[HM] Sungai Buloh: Kepala terpisah daripada tubuh, beberapa anggota badan
lain hilang, manakala bahagian pinggang ke atas pula hampir rentung
akibat dibakar.
Begitulah keadaan mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh yang
ditemui di satu kawasan pembuangan sisa bahan binaan di Subang Bestari,
di sini, petang semalam.
Mayat lelaki itu ditemui seorang pengutip sampah ketika mencari
barang terbuang di kawasan berkenaan, kira-kira jam 3.35 petang.
Sumber polis berkata, ketika mencari bahan buangan untuk dikitar
semula, lelaki itu terhidu bau busuk lalu berusaha mengesan puncanya.
ANGGOTA unit forensik mengutip cebisan mayat terbakar.
“Dia kemudian terkejut apabila mendapati bau busuk itu adalah bau mayat seorang lelaki yang terbakar separuh badan.
|

[SH] PUTRAJAYA - Wanita yang didakwa mengamuk bersama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada Julai tahun lepas akan memohon kepada pendakwa raya untuk runding akuan bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Peguam M. Visvanathan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara seperti yang diarah oleh anak guamnya Muhdalena Ahmad.
"Kami sedang menimbang kemungkinan bagi runding akuan bersalah antara pihak pembelaan dan pendakwaan dan kami akan maklumkan kepada mahkamah keputusannya esok," kata Visvanathan.
Terdahulu, Visvanathan, yang batuk dengan teruk di dalam mahkamah, memohon agar perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari mulai hari ini, ditangguhkan sehingga esok memandangkan beliau berasa tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh tidak membantah bagi kes itu ditangguhkan.
Kalmizah bagaimanapun meminta Visvanathan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan jawapan segera.
Hakim Mohamed Kamil Nizam membenarkan permohonan itu tetapi meminta Visvanathan supaya memberitahu Kalmizah lebih awal jika beliau tidak dapat hadir di mahkamah esok, supaya saksi tidak perlu datang ke mahkamah.
Terdahulu, Kalmizah memberitahu mahkamah bahawa 22 daripada 39 saksi pendakwaan hadir di mahkamah hari ini.
Muhdalena, 28, dari Kota Damansara, didakwa pada 16 Julai tahun lepas di dalam wad di Hospital Putrajaya kerana menjalani rawatan selepas ditembak di paha kanan.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis bantuan Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini pada 2.30 petang 9 Julai tahun lepas.
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, turut didakwa membawa sebilah pedang di tempat dan masa yang sama. Tuduhan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia turut berdepan dua tuduhan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Bagi tuduhan pertama, Muhdalena didakwa mengingkari arahan Lans Koperal Ridzuan supaya meletakkan senjatanya di tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan dan bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengingkari perintah oleh seorang menteri dengan berada di premis itu tanpa kad atau permit masuk yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, bagi setiap tuduhan.
Muhdalena kini dalam jaminan RM11,500 dengan seorang penjamin, sementara menunggu perbicaraan.
Laporan perubatan dari Hospital Bahagia, Ulu Kinta menunjukkan bahawa Muhdalena berada dalam keadaan tidak siuman semasa kejadian itu dan tidak tahu akibat daripada perbuatannnya.
Laporan yang disediakan oleh perunding forensik psikiatri Dr Rabaiah Mohd Salleh, bagaimanapun menyebut bahawa keadaan mental Muhdalena kini stabil dan dia cukup sihat untuk membela diri dan dibicarakan di mahkamah - Bernama
|

ISU amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dibangkit menjelang pilihan
raya ke-13 ini. Walaupun amanat tersebut lebih dari 30 tahun usianya,
namun seperti biasa politik mampu membangkit-ungkit apa sahaja. Kedua
belah pihak; kerajaan dan pembangkang memakai pendekatan yang hampir
sama. Cumanya, ‘kelebihan’ kerajaan di negara kita ini ia menggunakan
media awam demi tujuan politik kepartian. Saya tidak pasti apakah jika
pembangkang hari ini jika berkuasa akan menggunakan pendekatan yang sama
ataupun tidak?!
Amanat
Amanat Haji Hadi itu berbunyi:
Saudara-saudara sekalian percayalah, Kita menentang Umno, bukan kerana
nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama
memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan
perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan
peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh
kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan
dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekalian, Perjuangan kita adalah jihad,
ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita
kepada ALLAH dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati
melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.
Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak
perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan
‘politik suku, agama suku’.
Adil
Saya ingin mengajak pembaca melihat isu amanat ini di luar dari
kerangka fanatik kepartian, sebaliknya menelusurinya secara fakta dan
rasional.
