Klik "LIKE" jika suka TUK KIYAI: ISU SEMASA

Klik "IKUT" untuk teman TUK KIYAI

Sembang & Pesanan

http://tokkiyai.freeshoutbox.net/

TG NIK AZIZ BERDOA SUPAYA PM PERCEPAT PEMBAYARAN ROYALTI MINYAK KELANTAN

Label:

KOTA BHARU 18 Sept: Menteri besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak mempercepat pembayaran balik sejumlah RM1 Bilion hasil royalti minyak milik negeri itu.

Bercakap ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu pagi ini, beliau berharap ia dapat disegerakan kerana tiada sebab untuk kerajaan memperlewat bayaran royalti memandangkan ia adalah dari dari Petronas dan bukannya dari dana kerajaan pusat.

"Saya amat berharap Najib dapat mempertimbangkannya untuk disegerakannya, peruntukkan pusat kepada kerajaan negeripun beliau dapat beri inikan pula duit secara terang-terang adalah milik Kelantan,jadi tiada sebablah beliau nak perlengahkan lagi." katanya.

Tuan Guru juga turut memanjatkan doa kepada Allah swt dan turut diaminkan lebih 5000 yang hadir di kuliah mingguan tersebut agar membuka pintu hati Perdana Menteri supaya mempercepatkan pembayaran royalti minyak milik kerajaan Kelantan tersebut.

SUMBER di sini.

ISU KERTAS KABINET MENGENAI PKFZ DI INTERNET: POLIS AKAN SIASAT

Label:

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata polis akan menyiasat mengenai Kertas Kabinet berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan di internet kerana kertas itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau berkata tindakan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat yang sepatutnya, tetapi tindakan mendedahkan Kertas Kabinet di internet merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

"Dalam kes PKFZ ini, apa-apa yang patut kita beritahu kepada rakyat, kita akan maklumkan nanti, tetapi bukan satu alasan yang boleh diterima mendedahkan Kertas Kabinet (di internet).

"Apa pun kertas Kabinet masih di bawah OSA dan sesiapa dedahkan Kertas Kabinet, polis akan menyiasat. Tengok kepada siasatan nantilah, apa-apa tindakan boleh diambil berdasarkan OSA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan program Permata Negara di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kertas Kabinet berkaitan PKFZ yang didedahkan di sebuah laman web. SUMBER di sini.

[BERDASARKAN KOMEN PM ITU, MAKSUDNYA KERTAS KABINET YANG TERSIAR DI MALAYSIA TODAY ADALAH BETUL? SEKIRANYA BETUL, MAKA ISU PKFZ ITU SUDAH DIKETAHUI OLEH KABINET. APA-APA PUN KITA LIHAT SIASATAN YANG AKAN DILAKUKAN]

[BAGAN PINANG] UNDI POS: MENGAPA KERAJAAN TAKUT PAS MASUK KEM TENTERA?

Label:

Bagi mendapatkan undi pemilih pos – yang sering dicurigai hanya memenangkan calon BN – di Bagan Pinang, Pemuda PAS berhempas-pulas untuk menembusi kem-kem tentera dan balai polis.

"Kita akan minta kebenaran daripada komandan kem untuk masuk berkempen.

"Kalau tidak boleh masuk ke dalam (kem), di tepi pagar pun kita akan pergi," kata ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat hari ini.

Suhaizan, yang juga pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS, menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendesak calon-calon parti bertanding, khususnya pembangkang, diberikan ruang berkempen di kawasan-kawasan tersebut.

Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS turut membantah keras penggunaan Borang 2 – yang merekodkan maklumat peribadi pemilih polis dan nombor siri kertas undi – dan penetapan tempat khusus bagi pembuangan undi secara pos.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.

PAS sejak awal minggu lepas membangkitkan kembali isu undi pos.

Parti itu malah mendakwa mantan pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman pernah berjanji untuk mengkaji semula prosedur undi pos.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Suhaizan menambah, jika terdapat halangan berkempen di kalangan anggota pasukan pertahanan itu, PAS masih berharap dapat mendekati pengundi melalui risalah di depan pintu masuk kem.

