PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara lewat petang Isnin semalam mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan kenapa mereka hanya mengemukakan tentang wujudnya satu bukti baru dalam prosiding inkues mendiang Teoh Beng Hock hari ini yang antara lain mengesahkan bahawa mereka telah menemui sekeping nota di dalam beg galas mendiang yang mungkin dapat memberi indikasi tentang kematiannya.
Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues sebelum itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga mendiang dan juga kerajaan Selangor.
Jabatan Peguam Negara menjelaskan, peguam yang dilantik untuk mewakili Pendakwa Raya dalam mengendalikan prosiding inkues Beng Hock, telah memaklumkan mengenai penemuan nota di dalam beg galas mendiang yang dikatakan dapat membantu dalam siasatan kematian pembantu politik Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.
Bagaimanapun, kata kenyataan Jabatan Peguam Negara, nota itu telah dipertikaikan atas alasan berlaku kelewatan dalam mendedahkannya dan kegagalan untuk menyerahkan sesalinan bukti baru itu kepada peguam yang mewakili keluarga Teoh serta dakwaan kononnya Jabatan Peguam Negara menyembunyikan nota tersebut.
"Jabatan Peguam Negara menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya nota itu sengaja disembuyikan, sebaliknya turut terkejut dengan penemuan nota tersebut dan selepas itu menyebabkan satu siasatan lanjut dijalankan.
"Jabatan Peguam Negara telah dimaklumkan tentang penemuan nota itu oleh Pegawai Penyiasat, Asisten Suprintendan Ahmad Nazri Zainal pada 7 Oktober 2009, iaitu kira-kira dua bulan selepas kematian Teoh.
"Menurut Pegawai Penyiasat itu, nota itu pada mulanya tidak ditemui ketika ia mula-mula melakukan carian ke atas beg galas mendiang sejurus selepas insiden kematiannya itu,' jelas kenyataan itu lagi.
Menurut Jabatan Peguam Negara, nota itu kemudiannya segera diterjemahkan dan terdapat keperluan untuk menghantarnya bagi dianalisa oleh pakar pemeriksa dokumen di Jabatan Kimia.
Nota itu telah dihantar pada 9 Oktober 2009 dan pada 20 Oktober 2009, pakar pemeriksa dokumen telah menyediakan laporan untuk dipertimbangkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
"Abdul Gani pada mulanya tidak yakin dengan keaslian nota tersebut ekoran kesukaran untuk mengesahkan tulisan tangan tertentu dalam karakter Cina. Tambahan pula, nota tersebut dijumpai dua bulan selepas kejadian dan ini akan menimbulkan rasa curiga kepada tahap keaslian dan penemuannya.
"Selepas mempertimbangkan faktor-faktor tersebut, Abdul Gani berpendapat nota itu tidak patut dikemukakan di mahkamah, sehingga atau melainkan Pegawai Penyiasat dapat memberikan penjelasan yang memuaskan berkaitan penemuan nota itu," jelas kenyataan Jabatan Peguam Negara.
Berhubung nota itu, Jabatan Peguam Negara sebelum itu telah dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat bahawa dia akhirnya telah melakukan carian yang menyeluruh selepas menerima nasihat daripada pakar psikatri bahawa dalam kes-kes melibatkan bunuh diri biasanya akan terdapat nota yang ditinggalkan.
"Bagaimanapun, baru-baru ini Pegawai Penyiasat itu mengakui bahawa dia sebenarnya menemui nota dalam beg Teoh apabila dia melakukan pemeriksaan pada beg galas mendiang pada 17 Julai 2009 tetapi tidak menyedari akan kepentingannya berikutan terdapat beberapa dokumen lain yang ditemui dan dokumen serta nota itu ditulis dalam bahasa Mandarin dan juga rumi," jelas kenyataan itu.
Hasil daripada penemuan ini, maka Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan bahan bukti baru ini dan mengarahkan supaya Pegawai Penyiasat itu membuat penjelasan ini di mahkamah dan menyerahkan kepada Koroner untuk menentukan berdasarkan penjelasan Pegawai Penyiasat itu nanti dan laporan pakar dokumen.
"Oleh itu, tidak wujud dakwaan bahawa pihak jabatan cuba menyembunyikan nota tersebut dan keputusan untuk tidak mengemukakannya pada peringkat awal dibuat berdasarkan laporan pakar pemeriksa dokumen dan juga penemuannya yang menimbulkan rasa curiga.
"Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan nota tersebut sebagai bahan bukti sahaja sehingga tiada lagi rasa curiga berhubung nota tersebut," kata kenyataan tersebut.
BERNAMA sebelum ini melaporkan, kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.
Prosiding yang sepatutnya disambung pada Isnin juga ditangguhkan sehingga 18 Ogos ini bagi memberi masa kesemua pihak mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam masing-masing.
Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor, peguam yang dilantik kerajaan Tan Hock Chuan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Abas dan Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita keadaan yang berlaku (bukti baru) menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.
"Sekarang bukti baru dikemukakan kepada kami, tetapi bukan baru bagi mereka. Mereka mempunyai dokumen itu yang dalam pemilikan mereka sejak Oktober lepas," katanya yang dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu pagi ini.
Sebelum prosiding bermula, beliau memohon supaya semua pihak berbincang dalam kamar kira-kira pukul 10.37 pagi. Sejam kemudian, Gobind dilihat keluar dari kamar dan masuk ke dalam mahkamah tanpa berkata apa-apa dan kelihatan marah.
Hanya 15 minit kemudian kesemua pihak keluar tetapi enggan menyatakan apa-apa dan menurut Tan mahkamah hanya memutuskan kes disambung minggu depan. Sejam kemudian barulah Gobind bersedia memberi sidang media.
Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.
-Dipetik dari MStar
Comments (0)
Catat Ulasan