Klik "LIKE" jika suka TUK KIYAI: ISU SEMASA

Klik "IKUT" untuk teman TUK KIYAI

Sembang & Pesanan

http://tokkiyai.freeshoutbox.net/

Saifuddin: Saya juga kagumi Khomeini

Bukti yang didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung dakwaan bahawa timbalan presiden PAS Mohamad Sabu seorang pengikut Syiah tidak meyakinkan bekas anggota kabinet Datuk Saifuddin Abdullah.

KDN hari ini antara lainnya membangkitkan bahawa Mohamad pernah menyatakan kekaguman ke atas kepemimpinan dan perjuangan revolusi Iran 1979 Imam Ruhollah Khomeini.

Saifuddin dalam tulisan di Twitter berkata, beliau juga mengagumi Khomeini, dan juga tokoh revolusi lain seperti ikon anti-apartheid Nelson Mandela, pemimpin gerila Bolivia Che Guevara, dan pejuang kebebasan India Mahatma Gandhi.

"Saya kagum Mandela, Che Guevara, Ghandi, Mother Theresa. Adakah bermakna saya Kristian, komunis, Hindu?

"Saya juga kagumi Khomeini. Adakah saya Syiah?," tulis bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.

Seorang lagi bekas anggota Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim juga menyatakan rasa hairan dengan alasan KDN tersebut, yang disifatkannya sebagai "karut".

"Apa dah jadi? Apa salah kalau saya kagumi Khomeini? Atau (pejuang hak sivil golongan kulit hitam) Martin Luther (King Jr) atau (tokoh falsafah Cina) Confucius.

"Bukan berti saya tukar agama atau akidah. Karut," tulisnya.

Turut hairan dengan alasan KDN itu ialah Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh yang berpendapat sumber yang digunakan untuk siasatan tersebut sepatutnya digunakan untuk membanteras jenayah.

"Tentulah lebih baik jika sumber dan masa mereka digunakan untuk memerangji jenayah dan bukannya Mat Sabu," kata ADUN DAP itu di laman sosial tersebut.

KDN menyenarai bukti ke atas dakwaan berkenaan, dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang ini.

Ketua setiausaha kementerian tersebut Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi antara lainnya menyatakan bekas tahanan ISA itu juga pernah 'berselawat' sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada 2005.

Rahim berkata maklumat itu hasil dari temuramah antara pegawai KDN Zamihan Mat Zin bersama Ahli Majlis Fatwa Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi.

Menurutnya, Mohamad juga pernah memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan Hassan Nasrullah.

Rahim berkata Mohamad juga kerap kali berulang-alik ke Iran untuk beberapa urusan seperti program penghantaran pelajar di Qom, Iran dan sudah empat-lima kali bertemu Hassan.
-malaysiakini

Insiden Tembakan Di Pejabat Pemaju Kg Hakka

Gambar Hiasan

SEREMBAN: Beberapa das tembakan dilepaskan di pejabat pemaju yang terlibat dengan saman terhadap penduduk kampung di Kampung Hakka di Mantin, pada awal pagi Rabu.

Setakat ini, masih belum dikenal pasti berapa banyak tembakan dilepaskan tetapi berdasarkan siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya lima peluru ditemui di tempat kejadian.

Pasukan polis forensik dengan segera ke tempat kejadian bagi mencari petunjuk.

Pemaju tersebut terlibat dengan kes mahkamah dengan penduduk kampung berhubung kawasan tanah sejak 2011.

Lebih 90 isi rumah menerima pampasan dan berpindah dari kawasan itu manakala baki penduduk kampung yang lain membawa kes itu ke mahkamah.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada bulan lepas berpihak kepada pemaju. Bagaimanapun, penduduk kampung membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Difahamkan, penduduk kampung telah mengemukakan tuntutan kepada pemaju supaya menaikkan jumlah pampasan.

Bekas KP Imigresen kena 6 tahun penjara

Abdul Wahid dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM60,000. - Foto Effendy Rashid

Abdul Wahid didapati bersalah terima suapan RM60,000

Kuala Lumpur: Dibebas dan dipenjarakan oleh hakim yang sama.

Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dipenjara enam tahun dengan denda RM300,000 atau tambahan setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh menerusi peguam belanya, Datuk V Sithambaran, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wahid, 60, yang hadir dengan ditemani isterinya, kelihatan tenang sebaik Rosbiahanin membacakan keputusan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai semalam.

Terdahulu, hakim menolak permohonan Sithambaran, supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan.

Rosbiahanin dalam penghakimannya, bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa keterangan pembelaan tertuduh adalah difikirkan kemudian dan bersifat rekaan serta penafian semata-mata.
“Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan berkenaan,” katanya.

Wahid didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian, sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, jam 10.15 malam pada 10 Julai 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid daripada tuduhan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan pihak pendakwaan selepas itu turut mengekalkan keputusan sama.-BeritaHarian

Keluarga Azizan tuntut Muhyiddin minta maaf

Anak kepada almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta maaf atas ucapannya yang mengaitkan bekas menteri besar itu sewaktu mempertahankan tindakan kerajaan menghapuskan subsidi gula.

Kenyataan itu dibuat anak kelima Azizan, Mohd Rafi'ie Azizan, 32 tahun pada sidang media di pusat operasi PAS pagi tadi.

"Saya mewakili kedua-dua bonda saya, adik-beradik saya serta sanak saudara Ustaz Azizan begitu terguris hati dengan kenyataan yang telah dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen pada 26 Oktober 2013, genap sebulan kembalinya ayahanda ke rahmatullah.

"Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan allahyarham ayahanda dan kerinduan kami kepada ayahanda masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

"Kami memohon YAB TPM yang kami hormati agar memohon maaf secara terbuka kepada kedua-dua bonda saya yang tercinta! Adik-beradik saya dan sanak saudara. Sama ada yang dekat mahu pun yang jauh, yang telah tersinggung dengan ucapan itu," katanya.

Muhyiddin kelmarin mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014.

Menurutnya, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai Azizan.

Azizan terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis. Bekas menteri besar Kedah itu meninggal dunia pada 26 September lalu.-Malaysiakini

..polis tidak menjumpai abu mayat mendiang Chin Peng dalam bagasi yang diperiksa - Ketua Polis P.Pinang

'Datuk Seri' miliki barang Chin Peng ditahan

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan dipercayai bergelar Datuk Seri dan seorang rakyat Hong Kong kerana disyaki memiliki beberapa bahan berkaitan komunis dan bekas pemimpin komunis Chin Peng, di sini malam ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata hasil pemeriksaan ke atas bagasi mereka, polis menemui 13 buku berkaitan komunis selain 11 cendera hati dan lapan DVD bertemakan Chin Peng selain gambar mendiang Chin Peng.

Suspek warga tempatan berusia 66 tahun dan warga Hong Kong berumur 59 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk pemeriksaan lanjut.

"Mereka dipercayai membawa bahan yang mungkin untuk kegunaan sendiri atau edaran. Buku itu menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Cina," katanya kepada pemberita.

Difahamkan kedua-dua lelaki itu tiba dengan penerbangan komersial dari Bangkok dan ditahan kira-kira 10.30 malam di balai ketibaan selepas 30 minit pesawat mendarat.

Kepada satu pertanyaan, Abdul Rahim berkata polis tidak menjumpai abu mayat mendiang Chin Peng dalam bagasi yang diperiksa.

Menurutnya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Chin Peng, 89, meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok minggu lepas akibat sakit tua. - Bernama
-sinarharian

Suhaimi nafi kereta mewah dirampas SPRM miliknya

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet, Datuk Suhaimi Ibrahim hari ini menafikan laporan akhbar semalam bahawa sejumlah kereta mewah yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah milik beliau.

"Tidak satu pun kereta saya ditahan oleh SPRM," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Suhaimi juga mendakwa bukan beliau seorang sahaja yang dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan berkaitan satu projek kerajaan, tetapi juga beberapa individu lain.

SPRM baru-baru ini mengesahkan suruhanjaya itu sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan telah memanggil seorang bekas setiausaha politik untuk membantu siasatan. - Bernama

Berbalas mesej dan gambar lucah dengan isteri orang: Ini komen Adi Putra

Adi Putra‬ Tidak Rasa Malu Kontroversi Skandal

PETALING JAYA: Kontroversi pelakon Adi Putra yang didakwa mempunyai skandal dengan isteri orang langsung tidak membuatkan aktor itu berasa malu berhadapan dengan masyarakat sekeliling.‬

‪Adi, 32, berkata, dia akur, sebagai selebriti dia tidak perlu berasa takut berhadapan dengan sesiapa pun kerana tahu kebenaran sebenar.‬

‪"Sebagai manusia kita ada rasa segan dalam apa-apa situasi tetapi saya harus akur bahawa saya seorang artis, perlu lalui apa-apa situasi sekalipun.‬

‪"Begitu juga dengan perkara ini (isu skandal), saya perlu menempuh dugaan ini dan berhadapan dengan khalayak secara profesional," katanya.‬

‪Adi ditemui pada majlis pratonton filem KL Gangster 2 di TGV One Utama, di sini, pada malam Isnin.

Isterinya, Aida Yusof, 37, turut hadir pada majlis tersebut.‬

‪Pasa 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.‬

‪Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu.‬

‪Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.

‪Sementara itu, Adi berkata, sejak kontroversi itu tercetus, isterinya pula terkena tempias apabila ada pihak di laman Twitter mengejek Aida kononnya dia masih tidak 'buka mata' dengan peristiwa itu.

‪"Setakat ini isteri sentiasa berada di sisi saya ketika susah dan senang. Orang kata rumah tangga kami goyah? Biarlah apa yang orang nak fikir," ujarnya.‬

‪Tambah Adi dia juga enggan menjelaskan perkara sebenar berhubung kontroversi itu kerana siasatan masih dijalankan.‬

‪"Jangan risau, bila semua sudah selesai, saya akan keluarkan kenyataan media," jelasnya.‬ -mStar

Tanda Putera gagal capai sasaran, hanya kutip RM500 ribu

Filem kontroversi Tanda Putera gagal mencapai sasaran pecah panggung pada minggu pertama tayangannya menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Filem memaparkan babak yang boleh dipersoalkan berhubung rusuhan kaum 13 Mei itu mula ditayangkan Khamis lalu, tetapi hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan hingga Isnin.

