Saya petik:
[SH] KUALA TERENGGANU - Seorang buruh bukan sahaja terpaksa berputih mata setelah hasratnya untuk ‘skodeng’ anak dara jirannya dengan menceroboh bilik air tidak kesampaian, tetapi lebih malang, dia turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas perbuatannya itu.
Sebagai pembalasannya, tertuduh, Mat Taha Ismail, 39, dari Kampung Lingai, Batu Rakit, di sini, yang dipercayai turut berhajat untuk melakukan jenayah lain dikenakan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Mat Taha turut berhada-pan hukuman empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.
Hukuman dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku salah menceroboh masuk rumah milik Nurul Alia Embong, 20, kira-kira jam 10 pagi pada 27 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang baru terjaga dari tidur terkejut setelah ternampak tertuduh di hadapan pintu tandas rumahnya.
Mungkin terkejut dengan teguran itu, tertuduh terus melarikan diri melalui pintu yang diumpilnya sebelum ini. Curiga dengan tindak-tanduk tertuduh, mangsa terus membuat pemeriksaan lanjut di dalam rumahnya tetapi mendapati tidak ada barang berharga yang hilang.
Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa buat laporan di Balai Polis Batu Rakit.
Syor-syor yang dipersetujui semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya:
1. Memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos.
2. Pengundi luar kawasan.
3. Tarikh pembubaran Parlimen.
4. Kerajaan sementara (caretaker government).
5. Penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran.
6. Akses media yang bebas dan saksama.
7. Pembersihan daftar pemilih yang berterusan.
8. Penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar.
9. Bantahan terhadap daftar pemilih yang diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.
10.Penggunaan alamat selain alamat pemastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya.
11.Memperkasakan kedudukan SPR.
12.Penstrukturan dan pengukuhan SPR.
13.Memperluaskan Akademi Pilihan Raya.
14.Pengasingan fungsi utama SPR.
15.Pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak.
16.Persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang.
17.Peruntukan dana kepada parti politik
18.Sistem pilihan raya baru.
Syor-syor yang tidak mendapat persetujuan sebahagian ahli jawatankuasa:
1. Memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media.
2. Membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun.
3. Memanjangkan tempoh berkempen.
4. Kajian ke arah pendaftaran secara automatik. Sumber: BH
Saya petik:
[SH] TAIPING - Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Aman yang menimbulkan tanda tanya kepada penduduk akhirnya terbongkar apabila polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan bogel dan terikat.
Hasil maklumat jiran, sepasukan polis diketuai Asisten Superintenden Saerah Dollah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping ke rumah berkenaan untuk menjalankan siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ismon Suratman berkata, polis menemui mayat seorang wanita di ruang tamu rumah No. 27-505, Kampung Aman, Pokok Assam kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
Katanya, ketika ditemui mayat itu dalam keadaan bogel dan kedua-dua kaki diikat dengan wayar manakala mayatnya membengkak dipercayai meninggal dunia tiga atau empat hari yang lalu.
“Pintu rumah bahagian dapur tidak berkunci dan boleh dibuka manakala keadaan rumah berselerak akibat digeledah. Mangsa seorang pesara kerajaan tinggal sendirian dalam rumah berkenaan.
“Bagaimanapun polis masih dalam siasatan bagi memastikan barangan yang hilang, termasuk kemungkinan berlaku samun. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Mohd Ismon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Bainun Ipoh untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Saya petik:
[TMI] KUALA LUMPUR, 3 April — Bersih dijangka akan mengumumkan esok tarikh perhimpunan ketiganya untuk pilihan raya yang bersih dan adil, yang mana menurut sumber badan pemerhati pilihan raya itu akan berlaku hujung bulan ini.
Salah seorang jawatankuasa pemandu Bersih yang enggan mendedahkan identitinya berkata kepada The Malaysian Insider butiran berkenaan “Bersih 3.0” akan didedahkan sewaktu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran walaupun laporan di Internet menyebut 28 April ini sebagai tarikh untuk perhimpunan berikutnya, dan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan tersebut.