Beliau, juga ketua Pemuda PAS Johor, berkata usaha mendekati pemilih pos di kem-kem tentera dan balai polis akan digiatkan selepas sambutan Aidilfitri, beberapa hari lagi.

Sayap PAS itu bercadang mengirim surat kepada Kem Tentera Port Dickson, Teluk Kemang bagi mendapatkan kebenaran berkempen sempena pilihan raya kecil Bagan Pinang, bermula 3 Oktober nanti.

Diminta mengulas butiran pertemuan dengan seorang pegawai SPR di Putrajaya, Suhaizan berkata, suruhanjaya itu berjanji akan mempertimbangkan tuntutan dalam memorandum tersebut.

Malaysiakini

KES PERTAMA DI SELANGOR: 2 ORANG BAKAL DISEBAT KERANA CUBA BERZINA

Label:

Hari ini seorang wanita dan pasangannya dikenakan hukuman sebatan enam kali dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas mengaku bersalah cuba melakukan persetubuhan haram pada Mei lalu. Ini merupakan kes kedua selepas kes Kartika Sari Dewi Shukarnor dan merupakan kes pertama di Selangor.

Mereka dijatuhi hukuman sebat mengikut peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shai hari ini bagaimanapun membenarkan hukuman sebat itu ditangguhkan sehingga rayuan terhadap hukuman tersebut selesai.

NOORDIN MAT TOP AKHIRNYA TERBUNUH?

Label:

SOLO (Indonesia): Empat suspek pengganas terbunuh dalam satu serbuan polis di tengah Indonesia, awal pagi Khamis, selepas kejadian tembak-menembak dan letupan, dengan salah seorang daripada yang terbunuh dipercayai perancang siri keganasan di negara itu, Noordin Mohammad Top.

Pegawai polis berkata, tiga lagi suspek pengganas turut diberkas.

Pegawai anti-pengganas berkata, suspek yang terbunuh termasuk pembuat bom, Bagus Budi Pranato.

Menurut jurucakap polis negara itu, Nanan Sukarna, anggota-anggota militan yang diberkas adalah seorang wanita mengandung yang kini dirawat di hospital tempatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Polis menjejak tujuh suspek itu ke sebuah bandar di Solo, Jawa Tengah dan mengepung sebuah rumah kampung di pinggir bandar tersebut semalaman.

Menurut jurucakap polis, serbuan itu berakhir pada waktu subuh apabila berlaku letupan di dalam rumah berkenaan.

Televisyen Indonesia menyiarkan rakaman rumah yang terbakar tanpa bumbung dan kepingan dinding yang berkecai.

Stesen televisyen TVOne membuat spekulasi bahawa mayat yang tidak dikenalpasti itu adalah Noordin yang merupakan anggota militan yang paling dikehendaki di rantau ini, namun tidak ada pengesahan berhubung perkara itu dan kematiannya telah disalah lapor sebelum ini.

Sejumlah besar bahan letupan, senjata, grenad dan bom ditemui di tempat kejadian dan beberapa ambulans membawa mangsa yang terbunuh dan cedera.

Berlaku sedikit percanggahan laporan berhubung punca letupan itu, namun Sukarna berkata, "ia kemungkinan besar datang daripada polis yang cuba masuk ke dalam (rumah)" dan ia bukan letupan bom berani mati seperti yang dilaporkan sebelum itu.

Pasukan polis khas memberkas dua lelaki yang dikenal pasti sebagai Bejo dan Supono, yang membawa mereka ke tempat persembunyian tersebut.
SUMBER di sini.

BONUS RAYA: K/TANGAN AWAM NEGERI PAKATAN RAKYAT DAPAT RM500

Label:

SHAH ALAM - Kakitangan awam di tiga negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR) mendapat ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan Negeri masing-masing mengumumkan pemberian bonus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menariknya, habuan sebanyak RM500 kepada setiap kakitangan kumpulan sokongan di Selangor dan Kedah dibayar secara sekaligus, sementara kakitangan di Pulau Pinang menerima pembayaran dua kali secara ansuran.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM4.38 juta bagi bantuan khas kewangan bagi 2009 kepada seluruh kakitangan perkhidmatan awam untuk kumpulan sokongan di negeri ini.