“Ini sangat memalukan dan menyedihkan,” kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof dan memberitahu kos produksi filem itu berjumlah RM4.8 juta.

Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.

Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

“Tanda Putera sebuah filem yang bagus namun selera penonton berbeza-beza. Disebabkan kurang sambutan yang diterima, filem berkenaan harus ditayangkan di panggung yang lebih kecil.

“Kontroversi yang melanda filem itu bukan penyebab ia kurang sambutan, tetapi genre filem berkenaan yang tidak menepati selera penonton masa kini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerugian yang dialami kerajaan berhubung tiada sambutan terhadap tayangan filem berkenaan, Mustapha berkata, filem sejarah tidak perlu dikira untung ruginya kerana setiap negara perlu ada identiti tersendiri.

Beliau berkata, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengarahkan filem berkenaan dengan amat baik sekali tetapi mungkin Shuhaimi sendiri tidak mengalami peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, maka elemen fiksyen lebih ditekankan dalam filem itu.

Katanya, dalam Skim Wajib Tayang, filem tempatan hanya diberi keistimewaan untuk mendapat hak tayangan di panggung perdana untuk empat hari sahaja.

“Prestasi filem itu akan dinilai pada hari keempat iaitu pada hari Ahad selepas mengambil kira pandangan penerbit, pawagam dan pengedar filem terbabit.

“Pawagam juga pastinya tidak mahu menanggung kerugian dengan menawarkan panggung yang lebih besar tetapi tiada penonton. Selepas dua minggu juga, pihak pawagam boleh menarik keluar sesuatu filem, jika sambutan kurang memberangsangkan.

“Kami sedaya-upaya memastikan filem tempatan dihargai kerana kerenah pengusaha pawagam tempatan hanya mahu menayangkan filem luar negara.

“Antara sebab pawagam menolak filem tempatan ialah kerana mutu filemnya yang rendah. Justeru, menjadi tanggungjawab FINAS membantu pengeluar filem tempatan mendapatkan tarikh yang sesuai untuk ditayangkan serta disiarkan empat kali sehari,” katanya.

Walaupun filem itu disambut dingin oleh orang ramai, sesetengah pemimpin kerajaan mengatakan filem itu adalah filem yang baik dan harus dikaji oleh universiti tempatan.

Dalam kenyataannya semalam, Shuhaimi mengatakan sambutan dingin terhadap filemnya kerana ia mula ditayangkan pada pertengahan minggu pada hari bekerja.

“Ini perkara biasa, walaupun untuk filem blockbuster Hollywood. Apa motif di sebalik laporan media negatif terhadap Tanda Putera,” katanya.

Shuhaimi berkata, di sebalik hentaman dan sindiran, termasuk daripada pemimpin politik yang didakwanya cuba memperlekeh dan menimbulkan kebencian kepada filem itu, beliau bersyukur kutipan masih baik.

"Kepada pembenci filem ini yang melabelkannya filem Umno, mana mungkin pawagam tidak dipenuhi ahli Umno seramai 3 juta orang itu pada 4 hari pertama filem ini ditayangkan.

"Sudah tentu pecah panggung dan mencatat pungutan box office berjuta-juta ringgit!" katanya.

Filem sejarah Shuhaimi sebelum ini “1957: Hati Malaya” juga menempa kegagalan selepas kutipan jualan tiket filem berkenaan hanya mencatatkan RM760,000 berbanding kos penerbitannya mencecah RM3.6 juta.

Filem terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd itu meskipun ditayangkan di 38 pawagam di seluruh negara, tetapi hanya mampu bertahan kira-kira tiga minggu saja.

“1957: Hati Malaya” memberi tumpuan kepada perjuangan Datuk Onn Jaafar, Pengasas Umno yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme Melayu menentang Malayan Union pada 1946.

DAP dan MCA mengkritik filem berkenaan, menyuarakan kebimbangan berhubung babak dan dialog dalam filem itu yang boleh mencetus ketegangan kaum.

Penasihat DAP Lim Kit Siang kesal dengan filem Tanda Putera yang masih menayangkan babak beberapa pemuda Cina kencing di tiang bendera laman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. – 4 September, 2013. -TheMalaysianInsider

15 tahun selepas dipecat, Anwar positif pandang masa depan

Pada 2 September 1998, kira-kira 15 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) masuk ke pejabat sebagai orang nombor dua paling berkuasa di Malaysia, tetapi pulang beberapa jam kemudian selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Selepas bebas seketika, Anwar ditangkap, dilokap, dibicara dan seterusnya dipenjarakan.

Pada hari beliau dipecat, pelbagai golongan termasuk presiden PAS pada ketika itu, Datuk Dr Fadzil Mohd Nor berkunjung ke rumahnya di Bukit Damansara untuk memberikan sokongan moral.

Hampir setiap hari sejak hari itu, rumah beliau penuh dengan pelbagai jenis manusia. Peguam, wartawan, diplomat asing dan rakyat biasa berkumpul di rumah itu.

Masih teringat, beberapa hari selepas itu pada 20 September, rumah beliau dipecahkan oleh polis untuk menangkapnya.

Selepas ditangkap, timbul kisah mata lebam yang kemudiannya disahkan oleh suruhanjaya siasatan bahawa ia dilakukan oleh Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Anwar kemudiannya diajukan dengan pelbagai penghinaan dan siksaan kepada dirinya, keluarga dan anak sama ada melalui ucapan pemimpin negara dan laporan media.

Akibat rentetan kejadian itu, pemimpin politik khasnya daripada pembangkang dan NGO bergabung tenaga di bawah kepimpinan Fadzil Noor dan seterusnya menubuhkan Gerakan Rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Gerak.

Sejak hari itu sehingga hari ini politik Malaysia tidak pernah sunyi . Apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada apa yang terjadi pada 2 September, 15 tahun lalu.

Sudah dua penggal berturut-turut kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dua pertiga undi dalam Dewan Rakyat. Dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) baru-baru ini, 52 peratus rakyat menyokong Pakatan Rakyat (PR) berbanding BN yang disokong 47 peratus pengundi negara ini.

Kerajaan BN yang dibentuk juga dilihat tidak stabil. Ada sahaja isu yang melanda. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainudin dilihat mempunyai pengaruh besar walaupun tidak berkuasa.

Ekoran itu timbul cerita cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara BN dengan PR sebagai jalan penyelesaian konflik ini.

Wartawan The Malaysian Insider menemui Anwar untuk mengimbas kembali saat itu dan kesannya ke atas politik Malaysia sehingga hari ini. Berikut adalah sedutan daripada temubual itu.

The Malaysian Insider: Pada 2 September ini genaplah 15 tahun Datuk Seri dipecat daripada kerajaan. Apa yang berlaku hari ini hasil dari kejadian 15 tahun lalu. Apa komen Datuk Seri terhadap apa yang berlaku sekarang?

Anwar: Saya Alhamdulillah. Saya ingat saat derita itu ke atas saya, Azizah dan keluarga serta teman-teman. Saya syukur Alhamdulillah kerana ia tidak mengganggu ketenteraman jiwa saya dan tidak rasa benci kepada orang yang menganiaya saya.

Saya bersyukur kerana Allah beri ruang kepada saya untuk melakar sesuatu dan memilih teman yang setia, khasnya arwah Datuk Fadzil Noor, dan sekarang PAS dengan Ustaz Hadi dan Kit Siang bersama DAP serta Dr Syed Husin serta teman lain. Saya kira saya mahu melihat ke depan.

The Malaysian Insider: Selepas 15 tahun mencuba, Datuk Seri belum berjaya mengubah kerajaan. Apa ini menjadi faktor cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan?

Anwar: Pertama tidak benar ia tidak berjaya. Bulan lalu saya ke Istanbul, Turki dan berjumpa dengan pemimpin dari Syria, Mesir termasuk Sheikh Ghanusi dari An Nahdah Tunisia. Kata Ghanusi:”Anwar, tidak ada dalam mana-mana negara berhadapan dengan sistem yang menekan, mencatatkan satu kejayaan, tidak ada. Kalau ada pilihan raya semuanya ranap.” Daripada segi itu, Alhamdulillah saya capai satu kejayaan besar. Ya kita tidak berjaya mengambil alih kerajaan tetapi mengambil alih dengan cara yang kotor dan curang juga tidak menyenangkan.

Soal kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali. Orang membicarakan, jadi bagi saya yang perlu ada adalah muafakat untuk bersetuju untuk beberapa dasar yang sama. Ini yang kita suarakan. Saya suarakan ini sejak 2008. Saya masih ingat ucapan pertama saya selaku ketua pembangkang adalah menyuarakan supaya diadakan dialog berterusan untuk isu dasar, ekonomi, pencegahan jenayah dan sebagainya kerana ini amat diperlukan.

Saya tidak faham kenapa pimpinan Umno boleh hidup dalam keselesaan dan merasakan semuanya baik tetapi angka berada di sebaliknya.

Saya juga lihat ada yang mentafsirkan ini fatiq atau seolah-olah kita sudah keletihan. Bagi saya ini tidak berbangkit.

The Malaysian Insider: Apa perkembangan dalam Pakatan Rakyat sekarang? Adakah Datuk Seri puas hati dengan apa yang ada?

Anwar: Ada pandangan yang menyatakan, setelah selesai pilihan raya, Pakatan harus melonjak jangan nampak terlalu tenang. Saya setuju, kita harus tingkatkan kerjasama. Ada pandangan menyatakan DAP selesa kerana sokongan Cina kuat, PAS harus tumpukan kepada soal pengundi Melayu. Bagi saya, ini semua tidak mempersulitkan atau menghalang kerjasama ini tetapi muafakat di kalangan Pakatan Rakyat itu satu yang sangat kritikal bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga kepada negara.

The Malaysian Insider: Tahun depan bakal di adakan persempadanan kawasan pilihan raya. Apa pandangan Datuk Seri mengenainya?

Anwar: Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk melakukan sesuatu perubahan besar. Tidak munasabah dan kita akan tentang keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan ini oleh SPR yang ada.

Bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang mesti diselesaikan. Soal pendaftar undi pun tidak berjaya diselesaikan lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu.

Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang bersara diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang kanan mereka.

Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno, bagilah. Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini. - 2 September, 2013.
-TheMalaysianInsider

Kantoi khalwat malam merdeka

Haslinda bersama pasangan bukan Islam diperiksa oleh penguatkuasa agama.

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar berusia 14 tahun antara yang ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan dijalankan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam Ops Merdeka kelmarin.

Pelajar tersebut yang dikenali Shahirah (bukan nama sebenar) berpakaian baju kurung merah ditahan pada jam 1 pagi bersama pasangannya yang memakai pakaian sedondon dalam sebuah bilik di hotel sekitar bandar ini.

Lebih berani, perbuatan terkutuk itu dilakukan pasangan terbabit yang hanya berjarak kira-kira tiga kilometer dari rumah Shahirah.

Pegawai Penguatkuasa Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, ketika pintu diketuk, pasangan itu mengambil masa 20 minit sebelum membuka pintu.
“Pintu hanya dibuka setelah anggota penguatkuasa beri amaran untuk pecahkan pintu,” katanya.

Menurutnya, setelah disoal siasat mendapati, remaja perempuan masih di bawah umur dan bersekolah di tingkatan dua manakala remaja lelaki berusia 21 tahun.

Zaiferi berkata, hasil pemeriksaan turut menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ibu Shahirah meminta remaja itu pulang ke rumah, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan sebaliknya anak perempuan itu bertindak mematikan talian telefon.

Anggota penguatkuasa kemudian menghubungi kedua-dua ahli keluarga terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Beri pelbagai alasan

Sementara itu, pemeriksaan seterusnya menemui sepasang remaja yang bersekedudukan dalam bilik berasingan di mana operasi dilakukan secara serentak.

Walaupun pasangan kekasih berusia 22 dan 20 tahun dari Padang Serai itu mengakui berhasrat mahu menamatkan zaman bujang tahun depan, alasan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang anggota penguatkuasa menahan mereka atas alasan bersekedudukan tanpa ikatan yang sah.

Menurut Zaiferi, pihaknya turut menahan sepasang kekasih masing-masing merupakan penjawat awam berusia 24 tahun yang turut menjadikan hotel bajet sebagai lokasi melakukan maksiat.

Amran (bukan nama sebenar) dimaklumkan menetap di Pengkalan Hulu, Perak memberi alasan mahu pulang ke kampung tetapi kenderaannya mengalami kerosakan sebelum mahu membuat pemeriksaan di sebuah bengkel di bandar ini.

“Saya memang nak balik tetapi kereta saya rosak terpaksa baiki di Sungai Petani,” katanya.

Sementara, pasangannya, Riani (bukan nama sebenar) yang menutup kepala menggunakan tuala dikatakan tinggal bersama nenek di Kuala Nerang sebelum mahu pulang ke kampung halaman berdekatan rumah Amran di Pengkalan Hulu.

Difahamkan, pasangan kekasih tersebut sudah lapan tahun menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah selain mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan intim.

Lebih memalukan, hasil soal selidik pada hari kejadian mendapati, Amran sudah bersedia mahu menghantar rombongan ahli keluarganya ke rumah Riani kerana berhasrat mahu bertunang pada hari yang sama.

Serbuan turut menemui seorang pekerja kilang berusia 22 tahun bersama pemandu van kilangnya yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya, pemandu van berusia 32 tahun itu memberitahu, kedatangannya ke bilik yang disewa Haslinda (bukan nama sebenar) adalah untuk menghantar makanan walaupun jam sudah menunjukkan jam 1.20 pagi.

Rumah sewa turut diserbu

Operasi turut dijalankan di sebuah rumah sewa milik pasangan kekasih di mana masing-masing bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dan kerani di sebuah kedai motosikal di Sungai Lalang.

Menurut Zaiferi, hasil dari maklumat awam, sepasang kekasih berusia 21 dan 26 tahun dicekup berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, Zaimi dan Nadia (bukan nama sebenar) dipercayai baru pulang dari makan malam.

Zaimi berkata, mereka merancang mahu ke rumah keluarga angkat tetapi setelah beberapa kali menghubungi tiada jawapan diterima.

Zaimi dengan alasan letih tidak menghantar Nadia pulang sebaliknya menghabiskan masa di rumah sewanya bersama kekasihnya itu.

Difahamkan, kedua-dua pasangan ini mengakui mahu berkahwin tetapi hasrat mereka ditentang keluarga.

Zaiferi berkata, seramai 10 individu disiasat termasuk seorang lelaki bukan Islam yang berada bersama pasangan beragama Islam dalam pemeriksaan yang dijalankan sekitar daerah termasuk di Taman Jubli Perak, Pantai Merdeka, Titi Semeling dan beberapa buah hotel bajet yang menjadi tumpuan.

Seramai 10 anggota bertugas dalam operasi yang bermula jam 6 petang sebelum berakhir jam 5 pagi.

Katanya, sembilan individu ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya meminta masyarakat prihatin terhadap aktiviti maksiat yang berlaku dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak jawatankuasa masjid, pejabat agama atau agensi berkaitan bagi membanteras gejala itu. -sinarharian

Iklan 2 minit 40 saat untuk hari kemerdekaan terbitan FINAS mencecah RM450 ribu...

Datuk Md Afendi Hamdan

Isu Iklan Pendek RM450 Ribu, Ahmad Idham Usah Melatah - Finas

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) meminta pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri supaya tidak melatah berhubung kos penerbitan promo hari kemerdekaan terbitan agensi itu yang mencecah RM450 ribu.

Pengerusinya Datuk Md Afendi Hamdan berkata, tindakan Ahmad Idham yang mempersoalkan kos promo Tanah Tumpahnya Darahku itu seperti seseorang yang baharu menyertai bidang perfileman.

"Apa salahnya kalau kita mahu belanja lebih untuk promosi bersempena dengan hari kemerdekaan negara kita sendiri? Kalau laburkan RM1 juta sekalipun apa salahnya?

"Dia (Idham) hanya tahu nak salahkan orang sahaja terutama Finas. Bagi saya orang seperti itu tidak harus dilayan.

"Cara dia cakap seolah-olah dia tidak tahu kos sebegitu untuk sebuah iklan mampu menghasilkan kualiti visual yang bagus," katanya kepada mStar Online.

Pada Rabu lalu, Ahmad Idham mempersoalkan langkah Finas yang telah melaburkan sebanyak RM450 ribu hanya untuk menghasilkan treler Tanah Tumpahnya Darahku sempena hari kemerdekaan untuk ditayangkan di pawagam yang panjangnya hanya 2 minit 40 saat.

Ahmad Idham dalam status pada akaun Twitternya meminta badan itu memberi penjelasan berhubung kos berkenaan yang dianggapnya tinggi untuk sebuah iklan pendek.
 
Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Tambah Md Afendi lagi, Ahmad Idham juga tidak sepatutnya melatah memandangkan projek tersebut diberikan kepada rakannya sendiri iaitu Afdlin Shauki di bawah syarikat Vision Networks.

"Sepatutnya dia berbangga kerana kawannya mendapat projek besar seperti in dan bukannya mengkritik. Lagipun projek ini dibuat untuk negara dan ianya ditayangkan di seluruh pawagam.

"Sudah semestinya orang dari negara luar juga akan menyaksikan treler tersebut. Saya pelik dengan sesetengah pihak ini. Bila kita buat sesuatu benda yang elok, (dia) mengata, buat buruk apatah lagi," keluhnya dalam nada kesal. Dalam pada itu Md Afendi berkata, treler pendek itu turut ditayangkan menerusi laman YouTube dengan tempoh masa yang lebih lama iaitu selama empat minit.

"Pihak kami bukannya nak keluarkan kos secara sembarangan. Mahalnya sesebuah produk itu adalah berdasarkan kualiti teknikal dan grafik yang digunakan. Ia juga membabitkan penggunaan helikopter dan kamera jenis epik.

"Tambah pula tempoh masa penggambaran dibuat dalam jangka masa yang sangat singkat. Treler iklan ini bukannya seperti kita hasilkan filem biasa. Ia merupakan treler yang berkualiti tinggi," tegasnya.

Iklan Tanah Tumpahnya Darahku sudah pun disiarkan serentak di pawagam seluruh negara sebelum tayangan filem bermula Rabu lalu disusuli promo berjudul Pesanan Terakhir dan diikuti nyanyian lagu Negaraku.

Kempen itu bermula dari 28 Ogos lalu sehingga 3 September depan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang akan disambut pada Sabtu ini. -mStar

P/s: Apa pula komen para mufti?

Anwar singkir Shafee jadi Timbalan Pendakwaraya rayuan kes liwat

Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah tidak boleh menjadi timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kerana peguam kanan itu berada dalam senarai saksi pendakwaan.

Ini adalah pendirian Anwar untuk menyingkirkan peguam itu sebagai pendakwa utama kes liwat yang akan didengar di Mahkamah Rayuan bulan depan.

“Walaupun Shafee tidak pernah memberikan bukti, beliau ditawarkan kepada pihak pembela sebagai saksi kes itu.

“Shafee adalah sebahagian daripada pihak pendakwaan. Kemungkinan beliau juga memberikan kenyataan kepada polis,” kata Anwar dalam afidavit yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Anwar berkata, Shafee tidak seharusnya dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya kerana Jabatan Peguam Negara mempunyai pengamal undang-undang lain yang layak untuk mengendalikan rayuan itu.

Malah, katanya, perbelanjaan untuk menggunakan khidmat Shafee adalah menggunakan wang pembayar cukai.

Shafee pada 22 Julai lalu berkata, pelantikannya mengikut Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dibayar amaun minimum kerana mempunyai kontrak masih berjalan di antaranya dengan kerajaan.

Anwar berkata, Seksyen 376 (6) hanya mengenai pelantikan seorang yang layak dan sesuai sementara 379 menyentuh mengenai pekerjaan.

Katanya, Shafee tidak boleh dilantik mengikut dua seksyen itu kerana ia mempunyai maksud lain.

