
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar jika beliau melepaskan jawatan itu.
Beliau yang enggan membayangkan nama yang disebutsebut bakal menggantikannya itu, bagaimanapun memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.
Nik Aziz juga tetap menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan semata-mata kerana kemelut yang kini melanda dalam PAS atau atas desakan manamana pihak.
"Saya tidak akan melepaskan jawatan kecuali kerana uzur atau tua, tetapi pada masa ini belum sampai masanya lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya, di sini malam tadi.
Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider yang dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.
SUMBER: BERNAMA

Ahli parlimen PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman kerana mendahului keputusan parti berbanding kepentingan peribadi dan keluarga.
Ahli parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi berkata, tindakan Nik Aziz yang menerima keputusan parti untuk menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan merupakan satu tindakan yang mempamerkan ketinggian integriti beliau sebagai seorang Menteri Besar.
"Kami (ahli parlimen PAS) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan (Nik Aziz) kerana telah menerima keputusan yang telah dibuat oleh PAS pusat agar beliau menasihati Ariffahmi meletakkan jawatan."
"Ini satu tahap integriti yang saya kira cukup baik bagi pihak menteri besar kerana akur tentang keperluan untuk menjaga kepentingan PAS termasuk kepada menantu beliau,Ariffahmi yang juga akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan serta integriti parti," katanya.
Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut berharap agar tindakan Nik Aziz itu dapat dicontohi oleh pemimpin-pemimpin parti lain dan juga rakyat.
"Kami mengalu-alukan keputusan itu dan ia boleh menjadi satu contoh yang baik kepada orang ramai betapa integriti perlu diletakkan lebih utama daripada apa-apa sahaja kepentingan,"
"Kami menyokong, kami harap ia boleh jadi contoh kepada orang lain tentang sikap yang ditunjukkan oleh Tok Guru Nik Aziz dan juga menantu beliau sendiri yang sanggup membuat keputusan itu di atas kepentingan integriti dan juga parti," katanya lagi.
Tindakan Nik Aziz dan Ariffahmi juga ujarnya membuktikan bahawa PAS merupakan sebuah parti yang terbuka dan menjaga disiplin.
"Ini memberikan gambaran bahawa PAS ini bukanlah satu parti yang hanya membuat sesuatu mengikut kehendak tetapi ada batas-batasnya dan mereka akur dengan kehendak dan kepentingan lebih tinggi iaitu jawatankuasa pas pusat," ujarnya.
Sidang media berkenaan turut disertai Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria dan Ahli Parlimen Sik Che Uda Che Nik.
Nasir dalam pada itu menyifatkan tindakan Ariffahmi meletakkan jawatan sebagai tindakan bijak untuk jangka masa panjang.
"Tindakan Ariffahmi satu langkah yang jauh ke hadapan dan saya kira ia sepatutnya menjadi satu contoh kepada rakyat dan pemimpin malaysia dalam usaha memelihara integriti terutamanya kerajaan dalam berhadapan isu-isu yang dikatikan dengan nepotisme dan sebagainya," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.
Semalam Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS selepas pertemuan dengan pimpinan parti di kediaman Menteri Besar, JKR 10 mengumumkan persetujuannya menasihati Ariffahmi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Pertemuan semalam turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.
SUMBER
di sini.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa turut menafikan yang beliau telah meletakkan jawatan dalam kerajaan dan PAS, sambil menyifatkan agenda menamatkan kerjaya politiknya oleh pihak luar “belum berakhir”.
Justeru, Husam menegaskan, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan PAS di pertengahan jalan dan “sebagai murid dan ‘budak’ Tok Guru tidak akan mengangkat bendera putih” semata-mata kerana agenda Utusan.
Penafian serupa juga dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi.
Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.
Kelmarin, Husam memberitahu The Malaysian Insider bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari kerajaan negeri.
“Mingguan Malaysia sekali lagi ‘memandang tinggi’ pada saya dengan berita provokatif muka depan.
“Beratus SMS, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan telefon sejak awal pagi adalah bukti ‘berita’ yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit,” kata Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan dalam blognya hari ini.
Husam juga menambah, beliau lega dengan penjelasan Nik Aziz yang menafikan laporan media hari ini.
“Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya — Tok Guru Nik Aziz,” ujar Husam.
Dalam tulisannya, Husam juga menjelaskan bahawa beliau kini mengalami sakit belakang dan doktor menasihatkannya agar kurangkan aktiviti.
“Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti.
“Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.
“Saya maklumkan pada bos saya (Nik Aziz). Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain,” katanya.
Husam mengakui telah mengadakan pertemuan Nik Aziz pada Khamis lalu, yang meminta agar beliau tidak menangguhkan rawatan.
“Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis. Apa kena-mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?
“Letak semua pulak tu?” soal beliau.
Bagi memperkukuhkan hujahnya, Husam yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS pada Jun lalu menjelaskan: “Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama?”
“Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?” tambah Husam dalam tulisannya.
SUMBER
di sini.

(
Foto: malaysiakini)
Penyiasat persendirian P Balasubramaniam menyebut nama adik perdana menteri dengan tindakannya menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kes Altantuya Shaariibuu.
Pendedahan nama Datuk Mohamed Nazim Razak dibuat dalam bahagian akhir wawancara bekas anggota polis Cawangan Khas itu - yang pernah bertugas dengan Abdul Razak Abdullah Baginda, kenalan rapat Najib - dalam laman web Malaysia Today hari ini.
Sebelumnya, dalam empat bahagian awal tembual tersebut, Balasubramaniam hanya menyebut adik perdana menteri dengan gelaran "seorang Datuk VIP" yang ditemui di The Curve, Damansara pada malam selepas membuat pendedahan menggemparkan itu.
"Beliau di sana bersama isterinya yang sedang sarat mengandung. Walaupun saya tidak bercakap dengannya (wanita itu), saya mengenalinya sebagai seorang personaliti TV.
"Saya rasa beliau (isteri) pernah menjadi pengacara rancangan Nona (di TV3)," Balasubramaniam dipetik berkata.
Penyiasat persendrian itu menggemparkan negara pada 3 Julai tahun lalu apabila muncul di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan mengumumkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib, waktu itu timbalan perdana menteri, dengan wanita Mongolia itu yang mati dalam pembunuhan luar biasa. Baca lanjut
di sini.

IPOH: Keluarga ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober lalu hari ini memfailkan saman berjumlah RM105 juta terhadap kerajaan dan 10 yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Responden yang lain terdiri daripada, Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Perak,SJK (T) Mambang Diawan, SJK (T) Gopeng, GS Synergy Sdn Bhd (pihak yang menaja pembinaan jambatan), CWL Enterprise (kontraktor) dan pihak yang terlibat.
Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, A. Sivanesan, ayah ketiga-tiga keluarga mangsa itu akan mengemukakan saman bernilai Rm35 juta bagi setiap pihak yang terlibat dengan jumlah keseluruhan saman itu berjumlah RM105 juta kerana didakwa berlaku kecuaian daripada pihak yang terlibat dalam tragedi yang berlaku pada 26 Oktober lalu.
Oktober lalu, tiga pelajar sekolah rendah yang menghadiri kem 1Malaysia, N. Dina Deve and M. Devatharshini, kedua-duanya berusia 11 tahun dan V. Divyashree, 12, ditemui mati lemas selepas jambatan gantung yang dilalui di tapak perkhemahan mereka tiba-tiba runtuh ke dalam Sungai Kampar.
SUMBER
di sini.

Para pemimpin PAS termasuk wakil rakyat parti itu di Selangor disaran tidak menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan semata-mata demi meraih sokongan menyeluruh dalam pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan dalam waktu terdekat ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib berkata, realiti politik dalam pilihan raya umum ke-12 menunjukkan majoriti pengundi Melayu di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor tidak berpihak sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat (PR).
Mana-mana kawasan yang majoriti pengundinya adalah Melayu, lebih 83 peratus, dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), kata beliau ketika ditemui di sini.
“Oleh itu, ADUN PAS dan PKR daripada kalangan Melayu tidak perlu menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan dan keterlaluan kerana mereka masih lagi berpihak kepada Umno,” kata beliau lagi.
Sebagai ADUN, beliau turut mengakui masih menghadapi kesukaran untuk meraih sokongan padu daripada kalangan pengundi Melayu di kawasan yang diwakilinya berbanding pengundi kaum Cina dan India.
Sehubungan itu, bekas Ketua Penerangan PAS Selangor ini masih tidak yakin bahawa pengundi Melayu terutamanya di kerusi DUN beliau wakili akan berpihak kepada kerajaan PR dalam pilihan raya umum ke-13 seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pimpinan negeri.
Pandangan Saari mempunyai asas jika melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Kawasan majoriti pengundi Melayu yang melebihi 80 peratus dikuasai oleh calon Umno berbanding PR.
Hanya dua kawasan DUN yang majoriti pengundi Melayu melebihi 80 peratus iaitu Hulu Kelang (80 peratus) dan Gombak Setia (81 peratus). Hulu Kelang kini diwakili Saari sementara Gombak Setia pula dimenangi Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.
Enam kerusi DUN lain yang dikuasai wakil rakyat PAS ialah Lembah Jaya yang mempunyai pengundi Melayu seramai 55.3 peratus, Cempaka (58 peratus), Bangi (64 peratus), Meru (60 peratus), Selat Kelang (64.4 peratus) dan Si Jangkang (66 peratus).
Sementara sembilan DUN yang dikuasai oleh calon PKR kalangan Melayu ialah Ijok (49 peratus), Bukit Antarabangsa (57 peratus), Seri Setia (54.4 peratus), Taman Medan (60 peratus), Kota Damansara (55.8 peratus), Kota Anggerik (68 peratus), Batu Tiga (69 peratus) dan Sri Muda (53.3 peratus).