“Kita telah bersetuju untuk memberikan bantuan khas ini kepada semua kakitangan perkhidmatan awam dalam kumpulan sokongan di Selangor.

“Setiap mereka akan diberikan RM500 bagi meringankan beban sempena perayaan hari raya ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, hampir 9,000 kakitangan akan mendapat bantuan berkenaan dan daripada jumlah berkenaan, seramai 7,588 kakitangan tetap, 952 kontrak serta 230 kakitangan sambilan akan menerima bantuan tersebut.

“Bantuan berkenaan akan diberikan sepenuhnya sebelum hari raya ini. Ini berbeza apa yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan yang mana mereka dibayar dua peringkat yang mana RM250 sebelum raya dan selebihnya dibayar selepas raya,” katanya.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.65 juta untuk membayar bonus berkenaan, RM2.47 juta kepada kaki tangan berjawatan tetap dan selebihnya kepada kakitangan kontrak, sementara dan sambilan.

Katanya, ganjaran ini diterima 5,300 pekerja di mana 4,950 adalah kakitangan tetap dan 350 adalah kakitangan kontrak, sementara dan sambilan.

“Semua pekerja kumpulan sokongan sama ada berjawatan tetap, sementara atau kontrak akan menerima bonus ini. Kita harap bayaran bonus ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Sementara itu di PULAU PINANG, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan bayaran khas RM500 kepada 3,299 pegawai kumpulan sokongan negeri itu tetapi bayaran khas itu dibuat dengan dua ansuran.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, arahan pembayaran RM500 ini akan dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan semua agensi Kerajaan Negeri.

Katanya, pembayaran pertama RM250 akan dilakukan hari ini bagi membolehkan wang itu digunakan untuk menyambut Aidilfitri manakala bakinya dibayar akhir Disember.

“Bayaran ini akan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,649,500 dan gaji juga akan dibayar lebih awal untuk dua bulan ini untuk menyambut dua perayaan iaitu Hari Raya Puasa dan Deepavali,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2009 di Dewan Tunku, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), semalam.

SUMBER di sini.

SKANDAL PKFZ: NAJIB MESTI LETAK JAWATAN JIKA PENDEDAHAN MT BENAR - MAHFUZ OMAR

Label:

[HARAKAHDAILY] KUALA LUMPUR, 17 Sept: Perdana Menteri, timbalannya dan semua menteri yang terlibat mesti meletakkan jawatan jika dokumen kerajaan yang didedahkan oleh Malaysia Today (MT) hari ini dalam artikelnya yang bertajuk "What the Cabinet hid from the Malaysian public" adalah tulen, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Dokumen yang didedahkan itu menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00.

"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) perlu membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah kepada rakyat bahawa dokumen itu adalah dokumen palsu.

"Jika beliau gagal berbuat demikian dan dokumen tersebut memang benar dokumen kerajaan yang tulen, beliau dan semua anggota kabinetnya kini yang terlibat dalam memberikan kelulusan retrospektif itu mesti meletakkan jawatan serta merta," tegas Mahfuz.

Jika dokumen itu adalah dokumen kerajaan yang tulen, beliau mempersoalkan bagaimana Najib dan anggota kabinet pada masa itu boleh mempersetujui kelulusan retrospektif itu sedangkan banyak peraturan kewangan telah dilanggar termasuk dalam apa yang didakwa sebagai tindakan Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan kepada beberapa penerbitan bon yang boleh dianggap tidak sah.

Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja.

Mahfuz juga menuntut kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri sahaja tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya?

Beliau juga mempersoalkan, mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut setelah dilaksanakan didapati tidak berdaya maju dan kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion.

"Jika dokumen yang didedahkan oleh MT itu adalah dokumen tulen kerajaan, rakyat kini boleh melihat dengan jelas mengapa Najib dan kabinetnya menubuhkan pasukan petugas khas serta-merta bagi menyediakan laporan berkaitan isu PKFZ.

"Saya telah nyatakan sebelum ini bahawa penubuhan pasukan itu sebenarnya bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ," kata beliau.

