Klik "LIKE" jika suka TUK KIYAI: ISU SEMASA

Klik "IKUT" untuk teman TUK KIYAI

Sembang & Pesanan

http://tokkiyai.freeshoutbox.net/

Kerabat Diraja Kelantan Rentung

Label:

(Gambar - KERETA Volvo yang dinaiki Raja Mohammad hangus terbakar selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori simen di persimpangan KLIA, Sepang semalam)

SEPANG - Cubaan seorang pemandu lori simen dan kelindannya untuk menyelamatkan seorang kerabat Diraja Kelantan daripada hangus gagal apabila lelaki itu rentung selepas kereta Volvo dinaikinya terbakar selepas dirempuh kenderaan berat itu dari belakang.

Bagaimanapun, dua lagi penumpang di dalam kereta itu selamat.

Datuk Raja Mohammad Raja Ismail, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas hangus 100 peratus manakala seorang rakan dan anak saudaranya yang dikenali sebagai Tengku Mariani, 26, cedera ringan di kepala apabila sempat diselamatkan.

Kejadian pukul 8.45 malam di kilometer 31.3 Lebuh Raya Elite dekat susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dilanggar lori berkenaan dari belakang menyebabkan kereta itu terseret sejauh 20 meter sebelum terbakar.

Difahamkan, sebaik melihat kereta mangsa dan lorinya terbakar, pemandu dan rakannya bergegas turun sebelum memberi bantuan tetapi malang mereka hanya dapat menyelamatkan rakan dan anak saudara ahli perniagaan itu sahaja.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk menghantar anak saudaranya menaiki penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan.

"Pemandu lori dan kelindan itu mendakwa mereka mengeluarkan kedua-dua mangsa melalui tingkap kereta yang pecah sebelum api marak.

"Bagaimanapun, ketika hendak menyelamatkan seorang lagi mangsa yang tersepit, api sudah mula marak dan membakar keseluruhan kereta termasuk Datuk tersebut," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya sementara jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

-kosmo

Hentikanlah Gangguan Seksual terhadap Lelaki!!

Label:

Klik pada gambar untuk besarkan imej...

P/raya DUN Selangor Mungkin Tidak Diadakan Serentak dengan Negeri Lain

Label:

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijangka akan menggunakan pendekatan memberi notis memanggil pilihan raya umum negeri - amalan julung kali digunakan jika menjadi kenyataan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat pimpinan PR Selangor pada 19 Julai lalu.

Malah pada mesyuarat itu PR juga telah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jikapun Barisan Nasioanl (BN) memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya mahu mengamalkan pendekatan baru ini bagi menyuburkan prinsip demokrasi di negara ini dengan memaklumkan semua pihak bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh tertentu.

“Misalnya, kami mengambil ketetapan bahawa enam bulan sebelum DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum negeri, kami akan memaklumkan kepada umum bahawa pilihan raya negeri akan diadakan.

“Ia bukannya tarikh tepat tetapi sekadar memberi makluman atau notis awal kepada semua parti politik,” kata beliau dengan merujuk kepada amalan di beberapa negara demokrasi lain.

Justeru kata beliau, dengan cara itu semua parti boleh bersiap sedia, tidak seperti dahulu di mana parti-parti politik khususnya pembangkang terperangkap dan terkejut dengan pengumuman pembubaran DUN atau Parlimen oleh kerajaan BN.

Kata Roslan, PR mahu mewujudkan amalan baru di negara ini khususnya di Selangor dengan harapan ia akan menjadi ikutan pada masa-masa akan datang.

“Sebelum ini kita mengadu pilihan raya diadakan secara mengejut, tiada makluman awal yang mencukupi kepada parti-parti politik... oleh itu, kami mahu mewujudkan satu sistem baru di mana semua parti akan mendapat manfaat dari segi persediaan,” katanya.

Minggu lalu Roslan memberitahu The Malaysian Insider, PR Selangor tidak akan membubarkan DUN walaupun BN memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan negeri-negeri yang dikuasai mereka.

PR Selangor mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Selangor salah satu daripada empat negeri yang kini diterajui PR. Tiga negeri yang lain ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh memutuskan untuk memanggil pilihan raya negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Yang Dipertua Negeri.

Perdana Menteri pula boleh berbuat demikian di peringkat pusat dengan menperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya pilihan raya umum negeri dan pusat akan diadakan serentak.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalisis menjangkakan kelainan ekoran perubahan landskap politik negara sejak 8 Mac 2008.

Mandat semasa akan berakhir Mei 2013.

-TMI

Lima Pelajar Perempuan Dicabul Pemandu Van Sekolah!

Label:

(Gambar hiasan)

Kepada ibu bapa yang punya anak perempuan yang pergi ke sekolah dengan van diminta berhati-hati memilih perkhidmatan van sekolah. Selidiki serba sedikit latar belakang pemandunya. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga. Takut-takut pemandu van sekolah adalah individu yang jahat!!

[HM] PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah dipercayai merogol lebih lima murid perempuan berusia 10 tahun yang dibawanya di sekitar daerah ini sejak minggu lalu.

Suspek yang berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit dalam van sekolah dipandunya.

Difahamkan, suspek tidak segan silu merogol mangsa pada siang hari dan di kawasan sesak dengan orang ramai. Menurut sumber, dalam kejadian terbaru Isnin lalu kira-kira jam 12.40 tengah hari, seorang guru tadika yang melalui kawasan luar sebuah sekolah di Jalan Othman di sini, terkejut apabila melihat seorang murid perempuan yang masih berpakaian seragam dirogol dalam sebuah van.

Difahamkan, guru tadika berkenaan membuka pintu van dan menarik murid itu daripada menjadi mangsa rogol lelaki terbabit. Mangsa berjaya diselamatkan guru itu dengan bantuan dua anggota polis peronda yang melalui kawasan kejadian.

“Lelaki terbabit ditahan manakala mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendedahkan perbuatan pemandu van terbabit yang merogol lebih daripada lima murid sekolah yang dibawanya. “Selepas pemandu terbabit mengambil murid yang menggunakan khidmatnya, dia akan menetapkan sasaran mangsanya dengan menghantar murid berkenaan terakhir sekali sebelum merogolnya.

“Pemandu itu turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya. Jurucakap polis berkata, pihaknya percaya suspek sudah lama aktif dan mungkin lebih daripada lima murid sekolah menjadi mangsanya. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan itu dan suspek kini direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kami cuba mengesan mangsa lain,” katanya yang enggan mengulas lanjut. Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kelana Jaya, Arjunaidi berkata, seorang murid tahun enam dicabul seorang pemandu van berusia 37 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa dipercayai seorang diri di dalam van sekolah sebelum suspek memegang kemaluan mangsa.

Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan perbuatan itu menjerit meminta tolong sebelum keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri.

“Setakat ini, kami masih mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Hubungan Romantik Saiful-Farah Perlu Disiasat Bagi Elak Perbicaraan Cacat - Sivarasa

Label:

Pengesahan hubungan romantik antara Timbalan Pendakwa raya, Farah Azlina Latif dengan Saiful Bukhari Azlan, kedua-duanya terlibat dalam perbicaraan kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu disiasat kerana ia memberi implikasi terhadap kes berkenaan.

Peguam, R Sivarasa berkata kegagalan Pejabat Peguam Negara berbuat demikian hanya akan menjadikan perbicaraan kes yang sedia kala dipandang ramai sebagai konspirasi politik, menjadi sebuah perbicaraan yang cacat.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, kecacatan perjalanan perbicaraan kes mudah berlaku dan memberi kelebihan kepada Saiful yang dijangka mudah memanipulasi maklumat yang dimiliki pasukan pendakwa raya.

Hubungan Farah Azlina dengan Saiful Bukhari yang juga saksi utama kes berkenaan didedah sebuah portal berita, sebelum disahkan sendiri Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail tidak lama kemudian.

Sebelum membuat pengesahan kepada media, Gani dilihat terlebih dulu menyediakan alasan bagi mengelak proses pendakwaan terjejas dengan menggugurkan Farah Azlina.

“Implikasinya adalah setakat mana hubungan ini telah membenarkan saksi ini yang juga pengadu memiliki akses kepada maklumat sulit daripada saksi lain, maklumat dalam kertas siasatan.

"Itu menjadi persoalan dan memberi implikasi serius. Ia mungkin mempengaruhi keterangan saksi dalam kes ini. Kalau benar, ini adalah perbicaraan yang cacat dan harus dibatal.

“Gani Patail sendiri mengesahkan Farah Azlina ada hubungan romantik dengan Saiful. Ada dakwaan mengatakan dia memutuskan pertunangannya. Ini menunjukkan hubungan dengan Saiful adalah serius,” katanya.

Sivarasa juga berpendapat alasan kononnya Farah Azlina cuma berperanan sebagai pencatat nota perbicaraan, adalah dangkal kerana sebagai sebuah pasukan, mereka tentunya berkongsi pelbagai maklumat.

“Itu tidak boleh diterima sebab adalah luar biasa mereka yang bekerja sebagai satu pasukan dan kita mudah mengatakan bahawa Farah Azlina tidak ada akses kepada dokumen sekali gus perbicaraan tidak terjejas,” katanya.

Sivarasa yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pengguguran Farah Azlina, tidak mencukupi kerana proses perbicaraan kes berkenaan, sudahpun bermula.

Beliau menegaskan, siasatan menyeluruh mengenai sejauh mana urusan peribadi itu mempengaruhi dan memberi kelebihan kepada Saiful Bukhari, perlu dibuat.

“Apa yang penting sekarang adalah siasatan tapi saya nampak sekarang dalam kenyataan Gani Patail tiada tanda wujud siasatan ini. Nampaknya, pihak pembelaan kena bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

-TVS

Benar Guru Aktif Berpolitik adalah Langkah Silap Umno-BN - Prof. Aziz Bari

Label:

KUALA LUMPUR — Keputusan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini, yang diumumkan adalah satu langkah “terdesak Umno-BN” yang silap, kata penganalisis politik Prof Aziz Bari.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan seharusnya memansuhkan terus Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mengehendaki kakitangan awam memperoleh kebenaran bertulis daripada ketua perkhidmatan awam jika mahu terlibat dalam politik.

“Ia satu langkah yang silap. Dari sudut parti politik Umno, keputusan itu adalah langkah terdesak mereka, mereka cuba untuk menggunakan selok-belok undang-undang dan peraturan (untuk kepentingan Umno-BN) untuk memperdayakan rakyat,” kata Aziz (gambar) ketika ditemui selepas Diskusi KAMI Ketiga yang membincangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di sini hari ini.

“Langkah ini memang tidak logik. Pengumuman Ketua Setiausaha Negara menjadi bahan ketawa,” katanya Aziz lagi.

Aziz memberitahu langkah membenarkan guru-guru kumpulan itu terlibat aktif dalam politik akan menjejaskan aspek keberkecualian guru dalam perkhidmatan awam.

“Kita mahukan satu perkhidmatan awam yang berkecuali, kita berkompromi dengan aspek keberkecualian dengan mengeluarkan perintah baru ini,” kata beliau lagi.

Keputusan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Mengulas lanjut mengenai aspek keberkecualian, Aziz tidak menolak kemungkinan elemen salah guna kuasa dengan memihak kepada parti-parti politik tertentu akan wujud dalam jangka panjang jika langkah baru ini dilaksanakan.

“Kini pun masalah ini sudah wujud, misalnya di universiti-universiti awam yang mengguna pakai AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), sangat jelas kewujudan salah guna kuasa di mana naib-naib canselor boleh menentukan siapa yang boleh mengambil bahagian dalam politik atau tidak.

“Jangan beritahu saya yang naib canselor tidak boleh menentukan sama ada permohonan seseorang untuk menyertai aktif dalam PKR, PAS diluluskan atau tidak, sudah pasti Umno,” kata beliau dengan menambah, persekitaran politik semasa jauh berbeza ketika negara merdeka.

“Sekarang kita ada jumlah yang ramai, yang berminat untuk aktif berpolitik,” kata beliau dengan merujuk bilangan yang berpendidikan cukup tinggi berbanding lima dekad lalu di mana negara bergantung kepada golongan pendidik semata-mata.

Sehubungan itu tegas beliau, golongan pendidik yang berminat untuk aktif berpolitik seharusnya berhenti dari perkhidmatan perguruan.

“Saya tidak tahu apa kajian yang dibuat dan apa alasan yang digunakan dalam mengambil keputusan ini, tetapi (Menteri Pelajaran) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjawab perkara ini,” katanya.

“Ini satu perkara yang nampak tidak betul, keputusan ini membawa mesej bahawa ia akan memburukkan perkhidmatan awam,” kata Aziz yang turut menekankan bahawa beliau hairan dengan makluman Ketua Setiausaha Negara yang gagal menangani isu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus.