Saari khuatir sokongan terhadap kerajaan negeri akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang jika pengundi Cina dan India tidak lagi memberi sokongan padu kepada calon PR.
“Kerana itu, kita perlu memperjuangkan rakyat secara lebih meluas yang boleh diterima oleh mereka berbanding dengan hanya memberi tumpuan kepada pengundi Melayu semata-mata,” katanya.
“Apa yang lebih penting adalah memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing daripada terjebak dengan isu Melayu yang menjadi mainan politik Umno,” katanya lagi.
Beliau juga mengakui kerajaan PR “besar hati” dengan memberi tiga Exco kepada kepemimpinan PAS negeri walaupun parti ini hanya mempunyai lapan kerusi.
SUMBER
di sini.
VERSI KICKDEFELLA - Berakhir Sebuah Episod
Update 21:48 – Ariffahmi menghubungi Pengurus di PMBK petang tadi dan minta maklumkan kepada semua kakitangan bahawa dia tidak diminta berundur. Sementara itu Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan memberitahu wakil media, Tuan Guru akan membuat pengumuman besar dalam masa terdekat. Kita biarlah Tuan Guru membuat pengumumannya. Tetapi saya berharap Ariffahmi berfikiran waras dan faham bahawa Tuan Guru lebih penting daripada Ariffahmi di dalam perjuangan ini. (Sekarang saya nak berkemas, hehehe).
Pada 17 November 2009, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan telah meminta Abdul Ariffahmi Bin Ab. Rahman melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Keputusan itu diambil Tuan Guru setelah menilai segala fakta dan hujah yang dibentangkan dihadapannya oleh semua pihak tidak kira Pimpinan PAS Pusat dan Negeri, Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan Negeri dan juga Pegawai-Pegawai Tinggi Agensi-Agensi Kerajaan.
Ariffahmi bagaimanapun menolak permintaan Tuan Guru dan hari ini berlepas ke Kuala Lumpur atas sebab-sebab yang tidak diketahui oleh sesiapa. Tidak ada sebab untuk Ariffahmi menolak permintaan Ketua Eksekutif Tertinggi Negeri Kelantan yang selama ini dijual dan diusung namannya sesuka hati Arrifahmi. Bagaimanapun saya yakin, Ariffahmi akan akhirnya menunaikan permintaan Tuan Guru yang kita sanjungi. Yang diperlukan oleh Ariffahmi sekarang adalah tempoh transisi.
Saya bersyukur kerana episod ini telah menampakkan penghujungnya.
Pimpinan PAS dari segenap peringkat telah membuktikan kejujuran mereka sebagai komponen yang membentuk kerajaan dan menampakan ketegasan dan kematangan mereka walau terpaksa membetulkan Tuan Guru mereka sendiri. Tuan Guru pula walaupun sudah 19 tahun dipuncak, membuktikan bahawa dia sedia diperbetulkan.
Saya juga gembira kerana Tuan Guru menerima dan memahami bahawa tiada siapa yang mendalangi episod yang berlaku ini. Tiada pimpinan PAS mahupun ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terlibat.
Apa yang saya lakukan, saya lakukan sendirian atas pendirian dan panduan saya sendiri. Apa tuduhan dan kecaman ke atas saya saya telah terima dan akan terus terima dengan hati terbuka.
Biduk berlalu kiambang bertaut.
Prinsip saya, never to kick someone when they are down akan terus saya amalkan. Oleh yang demikian bagi saya segalanya berakhir disini. Terserahlah kepada Ariffahmi untuk menerima atau tidak hukuman moral. Dari segi perundangan pula, terserahlah kepada pihak berkuasa.
Kepada YB. Dato’ Haji Husam Musa, para sahabat dan kenalan yang telah gagal menemui atau menghubungi saya sejak 10 November 2009 saya harap dapat memahami tujuan saya menyepi diri. Apa yang saya lakukan adalah keputusan moral saya sendiri dan saya tidak mahu sesiapa tepalit sama.
Kepada pengurusan dan kakitangan PMBK, bangkitkanlah moral anda dan pertahankanlah prinsip-prinsip pertadbiran Islam yang digariskan oleh Tuan Guru kita. Berkhidmat kepada rakyat adalah berkhidmat kepada Allah yang menciptanya.
Pampasan RM20,690 yang diberikan oleh PMBK kepada saya, telah saya amanahkan sebahagiannya dibahagi-bahagikan kepada institusi tertentu dan juga untuk orang-orang miskin. Sebahagian lagi untuk dibahagikan kepada para sahabat saya yang telah banyak memikul beban akibat tindakan saya ini.