Amanat Hj Hadi itu dibuat pada tahun 1981 dalam ceramahnya pada 7 April
di Kampung Banggol Peradong. Ketika itu saya masih lagi bersekolah
rendah. Saya rasa bukan Datuk Seri Abdul Hadi yang menamakannya amanat,
sebaliknya ia adalah inisiatif orang-orang Pas sendiri. Apakah amanat
ini satu-satunya punca sebahagian orang Pas mengkafirkan Umno? Saya
tidak pasti. Namun kita tahu, ramai guru-guru agama yang lain yang
pro-Pas juga mengkafirkan Umno. Ada sesetengah tokoh agama yang
mengkafirkan Umno ketika itu kemudiannya masuk Umno dan mendapat
pelbagai jawatan.
Saya sendiri pernah berjumpa orang-orang Pas yang mengkafirkan Umno.
Bahkan saya pernah berjumpa mereka yang mengharamkan bersekolah di
sekolah kerajaan kerana kononnya ‘sekular’ dan seumpamanya. Ertinya,
kafir-mengkafir disebabkan perbezaan parti politik telah berlaku dalam
sejarah umat Islam dalam negara ini. Fatwa-fatwa Pas, terutamanya dari
Pantai Timur telah mencetuskan fenomena tersebut.
YB Dr Mujahid Yusuf iaitu seorang Ahli Parlimen Pas, tokoh reformis
dalam Pas dan anak bekas Presiden dan Murshidul ‘Am Pas dalam bukunya
‘Menuju Pas Baru’ menghuraikan isu ketika itu dengan menyebut:
“Akibatnya berlakulah isu kafir-mengkafir di mana tanggapan bahawa
menyokong Umno adalah sesuatu yang bertentangan dengan sikap Islam dan
dengan sebab itu boleh jatuh kufur kerana Umno parti sekular yang
menolak Islam… penghujahan atas garis-garis fikah yang premisnya adalah
batas-batas kekufuran telah membawa agenda politik menjadi terlalu pekat
dengan adunan ‘fatwa’ sehingga Pas diheret dalam kancah ini, malah
‘Amanat Haji Hadi’ telah dijadikan alasan kepada berlakunya semua
kemelut ini” (m/s 115. Kuala Lumpur: Malaysian Insider Sdn Bhd).
Mungkin Hadi sendiri tidak pernah menyebut Umno kafir secara jelas,
namun sikap kebanyakan tokoh Pas yang tidak menangani isu-isu mengkafir
ataupun seakan membiarkan orang awam Pas mengkafirkan orang Umno
sehingga berlaku dua imam, tidak makan sembelihan, tidak menjawab salam
dan lain-lain ketika itu, amat mendukacitakan.
Konteks
Dalam memahami sesuatu teks, kita wajar melihat kepada konteks.
Hakikatnya, pendekatan Pas ketika itu bukanlah asing jika dilihat kepada
perkembangan gerakan Islam secara keseluruhan. Pada 70an dan 80an
kebangkitan Islam berlaku di Asia. Kesedaran tentang perlunya umat Islam
kembali kepada Islam dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan kedengaran
di sana-sini. Buku tokoh-tokoh gerakan Islam di Timur Tengah menjadi
menu penting para aktivis ketika itu. Buku-buku itu ditulis oleh
tokoh-tokoh berkenaan dalam keadaan tekanan yang berat oleh rejim-rejim
Arab yang sangat zalim dan khianat. Mereka juga biadab terhadap ALLAH da
Rasul-Nya. Mereka yang membaca buku-buku cuba menyamakan hal tersebut
dengan keadaan setempat.
Isu takfir (mengkafirkan) juga timbul di Timur Tengah sehingga
Murshidul ‘Am al-Ikhwanul al-Muslimin menulis buku “Du‘aah La Qudah”
(Pendakwah Bukan Hakim) bagi tujuan menangani isu ini.
Fatwa-fatwa ulama juga dibaca kepada masyarakat. Antaranya, fatwa Mufti
Saudi masa itu al-Sheikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdillah bin Baz yang
menyenaraikan perkara-perkara yang membatalkan Islam, dalam erti kata
lain menjadikan seseorang kafir. Hadi ketika itu antara yang
mempopularkannya. Dalam fatwa itu antaranya menyebut: “Berkeyakinan
bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad SAW. Itu lebih sempurna, atau
berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik,
sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang
melampaui batas lagi menyimpan dari hukum ALLAH (aturan-aturan Taghut),
dan mengetepikan hukum Rasulullah SAW. Maka yang berkeyakinan seperti
ini adalah kafir. Sebagai contoh: Berkeyakinan bahawa aturan-aturan dan
perundang-undangan yang diciptakan manusia lebih utama daripada syariat
Islam, atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak tepat untuk
diterapkan pada abad kedua puluh ini, atau berkeyakinan bahawa Islam
adalah sebab kemunduran kaum Muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam
itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya saja, tidak
mengatur urusan segi kehidupan lain. Berpendapat bahawa melaksanakan
hukum ALLAH dalam memotong tangan pencuri, atau merejam pelaku zina yang
telah kahwin (muhsan), tidak sesuai lagi di masa kini…”
Walaupun ini hanyalah kaedah umum yang perlukan perbahasan dan
perinciannya, malangnya kalangan orang Pas ketika itu telah
menggunakannya ketika secara ‘borong’ untuk mengkafirkan setiap
penyokong Umno. Ia disuburkan lagi dengan kuliah-kuliah agama Pas yang
menegaskan persoalan ini tanpa perbahasan yang mencukupi. Menerangkan
tentang batasan iman dan kufur adalah suatu kewajipan, namun
mengkafirkan individu memerlukan penelitian dan kecermatan.