Sumber lain yang dihubungi juga tidak mengesahkan dan menidakkan khabar angin tersebut, namun mengakui semalam bahawa kumpulan tersebut telah bergerak untuk menuntut perubahan pilihan raya yang lebih besar.
Perkara itu jelas sumber tersebut, berlaku akibat daripada kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pilihan raya (PSC) menyelesaikan isu pokok dan menunaikan tuntutan Bersih sebelum ini di samping pilihan raya yang bakal berlaku.
Sumber itu menambah, lebih banyak bukti penipuan sistem pilihan raya akan didedahkan, yang akan membuktikan PSC adalah sekadar hiasan pentadbiran Najib untuk menunjukkan keikhlasannya melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.
“Kami telah menemui bukti penipuan sistem pilihan raya yang lebih banyak dan menimbulkan tanda tanya sama ada keseluruhan PSC itu hanyalah sekadar satu penipuan,” kata sumber berkenaan.
“Melalui perhimpunan, kamu boleh sebut saya tidak mengesahkan, atau menafikan perkara itu.
“Tapi apa yang saya boleh katakan adalah bukti penipuan tersebut adalah sangat jelas.”
Sembilan ahli bipartisan PSC telah diumumkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah berbulan lamanya pentadbiran beliau menerima kritikan ketika menguruskan perhimpunan Bersih kedua pada 9 Julai.
Selepas enam bulan perbincangan, panel berkenaan telah menyiapkan 22 hasil laporan akhir dan akan diserahkan kepada wakil rakyat di Parlimen semalam.
Perbahasan berkenaan laporan itu dijadualkan berlangsung 11.30 pagi hari ini namun, Pakatan Rakyat (PR) telah menyatakan kekecewaan mereka terhadap hasil laporan tersebut.
Selain itu, tiga ahli PR dalam PSC sejak minggu lalu sering mengkritik panel kerana dikatakan gagal menyelesaikan isu utama bagi membersihkan pilihan raya, terutamanya dakwaan kurangnya komitmen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membersihkan sistem pilihan raya.
SPR, yang mana ahli PR telah berulangkali mendedahkan terdapatnya kehadiran 42,000 pengundi hantu di dalam daftar sistem mereka, namun mereka tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tambahan lagi, mereka menyatakan suruhanjaya berkenaan gagal mengemukakan kaedah yang sesuai untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk turut mengundi, walaupun telah didesak untuk dikemukakan dalam laporan interim PSC Disember lalu.
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga, pada 18 Mac telah memberi amaran kepada Putrajaya kemungkinan berlakunya Bersih3.0, ekoran penambahbaikan pilihan raya sengaja dilambat-lambatkan dan penambahan pengundi secara mendadak di sesetengah kawasan Parlimen.
“Melihatkan kepada keadaan sekarang, kami tiada pilihan lain. Selain Bersih 3.0,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.
“Sekiranya kerajaan tidak serius berkenaan penambahbaikan pilihan raya, biar rakyat jadikan perkara itu didengari,” tambahnya.
Pemimpin PR turut menyatakan sokongan mereka terhadap perhimpunan berkenaan kerana kerajaan gagal memenuhi tuntutan untuk pilihan raya yang lebih adil.
Ribuan rakyat Malaysia telah menyertai perhimpunan 9 Julai Bersih 2.0 yang kemudiannya menjadi ganas apabila polis melancarkan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Situasi berkenaan menyaksikan 1,000 orang telah ditangkap termasuk sebelum perhimpunan berlangsung, dan Najib menerima kritikan daripada media antarabangsa.
Berdasarkan tekanan tersebut, kerajaan telah menjanjikan reformasi, yang mana turut melibatkan pembentukan PSC dan enakmen yang menerima kritikan hebat, Akta Perhimpunan Aman tahun lalu.
Saya petik:
[MK] Seorang ahli perniagaan yang merupakan ibu kepada empat orang anak, membuat laporan polis mendakwa dia dikasari dan mengalami gangguan seksual ketika disoalsiasat di balai polis Sri Petaling pada pagi 24 Mac.
Bercakap dalam bahasa Mandarin, wanita tersebut Lim Hui Hui berkata, anggota polis wanita yang bertugas di balai Sri Petaling memintanya kencing ke dalam botol untuk ujian air kencing, tetapi tangannya digari ke belakang.