Katanya lagi, pengumuman yang dibuat oleh Mohd Sidek, yang sudah pasti dibuat atas keputusan Kabinet, telah menghakis prinsip keberkecualian dalam perkhidmatan awam.

“Mutu perkhidmatan awam patut diperkasakan, bukannya dihakis,” katanya lagi.

Ketika ditanya bukannya langkah terbaru ini akan menguntungkan kesemua parti politik negara ini, Aziz berkata, “atas kertas mungkin betul”.

Bagaimanapun tegas Aziz, beliau melihat kerajaan pusat mengambil tindakan ini kerana kemungkinan berhadapan dengan masalah ketandusan pemimpin yang berkualiti.

-TMI

Benarkah Saiful akan Berkahwin dengan DPP Farah untuk Mengelak Lebih Banyak Persepsi Buruk?

Label:

SHAH ALAM 28 Julai - Setelah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, desas desus timbul Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dikatakan akan berkahwin saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam masa terdekat.

Menurut sumber badan kehakiman yang memberitahu Suara Keadilan, Saiful dan Farah dikatakan bercadang melangsungkan perkahwinan mereka secepat mungkin bagi menggelakkan lebih banyak persepsi buruk masyarakat terhadap mereka.

Hubungan romantik antara mereka terbongkar apabila penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mendedahkan dalam portal berita beliau, MalaysiaToday mengenai hubungan sulit Saiful dengan seorang timbalan pendakwaraya wanita.

Bagaimana pun hubungan cinta yang dirahsiakan itu mendapat kritikan hebat daripada pengamal undang-undang yang melihat pegawai Pejabat Peguam Negara itu telah meletakkan perjalanan pendakwaan terhadap Anwar dalam keadaan yang meragukan.

Ini kerana maklumat kertas siasatan pihak pendakwaan berkemungkinan mampu dibocorkan kepada Saiful yang mempuunyai kepentingan dalam kes tersebut sebagai pengadu.

Menurut laman web Pejabat Peguam Negara, Farah Azlina merupakan Timbalan Pendakwa Raya pada Gred L44.

Sebelum ditukar sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Pendakwaan pada 16 Februari 2010 lalu, Farah Azlina yang dipercayai berusia awal 30an bertugas di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan dalam jawatan yang sama.

Dalam sidang media yang diadakan semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Farah Azlina juga digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan, kurang enam bulan pertukaran beliau, atas alasan mengadakan hubungan romantis dengan Saiful.

Bagaimanapun Abdul Gani tidak menyatakan apakah status Farah Azlina di Pejabat Peguam Negara setelah beliau digugurkan.

Sebelum hubungan dengan Timbalan Pendakwa Raya ini, Saiful dikatakan mengikat tali pertunangan dengan Janna Syariza Mohd Zaki.

SK

Gani Patail Gugurkan DPP Farah kerana Dakwaan Ada Hubungan Sulit dengan Saiful

Label:

Dengan pengguguran Tim. Pendakwa Raya ini, bermaksud apa yang didedahkan oleh Raja Petra adalah benar?

[KOSMO] PUTRAJAYA - Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semalam mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif (gambar) telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Hubungan Sulit Saiful-Pendakwaraya "Cabul" Ketelusan Kes Fitnah II

Label:

SHAH ALAM - Sankara Nair, salah seorang peguam pasukan pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II telah menghantar surat kepada Peguam Negara semalam mendesak penjelasan berhubung dakwaan penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mengenai jalinan sulit antara seorang timbalan pendakwaraya wanita dengan saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Sankara menyifatkan dakwaan Raja Petra sebagai serius dan mempunyai implikasi serius perundangan terhadap prosiding kes berkenaan.

"Walaupun Saiful adalah beliau pengadu tetapi beliau merupakan saksi utama kes berkenaan. Jika dia tahu mengenai butiran siasatan itu hasil hubungan beliau dengan pendakwaraya tersebut itu sudah tentunya akan memberi kesan yang amat besar kepada kes terbabit.

"Pihak kami telah menghantar surat kepada pejabat Peguam Negara pukul 4.30 petang tadi untuk mengetahui sama ada dakwaan itu benar," ujar beliau mengulas dakwaan yang disiarkan portal web MalaysiaToday minggu lalu.

Tambah Sankara, pihaknya kini sedang menunggu jawapan daripada pihak Peguam Negara berhubung dakwaan itu sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mengatakan sebarang keputusan sama ada pendakwaraya wanita itu akan kekal dalam pasukannya akan diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Walau bagaimanapun, Mohd Yusof enggan menyatakan sama ada peguam wanita itu akan digugurkan atau sebaliknya.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh cuti sakit selama dua minggu.

-SK

Melaka Bantu Pelajar Miang Mahu Berkahwin

Label:

[SH] AYER KEROH - Kerajaan Negeri akan membantu pelajar yang ‘miang’ mahu berkahwin bagi membendung maksiat dan zina berleluasa di negeri yang terkenal dengan aktiviti pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, berkahwin muda bukanlah sesuatu yang pelik dan mengarut tetapi jalan penyelesaian masalah sosial yang ditimbulkan pelajar serta remaja.

“Daripada masalah buang bayi akibat hubungan tidak sah menjadi semakin banyak di negeri ini, baik kita benarkan mereka bernikah yang sudah tentu akan melahirkan anak hasil hubungan halal.

“Bagi remaja yang masih bersekolah tetapi mahu berkahwin dan tidak mendapat kebenaran ibu bapa, mereka boleh mengadu kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak JAIM akan bertemu, memujuk ibu bapa serta berbincang supaya membenarkan anak mereka berkahwin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ulang Tahun Ketiga Kampung Buku dan Pelancaran Buku Makan-makan dan Membeli-belah, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Linda Phua Sue Lin.

Mohd Ali berkata, kebanyakan remaja kini melahirkan anak luar nikah kerana tidak dapat mengawal nafsu.

“Biasalah remaja tengah miang, nak kahwin ibu bapa tak benarkan dan disebabkan tidak dapat kawal nafsu, akhirnya mereka melakukan hubungan luar nikah menyebabkan lahirnya anak hasil hubungan tidak sah.

“Tetapi jika mereka berkahwin dalam usia muda, mereka boleh lakukan hubungan yang halal dan jika perempuan itu mengandung pihak sekolah tidak membenarkannya ke sekolah dan mereka boleh masuk Sekolah Murid Mengandung yang Kerajaan Negeri mahu tubuhkan," katanya.

Mengulas idea penubuhan Sekolah Murid Mengandung yang mendapat reaksi negatif Kementerian Pelajaran, Mohd Ali berkata, sekolah itu tetap diteruskan, sama ada mendapat sokongan atau tidak.