"Dan, sebab itulah juga Najib dan kerajaan pimpinannya begitu takut untuk menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu.

"Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan lagi jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sekali lagi menuntut sidang khas parlimen diadakan bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ.

"Jika kerajaan enggan mengadakan sidang parlimen khas itu, kita yakin sidang parlimen yang dijangka bermula 19 Oktober ini hingga 15 Disember akan 'dibanjirkan' dengan isu PKFZ hinggalah Perdana Menteri, timbalannya dan semua menteri dalam kabinetnya kini yang terlibat memberikan kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ itu meletakkan jawatan," kata beliau.

Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam PAS ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan suruhan jaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman dari kerajaan.

Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah dari KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi. KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ.

KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi. Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan._mna_

MENGAPA ADA "PIHAK" YANG TAKUT KARTIKA DISEBAT?

Label:

Mengapa takut sangat jika hukum Islam dilaksanakan di 1Malaysia?

Itulah persoalan kebanyakan orang Islam gara-gara kes Kartika.

Perasaan takut terhadap hukum Islam ini lahir bukan dari orang bukan Islam sahaja malah orang yang mengaku Islam keturunan. Orang bukan Islam tak payah ceritalah sebab mereka mungkin tidak faham tentang Islam.

Mengapa ada individu, orang politik, dan NGO yang takut jika Kartika disebat? Atau mereka ingin membantu Kartika agar tidak disebat di dunia?

Bagi Tok Kiyai, jawapannya ialah "mereka" jahil dan tidak yakin tentang keadilan Islam kerana mereka ini membesar dengan undang-undang penjajah.

Kalau orang Islam tidak minum arak, mengapakah takut dengan hukuman sebat?
Kalau orang Islam tidak tidak berzina, mengapa mereka takut dengan hukuman sebat atau rejam?
Kalau orang Islam tidak membunuh mengapa takut dengan hukum Islam?
Kalau orang Islam tidak merompak, mengapa takut dengan hukum Islam?

Adakah kerana ada pihak yang takut jika Kartika disebat maka ada yang cuba mengganggu beliau?

Bacalah artikel Malaysiakini di bawah ini.

KARTIKA AMBIL TINDAKAN JIKA DIGANGGU
Kartika Sari Dewi Shukarnor, model sambilan yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang, memberi notis untuk tidak diganggu.

Kartika, yang reda dengan hukuman yang dikenakan itu serta memohon ia dilaksanakan secepat mungkin, berkata terlalu ramai orang perseorangan, ahli politik, pertubuhan kerajaan dan NGO yang menghubunginya serta berjumpa dengannya serta keluarga sejak kebelakangan ini, dan ini mengganggu kehidupannya sekeluarga selain beliau didesak melakukan pelbagai perkara yang
tidak mahu dilakukan.

"Oleh yang demikian, saya memberi notis bahawa saya tidak mahu diganggu oleh mana-mana orang perseorangan, ahli politik, pertubuhan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan segala perjumpaan yang telah, sedang dan akan dirancang serta apa-apa perhubungan dengan saya sekeluarga hendaklah dihentikan serta-merta," kata Kartika dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guaman Tetuan Adham & Associate hari ini.

Kartika berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman beliau dan keluarganya selepas ini.

Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa beliau amat menyesal dan bertaubat dengan kesilapan yang telah dilakukan.

"Saya tidak akan mempertanggungjawabkan kepada sesiapapun dalam pelaksanaan hukuman sebatan ini," katanya.

Kartika berkata beliau telah mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa peguam sivil dan peguam syarie berkaitan dengan pelaksanaan hukuman sebat ini dan berpuas hati dengan nasihat tersebut.

Beliau juga telah melantik peguam sivil dan syarie dari firma guaman Tetuan Adham & Associate di Ipoh bagi menjaga kepentingan beliau dan keluarganya.

Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Pada 24 Ogos lepas, penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika dikeluarkan di Kuantan oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan. BERNAMA

KOMEN TUN DAIM ZAINUDDIN TENTANG UMNO BN, RASUAH, PKFZ, PR

Label:

[HARAKAHDAILY] 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.

Mengulas mengenai PR, beliau menyifatkan pakatan itu mengecewakan rakyat.