"Apabila saya tanya bagaimana saya boleh buka seluar untuk melakukannya, dia memicit payudara saya dan berkata mesti buat."
Lim juga menunjukkan gambar-gambar tanda bengkak yang dialaminya di bahagian bahu kanan, pinggul, paha, kiri betis dan luka di pergelangan tangannya semasa digari.
Dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok dan peguam wanita itu Eric Tan Pok Shyong pagi ini, Lim berkata dia telah membuat laporan polis Khamis lalu (29 Mac).
Katanya,dia sedang memandu ke cawangan Maybank di Kuchai Park, Kuala Lumpur, pada awal pagi 24 Mac untuk menyimpan wang tunai apabila dia ternampak sebuah kereta di belakangnya, memancarkan lampu ke arahnya.
Kerana bimbangkan keselamatan dirinya, Lim memandu pulang ke
apartmennya di Kondo Taman Dinasti di Seputeh.
Pada masa tu,dia ternampak pancaran lampu biru kereta di belakang kereta yang mengejarnya.
Selepas pasti yang ia adalah polis, Lim berhenti dan membenarkan anggota polis, yang mahu memeriksa kereta itu, untuk berbuat demikian.
Dan atas permintaan polis, kata Lim, dia mengikuti mereka ke balai Petaling di Jalan Klang Lama.
Seorang Sultan yang beriman, zuhud, merendah diri, dan menghormati alim ulama...Apa yang lebih membanggakan, baginda mampu menjadi imam solat bagi rakyat jelata. Baginda juga telah menukarkan kalimah "DAULAT TUANKU" kepada "ALLAHU AKBAR". Rakyat Kelantan bangga mendapat Sultan yang berjiwa Islam. Semoga Allah memanjangkan usia baginda dan cepat mendapat jodoh...
Foto: Rakan FB
Saya petik:
[SH] SHAH ALAM - Pemain bola sepak terkenal negara, Safee Sali menceraikan isterinya Sabrina Yusof talak satu, hari ini.
Selasa lalu, Safee membuat keputusan mahu menyelesaikan tuntutan perintah kembali taat ke atas Sabrina di luar mahkamah.
Safee atau nama sebenarnya Mohd Safee Mohd Sali, 28 memfailkan permohonan terhadap isterinya agar kembali taat pada November lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Nur Syaza Syaqina, 3, dan Nursyasya Safirna, 1.
Saya petik:
[SH] KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah di sini, sekali lagi memberi lanjutan masa kepada bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim dan bekas isterinya Faizah Mohamad untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah berhubung tuntutan ganti rugi perkahwinan lebih RM50,000.
Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan hari ini memutuskan untuk menangguhkan kes itu sehingga 9 April ini bagi memberi peluang kepada mereka untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan tuntutan itu.
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan permohonan bagi menuntut ganti rugi perkahwinan melebihi RM50,000 merangkumi perbelanjaan merisik.
Roslin antara lain menuntut kos cincin merisik bernilai RM1,900; kos pengangkutan RM200 dan barangan pertunangan RM2,915.
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin RM15,080; bayaran jurunikah RM150, upah solek pengantin dan sewa barang kemas RM500, hantaran RM11,465, baju dan kasut pengantin perempuan RM6,750.
Turut dituntut adalah bayaran khidmat video, kad jemputan kahwin, pengangkutan dan penginapan, perbelanjaan kenduri di Kelantan serta tiket kapal terbang pengantin.
Perbicaraan kes itu mengejutkan ramai pihak kerana mereka bukan sahaja berkahwin dalam tempoh singkat iaitu 12 hari, malah lelaki itu ketika prosiding mengesahkan tiada hubungan kelamin sepanjang mereka menjadi suami isteri. Roslin diwakili peguam syarie Roslizam Rahim manakala Faizah, 35, diwakili Mohammad Amir Nazli Hussin.
Acara perasmian yang paling glamor menjelang musim pilihanraya. Selepas ini anda jangan terkejut jika ada menteri yang merasmikan tandas, reban ayam, dan seangkatan dengannya. Kah kah kah....
