruh dengan laungan “reformasi’ bergema sekitar kawasan ini. Jumlah yang hadir semakin ramai dan sukar dianggarkan dengan tepat kerana mereka tidak berkumpul setempat.
8.25am: Bekas speaker Perak V Sivakumar berkata: "Di kompleks mahkamah ini, kita tahu apa yang berlaku dahulu - semua kes kita semasa krisis Perak, kita kalah.
"Kita tahu pengadilan macam mana yang akan kita terima tetapi rakyat Malaysia tetap akan menuntut Keadilan!”
8.22am: Duta dan perwakilan asing dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom dan beberapa negara Eropah mula berbaris menunggu dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikuti perbicaraan ini.
Pemerhati antarabangsa dari Kesatuan Parlimen Antarabangsa atau Inter Parliamentary Union Mark Trowell juga hadir.
8.20am: Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Zulkifly Sharif berkata pihaknya kini sedang mengumpul ahli-ahlinya termasuk PERKASA, PEKIDA dan Putra Malaysia berkumpul di anjung B Masjid Wilayah.
Mereka juga turut mengagihkan baju kuning tertera tulisan "Antik Sex Bebas 901" kepada ahli-ahli.
8.15am: Menteri Besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin memberitahu hadirin bahawa mereka berkumpul dengan harapan hakim kes perbicaraan ini tidak dipengaruhi oleh kehendak pemimpin Umno.
“Kami berharap hakim akan buat keputusan yang tidak memihak,” katanya.Sementara itu, polis juga mula mengarahkan orang ramai supaya bergerak ke arah kawasan parkir kereta dan tidak berkumpul di jalan.
8.05am: Laungan reformasi oleh penyokong Anwar di kawasan parkir mahkamah jelas kedengaran pada jarak dianggarkan 500 meter dari kawasan Masjid Wilayah Persekutuan.
Kawasan masjid bagaimanapun masih tenang dengan kumpulan penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat persediaan demo dengan memakai kemeja-t khas "anti seks bebas 901", sambil menunggu ketibaan para pembesar mereka.
8.12am: Antara pemimpin PKR yang dilihat berada di luar mahkamah adalah Azmin Ali, N Surendran dan Datuk Chua Jui Meng.
8.05am: Beberapa orang penyokong Pekida dikesan di dalam kawasan parkir masjid sambil membawa bendera pertubuhan tersebut.
Kumpulan ini dipercayai sedang menunggu pemimpin mereka.
8.03am: Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail berucap pada hadirin.
"Apapun keputusan hari ini, gelombang ini mesti bangkit dan pastikan Umno tumbang.”
7.45am: Ketua BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga tiba dan diikuti oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Jumlah yang hadir dianggarkan 5,000 orang.
7.40am: Penyelaras perhimpunan meminta penyokong supaya beralih ke tempat letak kereta kerana jumlah yang semakin ramai itu mula berkumpul di jalan-jalan menuju ke mahkamah.
7.40am: Belum ada tanda-tanda kumpulan Pekida atau PERKASA berada di Masjid Wilayah Persekutuan, tempat sepatutnya mereka berkumpul.
Malah kumpulan yang banyak berada di sekitar masjid adalah kumpulan pro-Anwar yang sekarang sedang berpusu-pusu keluar ke kawasan parkir mahkamah.7.36am: Setiausaha agung DAP yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga hadir. Selain itu kelihatan juga pemimpun lain seperti Tian Chua, Rafifi Ramli dan S Sivarasa.
7.31am: Naib presiden PKR memberitahu hadirin bahawa hanya terdapat satu kes di mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan yang lain akan menyampaikan ucapan ringkas sebelum masuk ke mahkamah pada jam 8.30 pagi.
Menurut beliau lagi, hanya Anwar dan ahli keluarganya, diplomat, media dan 10 orang dari Pakatan dibenarkan masuk ke mahkamah manakala yang lain terpaksa tunggu di luar.
Ketika perbicaraan berlangsung, pihaknya akan mengatur supaya apa yang berlaku dapat disampaikan kepada mereka yang menunggu di luar. 7.30am: Jumlah penyokong di luar mahkamah semakin ramai. Dianggarkan sekitar dua ribu yang hadir. Kelihatan juga beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mula tiba.
7.19am: Dua buah kenderaan van polis mengambil tempat di ruang parkir Masjid Wilayah Persekutuan yang mulai dipenuhi kenderaan.
