Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak kini berpeluang untuk memperkukuhkan lagi hubungan di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui penyusunan exconya ekoran keluarnya Mohd Radzhi Salleh dari PKR.
"Azizan boleh melantik satu-satunya ADUN DAP ke dalam exco menggantikan Radzhi manakala Lim Guan Eng pula boleh melantik Mohd Salleh Man sebagai exco apabila menang nanti," kata seorang pemikir politik.
Dengan cara ini bermakna, para penyokong DAP di Kedah akan mempunyai wakil dalam exco kerajaan negeri dan dengan ini akan memperkuatkan hubungan antara parti-parti dalam Pakatan di negeri itu.
Dengan cara ini juga, PAS akan mempunyai wakil dalam exco kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Bayangkan apabila semua ahli PAS di Pulau Pinang tidak lagi merasa terpinggir dan begitu juga ahli-ahli DAP di Kedah juga tidak akan rasa terpinggir melalui pendekatan ini, ia akan benar-benar mengukuhkan Pakatan di kedua-dua negeri itu," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, katanya, langkah ini hanya boleh dibuat dengan restu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR di Kedah kerana kerusi exco itu adalah kouta PKR.
Pemikiran sebegini datang apabila Azizan terpaksa melantik seorang exco baru ekoran keluarnya Radzhi dari PKR. Walaupun Radzhi masih mahu mengekalkan kerusi itu namun Azizan berhak melantik orang baru dan memecat beliau.
Untuk itu, Azizan telah membuat permohonan kepada Tuanku Sultan Kedah bagi memberhentikan Radzhi dan melantik Adun lain bagi mengisi kerusi exco yang kosong itu.
Dalam sidang medianya, Azizan berkata, kerusi itu terserah kepada PKR kerana ia kouta PKR. Namun, jika PKR melihat isu ini boleh memperkukuhkan Pakatan, ia boleh dilaksanakan dengan mudah.
Ketika itu, Lim bolehlah melantik Mohd Salleh ke dalam exco yang dijangka menang dalam pilihan raya Permatang Pasir hari ini.
Mohd Salleh telah dijanjikan Lim untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) jika menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir ini.
Namun, dengan perkembangan baru ini, dipercayai Anwar akan memainkan peranannya untuk mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat agar ia benar-benar dilihat layak untuk mengambilalih pentadbiran negara dari Barisan Nasional.
SUMBER di sini.
Comments (0)
Catat Ulasan