Ketua pembangkang itu berkata, mengikut Seksyen 376 (3), seorang peguam boleh dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya tanpa gaji sementara mengikut Seksyen 379 peguam dipilih dan gaji dibayar menggunakan dana awam.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan selama dua hari bermula 17 September.

Shafee sebelum ini dipetik sebagai berkata, pelantikan sebagai Timbalan Pendakwaraya tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana beliau bukan ahli politik atau anggota sebarang parti politik dan beliau dipilih atas kelayakannya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut mempertahankan langkah melantik Shafee, walaupun memperlihatkan Jabatan Peguam Negara berat sebelah dan mengikut rentak kerajaan.

Gani berkata, memberikan lesen kepada peguam persendirian untuk mewakili Putrajaya bukan sesuatau yang baru, menjadikan inkues Teoh Beng Hock sebagai contoh iaitu Datuk Tan Hock Chuan sebagai pegawai bertugas dalam kes itu.

Beliau berkata, pendakwa utama perbicaraan Anwar, Datuk Yusof Zainal Abiden yang bersara pilihan juga pernah mewakili pembangkang.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata pelantikan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya adalah perkara luar biasa dan memberikan persepsi bahawa pegawai dari Jabatan Peguam Negara tidak kompeten.

Menurut Abu Talib yang menjadi Peguam Negara selama 13 tahun sejak 1980, terdapat ramai pegawai berpengalaman untuk menjalankan rayuan yang beliau anggap sebagai kes “straight forward”.

Beliau berkata, menjalankan rayuan kes itu mudah kerana Anwar hanya dibebaskan selepas diberikan pembelaan dan persepsi terhadap kerajaan tercemar dengan pelantikan Shafee.

Anwar dibebaskan Januari tahun lalu selepas dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel DNA tidak terusik.

Seramai 27 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung melebihi tiga tahun itu.

Anwar memberikan keterangan dari dalam kandang saksi. – 30 Ogos, 2013. -TheMalaysianInsider

KL Gangster 2 bocor: Pawagam jadi dalang?

KUALA LUMPUR - "Kejadian ini merupakan satu pengkhianatan, rompakan dan sabotaj bagi kami (Skop Production)," tegas Datuk Yusof Haslam berhubung filem terbitannya, KL Gangster 2 yang kini bocor di internet.

Filem arahan Syamsul Yusof yang dibintangi Aaron Aziz, Adi Putra, Rosyam Nor, Zizan dan Sofie Jikan itu sepatutnya ditayangkan kepada penonton di pawagam pada Oktober depan.

Akui kecewa dan terkilan dengan insiden itu, Yusof berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Selain laporan polis, beliau turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menangani masalah tersebut.

"Ia bukan perkara main-main kerana hal ini sangat serius. Apatah lagi ia kali pertama berlaku dalam sejarah perfileman.

"Saya tidak akan membiarkan mereka yang membocorkan filem ini terlepas begitu saja. Saya akan pastikan mereka akan dibawa ke muka pengadilan," tegasnya.

Menurut Yusof, anaknya Syamsul juga sangat kecewa dan terkejut kerana hasil titik peluhnya selama ini hancur begitu sahaja. Sementelah lagi filem yang menelan belanja RM4.5 juta itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan sepenuhnya.

Meskipun ada desas-desus mengatakan 'kebocoran' filem itu didalangi oleh 'orang dalam', Yusof bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Hanya orang tertentu sahaja menyimpan CD asal filem ini. Saya syak bahawa ia bermula ketika kami melakukan pra-tayangan di sebuah pawagam dan ketika itu saya turut hadir dalam majlis itu," katanya.

Beliau berkata, video yang tersebar itu serupa seperti yang ditayangkan waktu itu dan dia tidak menolak kemungkinan bahawa individu yang sama terlibat.

Menurutnya, filem yang berbentuk digital format itu senang untuk disalin dan dimuat naik terus ke internet untuk tontonan secara percuma.

"Sekarang dunia siber, petik saja jari kita boleh mendapat apa sahaja. Saya harap perkara ini dapat dijadikan iktibar untuk semua penggiat seni.

"Jangan mempercayai orang lain 100 peratus kerana mungkin ia akan memakan diri," katanya. -sinarharian

Tanda Putera ditayang di Pulau Pinang mulai Sabtu

FILEM patriotik 'Tanda Putera' akan ditayangkan di pawagam di Pulau Pinang mulai Sabtu ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau dalam status terbaharunya di laman sosial Facebooknya berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pengusaha pawagam di negeri itu untuk tidak menayangkan filem yang disifatkan pembangkang sebagai kontroversi itu.

Namun Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berupa nasihat dan bukannya larangan.

"Mungkin atas desakan dan kemarahan rakyat atas tindakan tidak bijak melarang tayangan Tanda Putera, pihak pawagam terima surat baru - NASIHAT bukan ARAHAN," kata Shabery.

Katanya jika benar ada babak-babak fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dalam filem itu, mereka yang tidak berpuas hati boleh membuat laporan polis dan aduan kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). - Bernama

-sinarharian

Dakwa AirAsia hidang babi, bekas menteri mohon maaf enam bulan

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin diminta untuk mengemukakan permohonan maaf selama enam bulan oleh kumpulan AirAsia berhubung dengan dakwaan mengatakan babi dihidangkan dalam penerbangan pesawat syarikat itu untuk menggelakkan disaman sebanyak RM5 juta.

Beliau yang mengemukakan permohonan maaf kepada AirAsia pada bulan lalu di blognya Zamkata, berkata beliau tidak mampu membayar saman dan sara hidupnya hanya berdasarkan wang persaraan.

“AirAsia meminta saya menyiarkan permohonan maaf ini selama enam bulan tetapi saya akan siarkan untuk bertahun-tahun akan datang dengan tujuan penyebarannya lebih meluas dan bagi pengetahuan dari generasi ke generasi.

“Saya berterima kasih kepada Rocky's Bru yang menyatakan setiakawan bagi pihak penulis blog dan jaminan membela saya dalam menghadapi sebarang tindakan dari AirAsia,” katanya merujuk kepada penulis blog yang juga bekas Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan.

Dalam permohonan maafnya kepada AirAsia, beliau tidak menyangka artikel yang bertajuk, “Hidangan babi dalam penerbangan AirAsia, orang Islam patut tangguhkan dulu terbang dengan pesawat ini" di dalam blognya memberikan implikasi buruk kepada nama baik AirAsia dan AirAsiaX.

Katanya, selepas menerima surat tuntutan dari peguambela dam peguamcara AirAsia Berhad kira-kira sebulan dari tarikh penyiaran artikel tersebut, maka barulah beliau menyedari bahawa artikel itu memberikan implikasi atau gambaran,seolah-olah babi dihidangkan dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang mana dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Saya mohon maaf kepada AirAsia Berhad diatas sebarang kecederaan yang menimpa mereka kerana artikel tersebut dan saya berharap orang ramai tidak mempunyai sebarang prasangka bahawa babi ada dihidangkan di dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

“Saya yakin dan percaya bahawa AirAsia dan AirAsia X sangat prihatin terhadap sensitiviti agama kesemua penumpang mereka,” jelasnya menerusi blog Zamkata.

Hal ini dipanjangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranum semasa majlis sambutan Aidilfitri Utusan Melayu namun beliau enggan mengulas lanjut tentang tindakan saman yang diambil oleh AirAsia dan AirAsia X terhadap Zainuddin.

Kamaruddin berkata, AirAsia bukanlah anti Utusan meskipun syarikat penerbangan tambang rendah itu menarik balik iklan dalam akhbar milik Umno tersebut.

“Saya tahu sejarah Utusan dan Utusan adalah darah daging saya. Tuduhan seperti ini saya tidak dapat menerimanya,” jelas Zainuddin menerusi blognya. – 28 Ogos, 2013.
-TheMalaysianInsider

P/s: Kah kah kah...Siapa suruh fitnah!! 

Mata kanak-kanak dicungkil

Beijing: Seorang kanak-kanak dicungkil matanya selepas dilapor diculik oleh seorang penyeludup organ.

Anggota keluarga menemui kanak-kanak berkenaan berlumuran darah tiga hingga empat jam selepas dia hilang ketika bermain di luar rumah.

Mata mangsa ditemui berhampiran tetapi korneanya hilang, menunjukkan seorang penyeludup organ bertanggungjawab terhadap serangan ngeri itu.

Polis menawarkan hadiah 100,000 yuan (RM52,800) kepada mereka yang dapat memberi maklumat hingga suspek, yang dipercayai wanita, dapat ditangkap.

“Mukanya berlumuran darah ketika ditemui. Matanya dicungkil,” kata bapa mangsa kepada Televisyen Shanxi.

Rakaman televisyen itu menunjukkan bahagian mata mangsa yang berbalut dibawa keluar dari bilik pembedahan dan ditempatkan di sebuah katil hospital, meraung kesakitan sementara anggota keluarganya menangis di sisi katil.

Budak itu didiberi dadah menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum penyerang mencungkil matanya, lapor stesen televisyen CCTV menerusi lamannya di Sina Weibo, versi Twitter China.

Budak itu bermain bersendirian di luar rumahnya apabila dia diculik petang kelmarin. Ibu bapanya menyedari dia hilang selepas memanggilnya untuk masuk ke rumah kira-kira jam 8 malam. Selepas dia tidak muncul, ibu bapanya melancarkan gerakan mencari dengan dibantu oleh sanak saudara lain dan akhirnya menemuinya di sebuah padang berhampiran, kira-kira tiga jam kemudian.

“Kami tidak menyedari matanya hilang apabila menemuinya. Kami menyangka dia jatuh dan cedera di muka,” kata bapa mangsa.

Kehilangan mata mangsa hanya diketahu apabila dia dirawat di hospital.

Perdagangan organ secara haram didorong oleh permintaan yang begitu banyak. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun. - Agensi
-Hmetro

Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor

Beginilah keadaan pusara P.Ramlee yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Gambar: Utusan Malaysia

PETALING JAYA: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.

“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.

"Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.
 
Mohd Tamyes Abd Wahid

Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.

Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.

Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.

Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.

"Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.
 
Mohd Hasnil Abu Bakar

Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.

"Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.

"Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.

Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.

“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.

Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.- mStar
Saifuddin: Saya juga kagumi Khomeini
Khamis, Disember 12, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Bukti yang didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung dakwaan bahawa timbalan presiden PAS Mohamad Sabu seorang pengikut Syiah tidak meyakinkan bekas anggota kabinet Datuk Saifuddin Abdullah.

KDN hari ini antara lainnya membangkitkan bahawa Mohamad pernah menyatakan kekaguman ke atas kepemimpinan dan perjuangan revolusi Iran 1979 Imam Ruhollah Khomeini.

Saifuddin dalam tulisan di Twitter berkata, beliau juga mengagumi Khomeini, dan juga tokoh revolusi lain seperti ikon anti-apartheid Nelson Mandela, pemimpin gerila Bolivia Che Guevara, dan pejuang kebebasan India Mahatma Gandhi.

"Saya kagum Mandela, Che Guevara, Ghandi, Mother Theresa. Adakah bermakna saya Kristian, komunis, Hindu?

"Saya juga kagumi Khomeini. Adakah saya Syiah?," tulis bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.

Seorang lagi bekas anggota Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim juga menyatakan rasa hairan dengan alasan KDN tersebut, yang disifatkannya sebagai "karut".

"Apa dah jadi? Apa salah kalau saya kagumi Khomeini? Atau (pejuang hak sivil golongan kulit hitam) Martin Luther (King Jr) atau (tokoh falsafah Cina) Confucius.

"Bukan berti saya tukar agama atau akidah. Karut," tulisnya.

Turut hairan dengan alasan KDN itu ialah Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh yang berpendapat sumber yang digunakan untuk siasatan tersebut sepatutnya digunakan untuk membanteras jenayah.

"Tentulah lebih baik jika sumber dan masa mereka digunakan untuk memerangji jenayah dan bukannya Mat Sabu," kata ADUN DAP itu di laman sosial tersebut.

KDN menyenarai bukti ke atas dakwaan berkenaan, dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang ini.

Ketua setiausaha kementerian tersebut Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi antara lainnya menyatakan bekas tahanan ISA itu juga pernah 'berselawat' sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada 2005.

Rahim berkata maklumat itu hasil dari temuramah antara pegawai KDN Zamihan Mat Zin bersama Ahli Majlis Fatwa Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi.

Menurutnya, Mohamad juga pernah memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan Hassan Nasrullah.

Rahim berkata Mohamad juga kerap kali berulang-alik ke Iran untuk beberapa urusan seperti program penghantaran pelajar di Qom, Iran dan sudah empat-lima kali bertemu Hassan.
-malaysiakini
Insiden Tembakan Di Pejabat Pemaju Kg Hakka
Rabu, November 27, 2013 | Author: Tuk Kiyai
Gambar Hiasan

SEREMBAN: Beberapa das tembakan dilepaskan di pejabat pemaju yang terlibat dengan saman terhadap penduduk kampung di Kampung Hakka di Mantin, pada awal pagi Rabu.

Setakat ini, masih belum dikenal pasti berapa banyak tembakan dilepaskan tetapi berdasarkan siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya lima peluru ditemui di tempat kejadian.

Pasukan polis forensik dengan segera ke tempat kejadian bagi mencari petunjuk.

Pemaju tersebut terlibat dengan kes mahkamah dengan penduduk kampung berhubung kawasan tanah sejak 2011.

Lebih 90 isi rumah menerima pampasan dan berpindah dari kawasan itu manakala baki penduduk kampung yang lain membawa kes itu ke mahkamah.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada bulan lepas berpihak kepada pemaju. Bagaimanapun, penduduk kampung membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Difahamkan, penduduk kampung telah mengemukakan tuntutan kepada pemaju supaya menaikkan jumlah pampasan.
Bekas KP Imigresen kena 6 tahun penjara
Khamis, Oktober 31, 2013 | Author: Tuk Kiyai
Abdul Wahid dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM60,000. - Foto Effendy Rashid

Abdul Wahid didapati bersalah terima suapan RM60,000

Kuala Lumpur: Dibebas dan dipenjarakan oleh hakim yang sama.

Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dipenjara enam tahun dengan denda RM300,000 atau tambahan setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh menerusi peguam belanya, Datuk V Sithambaran, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wahid, 60, yang hadir dengan ditemani isterinya, kelihatan tenang sebaik Rosbiahanin membacakan keputusan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai semalam.

Terdahulu, hakim menolak permohonan Sithambaran, supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan.

Rosbiahanin dalam penghakimannya, bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa keterangan pembelaan tertuduh adalah difikirkan kemudian dan bersifat rekaan serta penafian semata-mata.
“Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan berkenaan,” katanya.

Wahid didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian, sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, jam 10.15 malam pada 10 Julai 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid daripada tuduhan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan pihak pendakwaan selepas itu turut mengekalkan keputusan sama.-BeritaHarian
Keluarga Azizan tuntut Muhyiddin minta maaf
Isnin, Oktober 28, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Anak kepada almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta maaf atas ucapannya yang mengaitkan bekas menteri besar itu sewaktu mempertahankan tindakan kerajaan menghapuskan subsidi gula.

Kenyataan itu dibuat anak kelima Azizan, Mohd Rafi'ie Azizan, 32 tahun pada sidang media di pusat operasi PAS pagi tadi.

"Saya mewakili kedua-dua bonda saya, adik-beradik saya serta sanak saudara Ustaz Azizan begitu terguris hati dengan kenyataan yang telah dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen pada 26 Oktober 2013, genap sebulan kembalinya ayahanda ke rahmatullah.

"Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan allahyarham ayahanda dan kerinduan kami kepada ayahanda masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

"Kami memohon YAB TPM yang kami hormati agar memohon maaf secara terbuka kepada kedua-dua bonda saya yang tercinta! Adik-beradik saya dan sanak saudara. Sama ada yang dekat mahu pun yang jauh, yang telah tersinggung dengan ucapan itu," katanya.

Muhyiddin kelmarin mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014.

Menurutnya, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai Azizan.

Azizan terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis. Bekas menteri besar Kedah itu meninggal dunia pada 26 September lalu.-Malaysiakini

'Datuk Seri' miliki barang Chin Peng ditahan

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan dipercayai bergelar Datuk Seri dan seorang rakyat Hong Kong kerana disyaki memiliki beberapa bahan berkaitan komunis dan bekas pemimpin komunis Chin Peng, di sini malam ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata hasil pemeriksaan ke atas bagasi mereka, polis menemui 13 buku berkaitan komunis selain 11 cendera hati dan lapan DVD bertemakan Chin Peng selain gambar mendiang Chin Peng.

Suspek warga tempatan berusia 66 tahun dan warga Hong Kong berumur 59 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk pemeriksaan lanjut.

"Mereka dipercayai membawa bahan yang mungkin untuk kegunaan sendiri atau edaran. Buku itu menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Cina," katanya kepada pemberita.

Difahamkan kedua-dua lelaki itu tiba dengan penerbangan komersial dari Bangkok dan ditahan kira-kira 10.30 malam di balai ketibaan selepas 30 minit pesawat mendarat.

Kepada satu pertanyaan, Abdul Rahim berkata polis tidak menjumpai abu mayat mendiang Chin Peng dalam bagasi yang diperiksa.

Menurutnya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Chin Peng, 89, meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok minggu lepas akibat sakit tua. - Bernama
-sinarharian
Suhaimi nafi kereta mewah dirampas SPRM miliknya
Khamis, September 19, 2013 | Author: Tuk Kiyai

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet, Datuk Suhaimi Ibrahim hari ini menafikan laporan akhbar semalam bahawa sejumlah kereta mewah yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah milik beliau.

"Tidak satu pun kereta saya ditahan oleh SPRM," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Suhaimi juga mendakwa bukan beliau seorang sahaja yang dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan berkaitan satu projek kerajaan, tetapi juga beberapa individu lain.

SPRM baru-baru ini mengesahkan suruhanjaya itu sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan telah memanggil seorang bekas setiausaha politik untuk membantu siasatan. - Bernama
Berbalas mesej dan gambar lucah dengan isteri orang: Ini komen Adi Putra
Selasa, September 10, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Adi Putra‬ Tidak Rasa Malu Kontroversi Skandal

PETALING JAYA: Kontroversi pelakon Adi Putra yang didakwa mempunyai skandal dengan isteri orang langsung tidak membuatkan aktor itu berasa malu berhadapan dengan masyarakat sekeliling.‬

‪Adi, 32, berkata, dia akur, sebagai selebriti dia tidak perlu berasa takut berhadapan dengan sesiapa pun kerana tahu kebenaran sebenar.‬

‪"Sebagai manusia kita ada rasa segan dalam apa-apa situasi tetapi saya harus akur bahawa saya seorang artis, perlu lalui apa-apa situasi sekalipun.‬

‪"Begitu juga dengan perkara ini (isu skandal), saya perlu menempuh dugaan ini dan berhadapan dengan khalayak secara profesional," katanya.‬

‪Adi ditemui pada majlis pratonton filem KL Gangster 2 di TGV One Utama, di sini, pada malam Isnin.

Isterinya, Aida Yusof, 37, turut hadir pada majlis tersebut.‬

‪Pasa 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.‬

‪Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu.‬

‪Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.

‪Sementara itu, Adi berkata, sejak kontroversi itu tercetus, isterinya pula terkena tempias apabila ada pihak di laman Twitter mengejek Aida kononnya dia masih tidak 'buka mata' dengan peristiwa itu.

‪"Setakat ini isteri sentiasa berada di sisi saya ketika susah dan senang. Orang kata rumah tangga kami goyah? Biarlah apa yang orang nak fikir," ujarnya.‬

‪Tambah Adi dia juga enggan menjelaskan perkara sebenar berhubung kontroversi itu kerana siasatan masih dijalankan.‬

‪"Jangan risau, bila semua sudah selesai, saya akan keluarkan kenyataan media," jelasnya.‬ -mStar
Tanda Putera gagal capai sasaran, hanya kutip RM500 ribu
Rabu, September 04, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Filem kontroversi Tanda Putera gagal mencapai sasaran pecah panggung pada minggu pertama tayangannya menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Filem memaparkan babak yang boleh dipersoalkan berhubung rusuhan kaum 13 Mei itu mula ditayangkan Khamis lalu, tetapi hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan hingga Isnin.