Rakyat, katanya, menaruh harapan yang tinggi kepada PR tetapi kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PR terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Jangan buang masa melemparkan tuduhan kepada BN, kamu adalah pakatan yang memerintah (di negeri-negeri yang dikuasai PR), kamu sepatutnya memfokuskan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya kamu"

Beliau berkata, rakyat mula melihat bahawa PR tidak boleh melakukan dengan lebih baik berbanding BN, walaupun diberi peluang.

Itulah kekecewaan terbesar rakyat, katanya.

MELAYU SERTAI DAP BUKAN ANCAMAN - TG NIK ABDUL AZIZ

Label:

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bimbang dengan langkah DAP Selangor yang membuka keahlian kepada orang Islam yang turut disokong oleh Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hassan Mohd Ali.

Beliau berkata, langkah itu bukanlah satu ancaman bagi Pas kerana DAP dan parti itu serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung dalam satu pakatan.

“Dia (DAP) nak buka tu buka la. Orang nak terima itu dia punya fasal. Kalau nak sebut masalah ancaman tu biar dulu kerana DAP, Pas, PKR sedang bergabung dalam satu pakatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kutipan Wakaf/Dera Tapa Masjid Al-Hussain bandar Baru Tunjung dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Penubuhan cawangan Melayu pertama parti DAP di Selangor.

Kelmarin akhbar melaporkan Dr Hassan menyifatkan penubuhan itu sebagai satu fenomena biasa bagi Pas.

Dr Hassan dilaporkan berkata, kemasukan bangsa Melayu dalam DAP juga dilihat ada kebaikannya untuk jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata ia adalah hak individu dan tidak boleh dihalang.

“DAP juga parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan mungkin kemasukan Melayu ke dalam parti itu ada kebaikan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, biarpun ia cawangan pertama DAP yang dianggotai oleh majoriti kaum Melayu namun ia tidak menggambarkan Pas dan PKR tidak mampu menarik Melayu ke dalam parti komponen berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Nik Abdul Aziz berkata, beliau berharap pengundi akan terus menyokong calon Pakatan Rakyat yang dicalonkan untuk bertanding kerusi tersebut.

“Saya berdoa mudah-mudahan pengundi di Bagan Pinang kalau calon Pas undi Pas, PKR undi PKR. Kita ikut calon terdahulu,” katanya. SUMBER di sini.

BERITA BERKAITAN: DAP: Umno yang sesatkan Melayu

MENJELANG PRK BAGAN PINANG: 5 TAHANAN ISA DIBEBASKAN

Label:

Menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang, lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaporkan akan dibebaskan hari ini.

Ia sama seperti pembebasan pemimpin utama pertubuhan Hak Asasi Hindu (Hindraf), menjelang pilihanraya kecil Bukit Selambau.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Husein sekeras-kerasnya menafikan pembebasan kali ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil.

Namun sehingga berita ini ditulis, Gerakan Mansuh ISA (GMI) masih menunggu janji pembebasan lima tahanan tanpa bicara ISA, sebagaimana yang diumumkan Hishamuddin pagi tadi.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh petang tadi, menjelaskan bahawa pihaknya sendiri hanya mendapat pengkhabaran itu dari media masa, bukannya pihak berwajib secara rasmi.

"Tidak ada lagi pihak polis menghubungi kami (GMI). Tapi, saya telah dihubungi oleh Norlaila (isteri kepada tahanan, Mat Sah Mohamad Satry) dan dia memberitahu pihak polis tidak menghubunginya untuk beritahu bila dibebaskan dan di mana pembebasan itu berlaku."

Bagaimana pun, kalau pembebasan itu merujuk kepada tahanan yang dituduh anggota Jamaah Islamiyyah (JI), Ibrahim menjelaskan ianya terdiri oleh enam orang, rakyat Malaysia; bukannya lima orang.

Puan Norlaila Othman, suami Mat Sah yang juga aktivis GMI sendiri gagal dihubungi kemudiannya, untuk mengesahkan hal demikian.

Laman web The Malaysian Insider melaporkan, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin membuat pengumuman tersebut setelah mendapati kelima-lima tahan terbabit telah insaf.