Suatu perkara yang tidak boleh disembunyikan juga, Umno pada era 70an
dan 80an bukanlah seperti Umno hari ini. Ucapan-ucapan yang tidak
selaras dengan Islam, ataupun dengan seakan menghina Islam kadang-kala
kedengaran di sana-sini. Proses Islamisasi dalam Umno belum berlaku
ketika itu. Sikap angkuh dan dominasi yang melampau juga wujud. Orang
Pas dapat merasai sikap tidak adil kepada mereka, bermula dari JKKK di
kampung sehingga ke atas. Ini menyuburkan lagi kecenderungan menghukum
Umno dengan fatwa-fatwa yang keras. Ini tidaklah menghalalkan Pas
mengkafirkan keseluruhan Umno, namun itulah realiti ketika itu. Sikap
Umno ketika itu juga menyumbang kepada keadaan itu.
Pada masa tersebut kematangan Pas dan gerakan Islam yang lain juga amat
terhad. Mereka belum ada pengalaman pemerintahan. Bahkan saya percaya,
Haji Hadi ketika itu tidak begitu mendalami hakikat Perlembagaan
Malaysia seperti hari ini. Hari ini jika kita membaca YB Pas Dr Mujahid
Yusof menulis dalam bukunya ‘Rejuvenasi Pas’, beliau membincangkan tajuk
‘Islam Dalam Kerangka Perlembagaan’, kita mendapati tokoh Pas ini
melihat perlembagaan dengan harmoni yang mempunyai ruang untuk Islam.
Hal ini 30 tahun lepas tidak pernah diungkapkan dalam Pas.
Pas berubah
Pas hari ini saya lihat banyak berubah. Saya percaya sudah ramai yang
tidak beriktikad seperti Amanat Haji Hadi termasuk diri Haji Hadi
sendiri. Jika Pas masih berpegang dengan Amanah lama DS Hadi itu,
bererti mereka mengkafirkan diri sendiri dan rakan-rakan mereka dalam
Pakatan Rakyat yang menerima dan mengiktiraf Perlembagaan. Sekalipun
tiada penarikan rasmi, tetapi secara praktikal seakan penarikan telah
dibuat. Pendekatan Pas sudah banyak yang berbeza. Kita harapkan semua
pihak tidak melihat Islam dari kaca mata politik semata, Islam jauh
lebih luas dari politik kepartian.
Namun, ini tidak bererti kita memandang ringan isu kafir-mengkafir.
Jika terbukti masih ada orang Pas yang mengkafirkan Umno maka Hadi patut
tampil menjelaskan kekeliruan mereka. Oleh kerana beliau diserang tanpa
diberikan peluang menerang, maka itu sesuatu yang tidak adil. Pihak
media patut memberikan ruang yang mencukupi untuk beliau membuat
penerangannya dalam media awam khususnya RTM. Mungkin ada perkara yang
kita terlepas pandang.
Di samping Pas, jangan lupa dalam Umno juga ada yang ‘kaki pengkafir
dan penyesat’ orang lain. Seorang dua guru pondok yang masuk Umno, ada
yang menghukum akidah Menteri Besar Kelantan sesat bahkan kufur. Di
Saudi, tokoh penghukum sesat umat iaitu al-Madkhali terkenal menyesatkan
begitu ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan aktivis umat. Golongan ulama
muda Umno amat terpengaruh dengan aliran ini maka kita boleh tonton
dalam internet dan tulisan mereka di akhbar menyesatkan tokoh-tokoh
seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, Muhammad al-Ghazali, al-Qaradawi dan
lain-lain. Ini juga mesti dikritik.
Media-media Umno juga kebelakangan ini sering menjadikan isu akidah
sebagai isu politik seperti yang Pas lakukan dalam era 80an. Umno
hendaklah berhati-hati, jangan ulangi perkara yang sama. Umno hari ini
seakan menuju Pas era Amanat Haji Hadi.
