
“Bahaya pemikiran Umno: tolak Umno, terimalah kebenaran Islam”
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, dan Salam Sejahtera.
Firman Allah SWT (al-An’am 6:162),
Maksudnya, “Katakanlah: Sesungguhnya  sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah  Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
Sesungguhnya,  segala puji-pujian yang tidak terhingga kepada Allah Tuhan yang  mencipta dan mentadbir sekalian alam. Puji-pujian juga yang teramat  tinggi kepada Nabi Muhammad Pesuruh Allah, Nabi pengakhir zaman.
Didoakan  kepada semua pengundi bagi pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor  berada di dalam keselamatan dan kesejahteraan hendak-Nya.
Tuan-puan,  dan saudara-saudari yang dihormati sekalian.
Bersempena dengan musim  kempen pilihan raya ini, sukacita saya mengingatkan diri saya dan  menyampaikan ingatan sama kepada sidang pengundi sekalian yang bakal  mengundi pada hari Ahad, 25 April 2010 nanti.
Jadilah ingatan ini sebagai panduan utama untuk sidang pengundi sekalian menjadi seorang yang berhak mengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi dan memangkah kertas undi dengan pasangkan niat , “sesungguhnya aku mengundi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.
Perkara pertama kita kena tahu, betapa Umno telah menghancurkan simbol Bulan Bintang yang dipakai oleh PAS pada tahun 1971. Sedangkan pada PAS, Bulan Bintang itu mempunyai makna yang besar dari segi mendidik rakyat kepada cara hidup beragama. Pertama, Bulan Bintang itu dipakai di atas menara masjid-masjid –– rumah Allah Tuhan yang Maha Kuasa. Kedua, Bulan Bintang adalah simbol bagi PAS untuk menghidup dan menghayati serta melaksanakan falsafah hidup beragama (muslim sejati) berteraskan doa iftitah yang selalu dibaca ketika permulaan sembahyang. Doa yang dimaksudkan ialah “sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).” Oleh sebab itu, melalui simbol Bulan Bintang apabila dilihatnya, maknanya seseorang diajak untuk mengingati tanggungjawab beragama –– sembahyang dan beribadat, serta memikirkan soal hidup dan mati. Dengan cara itu, harapan PAS supaya rakyat sentiasa berada di dalam kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.
Akibat daripada larangan penggunaan simbol Bulan Bintang itulah  dapat dilihat hari ini, bila mana rakyat hari ini begitu bercelaru  amalan hidupnya –– terbabit dengan segala amalan maksiat dan kerosakan  akhlak serta berlaku amalan hidup yang berlawanan dengan apa yang  ucapkan di dalam solat. Di samping berlaku tingkah laku yang di luar   daripada sifat kemanusiaan seperti membuang bayi dan pembunuhan sesama  insan.
Perkara kedua yang perlu diingati ialah tindakan pemimpin Umno  yang telah menghapuskan penggunaan tulisan jawi. Tulisan jawi juga  dihapuskan dalam pendidikan di sekolah. Ia berlaku zaman Almarhum Khir  Johari, menghapuskan pengajaran dan penggunaan tulisan jawi itu.
Kesannya ramai orang Melayu, khususnya generasi sekarang tidak  pandai membaca dan menulis jawi. Sedangkan jawi adalah tulisan dan  bahasa al-Quran, dan ia adalah warisan ilmu orang Melayu zaman berzaman.  Maka, ia bukan sekadar menghapuskan budaya ilmu yang menjadi medium  pendidikan utama orang Melayu, malah orang Melayu kini amat dangkal  dengan pengetahuan al-Quran kerana mereka sudah tidak pandai membaca  al-Quran. Inilah bahananya dasar Umno.
Rakyat kena persoalkan, kemana Umno nak bawa rakyat. Nak kata  Umno nak bawa ke jalan agama, jelas Umno sudah buat banyak perkara yang  bercanggah dengan kehendak Islam seperti melarang guna Bulan Bintang dan  tulisan jawi.
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi  sekalian.
Pekara ketiga, layak juga dipersoalkan kepada pemimpin  Umno, apakah tujuan sebenar Umno lawan sangat PAS ini? Sedangkan PAS  sudah diakui sebagai parti yang berjuang untuk Islam, demi untuk  melaksanakan pentadbiran dan mengamalkan sistem masyarakat Islam di  Negara ini. Boleh jadi, Umno lawan PAS atas dasar demokrasi.
Jika begitu, kaedah demokrasi sebenarnya mengajar kita supaya  berlaku adil kepada semua pihak. Apabila bertanding dalam pilihan raya,  hendaklah mengamalkan pilihan raya yang adil dan bersih, tiada  ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Jika PAS menang, kena terima itu  mandat rakyat dan perlu dihormati. Persoalannya, apa pasal pula Umno  begitu gah kononnya berjuang ikut demokrasi, tetapi prinsip demokrasi  tidak sedikit pun dipatuhi?
