Parti Islam Se-Malaysia PAS mengharapkan Datuk  Seri Najib Razak selaku Presiden Umno yang hendak mempertahankan  kemenangan Umno BN, mestilah dengan cara demokrasi, bukan  dengan  bermain dipadang yang tidak sama dan mengubah tiang gol. 
Ucapan  beliau  di perasmian persidangan agung Umno di PWTC , yang meyebut  "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa.  Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita  pertahankan!"
PAS berpendapat ucapan ini membayangkan mimpi  ngeri pemimpin Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam pilhanraya  akan datang. Mereka membayangkan apa akan terjadi kepada rumah banglo  mewah mereka, kereta mewah mereka dan perniagaan mereka jika kerajaan BN  jatuh. 
Sebenarnya  mereka bukan takut rakyat tidak boleh makan, bukan takut hak Melayu  akan hilang. Kerana selama ini pun mereka tidak  pedulikan rakyat.  Banyak perwakilan Umno telah membangkitkan bagaiamana pemimpin Umno yang  tidak memperdulikan rakyat selama ini. Turun berjumpa rakyat hanya  ketika hendak pilihanraya.
PAS mengharapkan supaya Umno belajar  menjadi orang kalah, kerana dalam negara demokrasi ada masa turun naik.  PAS hendak tahu juga apa maksud  ucapan Presiden umno “walau apa pun  yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!. Apakah kalau BN tidak  mendapat suara majoriti adakah mereka tidak mahu menyerah kuasa juga?  Demokrasi apakah ini. Belajarlah daripada PAS yang pandai menghormati  demokrasi di negara ini. 
PAS  pernah memerintah Kelantan pada tahun 1959 , tapi tewas pada tahun 1978  walaupun dengan tektik undang-undang dharurat, namun PAS menyerahkan  kuasa kepada Umno, kemudian kembali memerintah pada tahun 1990 hingga  kini. 
PAS  juga pernah menang 1959 dan  kalah di Terengganu pada tahun 1961  melalui tektik kotor. Kemudian menang pada tahun 1999 dan tewas pada  tahun 2004. Walaupun pada ketika itu emosi penyokong PAS tidak boleh  menerima kekalahan ini, namun kebijaksanaan pemimpin PAS telah berjaya  menenangkan rakyat supaya menghormati suara rakyat. 
Begitu  juga dengan peristiwa jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak  walaupun dengan cara tidak demokratik, namun PAS dan Pakatan Rakyat  terus bersabar dan akur dengan keputusan ini.
Datuk  Seri Najib Razak kena sedar bahawa Malaysia ini bukan harta pusaka Umno  BN yang telah diwasiatkan melalui Amanah Raya, tetapi ia adalah hak  rakyat untuk menentukan kepimpinan di negara ini melalui pilihanraya.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Sumber: misabah.blogspot


Comments (0)
Catat Ulasan