Pada 8 Oktober 2003, saya menurunkan jenazah ayah saya ke liang lahat. Dia tidak berpangkat dan tidak berharta kerana dia memilih kebenaran dan ketinggian moral sepanjang hidupnya. Dan tiada apa yang dipesakakan ke atas saya melainkan kebenaran dan ketinggian moral. Hari ini saya gembira mempertahankan kebenaran dan ketinggian moral yang acap kali membawa musibah dan kemiskinan kepadanya.
Akhirnya di antara kita semua, banyak lebam, banyak calar dan banyak kesan gurisan.
Saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sementara bagi merawat lebam dan calar pada saya. Dan sudah tentu, mencari rezeki sesuap nasi untuk keluarga saya.
Patah Sayap Terbang Jua.
ARTIKEL KICKDEFELLA DI ATAS TELAH DIULAS OLEH ARTIKEL DI BAWAH...
VERSI SAYNOTOMUNAFIQEEN - Kickdefella menerusi artikel terkininya menyebutkan Tok Guru telah mengarahkan Ir Arifahmi untuk meletakkan jawatan selaku CEO PMBK. Kononnya, arahan ini dikeluarkan pada 17 Nov 2009.
Kickdefella juga menyebutkan Ir Arifahmi telah enggan mematuhi arahan tersebut dan telah bergegas ke Kuala Lumpur tanpa diketahui apakah tujuannya.
Setelah berusaha mendapatkan pengesahan daripada beberapa pihak, akhirnya kebenaran muncul juga. Kickdefella seorang penipu besar !!
Kesemua setiausaha Tok Guru mengesahkan arahan itu tidak pernah berlaku !!
Tok Guru tidak pernah meminta Ir Arifahmi meletakkan jawatan selaku CEO PMBK dan Ir Arifahmi pula tidak pernah menyatakan keengganan beliau untuk berbuat demikian kerana "arahan" itu hanyalah mainan kemunafikan kickdefella dan konco konconya.
Ir Arifahmi ke Kuala Lumpur semalam atas urusan keluarga dan tidak ada kena mengena dengan isu PMBK.
Sah lagi sahih!! Kickdefella seorang penipu!!
Kenapa jadi begitu?!! Boleh jadi kickdefella telah diberikan maklumat yang salah oleh ular ular belaannya yang bersarang di Pejabat Menteri Besar atau boleh jadi juga ularnya yang terlalu lama bermastautin di UK dulu.
Apa tujuan kickdefella?!!
Tujuan beliau tidak lain tidak bukan hanyalah mahu mengerahkan wartawan supaya mengerumuni Tok Guru supaya Tok Guru tertekan dan akhirnya mengalah dengan tuntutan tuntutan Quraisy Malaysia yang nampaknya semakin busuk hatinya.
Umum mengetahui, kesihatan Tok Guru serta perasaan Tok Guru amat terganggu sejak kickdefella melancarkan fitnah jahat ke atas PMBK dan kerajaan negeri Kelantan.
Bayangkan jika Tok Guru dikerumuni wartawan dan diasak bertubi tubi oleh soalan wartawan. Apa akan terjadi ke atas Tok Guru?
Wallahu a'lam.
|

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dirombak bagi memastikan institusi itu rasional dan mengikut Perlembagaan yang diperuntukkan dalam negara, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, sudah sampai SPR dirombak apabila mahkamah sendiri sebagai badan perundangan yang mengisytiharkan sesetengah tindakannya suruhanjaya itu tidak rasional.
“Kedudukan SPR bukan sahaja harus dirombak pada ‘orangnya’ tapi juga strukturnya agar dilihat tidak dikuasai oleh kuasai eksekutif yang menjadi penyebab badan itu tidak rasional,” katanya di lobi Parlimen, semalam.
Beliau berkata, SPR haruslah diletakkan dalam satu jawatankuasa khas di bawah Parlimen untuk memastikan sebarang tindakan dan keputusan yang dibuat oleh badan itu rasional atau tidak.
SUMBER
di sini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menafikan dakwaan terbaru hari ini bahawa beliau memperoleh saham-saham bernilai sekurang-kurangnya RM2 juta ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
Azmin membuat penafian beberapa jam selepas seorang bekas pembantu kanan Anwar mendedahkan dokumen-dokumen baru yang didakwa sebagai bukti Azmin telah memperoleh saham sekurang-kurangnya bernilai RM2 juta sekitar awal 1990-an.
Dakwaan itu yang dibuat oleh Anuar Shaari, bekas setiausaha peribadi Anwar pagi tadi merupakan yang kedua dalam tempoh lima hari.
Sabtu lalu, Azmin juga telah menafikan pendedahan bekas Ketua Pemuda MIC, SA Vigneswaran kononnya beliau, isteri dan adik iparnya memperoleh saham RM8.5 juta awal 1990-an? ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan sambil menganggapnya “sebagai tidak berasas sama sekali.”
