Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya berkata, saksi melihat Sugumar Cheliah, 40 dikejar empat anggota polis menaiki dua kereta peronda sebelum kejadian pembunuhan kira-kira jam 6 petang, semalam.
Selepas diberhentikan, mangsa dibelasah sekumpulan individu berhampiran rumahnya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat dalam keadaan tangan bergari dan ditekan dengan pengusung.
“Mangsa yang bergari turut dipukul beramai-ramai oleh orang sekeliling tanpa halangan polis. Polis memijak tengkuk mangsa dan menyapu muka mangsa dengan serbuk kunyit,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, Sugumar yang tiada rekod jenayah, turut dicampakkan ke bahu jalan dalam keadaan bogel, selepas kematiannya.
“Profesionalisme polis juga amat diragui kerana pasukan forensik hanya datang selepas jam 11 malam untuk mengambil mayat,” katanya.
Menurut Latheefa, mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, namun keluarganya tidak dibenar masuk ke bilik mayat untuk membuat pengecaman selepas dimaklumkan lewat malam semalam.
“Keluarga mangsa datang awal pagi hari ini ke hospital namun selepas pukul 2 petang barulah keluarga mangsa dan peguam dibenarkan masuk,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak polis yang terlibat dalam pembunuhan itu ditangkap dan digantung tugas kerana insiden itu di bawah tanggungjawab polis.
“Saya desak polis segera menangkap dan mendakwa semua yang terbabit dalam pembunuhan ini. Insiden ini berlaku ditempat awam dan ramai saksi melihat kejadian itu,” ujarnya kepada Keadilan Daily.
Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Guaman KEADILAN, S. Jayathas berkata kehilangan nyawa akibat kecuaian polis bukan isu baru kerana rekod menunjukkan banyak orang awam mati di tangan polis.
“Polis gagal bertindak waras dengan mengenepikan undang-undang ketika berhadapan suspek. Ini akibat kegagalan polis melaksanakan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC),” ujarnya. - keadilandaily
Comments (0)
Catat Ulasan