Van ambulans turut mengambil tempat di dalam kawasan masjid.
7.12 am: Di Masjid Wilayah Persekutuan, tempat PERKASA dan sekutunya mengadakan perhimpunan kelihatan seorang penceramah sedang menyampaikan kuliah subuh.
Tidak kelihatan pemimpin PERKASA atau Pekida setakat ini di dalam ruang solat utama masjid. Situasi dalam masjid lengang, kecuali kira-kira 30 jamaah sedang mendengar kuliah subuh.
7.01 am: Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Ismail memberitahu para penyokong bahawa smua plakad selain "Bebaskan Anwar 901 dibenarkan di bawa masuk ke tempat berhimpun.
Orang ramai ketika ini kelihatan berpusu-pusu masuk ke kawasan berhimpun sambil mengucapkan salam kepada pegawai polis yang mengawal di hadapan pintu masuk.
Jumlah kenderaan polis itu termasuk;
21 trak polis
1 meriam air
33 van
1 mobile command post
3 bas yang membawa anggota polis
4 Landrovers Light Strike Force
7.00 am: Antara penyokong hadir termasuk dari Dapsy, ABU, Jingga 13, PKR dan ahli PAS.
Saya petik:
[TMI] KUALA LUMPUR 9 Jan — Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui pemecatan ke atasnya oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat berpunca daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia ini menjelaskan, segala kenyataan negatifnya terhadap Penasihat Ekonomi Selangor itu menjadi punca dirinya dipecat PAS.
“Anwar Ibrahim punca saya dipecat,” kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor ini di kediamannya dalam satu sidang media malam tadi.
Hasan (gambar) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor berkata pandangan yang diberikannya terhadap Anwar adalah kerana tidak mahu rakyat terjebak dengan permainan politik peribadi Anwar.
“Saya tidak mahu dia (Anwar) mengheret rakyat dalan perjuangannya yang saya rasa amat kotor.
“Saya tidak sanggup hadir menyokong Anwar dalam perhimpunan esok, saya antara orang PAS yang tidak sanggup membuat kenyataan mengapa Anwar harus jadi Perdana Menteri,” katanya lagi.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.
Tambahnya, Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai latar belakang yang ‘meragukan’ dan dia turut berpendapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Murshidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat merupakan individu yang lebih layak memegang jawatan itu.
“Saya paling tidak seronok bila ada desakan daripada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali untuk pecat saya. Macam mana orang PAS boleh ditunjuk sedemikian rupa.
“Apa hak Azmin hendak mencampuri urusan rumahtangga PAS?”
“Walau apapun terjadi, sama ada saya dipecat, digugur atau apa sekalipun, saya akan berjuang demi Islam, institusi Raja dan demi bangsa Melayu di negara ini,” katanya lagi.
Beliau berkata perjuangan itulah yang cuba dibawanya dalam PAS, namun usaha tersebut bukan sahaja tidak dihargai dan dibimbing, malahan disekat oleh PAS sendiri.
Sementara itu, Nasharudin berkata kehadirannya malam ini adalah sebagai menyatakan sokongan peribadinya kepada Hasan, yang padanya sentiasa komited memperjuangkan Islam walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
“Tindakan pimpinan PAS Pusat memecat Dr Hasan merupakan satu tindakan drastik tanpa memberi peluang langsung kepada beliau untuk member penjelasan.
“Saya sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS ingin menyatakan masih ada ruang untuk beliau berkhidmat kepada parti dengan mengemukakan rayuan pemecatan beliau dalam tempoh 30 hari kepada majlis ini,” katanya.
Nasharudin juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media pro Umno ingin menjadi ahli Umno.
“Saya harap politik kita lebih matang daripada itu, mesej perjuangan kita harus dikukuhkan agar Islam sentiasa berada di hati kita,” katanya.
Ibrahim Ali pula berkata beliau hadir atas dasar ingin menyatakan sokongan terhadap perjuangan Hasan menegakkan Islam di negara ini.
“Tindakan memecat Hasan sepatutnya tidak terjadi dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam, parti Islam perlu ada perbincangan dan rundingannya. Ini bukan isu kecil, ini melibatkan prinsip,” katanya lagi.
Jawatankuasa Tertinggi PAS Pusat memecat Hasan sebagai anggota parti bermula hari ini, dengan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya memutuskan untuk berbuat demikian selepas menimbang pelbagai faktor pada mesyuarat bulanannya.