Hentikan
Maka kita tegaskan, bahawa kafir-mengkafir, ataupun sekadar sesat
menyesat atas perbezaan parti satu kesalahan yang besar. Nabi SAW
bersabda: “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh
ALLAH’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya
(penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
yeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut Majmu‘at al-Fatawa: “Sebetulnya,
sesiapa yang berijtihad dalam kalangan umat Muhammad SAW dengan tujuan
mencari kebenaran lalu tersilap, dia tidak kafir. Bahkan diampunkan
kesilapannya. Sesiapa yang telah nyata kepadanya apa yang datang
daripada Rasulullah SAW, lalu dia menentang setelah terang untuknya
petunjuk lalu dia mengikut selain jalan kaum mukminin, maka dia kafir.
Sesiapa yang mengikut nafsu, kurang mencari kebenaran serta bercakap
tanpa ilmu maka dia pemaksiat dan berdosa. Boleh jadi dia fasik, ataupun
baginya kebaikan-kebaikan lain yang lebih banyak dari kesalahannya.
Bukan semua yang bersalah, berbuat bidaah, jahil ataupun sesat itu
menjadi kafir, bahkan mungkin tidak fasik dan tidak berdosa”.
Semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir. Kembali kepada politik yang dapat membina negara.
- Sumber: SinarHarian
|
|
[selangorku] KUALA LUMPUR, 27 DIS : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengecam tindakan berdiam diri pihak berkuasa berhubung dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishin terhadap keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Tegasnya, sikap Polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan Deepak membabitkan maruah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya mengharapkan dalam tempoh dua minggu semua pihak ini dapat memberikan rekasi kepada rakyat.
“Jika tidak, saya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu sidang media di ibupejabat PAS di sini.
Dalam siri temuramahnya, Deepak mendakwa Najib mempunyai peranan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008.
SD pertama itu dikatakan mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
|
LAGI tindakan ganas samseng-samseng upahan Umno apabila bertindak di luar
batas menyerang dan menampar salah seorang warga emas yang turut
menyertai Kembara Oren - Selamatkan FELDA tempoh hari rujuk sini juga ~ Samseng Upahan Umno.
Pelbagai aksi kurang ajar boleh kita lihat selain tidak menghormati orang tua, dengan memaki hamun dan terjerit-jerit bagaikan beruk kena belacan serta menunjukkan isyarat lucah, ada di antara mereka tergamak menolak dan menampar warga emas tersebut.
Budaya samseng yang diterapkan oleh pemimpin Umno kepada para penyokong dan samseng-samseng upahan mereka menunjukkan betapa terdesaknya United Malays No Otak, Umno untuk mempertahankan kuasa.
Lihat dengan mata kepala anda sendiri, mereka kata Pakatan Rakyat
membuatkan negara huru hara. Namun merekalah pencetus huru hara yang
sebenar. Lihat rakaman bagaimana warga emas diserang dan ditampar oleh samseng-samseng Umno yang membawa bendera Barisan Nasional di bawah ini.
Sebarkan kepada rakan-rakan sahabat handai jiran tetangga, ayam itek
lembu dan kambeng supaya mereka semua tahu bahawa parti samseng Umno
akan menghuru-harakan negara ini jika mereka dibiarkan terus memerintah.
Mahasiswa dilarang berpolitik, mahasiswa berpolitik ditangkap masuk
penjara. Mat rempit, kutu berahak dan samseng pula yang Umno bela untuk
berpolitik maka jadilah politik kurang ajar, politik samseng, politik
pukul orang, politik baling cat dan sebagainya.
|
Samhanim Ramlee
[mStar] KUALA TERENGGANU: Seorang wanita menjadi korban pertama banjir di Terengganu apabila ia ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai Lanjut berdekatan Jambatan Permaisuri Selasa.
Ketua Operasi Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya dengan bantuan penduduk kampung, menemui mayat mangsa pada pukul 6.30 petang berdekatan tempat mangsa terjatuh.
Samhanim Ramli, 36, dikatakan tergelincir ketika sedang menahan pukat jaring bersama suaminya, Wan Amran Wan Sudin di sungai tersebut kira-kira pukul 3 petang.
Mayat dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 6,100 orang sehingga 8.30 malam ini berbanding 5,297 orang petang tadi.
Mereka kini tempatkan dipindahkan di 106 pusat pemindahan banjir.
Menurut portal banjir negeri, jumlah terbesar mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Dungun iaitu seramai 1,221 orang diikuti Besut (1,096), Hulu Terengganu (1,046), Kemaman (979), Kuala Terengganu (807), Setiu (707) dan Marang (244).
Air di beberapa batang sungai termasuk sungai Besut di Kampung La; sungai Dungun iaitu di Pasir Raja dan Kuala Jengai; sungai Nerus, di kampung Langkap di sini; sungai Setiu di Permaisuri; dan sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kekal berada di paras bahaya.