Sumber foto: Rakan FB
Sekadar hiasan
Saya petik:
[BH] KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang wanita meraikan ulang tahun kelahirannya bertukar tragedi apabila diserang seorang seorang pengacara wanita TV popular bersama beberapa rakannya, termasuk memijak muka mangsa menggunakan kasutnya di sebuah pusat hiburan terkemuka, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, pengacara wanita berusia 28 tahun itu yang pernah membintangi beberapa drama dan telefilem dikatakan menyerang mangsa berusia 20-an tanpa belas kasihan dengan memijak muka mangsa sekurang-kurangnya lima kali sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang akibat kecederaan teruk di muka dan kepala.
Difahamkan, mangsa yang sedang bergembira meraikan hari lahir didatangi seorang wanita yang tidak dikenali sambil bertanyakan kepada mangsa sama ada pernah terpukul atau melakukan kekasaran kepada sesiapa sebelum ini, namun mangsa menafikan perkara itu.
Mangsa yang berdiam diri kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menampar muka mangsa dan menolaknya sehingga jatuh sebelum pengacara wanita itu datang dan memijak muka mangsa dengan kasutnya, menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
MESRA...Shahrin dan Aminah berbual mesra di majlis perkahwinan mereka
Saya petik:
[HM] TELUK INTAN: Akhirnya pada usia 61 tahun, Aminah Alias menamatkan zaman anak daranya semalam, selepas selamat diijabkabulkan dengan duda beranak enam serta mempunyai 40 cucu dan 13 cicit.
Pesara Pembantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sejak empat tahun lalu itu kini bukan saja bergelar isteri, malah ibu, nenek dan moyang ‘segera’, sesuatu yang tidak pernah dijangka olehnya, namun bersyukur kerana hatinya terbuka untuk menerima Shahrin Dais, 83, sebagai suami.
Aminah berkata, masih sukar untuknya menerima kenyataan sebagai isteri pada usia warga emas sekarang, namun percaya jodohnya sudah ditetapkan bersama Shahrin.
Dia mengakui mempunyai ramai kawan lelaki ketika muda, namun sikap anti lelaki yang menebal menyebabkan hatinya tidak terbuka untuk berkahwin.
“Saya pernah menolak beberapa pinangan ketika muda kerana hati tertutup dan belum mahu berumah tangga.
“Namun, selepas bertemu dengannya (Shahrin), saya terus bersetuju untuk menjadi isterinya. Mungkin inilah jodoh,” katanya yang ditemui pada majlis perkahwinannya, semalam.
Sementara itu, Shahrin berkata, dia juga tidak menyangka pertemuan kali pertama dengan Aminah di sebuah warung kopi di Kampung Balun, Slim River pertengahan Februari lalu, membawa kepada perkahwinan.
Menurutnya, ketika pertemuan kali pertama itu dia terus jatuh hati kepada Aminah sebelum sepakat membuat keputusan mendirikan rumah tangga awal bulan lalu.
Saya petik:
[kosmo] TANAH MERAH - Dua lelaki mati selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menaikkan bendera menggunakan buluh dalam kejadian di Kampung Tengah, Bukit Panau, dekat sini malam kelmarin.
Rosli Hussin, 47, yang merupakan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan rakannya seorang penoreh, Mohd. Daishan Ibrahim, 37, masing-masing ditemui mati pada kira-kira pukul 12 tengah malam di tempat kejadian dengan kesan lebam di telinga dan kaki akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa memegang buluh sepanjang 12 meter yang dipercayai basah dengan niat menaikkan bendera sebuah parti politik.
Tanpa diduga, buluh yang dipasang dengan bendera itu terkena kabel yang berada pada ketinggian sembilan meter sebelum kedua-dua mangsa terkena kejutan elektrik.
Menurut Abdul Aziz, kejadian itu kemudian disedari penduduk kampung sebelum mereka mendapatkan bantuan pihak polis dan hospital berdekatan.
Saya petik:
[MK] EKSKLUSIF Mampukah seorang individu dalam dunia jenayah mempengaruhi kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai polis ketika pasukan itu berada bawah penguasaan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan?
