SHAH ALAM : Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 mendapati pengurusan pensijilan halal oleh Seksyen Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah kurang memuaskan dari segi pemprosesan baru Sijil Pengesahan Halal (SPH) dan pemantauan terhadap pemegang SPH.
Menurut laporan itu, antara kelemahan yang ditemui adalah pemprosesan SPH mengambil masa yang panjang di mana ia boleh menjejaskan reputasi serta keyakinan industri terhadap kecekapan JAIS.
Ketua Audit Negara turut mendapati pemantauan terhadap pemegang SPH kurang memuaskan dan aduan terhadap produk atau premis yang diragui halal tidak diurus dengan cekap.
Selain itu kelemahan lain yang ditemui ialah SPH yang belum diambil oleh pengusaha menyebabkan pemohon terbabit menjalankan proses pengeluaran produk makanan tanpa mempamerkan SPH di premis masing-masing.
Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya JAIS mengkaji semula prosedur proses permohonan SPH serta pengurusan aduan awam dengan menyediakan norma masa yang lebih jelas dan bersesuaian untuk setiap peringkat pemprosesan agar tempoh penyelesaian permohonan SPH serta aduan dapat dioptimumkan.
JAIS juga disyorkan untuk meningkatkan pemantauan secara berkala terhadap produk perkilangan, premis makanan dan premis sembelihan dengan mempercepatkan pelantikan kakitangan baharu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Jabatan itu perlu segera memuktamadkan pelantikan Penolong Pengawal Perihal Dagangan yang akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan selaras dengan Seksyen 3 Akta Perihal Dagangan 2011.
Laporan Audit turut mengesyorkan supaya JAIS mengepos SPH kepada pemohon memandangkan sijil yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disertakan dengan surat yang dialamatkan kepada pemohon terbabit.
Mengenai pemantauan terhadap pemegang SPH yang kurang memuaskan, JAIS memberi maklumbalas bahawa tindakan pemantauan akan dijalankan oleh Pegawai Pemantau, Unit Pengawasan Dan Audit di Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunannya.
JAIS juga memaklumkan pihak Ketua Audit Negara bahawa jabatan itu telah menyediakan proses kerja pengurusan aduan berkaitan halal dan menetapkan norma masa 90 hari bagi penyelesaian aduan yang diterima.
Mengenai SPH yang belum diambil oleh pengusaha, JAIS turut memaklumkan bahawa rekod pemakluman berkaitan urusan pengambilan SPH telah diselenggarakan dan pihaknya akan mengepos SPH sekiranya pemohon gagal mengambil sijil dalam tempoh sebulan seperti cadangan pihak audit.
-astrowani
Comments (0)
Catat Ulasan