Namun, setakat ini tiada jalan utama yang menghubungi negeri ini ditutup kepada kenderaan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di Setiu mendapati perbuatan beberapa penduduk yang bermain air di jalan raya dilihat boleh mengancam nyawa mereka memandangkan air yang mengalir amat deras di situ.
Seorang penduduk ketika ditemui Ibrahim Yahya, 56 berkata banjir ini disifatkan sebagai yang terburuk melanda daerah ini sejak tujuh tahun lepas.
"Daerah ini sering dilanda banjir namun tidaklah seteruk ini dimana air begitu cepat naik ke dalam rumah dan menyukarkan kami untuk bergerak dengan arus yang deras," katanya. - BERNAMA
|
[Hmetro] SHAH ALAM: Tidak mahu terus bergelumang dengan dosa, seorang ibu tunggal tiga anak yang menjadi wanita simpanan seorang pegawai kerajaan selama hampir 11 tahun, rela berdepan hukuman apabila menyerah diri di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), di sini, kelmarin.
Wanita berusia 40-an itu mengaku sudah empat kali menggugurkan kandungan hasil hubungan haram itu, namun kini insaf selepas menyedari kekasih gelapnya itu hanya menjadikannya alat pemuas nafsu.
Malah, dia yang mahu dikenali sebagai Ros berkata, lelaki itu sering memukulnya hingga hidungnya patah akibat dipijak dan wangnya juga dikikis sehingga puluhan ribu ringgit termasuk untuk membeli kereta.
Menurut Ros, penyesalannya semakin mendalam selepas anak lelaki yang berusia 10 tahun mengetahui perhubungan terlarangnya itu dan menasihatkannya meninggalkan lelaki terbabit.
“Tambahan pula, kini lelaki itu sudah meninggalkan saya dan menjalin hubungan dengan perempuan lain. Jadi, terbukti dia bukan mahu menjadikan saya isteri keduanya seperti dijanjikan.
P/s: Pintu taubat sentiasa terbuka...
|

[SH] KUALA LUMPUR - Pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, semalam memfailkan notis tunjuk sebab kepada suaminya, Prof Dr Baharom Sanugi, kerana masih belum menyelesaikan bayaran kos RM12,000 seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Sri Wani memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah di sini, ditemani peguamnya, Mohamad Azrul Azhan Mohammad Jamil. Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pada 12 November lalu, Baharom, bekas dekan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menggantung perintah mahkamah yang mengarahkannya membayar RM12,000 kepada isterinya pada 30 Ogos lalu.
Permohonan penggantungan arahan mahkamah berkaitan kos itu difail Baharom pada 27 September lalu, atas beberapa alasan, termasuk mendakwa dirinya tidak mampu kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
Beliau diperintah membayar kos mahkamah RM3,000 kepada isteri ketiganya itu, selepas Mahkamah Tinggi menolak empat permohonan difailkan.
|
BAKARUDDIN dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.
[mStar] SHAH ALAM: Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Bakaruddin Othman dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM132,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menggunakan wang pihak berkuasa tempatan itu bagi penyelenggaraan rumahnyasendiri.
Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bakaruddin, 58, yang kini bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam didakwa menggunakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MPS untuk mendapatkan suatu suapan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM26,500.
Pembiayaan bagi menyelenggara rumah miliknya di alamat No. 14413 JalanLaksamana 9, Kampung Laksamana, Batu Caves Selangor itu didakwa diluluskan Bakaruddin di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga MPS bertarikh 27 Okt 2001 dengan dia mempunyai kepentingan langsung.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Jun 2001 hingga April 2002di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang, Bandar Baru Selayang.
Bakaruddin didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama iaitu penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. BERNAMA
P/s: Tu dia...guna duit rakyat untuk kepentingan peribadi....
|
BEGINILAH keadaan kereta Ford Laser Said Ibnu Aslam setelah terlibat dalam kemalangan di Nibong Tebal hingga mengakibatkan anaknya, Muhammad Aslam Maricar maut selepas diseret sejauh 10 kilometer.
[kosmo] NIBONG TEBAL – Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan dahsyat apabila mayatnya hancur selepas dia diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 168.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini kelmarin.
Kejadian menyayat hati pada pukul 8.45 malam itu mengakibatkan Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, 3, maut.
Mayatnya ditemui tiga jam kemudian iaitu pada pukul 11 malam di lorong kecemasan lebuh raya oleh orang awam yang membantu mencari selepas bapanya, Said Ibnu Aslam G. M. Ismail, 47, mengadu salah seorang anaknya hilang selepas kemalangan.
