Ada sesuatu yang tidak kena dalam kes ini....
Saya petik:
[TMI] KUALA LUMPUR, 7 April — Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia sangsi seorang penolong pengarah agensi itu yang ditemui mati dipercayai jatuh di premis SPRM Wilayah Persekutuan pagi semalam akan pergi ke pejabat agensi antirasuah itu tanpa diarah berbuat demikian.
Sehubungan itu, Presidennya Ibrahim Ahmad berkata, beliau yakin Ahmad  Sarbani Mohamed tidak mungkin telah berada di pejabat SPRM awal-awal  pagi semalam melainkan ada arahan dikeluarkan kepada Allahyarham.
Beliau mempertikaikan kenyataan SPRM semalam bahawa Ahmad Sarbani  datang ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan tanpa diarah untuk datang  membantu siasatan susulan.
Ahmad Sarbani, 56, ditahan pada 1 April lalu dan dilepaskan keesokan hari.
Kesatuan itu bersama beberapa persatuan dan kesatuan lain dalam  Kastam Diraja Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas petang esok bagi  membuat pendirian mengenai kematian Ahmad Sarbani dan juga Operasi 3B  kendalian SPRM sejak awal minggu lalu.
Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang  menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai  RM3 bilion.
“Ini pendirian saya, apa exco (kesatuan) akan putuskan (esok)... kita  kena tunggu,” kata beliau sambil menimbulkan persoalan kehadiran Ahmad  Sarbani di pejabat SPRM pada pukul 8.26 pagi semalam.
“Tak akan dia (Ahmad Sarbani) datang sendiri, kalau tidak dipanggil  tak akan (dia) datang... secara logik, kalau tidak dipanggil, dia tak  akan datang,” katanya.
Ibrahim berkata SPRM seharusnya mengeluarkan surat rasmi jika mahu  seseorang suspek atau saksi datang ke pejabat mereka bagi membantu  siasatan.
“Kalau dipanggil, (SPRM) perlu mengeluarkan surat, kalau seseorang  hendak datang kena ada surat panggilan (rasmi),” kata beliau kepada The Malaysian Insider lewat malam tadi.
Lazimnya, kata beliau, seseorang khususnya mereka yang disoal siasat  tidak akan pergi ke pejabat agensi pencegahan jika tiada arahan  dikeluarkan.
“Kita tidak akan saja-saja pergi... melainkan seperti wartawan yang  akan pergi ke sana, ke sini untuk mencari maklumat,” katanya lagi.
Ibrahim yang bulan lalu patah tangan kiri dan cedera di dahi selepas  dihentak dengan batu bata oleh dua lelaki di kawasan perumahannya di  Kangkar Pulai, Johor Baru berkata, beliau tidak mempertahankan mereka  yang melakukan rasuah tetapi mahu SPRM bertindak secara profesional  khususnya dalam hal berkaitan dengan Operasi 3B.
“Salah tetap salah, tetapi cara siasatan (dijalankan) kena  profesional,” katanya yang turut mempersoalkan cara pihak berkenaan  menjalankan Operasi 3B.
“Apa yang berlaku kepada Teoh Beng Hock, kini berlaku pada pegawai Kastam... perkara ini tidak logik,” katanya lagi.
Difahamkan pada malam sebelum Ahmad Sarbani pergi pejabat SPRM,  Allahyarham telah bermain tenis di kawasan kuarters Kelana Jaya dan  memaklumkan rakan-rakannya bahawa ada menerima arahan supaya datang ke  pejabat SPRM pada keesokan pagi.
Rakan zaman kanak-kanak Ahmad Sarbani, Ridzuan Mohamad yang ditemui  di kawasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu  The Malaysian Insider, dia tidak percaya apabila dimaklumkan kematian  penolong pengarah itu.
Ridzuan juga memberitahu tidak logik Ahmad Sarbani boleh membunuh  diri kerana dia sentiasa mempertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.
“Malam tadi (kelmarin) dia panggil saya dan memberitahu saya bahawa  dia sedang disoal siasat oleh SPRM. Dia berkata dia rasa tidak bersalah  kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Dia juga berkata dia akan menghantar satu dokumen esok (semalam), untuk menghantar dokumen,” katanya lagi.
Insiden terbaru ini, yang sekali lagi mengejut dan menggemparkan  negara, berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan  berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock, yang ditemui mati  selepas disiasat SPRM di Shah Alam, dua tahun lalu.
SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai kastam di seluruh negara.
Sebahagian besar daripada telah dibebaskan sementara menanti siasatan susulan.
Pada sidang media semalam,  Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali  berkata mangsa ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi  tadi.
Kata beliau, Ahmad Sarbani datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.
Katanya, Ahmad Sarbani telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah  Persekutuan Kuala Lumpur seorang diri dengan menunggang motosikal dan  meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai  kes terhadapnya.


Comments (0)
Catat Ulasan