“Kali pertama saya disoal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pada tahun 1995 dan oleh polis 11 tahun yang lalu. Dan, kini mereka hendak kembali semula dengan skrip yang sama, saya serahkan perkara ini kepada orang ramai (untuk membuat penilaian),” kata Azmin kepada pemberita di bangunan Parlimen.
“Sebelum ini mereka mendakwa RM8 juta, sekarang sudah turun kepada RM2 juta ... pada tahun 1998 dakwaan yang dibuat ialah RM400 juta,” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Pagi tadi, Anuar membuat laporan polis di Bukit Aman mendakwa Azmin memperoleh saham berkenaan antara 1992 dan 1994.
Anuar yang membuat laporan dengan diiringi beberapa pemimpin Pemuda Umno dan pertubuhan bukan kerajaan Pewaris memberitahu, tindakan itu diambil demi kepentingan untuk menegakkan kebenaran.
Anuar menambah, kebanyakan pemerolehan saham berkenaan dibuat atas nama isteri Azmin, Shamsidar Taharin.
Kata beliau, Anwar juga perlu disabitkan dalam transaksi yang dibuat antra tahun 1992 dan 1994 ketika itu Azmin berkhidmat sebagai setiausaha peribadi bekas Timbalan Perdana Menteri.
Azmin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa menambah, beliau telah disoal siasat oleh polis selama lapan hari pada 1998 berhubung dakwaan memiliki kekayaan.
“Saya ditahan selama lapan hari. Saya telah mengemukakan kesemua bukti kepada pihak berkuasa,” katanya.
“Saya telah memberikan kerjasama saya kepada polis semasa ditahan selama lapan hari dan sepanjang tempoh tahanan itu, saya telah disoal siasat secara bertubi-tubi,” katanya.
Mengenai dakwaan Vigneswaran, Azmin berkata, surat tuntutan akan dihantar kepada beliau esok.
Ketika ditanya sama ada tindakan perundangan juga akan diambil ke atas Anuar, Azmin menyoal: “Siapa dia Anuar Shaari? Dia merupakan pengemis politik.”
SUMBER
di sini.

KOTA BHARU: Dalam kuliah Jumaat di Dataran Ilmu sekejap tadi, TGNA telah membatalkan hasratnya untuk menunaikan Haji ke Mekah pada 18 Nov nanti. TGNA tidak nyatakan secara jelas sebab-sebab pembatalannya itu, cuma TGNA ada menyatakan bahawa beliau dan menantunya telah difitnah dan dikhianat.
Kepada tangan-tangan jahat yang berusaha dengan pelbagai cara dan pelbagai isu untuk mencemarkan dan menjatuhkan kepimpinan TGNA di Kelantan, diharap telah berpuas hati dengan pengumuman terbaru TGNA ini. Hasil usaha anda ada sedikit menampakkan hasilnya.Teruskanlah lagi usaha-usaha anda.Masanya sudah hampir tiba… kebenaran pasti akan teserlah jua.
Buat Exco-exco dan YB-YB yang lain, sekiranya ada lagi yang berhasrat untuk mengambil pembantu-pembantu atau pegawai–pegawai peribadi, berhati-hatilah. Teliti baik-baik dan perhalusilah dengan sedalam-dalamnya… janganlah terambil spesis yang akan merosakkan kita, jemaah kita , parti kita dan negeri kita suatu hari nanti.. ambillah pengajaran dan iktibar dari peristiwa yang berlaku sehari dua ini sebagai kayu pengukur untuk kita semua.Tidak pernah lagi sepanjang ingatan saya TGNA membatalkan hasratnya untuk menunaikan ibadat haji ke Mekah setelah urusan pemergiannya disempurnakan awal-awal lagi.
SUMBER:
pinkturtle.

Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) menyeru dan menasihati agar Ketua Pergerakan Wanita Umno Terengganu, Senator Fatimah Hamat, supaya segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Setiausahanya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata pihaknya juga mendesak Fatimah menarik balik kata-kata beliau yang mendakwa pemimpin politik tidak sepatutnya mencampur aduk antara agama dan politik.
Wan Mohd Faizul berkata ucapan yang dikeluarkan oleh Fatimah merupakan sebahagian dari fahaman sekularisma, yang bukan daripada Islam.
”
Ucapan beliau (Fatimah) ini sangat berbahaya kepada akidah (umat Islam), sekiranya (kata-kata tersebut) benar-benar dating (keluar) dari mulut beliau,”Kami (DPPNT) menyeru dan menasihati agar Fatimah kembali ke pangkal jalan, bertaubat kepada Allah SWT,”katanya kepada Buletinonline semalam.
Wan Mohd Faizul berkata demikian ketika merujuk kenyataan Fatimah yang disiarkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian semalam, 12 November 2009.
Kenyataan Fatimah yang ‘melencong’ dari ajaran Islam itu dipaparkan akhbar tersebut dibawah tajuk "Wanita Umno Marah", dipercayai berkaitan dengan soal bai’ah dalam PAS.