Pembebasan itu dikatakan juga sempena meraikan Hari Raya Puasa, tidak lama lagi. Selain tahanan lapan tahun, Mat Sah, Pensyarah Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr. Abdullah Daud dipercayai khalayak turut dibebaskan.

Baki yang lain adalah Mohd Nasir Ismail, Mohd Kamil Mohd Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah; masing-masing ditahan di bawah akta yang dikatakan zalim itu sejak 30 Mei 2007.

SUMBER di sini.

KES ALTANTUYA: DR SHAARIBU TARIK BALIK PERMOHONAN RAYUAN

Label:

Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam semalam membatalkan tanpa kos semakan kehakiman difailkan Dr Shaaribuu, bapa kepada Altantuya Shaaribuu.

Keputusan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman selepas Dr Sharibuu menarik balik permohonan semakan ke atas keputusan peguam negara yang tidak membuat rayuan atas pembebasan Abdul Razak Baginda tahun lalu.

Dr Shaaribuu memaklumkan pendiriannya melalui email yang dihantar kepada peguam Karpal Singh pada 25 Ogos lalu. Permohonan semakan semula keputusan pendakwa raya yang tidak membuat rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya difailkan Dr Shaaribuu pada 24 Disember tahun lalu. Permohonan yang difailkan peguam Karpal Singh menamakan Abdul Ghani Patail dan Abdul Razak Baginda sebagai respondan.

ANTARA KALUNGAN SELIPAR DENGAN DILEMPAR KASUT

Label:

Melampau dan biadab...

Berfikiran cetek...

Tidak menghargai pengorbanan Tun Mahathir kepada kaum India...

Itulah kata-kata pemimpin umno terhadap tindakan perwakilan MIC yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk cadangan mengalungkan gambar bekas perdana menteri itu dengan kalungan selipar.

Ada pemimpin umno yang berkata tindak-tanduk seumpama itu bukan budaya BN dan MIC perlu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan.

Beberapa akhbar semalam melaporkan bahawa Dr Mahathir telah dikritik para perwakilan MIC pada perhimpunan itu kerana dikatakan mencampuri urusan dalaman MIC serta menjatuhkan maruah presiden parti itu Datuk Seri S Samy Vellu.

Sehingga ada pemimpin umno yang mengatakan bahawa cadangan mengalungkan selipar itu menggambarkan kaum India di negara ini tidak menghargai jasa dan sumbangan Tun Dr Mahathir terhadap kaum India.

Bagi Tok Kiyai, semua ini adalah menggambarkan bahawa parti komponen BN kini sudah tidak sekata lagi. Mereka telah berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan yang berani menegakkan kebenaran dan kumpulan yang hanya berani berkata YES kepada bos mereka walaupun jelas terpesong dari kebenaran.

Tok Kiyai juga ingin saksikan seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mahu melihat Umno BN terkubur buat selama-lamanya.

INGIN MELIHAT UMNO TERKUBUR KINI SEMAKIN MENJADI REALITI - TG NIK AZIZ

Label:

Harapan sejak tahun 60an lagi untuk melihat Umno terkubur semakin menjadi realiti.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti yang bersikap perkauman seperti Umno tidak mustahil untuk mati kerana tiada satu jaminan pun oleh sesiapa sahaja bahawa perjuangan perkauman akan kekal sepanjang zaman.

Beliau berkata demikian sebgai mengulas kenyataan bekas Presiden Umno,Tun Dr. Mahathir Mohamed bahawa Umno akan terkubur sekiranya permasalahan yang melanda tidak dapat diselesaikan segera.

"Umno mesti mati kerana hidup mereka hanyalah dibuat-buat. Mereka tolak Islam, guna sekular, kalau lawan sama-sama sekular boleh lah tahannya, tetapi kalau parti mana sekalipun yang lawan Islam, ia tak akan bertahan lama."

"Islam milik Allah sedangkan perjuangan bangsa Melayu bukannya boleh dibawa ke akhirat, hanya Islam akan sampai ke sana," ujar beliau.

Katanya, hanya PAS parti yang mengambil Al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangannya, dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa Umno juga memperjuangankan Islam bukan sesuatu yang luar biasa.