Menurut Abdul Hadi, kenyataan yang dikeluarkan Hasan melarang ahli PAS daripada menyertai perhimpunan pembebasan Anwar 901 yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi hari ini adalah menghina keputusan presiden yang menyatakan sokongan terhadap penganjuran perhimpunan tersebut.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan tindakan Hasan Ali yang dilihat merosakkan parti dan menyebabkan kemusnahan kepada parti, seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti,” kata Ahli Parlimen Marang ini dalam kenyataannya.
Bulan lalu, Hasan mengkritik PAS dalam isu kawalan media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 kerana meninggalkan matlamat perjuangan Islam atas faktor politik.
Hasan turut menyatakan PAS sudah tergelincir daripada landasan asal dan matlamat perjuangan parti dengan memperkenalkan prinsip negara berkebajikan berbanding negara Islam sebelumnya.
Hasan turut menerima kecaman daripada rakan-rakan partinya apabila mengatakan penyertaan terhadap perhimpunan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok adalah perbuatan sia-sia.
P/s: Si mamat memang merugikan parti, bukan kerana Anwar....Itu yang dinyatakan oleh Presiden PAS semalam....
[MK] Dua penulis blog terkemuka yang juga ahli Umno hari ini, mengakhiri spekulasi beberapa minggu masa depan politik mereka dengan menyertai DAP.
Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bekas ADUN Pulau Manis dan pemimpin veteran Umno Negri Sembilan Aspan Alias, berkata bahawa penyertaan mereka bersama DAP adalah tanpa sebarang syarat dan mereka tidak dijanjikan mana-mana jawatan.
Mengenai sama ada mereka telah keluar Umno secara rasmi, Mohd Ariff berkata bahawa dengan penyerahan borang keahlian dirinya dan Aspan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini bermakna keahlian Umno mereka secara automatik terbatal.
Tindakan itu dianggap satu tamparan kepada Umno yang sebelum ini mendakwa DAP adalah parti yang anti-Melayu.
Mohd Ariff pernah menjadi ketua penerangan bahagian Umno Pekan yang masih diketuai oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Beliau menulis di blog dengan nama pena Sakmongkol AK47 dan berjaya menarik perhatian pembaca yang agak ramai kerana artikelnya yang kritikal.
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.
Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan PAS.
Pembaca berita Buletin Utama TV3 malam tadi Jamalina Jumali tersasul menyebut Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kalau ya pun, tunggulah selepas PRU13.....
[KD] Fayyadh Afiq Albakqry, pengawal peribadi kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail disyaki disuntik racun dan menyebabkannya pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, tengah malam tadi.
Fayyad dipercayai diserang menerusi suntikan di telapak tangan kiri sewaktu mengiringi Wan Azizah meredah kesesakan orang ramai ke pentas ceramah di Kampung Cherok Tokkun .
Mangsa dikatakan ada meminta ais daripada wartawan PenangDaily, Zainulfaqar kerana tangannya berasa kebas, sebelum pengsan kira-kira 15 minit selepas terkena suntikan itu.
“Masa nak masuk sini, dia (Fayyad) dah minta ais sebab tangannya kebas. Masa bawa Kak Wan Azizah keluar tadi, dia dikejar ke hospital,” tulis Zainulfaqar di twitter.
Beliau juga memetik sumber dikenali sebagai Zul Saad yang menyatakan Wan Azizah menangis berikutan keadaan Fayyah ketika pengawal peribadi itu belum sedarkan diri.
Fayyad adalah pegawal peribadi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang patah tulang pipi akibat terkena kelongsong gas pemedih mata ketika demonstrasi Bersih 2.0.
Semakan melalui akuan blog mikro itu mendapati rakyat yang begitu marahkan kejadian itu, percaya Fayyah bukan sasaran sebenar suntikan racun berkenaan, sebaliknya ia disyaki disasarkan kepada Wan Azizah.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Najwan Halimi pula berkata, keadaan Fayyad stabil dan sudah sedarkan diri tetapi tangan kiri sehingga bahu dilapor kebas dan gagal digerakkan.
“Doktor sedang membuat ujian darah dan air kencing utk pastikan jenis racun,” katanya melalui twitter selepas menghubungi Wan Azizah tidak lama selepas kejadian.