Akhbar tersebut memetik kenyataan Fatimah yang berbunyi "
Saya sangat marah dan dukacita sekiranya perkara itu benar-benar wujud, apatah lagi memperlakukan wanita sedemikian rupa. Sepatutnya pemimpin tidak mencampur aduk antara agama dan politik."Menurut Wan Mohd Faizul, pihaknya sangat kesal kerana masih lagi ada rakyat Terengganu yang berfikiran sempit dan tidak memahami Islam yang syumul, terutamanya ia berlaku kepada pemimpin politik.
Katanya, kenyataan seumpama kata-kata Fatimah boleh menyesatkan akidah umat Islam dan anutan ‘agama suku, politik suku’ ala Marchiavelli itu, pernah dinafikan masih wujud dikalangan orang-orang Umno, oleh pemimpin atasan mereka.
Justeru, katanya, DPPNT juga mendesak agar Majlis Fatwa Negeri Terengganu bersuara untuk membetulkan keadaan ini agar masyarakat Islam tidak terus terpesong dengan ucapan-ucapan pemimpin politik seumpama ini.
SUMBER
di sini.

(Foto: Abdul Ariffahmi)
Pemecatan Syed Azidi Syed Abdul Aziz dibuat kerana masalah disiplin dan tiada kena-mengena dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), kata ketua pegawai eksekutifnya.
"Dia tidak masuk pejabat. Dia tidak laporkan kerjanya kepada saya, dia tidak pernah pohon cuti. Dia tidak pernah tunjuk cuti sakit," kata Abdul Ariffahmi Abd Rahman.
"Jadi kita putuskan, kita tidak perlu lagi orang macam ini dalam PMBK."
Abdul Ariffahmi, yang juga menantu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diminta mengulas sebab sebenar pemecatan Syed Azidi, bekas pegawai perhubungan korporat PMBK itu, setelah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu dikunjungi pegawai SPRM minggu lalu.
Bekas pegawai itu semalam memberitahu Malaysiakini bahawa pemecatannya - yang dibuat secara mendadak - susulan siasatan SPRM apabila ada pihak mendakwa beliau membuat laporan kepada suruhanjaya tersebut dan membocorkan maklumat dalaman kepada seorang wakil rakyat BN.
Semalam pada sidang akhbar di Kota Bharu, Syed Azidi dilaporkan ingin mendedahkan dakwaan "kepincangan" dalam pengurusan GLC itu di bawah pentadbiran Abdul Ariffahmi yang dilantik kepada jawatan tersebut dua bulan lalu.
Syed Azidi yang dikenali juga dengan nama di blognya Kickdafella menuntut Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan demi menjaga nama baik Nik Abdul Aziz.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Ariffahmi mendakwa pemecatan Syed Azidi tidak dibuat secara melulu, sebaliknya beliau merujuk terlebih dahulu kepada bapa mertuanya sebagai pengerusi PMBK.
Abdul Ariffahmi juga berkata, beliau tidak berasa terancam dengan ugutan Syed Azidi membongkar kepincangan itu kerana beliau telah menjalankan perkhidmatan dengan baik dan telus.
"Saya tidak terasa terancam. Kalau dia hendak dedah, dedahlah. Maklumat yang mungkin ada pada dia adalah maklumat yang salah," katanya, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan.
"Saya tidak boleh hendak jelaskan satu persatu sebab perkara ini masih berada adalam siasatan SPRM.
"Perkara yang dia sebut itu perkara remeh-temeh. Tidak ada pun penyelewengan RM10 juta (misalnya)."
Dalam artikel terbarunya di blog peribadinya hari ini, Syed Azidi antaranya mendakwa beliau tidak hadir ke pejabat kerana kemudahan itu telah ditarik balik oleh Abdul Ariffahmi pada awal tahun lalu.
Berhubung perkara itu, Abdul Ariffahmi sebaliknya berkata: "Dia tidak hadir ke pejabat lama sudah. Sebab itu saya tarik balik."
Sementara itu, Syed Azidi berkata, beliau tidak akan terperangkap untuk mendedahkan isu-isu dalam PMBK.
"Saya hendak dedahkan (kepincangan PMBK) pada dia (Abdul Ariffahmi) buat apa? Kita tahu ada konspirasi.
"Dia boleh ubah tarikh ke belakang (dokumen berkaitan) untuk menghalalkan perkara yang tidak halal.
"Saya tidak akan terperangkap dalam strateginya yang mahukan saya membuat pendedahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Syed Azidi sebaliknya berkata, semua pihak patut mengurangkan gangguan terhadap siasatan yang sedang diljalankan SPRM.
Mengulas dakwaan beliau tidak melaporkan tugasannya kepada Abdul Ariffahmi, Syed Azidi mengakui perkara itu dilakukannya kerana ia tidak termaktub dalam kontrak perkhidmatannya.
