[SK] SHAH ALAM 4 Sept - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin mencadangkan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor agar menjadikan hari Jumaat sebagai cuti mingguan menggantikan hari Ahad.
Badrul atau CheGuBard berkata ini selaras dengan fatwa Mufti Perlis yang mengatakan Islam menggalakkan umat Islam mengambil hari Jumaat sebagai hari cuti mereka.
Sebagai permulaaan beliau mencadangkan cuti mingguan pada hari Jumaat boleh dilaksanakan oleh agensi di bawah kerajaan negeri dahulu.
"Hasilnya sokongan orang Melayu dan Islam akan meningkat dan menempelak Barisan Nasional mengenai pelbagai tuduhan sonsang mereka terhadap kerajaan negeri.
"Ini akan membuktikan kepada rakyat tindakan penukaran cuti mingguan Jumaat ke Ahad yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional Johor di bawah Timbalan Perdana Menteri sekarang ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor adalah salah.
"Dari sudut bukan Islam pula cuti hari Jumaat dan bekerja 5 hari seminggu ini harus dilihat dari aspek menggalak hubungan keluarga dan mewujudkan lebih masa bersama keluarga.
"Aspek produktiviti dan tumpuan kerja juga harus diperlihatkan," ujarnya lagi.
CheGuBard berkata beliau amat yakin pengumuman cuti dari Ahad kepada Jumaat akan diterjemahkan dalam lonjakan sokongan kepada kerajaan negeri Selangor.
Beliau mencadangkan supaya menjadikan Kelantan yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti sebagai contoh yang baik diteladani.
"Islam tidak menetapkan cuti harus pada mana- mana hari tetapi seeloknya cuti pada Hari Jumaat kerana keistimewaan hari tersebut di mana pada hari Jumaatlah diperintahkan ibadat khusus malah Jumaat digelar penghulu segala hari dengan perbagai keistimewaan.
"Bersumber dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW mengatakan: 'Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam AS, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat pula'. (Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i, Tirmidzi dan disahihkannya. Lihat Fiqhus Sunnah oleh Sayyid Sabiq bab Jumaat).
"Dengan memberikan cuti pada hari Jumaat maka memberikan ruang yang lebih untuk umat Islam melaksanakan ibadat khusus solat sunat Jumaat dengan penuh rohnya," kata CheGuBard dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan roh semangat solat Jumaat seharusnya dijiwai oleh jemaah sesebuah kariah yang berkumpul bagi membincangkan masalah setempat sementara khatib pula menggulungkan khutbah dalam bentuk nasihat dan panduan.
"Malangnya kini masyarakat melaksanakan hanya cukup syarat terkejar-kejar keluar pejabat berebut waktu makan kemudian berkejar untuk bersolat malah ada yang keletihan dan tidur.
"Sudah tentu yang bekerja tidak pulang ke kariahnya untuk mengerjakan ibadah Jumaat. Ini sudah meninggalkan roh solat Jumaat yang sepatutunya memberikan ruang bertemu sesama anak kariah," CheGuBard berhujah.
Malah tambah beliau, solat Jumaat juga seharusnya diberikan ruang untuk ayah menjalinkan hubungan rapat dengan anaknya.
Ini seharusnya dijadikan tradisi dari awal iaitu makan tengahari bersama keluarga sebelum solat Jumaat dan kemudian ke masjid bersama anak serta ayah.
CheGuBard berkata suasana sebegini sudah hampir tidak wujud lagi dalam institusi kekeluargaan Islam kini.
"Mana mungkin ini semua dilakukan jika kita semua terkejar-kejar pada hari Jumaat.
"Dari aspek produktiviti cuti hari Jumaat lebih menjamin produktiviti. Bayangkan jika pada hari Jumaat waktu rehat akan bermula 12.30 tengahari hingga 2.30 petang.
"Bukan satu rahsia bahawa ramai yang keluar awal dan pulang ke pejabat lewat sedikit atas pelbagai alasan. Bayangkan jika hari Jumaat diberikan sebagai cuti dan hari Ahad pula boleh bekerja sepanjang hari tanpa gangguan. Cuti hari Jumaat juga menggalakkan perbagai ibadah sunat malam Jumaat.
Beliau menegaskan cuti pada hari Ahad di negeri yang berjiran dengan Selangor akan memberi sumbangan ekonomi dan sosial kepada Selangor yang bekerja pada hari Ahad.
Mereka yang tinggal di negeri berjiran dijangka akan membanjiri Selangor untuk pelbagai urusan kerana negeri tersebut menjadikan Ahad sebagai hari bekerja.
"Ini sedikit sebanyak akan memberikan suntikan ekonomi dari perbagai segi.
"Dengan perubahan cuti pada hari Jumaat maka dicadangkan Jumaat dan Sabtu diumumkan cuti sepenuhnya.
"Jumaat adalah untuk ibadat dan Sabtu pula hari keluarga. Kerja 5 hari seminggu akan secara tidak langsung meningkatkan kualiti mutu hasil kerja kakitangan kerana lebih bebas daripada tekanan kerja," ujar beliau.
CheGuBard juga berkata waktu kerja boleh dibuat sedikit perubahan di segi waktu masuk dan keluar.
Comments (0)
Catat Ulasan