“Kerajaan negeri akan terus membina sekolah untuk pelajar perempuan mengandung secara sah tetapi tidak diterima belajar di sekolah biasa.

“Apa pilihan yang ada? Inilah caranya bagi mengelakkan maksiat dan zina berlaku di kalangan pelajar di negeri ini," katanya.

Malaysiakini & Zunar Saman KDN

Label:

Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut. Zunar (kiri) berkata, pengharaman itu merupakan cubaan untuk menekan ekspresi politik dan membataskan pertukaran idea dan pendapat di kalangan rakyat Malaysia.

"Pada pandangan kami pengharaman seperti ini tidak perlu dalam sebuah negara demokrasi seperti ini," katanya dalam sidang media selepas memfailkan saman itu di kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran (bawah) pula berkata, pengharaman itu atas alasan "boleh mengancam ketenteraman awam" merupakan tidak adil sedangkan tiada penjelasan yang jelas diberikan oleh kerajaan.
Kementerian itu juga didakwa tidak memberikan peluang kepada Zunar dan Malaysiakini untuk memberikan respons.

"Selepas buku-buku itu dirampas, Malaysiakini menulis bagi berdialog dengan kementerian tetapi mereka tidak menjawabnya," katanya.

Buku terbitan Malaysiakini, 1Funny Malaysia dan Perak Datul Kartun - diterbitkan syarikat Zunar, Sepakat Efektif Sdn Bhd - dilarang daripada dipamerkan bermula 24 Jun lalu.
Zunar berkata sebelum diharamkan sebanyak 20,000 naskhah Perak Darul Kartun dijual manakala 1Funny Malaysia yang baru memasuki cetakan kedua hanya sempat beredar sebanyak 5,000 naskhah.

Zunar dan Malaysiakini diwakili peguam Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga dan Aston Paiva.

-Malaysiakini

Pengurus Agensi Pekerja Asing Kurung 71 Pekerja Wanita, Dipaksa Tonton Video Lucah!!

Label:

(Gambar hiasan)

Pengurus seperti inilah yang merosakkan imej Malaysia di mata dunia....Kalau nak cari untung pun janganlah sampai menzalimi manusia lain.

[HM] ALOR SETAR: Tindakan seorang pengurus agensi pekerja asing mengurung 71 wanita warga Indonesia di sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Perlis, Kangar, Perlis serta memaksa mereka bekerja dalam bidang selain yang dipohon sejak dua tahun lalu terbongkar apabila tiga daripada pekerja itu meloloskan diri serta melaporkan kepada pihak berkuasa, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim, berkata dalam serbuan jam 11.20 malam kelmarin, pihaknya menemui 68 wanita warga Indonesia berusia 17 hingga 40-an ditempatkan di tingkat dua rumah itu yang diubah suai serta menahan pengurus terbabit juga seorang lelaki berusia 49 tahun.

Beliau berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat orang ramai yang menemui tiga wanita warga Indonesia berusia 20-an itu yang melarikan diri dari rumah berkenaan kelmarin.

“Semua pekerja itu memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan sah, tetapi dipaksa bekerja dalam bidang lain daripada dipohon. “Contohnya ada pekerja sepatutnya bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi dipaksa bekerja sebagai pencuci,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, pekerja terbabit terpaksa tinggal di tingkat dua rumah berkenaan dalam keadaan berasak-asak manakala suspek bersama isteri dan empat anaknya tinggal di tingkat bawah turut dijadikan pejabat suspek.

Nar Azaman berkata, semua pekerja itu dipaksa bekerja di beberapa syarikat pembersihan milik suspek serta orang lain di sekitar Kangar dan mereka juga dihantar dan dijemput dari tempat kerja bagi memastikan mereka tidak melarikan diri.

“Mereka hanya keluar dari rumah itu untuk bekerja saja. Selain itu mereka hanya terkurung di situ. Lebih malang, seluruh kawasan rumah itu dilengkapi 14 kamera litar tertutup mengawasi pergerakan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya turut merampas dua alat renjatan elektrik serta sebuah beg penuh dengan cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) lucah dipercayai milik suspek.

“Beberapa pekerja turut mendakwa suspek memaksa mereka menonton video lucah bersama ketika isterinya ke luar negara. “Kita masih menyiasat sama ada suspek mendera pekerja terbabit berikutan penemuan alat renjatan elektrik itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 kerana mengeksploitasi orang dipaksa bekerja bidang lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda.

Kerajaan Pusat Petualang Sebenar Kes Curi Pasir - Saari Sungip

Label:

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meneruskan gesaan kepada Kerajaan Pusat untuk tidak mensabotaj usaha Kerajaan Negeri Selangor membasmi kegiatan mencuri pasir.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungip berkata Kerajaan Pusat menyuburkan kegiatan mencuri pasir dengan memansuhkan kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Galian Tanah, seraya menjadikan agensi terbabit tidak berupaya untuk memberkas petualang pasir terbabit.

Saari dalam nada berseloroh pada awalnya menyoal siapa gerangan yang bertanggungjawab dalam isu kecurian pasir di Selangor, diikuti dengan penjelasan bagaimana isu kecurian pasir di negeri ini dikatakan sebagai satu usaha terancang oleh Kerajaan Persekutuan.

"Tuan-tuan, siapa yang curi pasir ini? Pencuri. Yang curi pasir ini ialah pencuri. Isu pencuri ini bidang kuasa pihak polis" seloroh Saari.

Berucap dalam ceramah umum "Siapa Curi Pasir", Saari menjelaskan, amalan kerajaan UMNO-BN ketika memerintah Selangor menjadikan masalah pasir di Selangor semakin rumit untuk diselesaikan.

Ianya menjadi semakin teruk apabila berlakunya amalan pendakwaan terpilih serta wujud usaha untuk melindungi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

"Isu pencuri pasir ini ialah masalah penguatkuasaan di peringkat persekutuan. Saya hendak bawa satu isu besar, di dewan pun tidak terbawa sebab tidak dapat maklumat yang sepenuhnya" tambahnya lagi.

Tambahnya, amalan menyelamatkan kroni ini dikukuhkan oleh kerajaan pusat dengan meluluskan akta baru di peringkat Persekutuan pada November 2008 apabila kuasa menahan orang yang mencuri atau pun disyaki mencuri pasir tidak lagi di bawah bidang pegawai penguatkuasa PTD dan PTG.

Penahanan hanya boleh dibuat ketika operasi bersepadu yang melibatkan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan.