"Saya laporkan terus kepada (exco negeri) Datuk Husam (Musa). Itu jelas termaktub dalam perjanjian bersama.
"Ditulis juga bidang kerja saya juga tertakluk di bawah (seliaan) Datuk Husam," katanya.
"Bukan taraf dia henda tahu kerja saya. Dan saya fikir, PAS Kelantan dan kerajaan negeri pun tidak mahu tugasan ini didedahkan."
Husam, kini pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Kelantan, dilihat rapat dengan Syed Azidi.
Penulis blog itu semalam mendakwa, sejak berkhidmat pada 17 April 2006, ada pihak cuba menyingkirkannya beberapa kali, antaranya dengan mempengaruhi pentadbiran PMBK supaya menarik balik kemudahan pejabatnya di Kota Bharu tahun lalu.
Kontrak Syed Azidi dengan PMBK sepatutnya tamat April 2010.
SUMBER
di sini.

Kelantan akan meneruskan misi tuntutan hak royalti minyak negeri itu dengan memanggil bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah memberi penjelasan kedudukan sebenar kepada rakyat negeri itu.
Exconya, Datuk Husam Musa berkata, perkara itu telahpun dipersetujui Tengku Razaleigh dalam pertemuan mereka sewaktu di parlimen baru-baru ini.
''Saya mendapat persetujuan itu dua hari lalu semasa di Parlimen dan Ku Li akan bersama dalam ceramah yang dikendalikan oleh kerajaan negeri kelak," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.
Antara lain Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu akan memberi penjelasan berhubung perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas yang telah dibuat pada 1975.
Kerajaan negeri bagaimanapun belum menetapkan masa untuk megadakan majlis penjelasan tersebut.
"Kita tidak pasti lagi bila ceramah itu akan diadakan kerana Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menunaikan haji di Makkah.
“Kalau sempat, kita buat sebelum Menteri Besar pergi. Jika tidak kita buat selepas itu,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan negeri juga telah melantik sebuah syarikat guaman untuk menjadi panel menuntut wang royalti tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat berkata, tunggakan bayaran royalti pusat kepada Kelantan kini mencecah RM2 bilion.
Ianya kerana Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) mula mengeluarkan hasil pada 2005, dan Kelantan sepatutnya memperoleh RM400 juta setiap tahun.
Maka sejak dari itu jumlah keseluruhan tunggakan adalah sebanyak RM2 bilion.
'' Mengikut rekod, kerajaan Pusat menerima RM800 juta untuk 2010 dan kita berpendapat separuh dari pembayaran itu yang sepatutnya dilakukan secara tunai adalah untuk Kelantan.
Menurutnya, keadaan itu sama seperti yang dibayar kepada negara Thailand.
''Ini sama seperti yang diamalkan oleh Thailand, negara itu memperoleh RM800 juta dan RM400 juta diberikan kepada wilayah Songkhla," ujarnya.
Kelantan ujarnya tidak wajar dinafikan bayaran royalti kerana Sarawak dan Sabah telah menerima bayaran seumpamanya walaupun operasi perolehan minyak lebih jauh tiga batu nautika daripada perairan negeri tersebut.
Selagi belum mendapat bayaran royalti tersebut, kerajaan negeri tegasnya akan menggunakan seluruh saluran yang ada bagi memastikan hak rakyat negeri itu dikembalikan.
SUMBER: harakahdaily

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang seolah-olah `menangkap penjenayah besar yang mengganas`.
Katanya, beliau berdebar apabila membaca berita penangkapan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu yang kemudiannya dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
“Seramai 30 anggota polis dan 20 lebih anggota Jais telah melakukan tangkapan ini. Ternampak seolah-olah Asri ini seorang penjenayah besar yang mungkin mengganas apabila ditangkap.
“Tetapi beliau tidak pula memberontak. Sebaliknya beliau turut sahaja tanpa bantahan yang keras,” katanya dipetik dari laman blognya, semalam.
Asri ditahan Jais kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang 1 November lalu.
Katanya, beliau turut difahamkan bahawa masih tiada sebarang pertuduhan dikenakan oleh Jais terhadap Asri.
“Apakah tidak ada ‘due process’ dalam penguatkuasaan undang-undang Islam di negara ini. Apakah mereka yang diberi kuasa dalam melaksanakan hukum Islam boleh dengan sewenang-wenangnya menangkap sesiapa sahaja. Saya tidak nafi ajaran sesat al-Arqam, Ayah Pin dan Rasul Melayu perlu diawasi dan disekat,” katanya.
Menurutnya, penguasa agama juga jangan terlalu ghairah mengharamkan syarahan agama oleh orang yang tidak sebulu dengan mereka tanpa membuktikan ajaran itu memang bertentangan dengan Islam.
“Janganlah terlalu cepat nak tangkap orang,” katanya.