“Ini sangat memalukan dan menyedihkan,” kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof dan memberitahu kos produksi filem itu berjumlah RM4.8 juta.

Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.

Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

“Tanda Putera sebuah filem yang bagus namun selera penonton berbeza-beza. Disebabkan kurang sambutan yang diterima, filem berkenaan harus ditayangkan di panggung yang lebih kecil.

“Kontroversi yang melanda filem itu bukan penyebab ia kurang sambutan, tetapi genre filem berkenaan yang tidak menepati selera penonton masa kini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerugian yang dialami kerajaan berhubung tiada sambutan terhadap tayangan filem berkenaan, Mustapha berkata, filem sejarah tidak perlu dikira untung ruginya kerana setiap negara perlu ada identiti tersendiri.

Beliau berkata, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengarahkan filem berkenaan dengan amat baik sekali tetapi mungkin Shuhaimi sendiri tidak mengalami peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, maka elemen fiksyen lebih ditekankan dalam filem itu.

Katanya, dalam Skim Wajib Tayang, filem tempatan hanya diberi keistimewaan untuk mendapat hak tayangan di panggung perdana untuk empat hari sahaja.

“Prestasi filem itu akan dinilai pada hari keempat iaitu pada hari Ahad selepas mengambil kira pandangan penerbit, pawagam dan pengedar filem terbabit.

“Pawagam juga pastinya tidak mahu menanggung kerugian dengan menawarkan panggung yang lebih besar tetapi tiada penonton. Selepas dua minggu juga, pihak pawagam boleh menarik keluar sesuatu filem, jika sambutan kurang memberangsangkan.

“Kami sedaya-upaya memastikan filem tempatan dihargai kerana kerenah pengusaha pawagam tempatan hanya mahu menayangkan filem luar negara.

“Antara sebab pawagam menolak filem tempatan ialah kerana mutu filemnya yang rendah. Justeru, menjadi tanggungjawab FINAS membantu pengeluar filem tempatan mendapatkan tarikh yang sesuai untuk ditayangkan serta disiarkan empat kali sehari,” katanya.

Walaupun filem itu disambut dingin oleh orang ramai, sesetengah pemimpin kerajaan mengatakan filem itu adalah filem yang baik dan harus dikaji oleh universiti tempatan.

Dalam kenyataannya semalam, Shuhaimi mengatakan sambutan dingin terhadap filemnya kerana ia mula ditayangkan pada pertengahan minggu pada hari bekerja.

“Ini perkara biasa, walaupun untuk filem blockbuster Hollywood. Apa motif di sebalik laporan media negatif terhadap Tanda Putera,” katanya.

Shuhaimi berkata, di sebalik hentaman dan sindiran, termasuk daripada pemimpin politik yang didakwanya cuba memperlekeh dan menimbulkan kebencian kepada filem itu, beliau bersyukur kutipan masih baik.

"Kepada pembenci filem ini yang melabelkannya filem Umno, mana mungkin pawagam tidak dipenuhi ahli Umno seramai 3 juta orang itu pada 4 hari pertama filem ini ditayangkan.

"Sudah tentu pecah panggung dan mencatat pungutan box office berjuta-juta ringgit!" katanya.

Filem sejarah Shuhaimi sebelum ini “1957: Hati Malaya” juga menempa kegagalan selepas kutipan jualan tiket filem berkenaan hanya mencatatkan RM760,000 berbanding kos penerbitannya mencecah RM3.6 juta.

Filem terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd itu meskipun ditayangkan di 38 pawagam di seluruh negara, tetapi hanya mampu bertahan kira-kira tiga minggu saja.

“1957: Hati Malaya” memberi tumpuan kepada perjuangan Datuk Onn Jaafar, Pengasas Umno yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme Melayu menentang Malayan Union pada 1946.

DAP dan MCA mengkritik filem berkenaan, menyuarakan kebimbangan berhubung babak dan dialog dalam filem itu yang boleh mencetus ketegangan kaum.

Penasihat DAP Lim Kit Siang kesal dengan filem Tanda Putera yang masih menayangkan babak beberapa pemuda Cina kencing di tiang bendera laman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. – 4 September, 2013. -TheMalaysianInsider
15 tahun selepas dipecat, Anwar positif pandang masa depan
Isnin, September 02, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Pada 2 September 1998, kira-kira 15 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) masuk ke pejabat sebagai orang nombor dua paling berkuasa di Malaysia, tetapi pulang beberapa jam kemudian selepas dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Selepas bebas seketika, Anwar ditangkap, dilokap, dibicara dan seterusnya dipenjarakan.

Pada hari beliau dipecat, pelbagai golongan termasuk presiden PAS pada ketika itu, Datuk Dr Fadzil Mohd Nor berkunjung ke rumahnya di Bukit Damansara untuk memberikan sokongan moral.

Hampir setiap hari sejak hari itu, rumah beliau penuh dengan pelbagai jenis manusia. Peguam, wartawan, diplomat asing dan rakyat biasa berkumpul di rumah itu.

Masih teringat, beberapa hari selepas itu pada 20 September, rumah beliau dipecahkan oleh polis untuk menangkapnya.

Selepas ditangkap, timbul kisah mata lebam yang kemudiannya disahkan oleh suruhanjaya siasatan bahawa ia dilakukan oleh Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Anwar kemudiannya diajukan dengan pelbagai penghinaan dan siksaan kepada dirinya, keluarga dan anak sama ada melalui ucapan pemimpin negara dan laporan media.

Akibat rentetan kejadian itu, pemimpin politik khasnya daripada pembangkang dan NGO bergabung tenaga di bawah kepimpinan Fadzil Noor dan seterusnya menubuhkan Gerakan Rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Gerak.

Sejak hari itu sehingga hari ini politik Malaysia tidak pernah sunyi . Apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada apa yang terjadi pada 2 September, 15 tahun lalu.

Sudah dua penggal berturut-turut kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dua pertiga undi dalam Dewan Rakyat. Dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) baru-baru ini, 52 peratus rakyat menyokong Pakatan Rakyat (PR) berbanding BN yang disokong 47 peratus pengundi negara ini.

Kerajaan BN yang dibentuk juga dilihat tidak stabil. Ada sahaja isu yang melanda. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainudin dilihat mempunyai pengaruh besar walaupun tidak berkuasa.

Ekoran itu timbul cerita cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara BN dengan PR sebagai jalan penyelesaian konflik ini.

Wartawan The Malaysian Insider menemui Anwar untuk mengimbas kembali saat itu dan kesannya ke atas politik Malaysia sehingga hari ini. Berikut adalah sedutan daripada temubual itu.

The Malaysian Insider: Pada 2 September ini genaplah 15 tahun Datuk Seri dipecat daripada kerajaan. Apa yang berlaku hari ini hasil dari kejadian 15 tahun lalu. Apa komen Datuk Seri terhadap apa yang berlaku sekarang?

Anwar: Saya Alhamdulillah. Saya ingat saat derita itu ke atas saya, Azizah dan keluarga serta teman-teman. Saya syukur Alhamdulillah kerana ia tidak mengganggu ketenteraman jiwa saya dan tidak rasa benci kepada orang yang menganiaya saya.

Saya bersyukur kerana Allah beri ruang kepada saya untuk melakar sesuatu dan memilih teman yang setia, khasnya arwah Datuk Fadzil Noor, dan sekarang PAS dengan Ustaz Hadi dan Kit Siang bersama DAP serta Dr Syed Husin serta teman lain. Saya kira saya mahu melihat ke depan.

The Malaysian Insider: Selepas 15 tahun mencuba, Datuk Seri belum berjaya mengubah kerajaan. Apa ini menjadi faktor cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan?

Anwar: Pertama tidak benar ia tidak berjaya. Bulan lalu saya ke Istanbul, Turki dan berjumpa dengan pemimpin dari Syria, Mesir termasuk Sheikh Ghanusi dari An Nahdah Tunisia. Kata Ghanusi:”Anwar, tidak ada dalam mana-mana negara berhadapan dengan sistem yang menekan, mencatatkan satu kejayaan, tidak ada. Kalau ada pilihan raya semuanya ranap.” Daripada segi itu, Alhamdulillah saya capai satu kejayaan besar. Ya kita tidak berjaya mengambil alih kerajaan tetapi mengambil alih dengan cara yang kotor dan curang juga tidak menyenangkan.

Soal kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali. Orang membicarakan, jadi bagi saya yang perlu ada adalah muafakat untuk bersetuju untuk beberapa dasar yang sama. Ini yang kita suarakan. Saya suarakan ini sejak 2008. Saya masih ingat ucapan pertama saya selaku ketua pembangkang adalah menyuarakan supaya diadakan dialog berterusan untuk isu dasar, ekonomi, pencegahan jenayah dan sebagainya kerana ini amat diperlukan.

Saya tidak faham kenapa pimpinan Umno boleh hidup dalam keselesaan dan merasakan semuanya baik tetapi angka berada di sebaliknya.

Saya juga lihat ada yang mentafsirkan ini fatiq atau seolah-olah kita sudah keletihan. Bagi saya ini tidak berbangkit.

The Malaysian Insider: Apa perkembangan dalam Pakatan Rakyat sekarang? Adakah Datuk Seri puas hati dengan apa yang ada?

Anwar: Ada pandangan yang menyatakan, setelah selesai pilihan raya, Pakatan harus melonjak jangan nampak terlalu tenang. Saya setuju, kita harus tingkatkan kerjasama. Ada pandangan menyatakan DAP selesa kerana sokongan Cina kuat, PAS harus tumpukan kepada soal pengundi Melayu. Bagi saya, ini semua tidak mempersulitkan atau menghalang kerjasama ini tetapi muafakat di kalangan Pakatan Rakyat itu satu yang sangat kritikal bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga kepada negara.

The Malaysian Insider: Tahun depan bakal di adakan persempadanan kawasan pilihan raya. Apa pandangan Datuk Seri mengenainya?

Anwar: Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk melakukan sesuatu perubahan besar. Tidak munasabah dan kita akan tentang keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan ini oleh SPR yang ada.

Bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang mesti diselesaikan. Soal pendaftar undi pun tidak berjaya diselesaikan lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu.

Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang bersara diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang kanan mereka.

Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno, bagilah. Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini. - 2 September, 2013.
-TheMalaysianInsider
Kantoi khalwat malam merdeka
Isnin, September 02, 2013 | Author: Tuk Kiyai
Haslinda bersama pasangan bukan Islam diperiksa oleh penguatkuasa agama.

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar berusia 14 tahun antara yang ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan dijalankan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam Ops Merdeka kelmarin.

Pelajar tersebut yang dikenali Shahirah (bukan nama sebenar) berpakaian baju kurung merah ditahan pada jam 1 pagi bersama pasangannya yang memakai pakaian sedondon dalam sebuah bilik di hotel sekitar bandar ini.

Lebih berani, perbuatan terkutuk itu dilakukan pasangan terbabit yang hanya berjarak kira-kira tiga kilometer dari rumah Shahirah.

Pegawai Penguatkuasa Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, ketika pintu diketuk, pasangan itu mengambil masa 20 minit sebelum membuka pintu.
“Pintu hanya dibuka setelah anggota penguatkuasa beri amaran untuk pecahkan pintu,” katanya.

Menurutnya, setelah disoal siasat mendapati, remaja perempuan masih di bawah umur dan bersekolah di tingkatan dua manakala remaja lelaki berusia 21 tahun.

Zaiferi berkata, hasil pemeriksaan turut menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ibu Shahirah meminta remaja itu pulang ke rumah, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan sebaliknya anak perempuan itu bertindak mematikan talian telefon.

Anggota penguatkuasa kemudian menghubungi kedua-dua ahli keluarga terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Beri pelbagai alasan

Sementara itu, pemeriksaan seterusnya menemui sepasang remaja yang bersekedudukan dalam bilik berasingan di mana operasi dilakukan secara serentak.

Walaupun pasangan kekasih berusia 22 dan 20 tahun dari Padang Serai itu mengakui berhasrat mahu menamatkan zaman bujang tahun depan, alasan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang anggota penguatkuasa menahan mereka atas alasan bersekedudukan tanpa ikatan yang sah.

Menurut Zaiferi, pihaknya turut menahan sepasang kekasih masing-masing merupakan penjawat awam berusia 24 tahun yang turut menjadikan hotel bajet sebagai lokasi melakukan maksiat.

Amran (bukan nama sebenar) dimaklumkan menetap di Pengkalan Hulu, Perak memberi alasan mahu pulang ke kampung tetapi kenderaannya mengalami kerosakan sebelum mahu membuat pemeriksaan di sebuah bengkel di bandar ini.

“Saya memang nak balik tetapi kereta saya rosak terpaksa baiki di Sungai Petani,” katanya.

Sementara, pasangannya, Riani (bukan nama sebenar) yang menutup kepala menggunakan tuala dikatakan tinggal bersama nenek di Kuala Nerang sebelum mahu pulang ke kampung halaman berdekatan rumah Amran di Pengkalan Hulu.

Difahamkan, pasangan kekasih tersebut sudah lapan tahun menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah selain mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan intim.

Lebih memalukan, hasil soal selidik pada hari kejadian mendapati, Amran sudah bersedia mahu menghantar rombongan ahli keluarganya ke rumah Riani kerana berhasrat mahu bertunang pada hari yang sama.

Serbuan turut menemui seorang pekerja kilang berusia 22 tahun bersama pemandu van kilangnya yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya, pemandu van berusia 32 tahun itu memberitahu, kedatangannya ke bilik yang disewa Haslinda (bukan nama sebenar) adalah untuk menghantar makanan walaupun jam sudah menunjukkan jam 1.20 pagi.

Rumah sewa turut diserbu

Operasi turut dijalankan di sebuah rumah sewa milik pasangan kekasih di mana masing-masing bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dan kerani di sebuah kedai motosikal di Sungai Lalang.

Menurut Zaiferi, hasil dari maklumat awam, sepasang kekasih berusia 21 dan 26 tahun dicekup berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, Zaimi dan Nadia (bukan nama sebenar) dipercayai baru pulang dari makan malam.

Zaimi berkata, mereka merancang mahu ke rumah keluarga angkat tetapi setelah beberapa kali menghubungi tiada jawapan diterima.

Zaimi dengan alasan letih tidak menghantar Nadia pulang sebaliknya menghabiskan masa di rumah sewanya bersama kekasihnya itu.

Difahamkan, kedua-dua pasangan ini mengakui mahu berkahwin tetapi hasrat mereka ditentang keluarga.

Zaiferi berkata, seramai 10 individu disiasat termasuk seorang lelaki bukan Islam yang berada bersama pasangan beragama Islam dalam pemeriksaan yang dijalankan sekitar daerah termasuk di Taman Jubli Perak, Pantai Merdeka, Titi Semeling dan beberapa buah hotel bajet yang menjadi tumpuan.

Seramai 10 anggota bertugas dalam operasi yang bermula jam 6 petang sebelum berakhir jam 5 pagi.

Katanya, sembilan individu ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya meminta masyarakat prihatin terhadap aktiviti maksiat yang berlaku dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak jawatankuasa masjid, pejabat agama atau agensi berkaitan bagi membanteras gejala itu. -sinarharian

Datuk Md Afendi Hamdan

Isu Iklan Pendek RM450 Ribu, Ahmad Idham Usah Melatah - Finas

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) meminta pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri supaya tidak melatah berhubung kos penerbitan promo hari kemerdekaan terbitan agensi itu yang mencecah RM450 ribu.

Pengerusinya Datuk Md Afendi Hamdan berkata, tindakan Ahmad Idham yang mempersoalkan kos promo Tanah Tumpahnya Darahku itu seperti seseorang yang baharu menyertai bidang perfileman.

"Apa salahnya kalau kita mahu belanja lebih untuk promosi bersempena dengan hari kemerdekaan negara kita sendiri? Kalau laburkan RM1 juta sekalipun apa salahnya?

"Dia (Idham) hanya tahu nak salahkan orang sahaja terutama Finas. Bagi saya orang seperti itu tidak harus dilayan.

"Cara dia cakap seolah-olah dia tidak tahu kos sebegitu untuk sebuah iklan mampu menghasilkan kualiti visual yang bagus," katanya kepada mStar Online.

Pada Rabu lalu, Ahmad Idham mempersoalkan langkah Finas yang telah melaburkan sebanyak RM450 ribu hanya untuk menghasilkan treler Tanah Tumpahnya Darahku sempena hari kemerdekaan untuk ditayangkan di pawagam yang panjangnya hanya 2 minit 40 saat.

Ahmad Idham dalam status pada akaun Twitternya meminta badan itu memberi penjelasan berhubung kos berkenaan yang dianggapnya tinggi untuk sebuah iklan pendek.
 
Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Tambah Md Afendi lagi, Ahmad Idham juga tidak sepatutnya melatah memandangkan projek tersebut diberikan kepada rakannya sendiri iaitu Afdlin Shauki di bawah syarikat Vision Networks.

"Sepatutnya dia berbangga kerana kawannya mendapat projek besar seperti in dan bukannya mengkritik. Lagipun projek ini dibuat untuk negara dan ianya ditayangkan di seluruh pawagam.

"Sudah semestinya orang dari negara luar juga akan menyaksikan treler tersebut. Saya pelik dengan sesetengah pihak ini. Bila kita buat sesuatu benda yang elok, (dia) mengata, buat buruk apatah lagi," keluhnya dalam nada kesal. Dalam pada itu Md Afendi berkata, treler pendek itu turut ditayangkan menerusi laman YouTube dengan tempoh masa yang lebih lama iaitu selama empat minit.

"Pihak kami bukannya nak keluarkan kos secara sembarangan. Mahalnya sesebuah produk itu adalah berdasarkan kualiti teknikal dan grafik yang digunakan. Ia juga membabitkan penggunaan helikopter dan kamera jenis epik.

"Tambah pula tempoh masa penggambaran dibuat dalam jangka masa yang sangat singkat. Treler iklan ini bukannya seperti kita hasilkan filem biasa. Ia merupakan treler yang berkualiti tinggi," tegasnya.

Iklan Tanah Tumpahnya Darahku sudah pun disiarkan serentak di pawagam seluruh negara sebelum tayangan filem bermula Rabu lalu disusuli promo berjudul Pesanan Terakhir dan diikuti nyanyian lagu Negaraku.

Kempen itu bermula dari 28 Ogos lalu sehingga 3 September depan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang akan disambut pada Sabtu ini. -mStar

P/s: Apa pula komen para mufti?
Anwar singkir Shafee jadi Timbalan Pendakwaraya rayuan kes liwat
Jumaat, Ogos 30, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah tidak boleh menjadi timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kerana peguam kanan itu berada dalam senarai saksi pendakwaan.

Ini adalah pendirian Anwar untuk menyingkirkan peguam itu sebagai pendakwa utama kes liwat yang akan didengar di Mahkamah Rayuan bulan depan.

“Walaupun Shafee tidak pernah memberikan bukti, beliau ditawarkan kepada pihak pembela sebagai saksi kes itu.

“Shafee adalah sebahagian daripada pihak pendakwaan. Kemungkinan beliau juga memberikan kenyataan kepada polis,” kata Anwar dalam afidavit yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Anwar berkata, Shafee tidak seharusnya dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya kerana Jabatan Peguam Negara mempunyai pengamal undang-undang lain yang layak untuk mengendalikan rayuan itu.

Malah, katanya, perbelanjaan untuk menggunakan khidmat Shafee adalah menggunakan wang pembayar cukai.

Shafee pada 22 Julai lalu berkata, pelantikannya mengikut Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dibayar amaun minimum kerana mempunyai kontrak masih berjalan di antaranya dengan kerajaan.

Anwar berkata, Seksyen 376 (6) hanya mengenai pelantikan seorang yang layak dan sesuai sementara 379 menyentuh mengenai pekerjaan.

Katanya, Shafee tidak boleh dilantik mengikut dua seksyen itu kerana ia mempunyai maksud lain.