Bahkan sekiranya ada kes kecurian yang terbongkar, ianya pantas dibersihkan melalui agensi yang tertakluk dibawah telunjuk kerajaan pusat.

" Ada pendakwaan pun suruh ditarik balik. Ini realitinya yang saya hendak tuan-tuan paham. Bagaimanakah kuasa pendakwaan di peringkat negeri tidak ada. Kalau Timbalan Perdana Menteri, kalau Noh Omar mengatakan bahawa kita ada mencuri pasir".

"Ini kerana kelemahan kepada mereka, kerana pendakwaan lemah, penguatkuasaan memang kita boleh buat tetapi oleh kerana pendakwaan terpilih, kalau dia tengok, kalau ada pencuri itu dari kelompok mereka, maka tidak ada pendakwaan" tambahnya lagi.

Disebabkan itulah ujar Saari, walaupun pihak kerajaan negeri menjalankan penguatkuasaan, namun ia tetap tidak berhasil untuk membanteras kecurian pasir di Selangor secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Dewan Negeri Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama yang akan membawa dan membahaskan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dalam Dewan Negeri.

Rang undang-undang ini bertujuan untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat berkepentingan awam supaya setiap individu punyai peluang akses kepada maklumat setiap jabatan negeri.

Selain untuk merakyatkan informasi, ia juga akan menjadi perantara usaha yang dijalankan kerajaan negeri agar rakyat tidak mudah tertipu sekiranya timbulnya isu yang sengaja dimanipulasi oleh kerajaan pusat.

" Telus, kontraktor baik, developer baik, pemaju, peniaga, usahawan, korporat yang ada urusan dengan dana rakyat dari jabatan-jabatan kerajaan negeri dan jabatan kerajaan tempatan, tuan-tuan boleh minta maklumat".

Menurut Saari, dengan tertubuhnya jawatankuasa berkenaan, maka rakyat berpeluang untuk mengetahui perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Inilah yang menyebabkan UMNO panic. Maknanya lepas ini, selepas jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya ini di bawa ke dalam dewan, sekurang-kurangnya pada bulan Mac tahun depan rakyat berhak tahu siapa yang dapat kontrak pasir selama ini dengan Selangor".

"Siapa yang bekalkan lori, siapa yang bekalkan kren, siapa bekalkan pasir, siapa jadi gengstar, siapa Ketua Cawangan, siapa Ketua Bahagian yang dapat saham".

-TVS

Kerabat Diraja Kelantan Rentung
Jumaat, Julai 30, 2010 | Author: Tuk Kiyai
(Gambar - KERETA Volvo yang dinaiki Raja Mohammad hangus terbakar selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori simen di persimpangan KLIA, Sepang semalam)

SEPANG - Cubaan seorang pemandu lori simen dan kelindannya untuk menyelamatkan seorang kerabat Diraja Kelantan daripada hangus gagal apabila lelaki itu rentung selepas kereta Volvo dinaikinya terbakar selepas dirempuh kenderaan berat itu dari belakang.

Bagaimanapun, dua lagi penumpang di dalam kereta itu selamat.

Datuk Raja Mohammad Raja Ismail, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas hangus 100 peratus manakala seorang rakan dan anak saudaranya yang dikenali sebagai Tengku Mariani, 26, cedera ringan di kepala apabila sempat diselamatkan.

Kejadian pukul 8.45 malam di kilometer 31.3 Lebuh Raya Elite dekat susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dilanggar lori berkenaan dari belakang menyebabkan kereta itu terseret sejauh 20 meter sebelum terbakar.

Difahamkan, sebaik melihat kereta mangsa dan lorinya terbakar, pemandu dan rakannya bergegas turun sebelum memberi bantuan tetapi malang mereka hanya dapat menyelamatkan rakan dan anak saudara ahli perniagaan itu sahaja.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk menghantar anak saudaranya menaiki penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan.

"Pemandu lori dan kelindan itu mendakwa mereka mengeluarkan kedua-dua mangsa melalui tingkap kereta yang pecah sebelum api marak.

"Bagaimanapun, ketika hendak menyelamatkan seorang lagi mangsa yang tersepit, api sudah mula marak dan membakar keseluruhan kereta termasuk Datuk tersebut," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya sementara jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

-kosmo

Hentikanlah Gangguan Seksual terhadap Lelaki!!
Jumaat, Julai 30, 2010 | Author: Tuk Kiyai
Klik pada gambar untuk besarkan imej...
KUALA LUMPUR, 30 Julai — Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijangka akan menggunakan pendekatan memberi notis memanggil pilihan raya umum negeri - amalan julung kali digunakan jika menjadi kenyataan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat pimpinan PR Selangor pada 19 Julai lalu.

Malah pada mesyuarat itu PR juga telah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jikapun Barisan Nasioanl (BN) memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya mahu mengamalkan pendekatan baru ini bagi menyuburkan prinsip demokrasi di negara ini dengan memaklumkan semua pihak bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh tertentu.

“Misalnya, kami mengambil ketetapan bahawa enam bulan sebelum DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum negeri, kami akan memaklumkan kepada umum bahawa pilihan raya negeri akan diadakan.

“Ia bukannya tarikh tepat tetapi sekadar memberi makluman atau notis awal kepada semua parti politik,” kata beliau dengan merujuk kepada amalan di beberapa negara demokrasi lain.

Justeru kata beliau, dengan cara itu semua parti boleh bersiap sedia, tidak seperti dahulu di mana parti-parti politik khususnya pembangkang terperangkap dan terkejut dengan pengumuman pembubaran DUN atau Parlimen oleh kerajaan BN.

Kata Roslan, PR mahu mewujudkan amalan baru di negara ini khususnya di Selangor dengan harapan ia akan menjadi ikutan pada masa-masa akan datang.

“Sebelum ini kita mengadu pilihan raya diadakan secara mengejut, tiada makluman awal yang mencukupi kepada parti-parti politik... oleh itu, kami mahu mewujudkan satu sistem baru di mana semua parti akan mendapat manfaat dari segi persediaan,” katanya.

Minggu lalu Roslan memberitahu The Malaysian Insider, PR Selangor tidak akan membubarkan DUN walaupun BN memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan negeri-negeri yang dikuasai mereka.

PR Selangor mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Selangor salah satu daripada empat negeri yang kini diterajui PR. Tiga negeri yang lain ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh memutuskan untuk memanggil pilihan raya negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Yang Dipertua Negeri.