Beliau juga keliru apabila membaca tulisan seorang pengkritik yang mengaitkan kesalahan ceramah Asri yang hanya berpandu kepada al-Quran dan hadis, tidak kepada ijmak ulama Sunnah Wal Jamaah.
“Kita diberitahu ulama adalah pewaris Nabi tetapi mereka bukanlah Nabi. Mereka hanya manusia biasa walaupun terpelajar dalam agama Islam. Manusia biasa boleh membuat kesalahan termasuk kesalahan mentafsir.
“Sebab itulah terdapat banyak tafsiran yang amat berbeza antara mereka sehingga berlaku permusuhan dan peperangan antara pengikut mereka. Ini bermakna ada diantara tafsiran mereka yang mungkin tidak betul,” katanya.
Menurutnya, di negara ini terdapat banyak perbezaan pendapat walaupun menerima fahaman Sunnah Wal Jamaah yang dibawa oleh Imam Syafie.
“Di antara sembilan negara dan satu wilayah di Malaysia terdapat banyak perbezaan dari hukum dan ajaran Islam. Hendak tentukan Hari Raya pun terdapat perbezaan pendapat,” katanya.
Menurutnya, beliau pernah dikecam apabila menulis di bawah tajuk ‘Hukum Allah’ berkenaan apabila sesuatu yang didakwa adalah hukum Allah sama ada benar ia adalah hukum Allah.
“Nampaknya agama Islam di Malaysia ini tidak boleh disoal barang sedikit pun, walaupun untuk mendapat penjelasan.
“Teringat saya akan ’Islam Hadhari’ yang saya dimaklum adalah Islam yang sesuai untuk zaman ini, iaitu Islam moden. Apakah ia sebahagian daripada kepercayaan ahli Sunah wal-Jemaah?
“Jika ya, orang Islam di Malaysia kena masuk Islam Hadhari. Jika tidak apakah tindakan yang perlu diambil oleh penguasa agama Islam terhadap ajaran Islam Hadhari?” katanya.
SUMBER
di sini.

Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan dokumen satu daripada tiga projek - kendalian syarikat milik bekas Exco Kerajaan Negeri dari Umno, yang menyebabkan lebih 3,400 pembeli rumah dan 383 pemilik tanah asal teraniaya.
Dua lagi projek dijangka didedahkan akhir minggu ini dan awal minggu depan.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) hari ini.
Dokumen rumah terbengkalai itu yang didedahkan hari ini membabitkan projek perumahan Bandar Alam Perdana, yang dikategorikan sebagai rahsia oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Ia juga mendedahkan bagaimana pemilik tanah pertanian dipujuk untuk menandatangani perjanjian pindah milik tanah untuk dijadikan kawasan komersial dengan bayaran RM360,000 termasuk sebuah rumah bernilai RM180,000.
Projek itu bermula tahun 2000 dan sepatutnya selesai dibina pada 2003.
Bagaimanapun ia diisytiharkan terbengkalai tiga tahun yang lalu, kata Khalid.
Ketika mengumumkan pendedahan itu di sini, Khalid berharap langkah ini akan membolehkan pembeli-pembeli rumah dan pemilik asal tanah berkenaan boleh mengambil tindakan perundangan untuk mendapatkan semula wang mereka.
Khalid mendedahkan maklumat itu berdasarkan bidang kuasanya sebagai Menteri Besar Selangor yang diperuntukkan oleh Seksyen 2(C) OSA.
Semalam ketika membentangkan Bajet 2010 Selangor, Khalid berkata, kerajaan negeri akan mendedahkan mulai hari ini tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN.
Pendedahan tersebut bertujuan mengurangkan kejadian rasuah dan penyalahgunaan peruntukan serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kelebihan berkaitan kebebasan maklumat, jelas beliau.
Hari ini Khalid menjelaskan, pemilik tanah berkenaan yang merupakan penduduk miskin pada asalnya telah diberikan 1.3 hektar (tiga ekar) tanah pertanian setiap seorang untuk diusahakan dengan kelapa sawit di bawah Pelan Revolusi Hijau oleh bekas Menteri Besar Datuk Hormat Rafei pada 1973.
Menurut beliau, pemilik-pemilik terbabit telah menyerahkan tanah mereka untuk dimajukan sebagai projek perumahan Bandar Alam Perdana.
Seramai 383 petani terbabit telah dijanjikan untuk dibayar RM360,000 termasuk sebuah rumah manakala seramai 3,436 pembeli pula tidak mendapat rumah yang dijanjikan.
Kesemua mereka tidak mendapat bayaran dan rumah yang dijanjikan.
Dokumen-dokumen yang telah diklasifikasikan semula termasuk disenaraikan nama-nama ahli politik, kakitangan awam, mangsa projek dan personaliti-personaliti lain yang terbabit akan dimuatkan dalam laman web kerajaan negeri esok.
Salinan bercetak juga boleh diperoleh di sekretariat kerajaan negeri dan pejabat-pejabat daerah.
SUMBER
di sini.