Pendedahan Ketua Polis Negara, Musa Hassan tentang kewujudan campurtangan pihak ketiga dalam pentadbiran Polis Diraja Malaysia bukanlah satu perkara baru.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata isu pihak ketiga dalam institusi milik kerajaan sudah lama membarah dalam PDRM, bahkan Musa sendiri lebih arif dalam soal campurtangan ini.
"Pengakuan dan pendedahan yang dilakukan oleh ketua polis mengesahkan apa yang telah Pakatan Rakyat itu nyatakan sebelum ini, memang ada campurtangan pihak ketiga. Saya tidak terkejut atau tidak saya rasa rakyat sudah menyedar tentang hal ini,"
"Saya rasa tidak ramai yang simpati kerana dia sendiri pernah melakukan dan terlibat dalam perkara yang dia kutuk sekarang," kata Khalid.
Musa dalam satu temubual bersama Mingguan Malaysia berkata pihak ketiga itu berkemungkinan sekali orang politik atau pihak tertentu. Menurutnya lagi, pihak ketiga ini mengeluarkan arahan secara terus kepada pegawai-pegawai bawahannya tanpa pengetahuan beliau.
Khalid berkata masyarakat umum tidak lupa peranan Musa dan tilam yang diusungnya dalam perbicaraan kes konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Musa dikatakan menerima arahan secara terus daripada kuasa ketiga yang dipercayai orang politik untuk mengusung tilam yang kononnya dipercayai bahan bukti bagi tuduhan liwat terhadap Anwar.
Arahan itu diketahui umum telah membelakangi ketuanya, Ketua Polis Negara keika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor. Campurtangan kuasa ketiga membabitkan Musa ini berterusan apabila ketua polis yang didapati bersalah memukul anwar semasa dalam tahanan itu diganti oleh Tan Sri Norian Mai.
"Apa yang dia perkatakan itu biasa berlaku dan dia sendiri pun buat perkara itu. Dia sendiri menerima arahan langsung daripada ketua individu tertentu yang memberikan arahan sedangkan ia bercanggah dengan sifat profesionalisma. Mungkin sekarang dia rasa terjejas sebab itu dia timbulkan isu ini," ujarnya.
"Saya tak rasa bahawa pendedahan ini sesuatu yang kritikal. Sebab dah lama benda ni dan kedua tidak membawa satu kesedaran atau penjelasan yang boleh mengubah cara berfikir semua orang dan menganggap campurtangan ini perkara biasa," katanya.
SUMBER: TVS
Comments (0)
Catat Ulasan