Perdana Menteri pula boleh berbuat demikian di peringkat pusat dengan menperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya pilihan raya umum negeri dan pusat akan diadakan serentak.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalisis menjangkakan kelainan ekoran perubahan landskap politik negara sejak 8 Mac 2008.

Mandat semasa akan berakhir Mei 2013.

-TMI

Lima Pelajar Perempuan Dicabul Pemandu Van Sekolah!
Khamis, Julai 29, 2010 | Author: Tuk Kiyai
(Gambar hiasan)

Kepada ibu bapa yang punya anak perempuan yang pergi ke sekolah dengan van diminta berhati-hati memilih perkhidmatan van sekolah. Selidiki serba sedikit latar belakang pemandunya. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga. Takut-takut pemandu van sekolah adalah individu yang jahat!!

[HM] PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah dipercayai merogol lebih lima murid perempuan berusia 10 tahun yang dibawanya di sekitar daerah ini sejak minggu lalu.

Suspek yang berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit dalam van sekolah dipandunya.

Difahamkan, suspek tidak segan silu merogol mangsa pada siang hari dan di kawasan sesak dengan orang ramai. Menurut sumber, dalam kejadian terbaru Isnin lalu kira-kira jam 12.40 tengah hari, seorang guru tadika yang melalui kawasan luar sebuah sekolah di Jalan Othman di sini, terkejut apabila melihat seorang murid perempuan yang masih berpakaian seragam dirogol dalam sebuah van.

Difahamkan, guru tadika berkenaan membuka pintu van dan menarik murid itu daripada menjadi mangsa rogol lelaki terbabit. Mangsa berjaya diselamatkan guru itu dengan bantuan dua anggota polis peronda yang melalui kawasan kejadian.

“Lelaki terbabit ditahan manakala mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendedahkan perbuatan pemandu van terbabit yang merogol lebih daripada lima murid sekolah yang dibawanya. “Selepas pemandu terbabit mengambil murid yang menggunakan khidmatnya, dia akan menetapkan sasaran mangsanya dengan menghantar murid berkenaan terakhir sekali sebelum merogolnya.

“Pemandu itu turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya. Jurucakap polis berkata, pihaknya percaya suspek sudah lama aktif dan mungkin lebih daripada lima murid sekolah menjadi mangsanya. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan itu dan suspek kini direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kami cuba mengesan mangsa lain,” katanya yang enggan mengulas lanjut. Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kelana Jaya, Arjunaidi berkata, seorang murid tahun enam dicabul seorang pemandu van berusia 37 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa dipercayai seorang diri di dalam van sekolah sebelum suspek memegang kemaluan mangsa.

Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan perbuatan itu menjerit meminta tolong sebelum keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri.

“Setakat ini, kami masih mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pengesahan hubungan romantik antara Timbalan Pendakwa raya, Farah Azlina Latif dengan Saiful Bukhari Azlan, kedua-duanya terlibat dalam perbicaraan kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu disiasat kerana ia memberi implikasi terhadap kes berkenaan.

Peguam, R Sivarasa berkata kegagalan Pejabat Peguam Negara berbuat demikian hanya akan menjadikan perbicaraan kes yang sedia kala dipandang ramai sebagai konspirasi politik, menjadi sebuah perbicaraan yang cacat.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, kecacatan perjalanan perbicaraan kes mudah berlaku dan memberi kelebihan kepada Saiful yang dijangka mudah memanipulasi maklumat yang dimiliki pasukan pendakwa raya.

Hubungan Farah Azlina dengan Saiful Bukhari yang juga saksi utama kes berkenaan didedah sebuah portal berita, sebelum disahkan sendiri Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail tidak lama kemudian.

Sebelum membuat pengesahan kepada media, Gani dilihat terlebih dulu menyediakan alasan bagi mengelak proses pendakwaan terjejas dengan menggugurkan Farah Azlina.

“Implikasinya adalah setakat mana hubungan ini telah membenarkan saksi ini yang juga pengadu memiliki akses kepada maklumat sulit daripada saksi lain, maklumat dalam kertas siasatan.

"Itu menjadi persoalan dan memberi implikasi serius. Ia mungkin mempengaruhi keterangan saksi dalam kes ini. Kalau benar, ini adalah perbicaraan yang cacat dan harus dibatal.

“Gani Patail sendiri mengesahkan Farah Azlina ada hubungan romantik dengan Saiful. Ada dakwaan mengatakan dia memutuskan pertunangannya. Ini menunjukkan hubungan dengan Saiful adalah serius,” katanya.

Sivarasa juga berpendapat alasan kononnya Farah Azlina cuma berperanan sebagai pencatat nota perbicaraan, adalah dangkal kerana sebagai sebuah pasukan, mereka tentunya berkongsi pelbagai maklumat.

“Itu tidak boleh diterima sebab adalah luar biasa mereka yang bekerja sebagai satu pasukan dan kita mudah mengatakan bahawa Farah Azlina tidak ada akses kepada dokumen sekali gus perbicaraan tidak terjejas,” katanya.

Sivarasa yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pengguguran Farah Azlina, tidak mencukupi kerana proses perbicaraan kes berkenaan, sudahpun bermula.

Beliau menegaskan, siasatan menyeluruh mengenai sejauh mana urusan peribadi itu mempengaruhi dan memberi kelebihan kepada Saiful Bukhari, perlu dibuat.

“Apa yang penting sekarang adalah siasatan tapi saya nampak sekarang dalam kenyataan Gani Patail tiada tanda wujud siasatan ini. Nampaknya, pihak pembelaan kena bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

-TVS
KUALA LUMPUR — Keputusan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini, yang diumumkan adalah satu langkah “terdesak Umno-BN” yang silap, kata penganalisis politik Prof Aziz Bari.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan seharusnya memansuhkan terus Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mengehendaki kakitangan awam memperoleh kebenaran bertulis daripada ketua perkhidmatan awam jika mahu terlibat dalam politik.

“Ia satu langkah yang silap. Dari sudut parti politik Umno, keputusan itu adalah langkah terdesak mereka, mereka cuba untuk menggunakan selok-belok undang-undang dan peraturan (untuk kepentingan Umno-BN) untuk memperdayakan rakyat,” kata Aziz (gambar) ketika ditemui selepas Diskusi KAMI Ketiga yang membincangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di sini hari ini.

“Langkah ini memang tidak logik. Pengumuman Ketua Setiausaha Negara menjadi bahan ketawa,” katanya Aziz lagi.

Aziz memberitahu langkah membenarkan guru-guru kumpulan itu terlibat aktif dalam politik akan menjejaskan aspek keberkecualian guru dalam perkhidmatan awam.