Sebelum kejadian, Muhammad Aslam Maricar bersama tujuh lagi ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Ayer Itam, Pulau Pinang selepas seharian bercuti di Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak.
Turut berada di dalam kereta itu isteri Said Ibnu Aslam, Nuris Berutu, 40, yang merupakan warga Indonesia; tiga anaknya, Zulqarnain Aslam, 14; Shahrul Ramadan, 12, dan Nur Aishah Aslam, 2, serta adik Nuris, Nurjadi, 28.
|
Polis: Jangan terpengaruh berita palsu
[kosmo] SUNGAI PETANI — Polis di Kedah menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin dan berita palsu yang disebarkan dalam Facebook, Twitter dan blog ketika ini mengenai keadaan semasa di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata tiada sebarang pergaduhan atau apa-apa insiden kematian atau bakar masjid yang berlaku di Sungai Petani.
Katanya apa yang tersebar melalui laman sosial dan blog semuanya palsu dan khabar yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Keadaan di Sungai Petani adalah aman dan tenteram serta terkawal,” katanya pada sidang media di sini lewat malam tadi. — BERNAMA
|
MAYAT remaja yang mati ditembak polis selepas cuba merompak kedai KK Mart.
[kosmo] KUALA LUMPUR – Hajat dua penjenayah merompak sebuah kedai serbaneka KK Mart di Taman Sri Rampai di sini dengan mengacukan parang ke arah juruwang tidak kesampaian apabila sepasukan polis tiba-tiba muncul di premis itu dan menembak mati seorang suspek.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, suspek yang maut ditembak merupakan remaja berusia 19 tahun. Remaja itu mati di depan kedai rangkaian 24 jam itu akibat cedera di dada.
Difahamkan, suspek dipercayai anak kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang bertugas di Melaka.
Rakan suspek yang bersenjatakan parang sempat melarikan diri.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, rancangan dua suspek merompak kedai 24 jam itu disedari pasukan polis yang secara kebetulan membuat rondaan di kawasan tersebut.
“Salah seorang suspek yang sedang mengacukan parang ke arah juruwang panik apabila dia melihat kehadiran polis. Suspek terus mengacukan parang ke arah anggota polis sebelum melarikan diri,” kata beliau ketika dihubungi.
|
Dr Aziz Bari : Keistimewaan Melayu Tak Boleh Dipinda Tanpa Perkenan Raja
[SK] SHAH ALAM, 13 DIS: Masyarakat Melayu diingatkan agar tidak terus membiarkan diri mereka ditakutkan Umno-BN kononya Melayu akan kehilangan keistimewaan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran negara ini selepas pilihan raya nanti.
Ini kerana Perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain) dalam Perlembagaan Malaysia itu tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-raja Melayu walaupun mendapat undian dua pertiga di parlimen.
Demikian menurut pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.
“Apa yang Umno sebut itu memang merepek, tak boleh berlaku, kita pun tak faham apa yang Umno ‘spin’ sebab benda tak boleh berlaku kecuali dengan perkenan raja-raja,” kata Aziz.
Justeru, amat penting bagi masyarakat Melayu kembali mengkaji Perlembagaan Malaysia agar tidak mudah dipermainkan dengan fakta palsu Umno-BN dengan tujuan melindungi kuasa mereka.
Menurut Aziz, ketika Umno meminda Perkara 181 [2] bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu dalam krisis Perlembagaan pada 1993 jelas menggambarkan sikap samseng Umno terhadap raja-raja dengan meminda perkara tersebut dengan paksaan.
“Mahathir seolah-olah menolak pindaan itu memerlukan perkenan raja-raja. Umno ini, dia seperti dahulu juga, bersultan di mata beraja di hati, dia ingat dia raja.
“Dalam PR kita tak sembrono, tak biadab macam Umno, sebab itu dia masih mainkan isu ini, tetapi masa dia memaki hamun raja-raja pun macam itu juga, dia bukan pedulikan peruntukan itu, dia tak peduli,” katanya lagi.
Aziz juga mengingatkan agar pengamal undang-undang dalam Umno agar memberikan nasihat yang betul kepada pemimpin-pemimin mereka.
“Rujuk kepada perlembagaan dan orang-orang yang tahu, kalau nak dengar cakap Umno, Malaysia ini pun dia kata boleh tukar kepada negara Kristian,” ujar Aziz lagi.
|

[HD] KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan (gambar)
mendedahkan, penglibatan beliau untuk membuat akuan bersumpah kedua (SD
2) P Balasubramaniam bukan untuk menyelesaikan isu SD itu saja tetapi
menyekat pendedahan yang lebih besar.
"Satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi Perdana Menteri, mereka ada kepentingan mereka.
"Mereka sudah bersedia, salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan
berikan SD dan menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan
kejam ini (pembunuh Altantuya) dan siapa yang mengarah orang itu. Ini
sangat high level.
"Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ni. Objektif utama besar dari itu.
"Mereka kena hentikan langkah seterusnya. Malam itu jugak kena siap,
kena U-turn, kena tutup. Itulah yang masalah utamanya," cerita Deepak
dalam sidang media khas dengan Harakah.
Deepak dalam sidang
media kali ini menceritakan dengan jelas bagaimana beliau boleh terlibat
dengan SD 2 yang dibuat oleh PI Bala ini.
Berikut adalah cerita penuh Deepak kepada Harakahdaily.
"Kalau boleh kita bincang secara terperinci bagaimana SD ini bermula.
Saya mendapat panggilan pada hari SD itu dibuat pada jam 6-7 malam. Saya dipanggil oleh Datin Rosmah Mansor melalui telefon.
Dia suruh saya cari jalan menyelesaikan masalah dia. Saya pernah jumpa
dengan Bala satu dua kali sebelumm itu tetapi tidak kenal rapat dia.
Saya call kawan saya untuk cuba berjumpa dengan dia tetapi dia keberatan dan tidak mahu berjumpa.
Saya telefon Datin Seri dan berkata, ini susah dan tak nampak jalan
penyelesaian benda ini. Sebelum inipun saya banyak bantu Datin mana-mana
perkara yang dia perlukan. Saya cubalah kalau ada kawan.
Saya
kata kepada Datin, hal ini bukan senang untuk diselesaikan. Dia pun
minta saya "datang rumah sekarang dan jumpa suami saya. Biar Datuk Seri
buat keputuan bagaimana".
Saya pergi ke rumah mereka. Datin dan
Datuk tinggal di Sri Satria. Kadang-kadang dia orang duduk di Sri Duta
dan kadang-kadang Sri Satria. Malam itu mereka duduk di Sri Satria.
Saya masuk rumah lebih kurang lapan lebih malam dan saya bercakap
dengan Datuk Seri mengenai keadaan ini dan orang ini tidak mahu jumpa
dan kata dia sudah buat SD yang benar dan dia tidak mahu berjumpa pun
dengan saya. Saya tidak tahu bagaimana nak menyelesaikan benda inilah.
Pertama dia telefon satu lawyer. Lepas itu dia telefon adik dia, lawyer
juga. Lepas bincang, dia minta saya agar mencari jalan untuk jumpa dia
(Bala) dan cari jalan supaya dia setuju, untuk batalkan SD dia.
Saya telefon Bala, kita bincang atas telefon. Dia kata, dia nak jumpa
Datuk Seri atau Datin Seri kalau nak dia menarik balik dia punya SD.
Dia pun jenis orang yang keras. Dia cakap dia tak tipu, apa yang dia letak dalam SD pertama semuanya benar.
Saya pun susahlah macamana dia nak jumpa Datuk Seri dan Datin Seri.
Saya beritahu Datuk Seri, kita berada dalam suasana yang susah. Masa itu
Datin Seri pun ada dalam bilik belakang, tingkat pertama. Dia nak jumpa
Datuk Seri atau Datin Seri. No way lah, nak keluar masuk pun susah, ada
bodyguard semua.
Datuk Seri propose (cadangkan) Datuk Nazim
yang jumpa Bala. Saya bagi dia tahu, dia (Bala) cakap ok, boleh jumpa,
tetapi dia nak bincang dengan saya sesuatu dulu.
Saya pergi ke
Rawang di satu restoran Cina, duduk dengan dia dekat sana. Saya, dia,
sepupu saya yang kenal dia dan seorang pegawai polis bekas D9 yang nama
dia Suresh.
Bincang-bincang, dia kata kalau buat SD 2 dia
takut, bagaimana dia nak protect dia dan famili. Saya kata, yang terbaik
awak tinggalkan Malaysialah. Kita boleh uruskan kalau dia mahu. Kalau
awak nak kekal di Malaysia, tak ada isulah sebab kerajaan bersama kamu.
Lepas itu kita bincang hal duitlah. Dia minta satu jumlah yang sangat
besar dan saya tidak fikir saya boleh urus untuk dapatkannya. Saya hanya
peniaga karpet bukan ada perniagaan bilion untuk keluarkan jumlah
itukan. Saya kata, lebih baik awak cakap dengan Datuk Nazimlah.
Saya minta Datuk Nazim datang ke Rawang tetapi dia tidak mahu. Dia mahu kita pergi ke The Curve, dekat Mutiara Damansara.
Jadi kami pergi The Curve, ketika itu hari dah malam dah dekat jam 12
ke 1 pagi. Datuk Nazim bawa isteri dia sekali, isteri dia ketika itu
sedang mengandung. Susahlah, isteri tak mahu tinggalkan suaminya.
