PENDUDUK kampung menyalakan api daripada gas bawah tanah yang keluar dari batang paip di Kampung Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu, semalam.
Saya petik:
[kosmo] KUALA TERENGGANU – Seorang buruh terkejut apabila telaga tiub yang digali di belakang rumah seorang penduduk di Kampung Padang Macang, Manir dekat sini semalam mengeluarkan gas dipercayai metana.
Gas itu dikesan pada kedalaman 11 meter selepas Musa Omar, 48, membuat ujian terhadap air dalam telaga yang digali pada jarak kira-kira empat meter dari rumah pemilik tanah itu.
“Air itu berbau dan tidak sesuai digunakan.
“Selepas saya tarik batang paip yang dipacakkan di tapak telaga itu tiba-tiba keluar wap yang tidak berbau dan bunyi berdesir seperti gas,’’ ceritanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Katanya, kejadian itu satu kejutan kepadanya kerana inilah kali pertama ia berlaku selepas lebih 10 tahun dia bekerja sambilan mengambil upah menggali telaga.
Musa berkata, dia segera memanggil seorang rakan lalu mereka cuba menguji gas itu dengan menggunakan pemetik api dan mendapati ia terus disambar api yang terus bernyala selama beberapa jam.
Seorang penduduk, Ali Ibrahim, 56, memberitahu, kejadian seumpama itu pernah berlaku di kampung berkenaan sewaktu ada orang cuba menggali telaga tidak jauh dari tempat itu kira-kira 25 tahun lalu.
“Tetapi disebabkan takut mendengar bunyi macam gas bocor, dia menimbus semula lubang yang telah digalinya,” kata Ali.
Comments (0)
Catat Ulasan