Ketua pembangkang itu berkata, mengikut Seksyen 376 (3), seorang peguam boleh dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya tanpa gaji sementara mengikut Seksyen 379 peguam dipilih dan gaji dibayar menggunakan dana awam.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan selama dua hari bermula 17 September.

Shafee sebelum ini dipetik sebagai berkata, pelantikan sebagai Timbalan Pendakwaraya tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana beliau bukan ahli politik atau anggota sebarang parti politik dan beliau dipilih atas kelayakannya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut mempertahankan langkah melantik Shafee, walaupun memperlihatkan Jabatan Peguam Negara berat sebelah dan mengikut rentak kerajaan.

Gani berkata, memberikan lesen kepada peguam persendirian untuk mewakili Putrajaya bukan sesuatau yang baru, menjadikan inkues Teoh Beng Hock sebagai contoh iaitu Datuk Tan Hock Chuan sebagai pegawai bertugas dalam kes itu.

Beliau berkata, pendakwa utama perbicaraan Anwar, Datuk Yusof Zainal Abiden yang bersara pilihan juga pernah mewakili pembangkang.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata pelantikan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya adalah perkara luar biasa dan memberikan persepsi bahawa pegawai dari Jabatan Peguam Negara tidak kompeten.

Menurut Abu Talib yang menjadi Peguam Negara selama 13 tahun sejak 1980, terdapat ramai pegawai berpengalaman untuk menjalankan rayuan yang beliau anggap sebagai kes “straight forward”.

Beliau berkata, menjalankan rayuan kes itu mudah kerana Anwar hanya dibebaskan selepas diberikan pembelaan dan persepsi terhadap kerajaan tercemar dengan pelantikan Shafee.

Anwar dibebaskan Januari tahun lalu selepas dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel DNA tidak terusik.

Seramai 27 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung melebihi tiga tahun itu.

Anwar memberikan keterangan dari dalam kandang saksi. – 30 Ogos, 2013. -TheMalaysianInsider
KL Gangster 2 bocor: Pawagam jadi dalang?
Jumaat, Ogos 30, 2013 | Author: Tuk Kiyai

KUALA LUMPUR - "Kejadian ini merupakan satu pengkhianatan, rompakan dan sabotaj bagi kami (Skop Production)," tegas Datuk Yusof Haslam berhubung filem terbitannya, KL Gangster 2 yang kini bocor di internet.

Filem arahan Syamsul Yusof yang dibintangi Aaron Aziz, Adi Putra, Rosyam Nor, Zizan dan Sofie Jikan itu sepatutnya ditayangkan kepada penonton di pawagam pada Oktober depan.

Akui kecewa dan terkilan dengan insiden itu, Yusof berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Selain laporan polis, beliau turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menangani masalah tersebut.

"Ia bukan perkara main-main kerana hal ini sangat serius. Apatah lagi ia kali pertama berlaku dalam sejarah perfileman.

"Saya tidak akan membiarkan mereka yang membocorkan filem ini terlepas begitu saja. Saya akan pastikan mereka akan dibawa ke muka pengadilan," tegasnya.

Menurut Yusof, anaknya Syamsul juga sangat kecewa dan terkejut kerana hasil titik peluhnya selama ini hancur begitu sahaja. Sementelah lagi filem yang menelan belanja RM4.5 juta itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan sepenuhnya.

Meskipun ada desas-desus mengatakan 'kebocoran' filem itu didalangi oleh 'orang dalam', Yusof bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Hanya orang tertentu sahaja menyimpan CD asal filem ini. Saya syak bahawa ia bermula ketika kami melakukan pra-tayangan di sebuah pawagam dan ketika itu saya turut hadir dalam majlis itu," katanya.

Beliau berkata, video yang tersebar itu serupa seperti yang ditayangkan waktu itu dan dia tidak menolak kemungkinan bahawa individu yang sama terlibat.

Menurutnya, filem yang berbentuk digital format itu senang untuk disalin dan dimuat naik terus ke internet untuk tontonan secara percuma.

"Sekarang dunia siber, petik saja jari kita boleh mendapat apa sahaja. Saya harap perkara ini dapat dijadikan iktibar untuk semua penggiat seni.

"Jangan mempercayai orang lain 100 peratus kerana mungkin ia akan memakan diri," katanya. -sinarharian
Tanda Putera ditayang di Pulau Pinang mulai Sabtu
Jumaat, Ogos 30, 2013 | Author: Tuk Kiyai

FILEM patriotik 'Tanda Putera' akan ditayangkan di pawagam di Pulau Pinang mulai Sabtu ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau dalam status terbaharunya di laman sosial Facebooknya berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pengusaha pawagam di negeri itu untuk tidak menayangkan filem yang disifatkan pembangkang sebagai kontroversi itu.

Namun Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berupa nasihat dan bukannya larangan.

"Mungkin atas desakan dan kemarahan rakyat atas tindakan tidak bijak melarang tayangan Tanda Putera, pihak pawagam terima surat baru - NASIHAT bukan ARAHAN," kata Shabery.

Katanya jika benar ada babak-babak fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dalam filem itu, mereka yang tidak berpuas hati boleh membuat laporan polis dan aduan kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). - Bernama

-sinarharian
Dakwa AirAsia hidang babi, bekas menteri mohon maaf enam bulan
Rabu, Ogos 28, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin diminta untuk mengemukakan permohonan maaf selama enam bulan oleh kumpulan AirAsia berhubung dengan dakwaan mengatakan babi dihidangkan dalam penerbangan pesawat syarikat itu untuk menggelakkan disaman sebanyak RM5 juta.

Beliau yang mengemukakan permohonan maaf kepada AirAsia pada bulan lalu di blognya Zamkata, berkata beliau tidak mampu membayar saman dan sara hidupnya hanya berdasarkan wang persaraan.

“AirAsia meminta saya menyiarkan permohonan maaf ini selama enam bulan tetapi saya akan siarkan untuk bertahun-tahun akan datang dengan tujuan penyebarannya lebih meluas dan bagi pengetahuan dari generasi ke generasi.

“Saya berterima kasih kepada Rocky's Bru yang menyatakan setiakawan bagi pihak penulis blog dan jaminan membela saya dalam menghadapi sebarang tindakan dari AirAsia,” katanya merujuk kepada penulis blog yang juga bekas Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan.

Dalam permohonan maafnya kepada AirAsia, beliau tidak menyangka artikel yang bertajuk, “Hidangan babi dalam penerbangan AirAsia, orang Islam patut tangguhkan dulu terbang dengan pesawat ini" di dalam blognya memberikan implikasi buruk kepada nama baik AirAsia dan AirAsiaX.

Katanya, selepas menerima surat tuntutan dari peguambela dam peguamcara AirAsia Berhad kira-kira sebulan dari tarikh penyiaran artikel tersebut, maka barulah beliau menyedari bahawa artikel itu memberikan implikasi atau gambaran,seolah-olah babi dihidangkan dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang mana dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Saya mohon maaf kepada AirAsia Berhad diatas sebarang kecederaan yang menimpa mereka kerana artikel tersebut dan saya berharap orang ramai tidak mempunyai sebarang prasangka bahawa babi ada dihidangkan di dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

“Saya yakin dan percaya bahawa AirAsia dan AirAsia X sangat prihatin terhadap sensitiviti agama kesemua penumpang mereka,” jelasnya menerusi blog Zamkata.

Hal ini dipanjangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranum semasa majlis sambutan Aidilfitri Utusan Melayu namun beliau enggan mengulas lanjut tentang tindakan saman yang diambil oleh AirAsia dan AirAsia X terhadap Zainuddin.

Kamaruddin berkata, AirAsia bukanlah anti Utusan meskipun syarikat penerbangan tambang rendah itu menarik balik iklan dalam akhbar milik Umno tersebut.

“Saya tahu sejarah Utusan dan Utusan adalah darah daging saya. Tuduhan seperti ini saya tidak dapat menerimanya,” jelas Zainuddin menerusi blognya. – 28 Ogos, 2013.
-TheMalaysianInsider

P/s: Kah kah kah...Siapa suruh fitnah!! 
Mata kanak-kanak dicungkil
Rabu, Ogos 28, 2013 | Author: Tuk Kiyai

Beijing: Seorang kanak-kanak dicungkil matanya selepas dilapor diculik oleh seorang penyeludup organ.

Anggota keluarga menemui kanak-kanak berkenaan berlumuran darah tiga hingga empat jam selepas dia hilang ketika bermain di luar rumah.

Mata mangsa ditemui berhampiran tetapi korneanya hilang, menunjukkan seorang penyeludup organ bertanggungjawab terhadap serangan ngeri itu.

Polis menawarkan hadiah 100,000 yuan (RM52,800) kepada mereka yang dapat memberi maklumat hingga suspek, yang dipercayai wanita, dapat ditangkap.

“Mukanya berlumuran darah ketika ditemui. Matanya dicungkil,” kata bapa mangsa kepada Televisyen Shanxi.

Rakaman televisyen itu menunjukkan bahagian mata mangsa yang berbalut dibawa keluar dari bilik pembedahan dan ditempatkan di sebuah katil hospital, meraung kesakitan sementara anggota keluarganya menangis di sisi katil.

Budak itu didiberi dadah menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum penyerang mencungkil matanya, lapor stesen televisyen CCTV menerusi lamannya di Sina Weibo, versi Twitter China.

Budak itu bermain bersendirian di luar rumahnya apabila dia diculik petang kelmarin. Ibu bapanya menyedari dia hilang selepas memanggilnya untuk masuk ke rumah kira-kira jam 8 malam. Selepas dia tidak muncul, ibu bapanya melancarkan gerakan mencari dengan dibantu oleh sanak saudara lain dan akhirnya menemuinya di sebuah padang berhampiran, kira-kira tiga jam kemudian.

“Kami tidak menyedari matanya hilang apabila menemuinya. Kami menyangka dia jatuh dan cedera di muka,” kata bapa mangsa.

Kehilangan mata mangsa hanya diketahu apabila dia dirawat di hospital.

Perdagangan organ secara haram didorong oleh permintaan yang begitu banyak. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun. - Agensi
-Hmetro
Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor
Selasa, Ogos 27, 2013 | Author: Tuk Kiyai