Dakwaan terbaru yang timbul menyebut bahawa seorang tokoh misteri, BK Tan – yang disyaki mempunyai kaitan dengan individu dalam dunia jenayah Johor, Tengku Goh – telah menasihati Musa beberapa kali berhubung kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan polis.
Musa, bersama peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia) sebelum ini didakwa telah menganiaya pengarah jabatan siasatan jenayah komersialnya, Datuk Ramli Yusuff serta enam orang pegawai Ramli.
Ramli dan juga enam orang pegawai berkenaan ditahan dan didakwa di mahkamah, lima tahun lalu.
Dalam perkembagan terbaru, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Musa akan memanggil BK Tan untuk "nasihat" dan pada masa yang lain, Tan mengunjungi rumah Musa di Petaling Jaya untuk berbincang mengenai pelantikan dan pertukaran pegawai dalam pasukan itu.
Menurut sumber, Musa ketika ditanya telah menjelaskan bahawa penglibatan Tan itu telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana kaitan dengan dunia jenayah itu didakwa dapat mengenalpasti antara polis yang "baik" dan "tidak baik."
Satu sumber mendakwa bahawa beliau telah melihat pembantu Musa membawa satu dokumen biru mengandungi senarai sulit pengawai yang akan ditukarkan atau dinaikkan pangkat.
Musa didakwa telah menyediakan satu salinan dokumen sulit itu kepada Tan.
Difahamkan, seorang pembantu Musa, ASP Noor Azizul Rahim Taharim, telah mengemukakan perkara itu untuk perhatian metneri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan timbalan menteri dalam negeri, Datuk Johari Baharom.
Laporan MK Berkaitan dengan Copgate:
Orang seperti ini nak dijadikan contoh oleh anak-anak muda kita? Rosak anak Malaysia jika mereka ini menjadi pemimpin. Aksi yang menjatuhkan maruah diri dan parti... Agaknya cantik sangatkah bontot kamu? kah kah kah...
Saya petik:
[SH] KUALA LUMPUR - Kebimbangan penghuni Kondominium Venice Hills di Batu 9, Hulu Langat dekat sini terhadap kebanjiran pendatang asing dari Afrika sampai ke kemuncaknya hari ini apabila seorang lelaki warga Nigeria mati setelah dibelasah kerana mencabul seorang wanita tempatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa berusia 35 tahun merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta telah mencabul kehormatan seorang tukang cuci wanita berusia 43 tahun di kondominium itu pada 11 pagi.
"Wanita tersebut telah dipeluk dan dicium dari belakang oleh lelaki Nigeria itu yang juga menunjukkan kemaluannya kepada wanita itu. Wanita itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan melaporkan kejadian itu kepada tujuh orang anggota Rela yang bertugas," katanya kepada pemberita di sini.
Ab Rashid berkata menyedari perbuatannya diketahui, lelaki Nigeria itu telah cuba melarikan diri ke kawasan lobi kondominium menggunakan lif namun dia berjaya ditahan oleh anggota Rela berkenaan.
Beliau berkata, anggota polis yang tiba ke tempat kejadian kemudian mendapati lelaki Nigeria itu yang diikat berada dalam keadaan tidak bermaya dan terus membawanya ke sebuah pusat perubatan terdekat, namun disahkan mati sebaik tiba.
Katanya, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Ab Rashid berkata, kesemua tujuh anggota Rela itu yang berumur lingkungan 20-an telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, polis masih menyiasat sama ada lelaki Nigeria tersebut mati akibat dipukul menggunakan senjata atau sebaliknya.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu beberapa lelaki Afrika telah berkumpul dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka tetapi berjaya dileraikan oleh pihak polis.
Sementara itu saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Abu berkata, kira-kira 200 lelaki Afrika telah merusuh sebelum ketibaan pihak polis dan mereka telah merosakkan beberapa harta awam seperti pondok pengawal dan bilik gerakan Rela.
"Saya nampak mereka telah merusuh apabila mendapat tahu rakan mereka telah mati dan kejadian ini telah menakutkan penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang sering mabuk sebelum ini pernah menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan itu. – Bernama