Tengok saja atas isu wang royalti petroleum. Sekian lama negeri  Terengganu di bawah kuasa BN, royalti minyak dibayar kepada kerajaan  negeri . Tetapi bila saja PAS menang di Terengganu tahun 1999, setahun   selepas itu royalti sudah ditarik dan ditukar pula kepada wang ihsan.  Itupun sudah tidak diberi kepada kerajaan negeri. Ia disalur terus  kepada Umno bahagian. Semuanya adalah bukti Umno sendiri tidak hormat,  malah melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Benarlah Umno yang mendakwa berpegang dengan prinsip demokrasi,  hakikatnya Umno tidak mematuhi prinsip demokrasi.
Cuba kita  renungkan sedikit, bagaimana Islam pula mengajar umatnya berjuang.   Sesungguhnya Islam adalah lebih bertamadun berbanding demokrasi, kerana  demokrasi tidak mengajar soal dunia dan akhirat. Namun, Islam dikatakan  lebih bertamadun kerana mengajar kita dengan prinsip bahawa ‘apa saja  yang kita perjuangkan, semuanya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat.’  Prinsip seumpama ini adalah selari dengan prinsip ‘sembahyang ku, ibadat  ku, hidup ku dan mati ku, semuanya kerana Allah Tuhan yang memelihara  dan mentadbir sekalian alam.’ Barang ini (prinsip ini) tidak ada dalam  perjuangan Umno.
Sebab itulah kita berani katakan bahawa perjuangan Umno adalah  perjuangan sekular. Lebih-lebih lagi, Umno dilihat lebih mengutamakan  pembangunan berteraskan kebendaan semata-mata. Maka, tidak ada bezanya  perjuangan Umno itu dengan perjuangan parti politik di Barat yang  mementingkan pembangunan dan kemajuan semata-mata. Sebab itulah,  perjuangan Umno mengasingkan prinsip agama dengan politik. Maka jadilah  Umno sebagai parti sekular, iaitu sebuah parti yang mengamalkan politik  suku, agama suku. Ia memberi makna, semacam kerja politik tiada kaitan  dengan dosa dan pahala lagi. Sebab itulah ada pemimpin Umno berani  melakukan segala amalan politik yang bercanggah dengan ajaran agama.  Mereka mengamalkan politik wang, politik ugut dan politik paksa.  Sedangkan kesemuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam dan dilarang  keras oleh Nabi Muhammad SAW.
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi yang dikasihi  sekalian.
(Akhirnya), perkara keempat mengenai perjuangan Umno ialah amalan salah Umno yang sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum. Akibat amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu. Dan paling salah membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS.
Kemudian berlaku pula pengasingan antara hak Melayu dengan hak  bukan-Melayu, diikuti pula hak Melayu-Umno dengan hak Melayu-PAS. Paling  teruk juga, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan  kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan, dan hak-hak antara negeri  diperintah Umno-BN dengan negeri diperintah PAS-Pakatan Rakyat. Seperti  juga berlaku pada akhir-akhir ini, bila mana persoalan wang royalti  petroleum untuk Kelantan sendiri tidak diberikan kepada kerajaan negeri,  sedangkan kepada kerajan negeri Sabah dan Sarawak terus diberi. Apa  yang berlaku, ‘royalti’ ditukar kepada ‘ihsan’ dan pemberian ihsan pula  adalah kepada Umno bahagian.
Demikianlah, buruknya amalan  membeza-bezakan itu.  Ia telah mendera rakyat Kelantan, kerana kerajaan  negeri Kelantan hari ini adalah dipilih atas hak dan kehendak rakyat.  Amalan Umno sebegitu telah menepikan langsung nilai keadilan yang diajar  oleh Islam. Sekaligus bertentangan dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut  ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya.  Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun adalah disatukan di  bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS.
Oleh itu, kembalilah kita kepada ajaran Islam dan mengamalkan  cara hidup beragama. Sesungguhnya sistem Islam adalah benar dan adil  untuk semua kaum. Ingatlah, firman Allah (surah Ali-Imran 3:102-103),
Bermaksud, “wahai orang-orang yang  beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan  jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan  berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan  janganlah kamu bercerai-berai .”
Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan  kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno  sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.
Sehubungan itu, saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi  Hulu Selangor yang budiman lagi bijaksana, undilah calon Pakatan Rakyat  Datuk Zaid Ibrahim dari parti KeADILan. Saya penuh yakin dan percaya di  atas pengalamannya selaku bekas ahli parlimen dan menteri kabinet,  sesungguhnya beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk  membela dan menunaikan harapan rakyat di parlimen Hulu Selangor.  Keluarlah mengundi beramai-ramai, jangan hiraukan ugutan Umno-BN dan  selamat mengundi.
Semuga tuan-puan, dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah  Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
“Harapan Baru  Malaysia”
*** PAS UNTUK SEMUA ***
Sekian.
Tuan  Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Mursyidul Am PAS
-blogtokguru

Comments (0)
Catat Ulasan