Kenyataan sedemikian juga katanya boleh digunakan parti lain dalam komponen BN, namun realitinya Umno memperjuangkan Melayu, MCA Cina dan MIC memperjuangkan kaum India.

Tetapi PAS katanya, memperjuangkan Islam yang melampaui batas perkauman sempit tersebut.

Keadilan perjuangan Islam itu katanya telah menarik kaum bukan Islam untuk bersama PAS sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong parti itu.

Mengulas hak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Bagan Pinang, Tuan Guru berkata ianya bukan isu besar, kerana yang lebih penting, calon yang tersebut adalah dari Pakatan Rakyat.

"Mengikut kebiasaannya, calon adalah dari parti yang bertanding terdahulu, kalau calon dahulu dari PAS, maka untuk kali ini pun dari PAS, apapun ia adalah milik Pakatan Rakyat sebenarnya" katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis perlancaran Kutipan Wakaf/Derma Tapak Masjid Al-Hussain Bandar Baru Tunjong.

Masjid yang akan didirikan di tapak seluas 9.40 ekar tersebut adalah sumbangan peribadi dari tokoh dermawan negara ini dan ia terletak di persimpangan Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu serta Jalan Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Turut hadir di majlis tersebut,Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato'Mohd Aiseri Alias,Pegawai Kewangan Negeri Haji Mohd Faudzi Che Mamat, Exco Negeri,Ketua Pegawai operasi Perbadanan Menteri Besar, Ir.Abdul Ariffahmi Ab.Rahman, Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pegawai-Pegawai Kerajaan negeri.

Pembinaan masjid tersebut akan mengambil masa selama 34 bulan dan boleh menampung seramai 1750 jemaah pada satu waktu.

Masjid yang menelan belanja melebihi RM7 juta akan menggunakan ciri-ciri di zaman Uthmaniah (Turki) dan Fatimiah(Mesir) serta dilengkapi dengan sebuah pusat sumber Islam,Kelas Tahfiz, Kediaman Iman dan pegawai masjid.

SUMBER di sini.

KRISIS BN: 300,000 AKAN KELUAR JIKA SUBRA TINGGALKAN MIC?

Label:

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memerlukan platform politik baru untuk menyatupadukan masyarakat India termasuk bekas ahli MIC ekoran kekalahan kedua berturut-turut dalam pemilihan parti semalam.

Penyokongnya juga mendakwa kira-kira 300,000 ahli MIC akan keluar jika Subramaniam memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

Sehubungan itu penyokong-penyokong Subramaniam menanti tindakan susulan beliau ekoran kekalahan semalam.

"Subramaniam harus mengambil platform lain... beliau harus memutuskan platform lain untuk menyatupadukan mereka (masyarakat India).

"Untuk menyatupadukan komuniti India, beliau memerlukan satu platform," kata salah seorang penyokong kuat Subramaniam, K.P. Samy yang memenangi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pemilihan semalam.

K.P. Samy mengatakan demikian ketika ditemui pada hari kedua Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di sini hari ini.

K.P. Samy menambah, walaupun beliauSubramaniam tewas sebanyak dua kali dalam perebutan jawatan nombor dua parti, namun lebih 500 perwakilan memberi sokongan padu kepada bekas Timbalan Presiden itu manakala Palanivel, calon diiktiraf Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu, hanya memperoleh kira-kira 35 peratus sokongan.

Sehubungan itu kata K.P. Samy, pihaknya menanti keputusan Subramaniam untuk menentukan masa depan dalam MIC.

K.P. Samy menambah, sebelum ini beliau dan Subramaniam ada mengadakan pertemuan bersama dua pemimpin Hindraf dalam usah menarik mereka menyertai MIC.

"Saya tidak mahu sebut siapa pemimpin Hindraf itu... mereka pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. "... kita juga mengadakan perbincangan bersama bekas ahli Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

"Perbincangan ini diadakan bertujuan untuk menarik kembali minat mereka menyertai MIC. Bagaimanapun, mereka menyatakan pertimbangan akan dilakukan selepas melihat keputusan pemilihan MIC," katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan pemilihan semalam menunjukkan suasana yang berlainan. Pada perhimpunan parti itu semalam, calon Pasukan Presiden direstui Samy menyapu bersih semua jawatan tertinggi parti manakala 19 daripada 27 calon pilihann beliau memenangi kerusi CWC yang dipertandingkan.

