BEBERAPA peralatan penyamaran yang digunakan dalam penyiasatan. 
Saya petik:
[kosmo] AMNUAIPORN MANEEWAN berkongsi hasil pengalaman kerjanya sejak 15  tahun sebagai penyiasat persendirian di Thailand dengan berkata:   “Satu-satunya lelaki yang anda boleh percayai ialah yang sudah mati.  Jika mereka masih hidup, masih bernafas, maka anda tidak boleh percaya  pada mereka,” katanya. 
Dengan alat-alat bantuan ala James Bond, termasuk kamera pengintip  dan alat pemotong, tugas Amnuaiporn adalah khusus dalam mencari bukti  pasangan yang curang untuk satu firma undang-undang di Bangkok. Wanita  berusia 42 tahun itu kini seorang pakar dalam mengenal pasti mereka yang  curang. 
Itu termasuk menangkap mereka dalam situasi mencurigakan menggunakan  kamera-kamera kecil dan peralatan rakaman yang disembunyikannya dalam  pen, kunci kereta, punat butang serta mesin kira-kira.
Kerjanya telah menjadikan dia seperti seorang selebriti mini di  Thailand, sebuah negara yang sesetengah lelakinya menyifatkan bahawa   memiliki mia noi atau isteri simpanan adalah suatu hak sah.
Detektif wanita simpanan itu mendedahkan,  aktiviti seumpama itu semakin menjadi-jadi di Thailand. 
“Jumlah kes bertambah setiap masa dan tidak menyusut langsung. Kini,  mereka bukan hanya mempunyai seorang perempuan simpanan, tetapi dua atau  tiga perempuan simpanan. 
“Ia seperti satu trend. Sudah menjadi kebiasaan. Tiada manusia yang  meninggalkan rumah tanpa seorang perempuan simpanan,” kata Amnuaiporn.
 Begitupun, situasi kerjanya  tidak pernah lebih baik.
Tiga atau empat pelanggan baru, kebanyakan wanita berusia di antara  usia 20-an hingga 60-an, menghubunginya setiap hari. Pegawai kerajaan  nampaknya antara golongan yang paling ketara memiliki perempuan  simpanan. Salah satu cara mengeksploitasi wanita menerusi  jawatan-jawatan mereka. 
“Mereka mempunyai status,  kuasa dan  wang. Agak mudah bagi mereka  ‘membayar’ wanita lain,” kata Ronnachai Kongsakol, seorang profesor  psikiatri di Hospital Ramathibodi di Bangkok. 
Penyelidikan terhadap subjek hubungan luar nikah oleh pegawai  mendapati keadaan itu wujud daripada kemesraan dan unsur simpati yang  digunakan sebagai tarikan oleh perempuan simpanan.
Lebih mengejutkan, ia bukan sekadar melibatkan lelaki Thai dalam  jaringan itu. Amnuaiporn menganggarkan bahawa tiga daripada 10 panggilan  yang diterima akhir-akhir ini adalah daripada si suami yang mencurigai  isteri mereka. 
Kisah-kisah curang  semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat Thailand.
Hubungan sulit
Panaa hidup berpacaran   selama tujuh tahun sehingga dia mendapati  teman lelakinya itu menjalin hubungan sulit dengan wanita lain. Dia yang  berusaha mengesan perempuan itu bagaimanapun terkejut apabila mendapati  bahawa wanita yang disangka perempuan simpanan itu sebenarnya isteri  teman lelakinya yang sah. 
 Wanita tersebut mempamerkan sijil perkahwinan yang membuktikan dia  berkahwin dengan teman lelaki Panaa, sekali gus menjadikan Panaa  berstatus perempuan simpanan.
“Saya terkejut dan saya tidak pernah terfikir akan menjadi perempuan  simpanan. Saya buntu fikiran. Saya sangka saya seorang yang sangat  bermoral tetapi rupa-rupanya tidak,” kata Panaa, yang merayu agar nama  sebenarnya tidak didedahkan.
Sementara Panaa tidak memerlukan khidmat seorang pakar untuk  menyingkap skandal yang melibatkan dirinya, ramai pula yang meminta  bantuan untuk mencari kebenaran. 
“Jika tidak ada orang seperti saya, orang ini akan menderita. Saya  dan kerja saya adalah untuk menolong orang buka mata dan melihat  kebenaran,” kata Amnuaiporn. 
Kerjanya membuatkan dia dikenali di Thailand. Perwatakan, tingkah  laku ramah dan kisah-kisah curang yang dikongsi telah mengambil slot di  kebanyakan saluran televisyen dan media cetak.
Bukan itu sahaja, Amniuaiporn juga menghasilkan bukunya sendiri iaitu  The Private Eye: They Ask Me To Investigate Adultery, sebuah karya yang  mendedahkan kisah benar menjejaki kecurangan sejak dia memulakan  kerjanya itu. Buku tersebut menggambarkan imej-imejnya dalam pelbagai  penyamaran, termasuk salah satunya Amnuaiporn berpakaian seperti  penduduk Asli Amerika yang lengkap dengan hiasan kepala berbulu.
Serbuan
Amnuaiporn pernah diupah oleh seorang lelaki kaya yang mencurigai  gerak-geri isterinya. Bila lelaki itu berpura-pura ke lawatan luar  negara atas urusan kerja, isterinya menggunakan waktu itu untuk bersama  seorang lelaki, malah turut dikesan menghabiskan masa dengan seorang  lelaki lain di sebuah hotel.
Pada masa itu, Amnuaiporn dan lelaki kaya itu berjaya mengesan   pergerakan wanita tersebut. Apabila tiba di hotel berkenaan, suami  wanita itu menghentam pintu bilik yang disyaki sedang disewa oleh isteri  dan kekasihnya. Namun,  lelaki itu mendakwa dirinya bersendirian. 
Selepas mencari isterinya di beberapa unit bilik berdekatan,  Amnuaiporn dan lelaki kaya itu mendapati wanita tersebut bersembunyi  dengan menekap dirinya di dinding balkoni seperti seekor cicak.
Buku Amnuaiporn itu turut  mendedahkan tip asas untuk menilai jika  pasangan anda sedang curang atau tidak. Misalnya,  mengubah personaliti  diri secara tiba-tiba atau  selalu sibuk dengan lawatan perniagaan ke  luar negara yang tidak diduga. 
Di samping kerjaya Amnuaiporn yang membawa dirinya ke puncak  kemasyhuran dan keghairahan, pendedahan tentang kecurangan yang berlaku  secara bebas sedikit sebanyak telah mempengaruhi niatnya untuk  mendirikan rumah tangga.
“Saya khuatir bahawa saya akan menghadapi masalah yang serupa. Saya rasa saya lebih selesa hidup sebagai wanita solo,” katanya.


Comments (0)
Catat Ulasan