Saya petik:
[MStar] PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Razak Ahmad akan mengetahui sama ada dia akan dipanggil membela diri ataupun dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang pada 30 Jun depan.
Keputusan itu akan diberikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.
Pada prosiding Khamis, Wan Mahyuddin juga menetapkan 26 Mei ini untuk pihak pendakwaan syarie membalas hujahan yang difailkan oleh peguam syarie kepada Razak.
Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli memberitahu, pihaknya hanya menerima hujahan itu melalui mahkamah sebelum kes bermula.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, hadir berseorangan di mahkamah dan kelihatan terkejut apabila melihat kehadiran wartawan.
Dia juga ditegur oleh Wan Mahyuddin apabila tidak dapat memberikan alasan ketidakhadiran peguam syarienya, Mohamad Azman Karim pada prosiding itu.
“Sepatutnya apabila kamu melantik seorang peguam, beliau kena bertanggungjawab. Minta peguam untuk hadir pada prosiding akan datang, jika tidak kamu yang akan merana,” katanya.
Wan Mahyuddin meminta pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu untuk memberikan kerjasama memandangkan kes itu perlu dipercepatkan ekoran telah terlalu lama iaitu sejak tahun 2006.
Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan tiga saksi pendakwaan.
Pelakon yang membawakan watak Tok Imam di dalam drama Geng Surau itu didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Dia didakwa kali pertama pada 27 Julai 2006 memgikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa itu, Razak mengaku tidak bersalah manakala Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Atas pengakuannya, Selamah dihukum denda RM2,850 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan fakta kes yang dibacakan kepada Selamah, pasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis pergi ke rumah itu untuk melakukan pemeriksaan setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut didapati dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap dan pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.
Razak juga pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992.
Comments (0)
Catat Ulasan