K.P. Samy berkata, selepas melihat kepada keputusan pemilihan MIC itu, beliau tidak pasti sama ada usaha atau perbincangan bersama kumpulan terbabit akan berjaya atau tidak.

"Saya akan terus bekerja untuk menyatupadukan masyarakat India.

"Kini saya tidak tahu apakah keputusan Subramaniam yang seterusnya. Kita tunggu dan lihat," katanya.

SUMBER di sini.

MIRZAN TUN MAHATHIR DILANTIK AHLI LEMBAGA PENGARAH PENGELUAR ARAK TERBESAR FILIPINA. BERBANGGAKAH ORANG ISLAM?

Label:

Ketika kerajaan negeri Selangor melalui Exco agamanya berusaha keras untuk menghalang umat Islam di negeri itu dari terjebak dengan ketagihan arak, anak bekas Perdana Menteri, Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah dalam syarikat pengeluar arak terbesar Filipina. Iklan

"Ini adalah urusan perniagaan sahaja," kata Mirzan sebagaimana suratnya kepada laman web The Malaysian Insider selepas berita mengenai perlantikan beliau dalam San Miguel Corp (SMC) disiarkan oleh laman web itu.

Menurut Mirzan, beliau sedang berusaha agar penglibatan SMC dengan arak hanya akan tinggal 15 peratus sahaja tahun depan.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran beer Filipina. Syarikat ini telah mengeluarkan San Miguel Beer sejak lebih 100 tahun lalu. Beer ini dibuat di Filipina, China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia. Ia dijual di 60 negara di seluruh dunia, lapor laman webnya.

Menurut Mirzan dalam suratnya itu, syarikat itu sedang berubah haluan ke infrastruktor, kemudahan awam dan tenaga yang diperlukan oleh negara Filipina.

Dengan apa yang dilakukan oleh Mirzan, ia lebih besar kesannya berbanding ketagihan arak secara individu kerana Mirzan akan menyumbangkan tenaga, wang dan fikirannya untuk memajukan perniagaan arak ini.

Namun Mirzan, anak sulong Dr Mahathir ini dalam suratnya menolak perkara itu.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu membantu San Miguel membina pendekatan baru dan harapan saya apabila ianya berjaya akan memberikan kesan baik kepada negara dan rakyat," kata Mirzan.

Berlawanan dengan Mirzan, kerajaan negeri Selangor sedang berusaha mengawal jualan arak ini agar ia tidak diminum oleh orang Islam.

Satu peraturan baru sedang dirangka untuk mengawalnya kerana beer tidak memerlukan sebarang lesen untuk dijual. Yang dikawal oleh undang-undang yang ada hanya liqour sahaja.

Usaha ini dibuat ekoran bantahan umat Islam negara ini apabila kedai 24 jam menjual beer secara bebas kepada rakyat negara ini termasuk kepada umat Islam.

Ia menjadi parah apabila golongan remaja mengambil kesempatan membeli arak ini selepas waktu tengah malam untuk mengelak dari dilihat oleh orang ramai.

Mereka kemudiannya menghabiskan masa tengah malam dengan meminum arak dan kemudiannya tidak segan untuk terlibat dengan aktiviti kurang sihat termasuk merempit dan pecah rumah dan seterusnya terjebak dengan pelbagai jenis kelakuan tidak bermoral lagi.

SUMBER di sini.
TG NIK AZIZ BERDOA SUPAYA PM PERCEPAT PEMBAYARAN ROYALTI MINYAK KELANTAN
Jumaat, September 18, 2009 | Author: Tuk Kiyai

Khamis, September 17, 2009 | Author: Tuk Kiyai

Rabu, September 16, 2009 | Author: Tuk Kiyai

Selasa, September 15, 2009 | Author: Tuk Kiyai

Isnin, September 14, 2009 | Author: Tuk Kiyai