Bala tak mahu bercakap dengan saya, dia mahu runding terus dengan
mereka. Dia fikir kalau runding dengan saya, saya ada kuasa ke nak
lindung dia, nak penuhkan permintaannya dari segi kewangan yang dia
minta. Saya tak ada.
Dia
bincang dengan Datuk Nazim, dia kata dia nak sejumlah wang, mahu dia
dilindungi dan mahu meninggalkan negara ini. So dia (Nazim) promise
(janji) dengan dialah tetapi kamu kena tukar SD itu.
Nazim kemudian telefon dan bincang dengan abang dia, siapa yang akan siapkan SD.
Datuk Seri Najib pilih seorang peguam (nama disembunyikan sehingga
pengesahan) dan anaknya untuk siapkan dokumen. Selepas itu kita pergi ke
KL Hilton, saya ambil bilik untuk Bala sementara peguam siapkan SD.
Mereka terus berkomunikasi antara adik dan dia serta peguam semua, apa
yang nak dimasukkan ke dalam SD dan sebagainya.
Selepas itu,
peguam datang ke KL Hilton ke bilik dan duduk. Siapkan laptop dia dan
bincang semua. Siapkan versi terakhir dan Bala tandatangan malam itu.
Kemudian mereka nak buat sidang media. Bila nak buat PC, saya tak kenal
siapa-siapa masa tu, saya low profile. Jadi saya hubungi Ketua
Setiausaha Datuk Najib, you kena uruskan sebab saya tidak tahu siapa
yang hendak di bawa, mainstrem ke, internet ke, saya tidak kenal
siapa-siapa.
Last minute, peguam tidak mahu bersama Bala dan
tidak mahu nama dia ada di situ. Saya kena hubungi kawan saya, yang juga
peguam, tetapi dia tidak terlibat dengan hal itu. Saya kata, awak hanya
datang dan duduk dengan Bala. Bala pun masa itu sangat tertekan.
Peguam saya pergi bersama dengan Bala, mereka pergi ke Prince Hotel
kira jam 9 - 10 pagi. Pergi Prince Hotel dan umumkan SD yang telah
disiapkan malam itu. Peguam saya bernama Arulapalam tetapi dia tidak
terlibat dalam membuat SD itu, dia seorang peguam yang senior. Itu
yang berlaku. Objektifnya mahu pusing (riverse) SD Bala.
Banyak orang fikir, dia mahu menukar SD yang Bala bagi, tetapi
sebenarnya ia lebih dari itu. Sebab utama SD itu, seorang yang terlibat
dalam kes itu, kes Altantuya, telah bersetuju untuk memberitahu cerita
sebenar. Opposition side mahu mempastikan cerita sebenarlah.
Tetapi satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi
Perdana Menteri, mereka ada kepentingan mereka. Mereka sudah bersedia,
salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan
menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini dan
siapa yang mengarah orang itu. Ini sangat high level.
Jadi
objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si Bala ni.
Objektif utama besar dari itu. Mereka kena hentikan langkah seterusnya.
Malam itu jugak kena siap, kena U-turn, kena tutup. Itulah yang masalah
utamanya.
Banyak orang melihat SD 1, SD 2. Sebenarnya tidak ada
kena mengena SD 1 atau SD 2 atau 3. Yang utama adalah kebenaran yang
akan keluar, seorang yang terlibat secara langsung, direct involve, dia
nak datang nak buat SD menyatakan siapakah yang arahkan dia dan orang
itu diarahkan oleh siapa. Ini yang utama dan sesuatu yang sangat serius.
Selepas kes Bala, saya telah dipanggil oleh SPRM dan siasat tetapi SPRM
lebih berminat untuk tutup hal itu. Mereka tahu kebenaran seluruhnya
tetapi mereka mahu tutup. Jadi tidak ada tindakanlah. Sebab itu kes
tutup.
Saya minta, SPRM buka balik penyiasatan kes ini,
dedahkan kebenaran, jelaskan apa sebenarnya berlaku. Mengapa perkara ini
dibiarkan saja dengan cara ini dan asas kenapa kes ini ditutup.
Saya yakin dalam SPRM mesti ada orang yang baik. Tidak mungkin semua
orang nak dengar cakap sepasang suami isteri, kita ada 28 juta manusia
kat Malaysia, kenapa tidak nak dengan pandangan sepasang suami isteri
sahaja. Bertindak untuk kebenaran tak salah.
Jadi saya minta
SPRM dan polis siasat perkara sebenar-benarnya. IGP sekarang atau IGP
sebelum ini, sesiapapun, biarlah kebenaran keluar.
Sekurang-kurangnya kita menghormati pihak penguatkuasa kita
menjalankan tugas bukan mengikut arahan sepasang suami isteri sahaja.
Negara ini lebih dari itu. Itu saja."
|