“Kita mahukan satu perkhidmatan awam yang berkecuali, kita berkompromi dengan aspek keberkecualian dengan mengeluarkan perintah baru ini,” kata beliau lagi.

Keputusan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Mengulas lanjut mengenai aspek keberkecualian, Aziz tidak menolak kemungkinan elemen salah guna kuasa dengan memihak kepada parti-parti politik tertentu akan wujud dalam jangka panjang jika langkah baru ini dilaksanakan.

“Kini pun masalah ini sudah wujud, misalnya di universiti-universiti awam yang mengguna pakai AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), sangat jelas kewujudan salah guna kuasa di mana naib-naib canselor boleh menentukan siapa yang boleh mengambil bahagian dalam politik atau tidak.

“Jangan beritahu saya yang naib canselor tidak boleh menentukan sama ada permohonan seseorang untuk menyertai aktif dalam PKR, PAS diluluskan atau tidak, sudah pasti Umno,” kata beliau dengan menambah, persekitaran politik semasa jauh berbeza ketika negara merdeka.

“Sekarang kita ada jumlah yang ramai, yang berminat untuk aktif berpolitik,” kata beliau dengan merujuk bilangan yang berpendidikan cukup tinggi berbanding lima dekad lalu di mana negara bergantung kepada golongan pendidik semata-mata.

Sehubungan itu tegas beliau, golongan pendidik yang berminat untuk aktif berpolitik seharusnya berhenti dari perkhidmatan perguruan.

“Saya tidak tahu apa kajian yang dibuat dan apa alasan yang digunakan dalam mengambil keputusan ini, tetapi (Menteri Pelajaran) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjawab perkara ini,” katanya.

“Ini satu perkara yang nampak tidak betul, keputusan ini membawa mesej bahawa ia akan memburukkan perkhidmatan awam,” kata Aziz yang turut menekankan bahawa beliau hairan dengan makluman Ketua Setiausaha Negara yang gagal menangani isu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus.

Katanya lagi, pengumuman yang dibuat oleh Mohd Sidek, yang sudah pasti dibuat atas keputusan Kabinet, telah menghakis prinsip keberkecualian dalam perkhidmatan awam.

“Mutu perkhidmatan awam patut diperkasakan, bukannya dihakis,” katanya lagi.

Ketika ditanya bukannya langkah terbaru ini akan menguntungkan kesemua parti politik negara ini, Aziz berkata, “atas kertas mungkin betul”.

Bagaimanapun tegas Aziz, beliau melihat kerajaan pusat mengambil tindakan ini kerana kemungkinan berhadapan dengan masalah ketandusan pemimpin yang berkualiti.

-TMI

SHAH ALAM 28 Julai - Setelah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, desas desus timbul Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dikatakan akan berkahwin saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam masa terdekat.

Menurut sumber badan kehakiman yang memberitahu Suara Keadilan, Saiful dan Farah dikatakan bercadang melangsungkan perkahwinan mereka secepat mungkin bagi menggelakkan lebih banyak persepsi buruk masyarakat terhadap mereka.

Hubungan romantik antara mereka terbongkar apabila penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mendedahkan dalam portal berita beliau, MalaysiaToday mengenai hubungan sulit Saiful dengan seorang timbalan pendakwaraya wanita.

Bagaimana pun hubungan cinta yang dirahsiakan itu mendapat kritikan hebat daripada pengamal undang-undang yang melihat pegawai Pejabat Peguam Negara itu telah meletakkan perjalanan pendakwaan terhadap Anwar dalam keadaan yang meragukan.

Ini kerana maklumat kertas siasatan pihak pendakwaan berkemungkinan mampu dibocorkan kepada Saiful yang mempuunyai kepentingan dalam kes tersebut sebagai pengadu.

Menurut laman web Pejabat Peguam Negara, Farah Azlina merupakan Timbalan Pendakwa Raya pada Gred L44.

Sebelum ditukar sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Pendakwaan pada 16 Februari 2010 lalu, Farah Azlina yang dipercayai berusia awal 30an bertugas di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan dalam jawatan yang sama.

Dalam sidang media yang diadakan semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Farah Azlina juga digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan, kurang enam bulan pertukaran beliau, atas alasan mengadakan hubungan romantis dengan Saiful.

Bagaimanapun Abdul Gani tidak menyatakan apakah status Farah Azlina di Pejabat Peguam Negara setelah beliau digugurkan.

Sebelum hubungan dengan Timbalan Pendakwa Raya ini, Saiful dikatakan mengikat tali pertunangan dengan Janna Syariza Mohd Zaki.

SK

Dengan pengguguran Tim. Pendakwa Raya ini, bermaksud apa yang didedahkan oleh Raja Petra adalah benar?

[KOSMO] PUTRAJAYA - Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semalam mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif (gambar) telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Hubungan Sulit Saiful-Pendakwaraya "Cabul" Ketelusan Kes Fitnah II
Selasa, Julai 27, 2010 | Author: Tuk Kiyai
SHAH ALAM - Sankara Nair, salah seorang peguam pasukan pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II telah menghantar surat kepada Peguam Negara semalam mendesak penjelasan berhubung dakwaan penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mengenai jalinan sulit antara seorang timbalan pendakwaraya wanita dengan saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Sankara menyifatkan dakwaan Raja Petra sebagai serius dan mempunyai implikasi serius perundangan terhadap prosiding kes berkenaan.

"Walaupun Saiful adalah beliau pengadu tetapi beliau merupakan saksi utama kes berkenaan. Jika dia tahu mengenai butiran siasatan itu hasil hubungan beliau dengan pendakwaraya tersebut itu sudah tentunya akan memberi kesan yang amat besar kepada kes terbabit.

"Pihak kami telah menghantar surat kepada pejabat Peguam Negara pukul 4.30 petang tadi untuk mengetahui sama ada dakwaan itu benar," ujar beliau mengulas dakwaan yang disiarkan portal web MalaysiaToday minggu lalu.

Tambah Sankara, pihaknya kini sedang menunggu jawapan daripada pihak Peguam Negara berhubung dakwaan itu sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mengatakan sebarang keputusan sama ada pendakwaraya wanita itu akan kekal dalam pasukannya akan diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Walau bagaimanapun, Mohd Yusof enggan menyatakan sama ada peguam wanita itu akan digugurkan atau sebaliknya.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh cuti sakit selama dua minggu.

-SK

Melaka Bantu Pelajar Miang Mahu Berkahwin
Selasa, Julai 27, 2010 | Author: Tuk Kiyai

[SH] AYER KEROH - Kerajaan Negeri akan membantu pelajar yang ‘miang’ mahu berkahwin bagi membendung maksiat dan zina berleluasa di negeri yang terkenal dengan aktiviti pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, berkahwin muda bukanlah sesuatu yang pelik dan mengarut tetapi jalan penyelesaian masalah sosial yang ditimbulkan pelajar serta remaja.

“Daripada masalah buang bayi akibat hubungan tidak sah menjadi semakin banyak di negeri ini, baik kita benarkan mereka bernikah yang sudah tentu akan melahirkan anak hasil hubungan halal.

“Bagi remaja yang masih bersekolah tetapi mahu berkahwin dan tidak mendapat kebenaran ibu bapa, mereka boleh mengadu kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak JAIM akan bertemu, memujuk ibu bapa serta berbincang supaya membenarkan anak mereka berkahwin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ulang Tahun Ketiga Kampung Buku dan Pelancaran Buku Makan-makan dan Membeli-belah, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Linda Phua Sue Lin.

Mohd Ali berkata, kebanyakan remaja kini melahirkan anak luar nikah kerana tidak dapat mengawal nafsu.

“Biasalah remaja tengah miang, nak kahwin ibu bapa tak benarkan dan disebabkan tidak dapat kawal nafsu, akhirnya mereka melakukan hubungan luar nikah menyebabkan lahirnya anak hasil hubungan tidak sah.

“Tetapi jika mereka berkahwin dalam usia muda, mereka boleh lakukan hubungan yang halal dan jika perempuan itu mengandung pihak sekolah tidak membenarkannya ke sekolah dan mereka boleh masuk Sekolah Murid Mengandung yang Kerajaan Negeri mahu tubuhkan," katanya.

Mengulas idea penubuhan Sekolah Murid Mengandung yang mendapat reaksi negatif Kementerian Pelajaran, Mohd Ali berkata, sekolah itu tetap diteruskan, sama ada mendapat sokongan atau tidak.

“Kerajaan negeri akan terus membina sekolah untuk pelajar perempuan mengandung secara sah tetapi tidak diterima belajar di sekolah biasa.

“Apa pilihan yang ada? Inilah caranya bagi mengelakkan maksiat dan zina berlaku di kalangan pelajar di negeri ini," katanya.
Malaysiakini & Zunar Saman KDN
Selasa, Julai 27, 2010 | Author: Tuk Kiyai

Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut. Zunar (kiri) berkata, pengharaman itu merupakan cubaan untuk menekan ekspresi politik dan membataskan pertukaran idea dan pendapat di kalangan rakyat Malaysia.

"Pada pandangan kami pengharaman seperti ini tidak perlu dalam sebuah negara demokrasi seperti ini," katanya dalam sidang media selepas memfailkan saman itu di kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran (bawah) pula berkata, pengharaman itu atas alasan "boleh mengancam ketenteraman awam" merupakan tidak adil sedangkan tiada penjelasan yang jelas diberikan oleh kerajaan.
Kementerian itu juga didakwa tidak memberikan peluang kepada Zunar dan Malaysiakini untuk memberikan respons.

"Selepas buku-buku itu dirampas, Malaysiakini menulis bagi berdialog dengan kementerian tetapi mereka tidak menjawabnya," katanya.

Buku terbitan Malaysiakini, 1Funny Malaysia dan Perak Datul Kartun - diterbitkan syarikat Zunar, Sepakat Efektif Sdn Bhd - dilarang daripada dipamerkan bermula 24 Jun lalu.
Zunar berkata sebelum diharamkan sebanyak 20,000 naskhah Perak Darul Kartun dijual manakala 1Funny Malaysia yang baru memasuki cetakan kedua hanya sempat beredar sebanyak 5,000 naskhah.

Zunar dan Malaysiakini diwakili peguam Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga dan Aston Paiva.

-Malaysiakini
(Gambar hiasan)

Pengurus seperti inilah yang merosakkan imej Malaysia di mata dunia....Kalau nak cari untung pun janganlah sampai menzalimi manusia lain.

[HM] ALOR SETAR: Tindakan seorang pengurus agensi pekerja asing mengurung 71 wanita warga Indonesia di sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Perlis, Kangar, Perlis serta memaksa mereka bekerja dalam bidang selain yang dipohon sejak dua tahun lalu terbongkar apabila tiga daripada pekerja itu meloloskan diri serta melaporkan kepada pihak berkuasa, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim, berkata dalam serbuan jam 11.20 malam kelmarin, pihaknya menemui 68 wanita warga Indonesia berusia 17 hingga 40-an ditempatkan di tingkat dua rumah itu yang diubah suai serta menahan pengurus terbabit juga seorang lelaki berusia 49 tahun.

Beliau berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat orang ramai yang menemui tiga wanita warga Indonesia berusia 20-an itu yang melarikan diri dari rumah berkenaan kelmarin.

“Semua pekerja itu memiliki permit kerja dan dokumen perjalanan sah, tetapi dipaksa bekerja dalam bidang lain daripada dipohon. “Contohnya ada pekerja sepatutnya bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi dipaksa bekerja sebagai pencuci,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, pekerja terbabit terpaksa tinggal di tingkat dua rumah berkenaan dalam keadaan berasak-asak manakala suspek bersama isteri dan empat anaknya tinggal di tingkat bawah turut dijadikan pejabat suspek.

Nar Azaman berkata, semua pekerja itu dipaksa bekerja di beberapa syarikat pembersihan milik suspek serta orang lain di sekitar Kangar dan mereka juga dihantar dan dijemput dari tempat kerja bagi memastikan mereka tidak melarikan diri.

“Mereka hanya keluar dari rumah itu untuk bekerja saja. Selain itu mereka hanya terkurung di situ. Lebih malang, seluruh kawasan rumah itu dilengkapi 14 kamera litar tertutup mengawasi pergerakan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya turut merampas dua alat renjatan elektrik serta sebuah beg penuh dengan cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) lucah dipercayai milik suspek.

“Beberapa pekerja turut mendakwa suspek memaksa mereka menonton video lucah bersama ketika isterinya ke luar negara. “Kita masih menyiasat sama ada suspek mendera pekerja terbabit berikutan penemuan alat renjatan elektrik itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 kerana mengeksploitasi orang dipaksa bekerja bidang lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda.

Kerajaan Pusat Petualang Sebenar Kes Curi Pasir - Saari Sungip
Isnin, Julai 26, 2010 | Author: Tuk Kiyai