Klik "LIKE" jika suka TUK KIYAI: ISU SEMASA

Klik "IKUT" untuk teman TUK KIYAI

Sembang & Pesanan

http://tokkiyai.freeshoutbox.net/

AKHIL HAYY, MEDIA, DAN MASALAH RUMAH TANGGA

Label:

"Kalau sesiapa ada masalah (rumah tangga) boleh adu pada stesen TV."

Itulah antara komen Ustaz Akhil Hayy apabila diasak dengan pelbagai soalan oleh wartawan ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh bagi kes yang difailkan oleh isterinya. Bagi penulis, komen sinis Akhil Hayy itu ditujukan kepada semua pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga supaya “mengadu” atau “meluahkan” perasaan mereka kepada media. Dan perkara ini seolah-olah menjadi trend kepada pasangan Melayu Islam yang mempunyai masalah rumah tangga.

Bagi penulis, tidak elok dan tidak manis mendedahkan keaiban atau masalah rumah tangga kepada umum. Biarlah masalah yang timbul diselesaikan dalam lingkungan keluarga sahaja. Dalam Islam, menceritakan keaiban suami atau isteri kepada orang ramai adalah dilarang sama sekali hatta menceritakan perihal suami tidur berdengkur pun tidak dibenarkan apatah lagi melibatkan perkara yang besar.

Penulis ingin bertanya, adakah masalah rumah tangga yang timbul jika dihebahkan kepada media akan menyelesaikan masalah? Adakah pengadu ingin menyamakan kes rumah tangganya dengan masalah rumah terbengkalai atau jalan rosak? Maksudnya apabila didedahkan kepada media maka selesailah masalah tersebut. Bagi penulis tidak kerana isunya adalah melibatkan hukum.

Penulis berpendapat, masalah rumah tangga yang timbul tidak perlu didedahkan kepada media sebagai perantara. Tak perlulah diadakan sidang media dan sebagainya kerana akhirnya akan mendedahkan pekung di dada sendiri. Kalaulah mahkamah adalah jalan penyelesaiannya, maka tunggulah masa perbicaraannya. Sikap Akhil yang enggan mengulas isu rumah tangganya kepada media patut dipuji.

Bagi penulis, siapa yang betul dan siapa yang bersalah dalam hal ini biarlah mahkamah yang menentukannya.

Penulis akur isu ini menjadi panas di media disebabkan Akil adalah seorang selebriti tetapi dalam isu yang melibatkan rumah tangga, semua pihak harus menghormatinya sebagai insan biasa yang tidak dapat lari dari masalah hidup termasuk diri penulis sendiri. Percayalah Allah akan menutup keaiban seseorang hamba-Nya di akhirat sekiranya seseorang itu menutup keaibannya saudara-Nya di dunia. Fikir-fikirkan….

ERDOGAN DALAM PAS: NIK AZIZ GEMBIRA JIKA BENAR WUJUD

Label:

Kota Bharu - Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat gembira sekiranya benar wujudnya kumpulan Erdogan dalam Pas seperti yang dilabel oleh pihak tertentu. Hal ini demikian kerana menurut beliau, jika Erdogan Turki telah berjaya memalu Israel, Erdogan PAS Malaysia pula boleh menentang dan memalukan fahaman sekular.

Bagi Tuan Guru, Erdogan adalah nama bagi Perdana Menteri Turki dan dia telah memalukan Perdana Menteri Israel dalam satu majlis umum. Jika ada Erdogan dalam PAS maka dia berharap boleh memalukan dan melumpuhkan gerakan sekular yang dipimpin oleh Melayu Muslim tetapi menolak Islam dan mengambil fahaman kebangsaan sebagai dasar perjuangan.

Ditanya mengenai ciri-ciri calon di DUN Manek Urai, Tuan Guru berkata, ianya tidak lari dari gabungan imej ulama professional.

Beliau ditemu bual selepas majlis pecah tanah Bazar Tok Guru di Kota Bharu yang bernilai RM50 juta yang dijangka siap pada tahun 2011.

FITNAH HUSAM: NORZULA MOHON MAAF

Label:

Sebelum ini penulis dalam posting yang bertarikh 28 Mei 2009 telah membicarakan tentang budaya fitnah dalam politik Malaysia. Di sini penulis ingin tegaskan bahawa sesuatu berita yang tidak betul adalah fitnah. Tak kiralah apa pun istilah yang digunakan sama ada tuduhan, laporan, atau sebagainya.

Pada hari ini (Selasa 2 Jun 2009), satu lagi tuduhan atau fitnah terjawab. Di akhbar Berita Harian di muka C12 suatu notis permohonan maaf telah dikeluarkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, YB Dato Nozula Mat Diah (UMNO) kepada YB Dato Paduka Husam Musa.

Notis permohonan maaf ini berikutan YB Dato’ Nozula Mat Diah dan ADUN Bukit Bunga Muhd. Adhan Kechik yang telah membuat laporan kepada pihak BPR dengan membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas terhadap YB Dato Paduka Husam Musa pada akhir November 2007.

Antara laporan tersebut adalah:

* Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

* Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn. Bhd.

* Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd.

* Isu Kedai Majlis Daerah Machang.

* Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.

* Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan Pas mengutip dana.

* Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.

* Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.

* Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Dengan Notis Permohonan Maaf ini maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap YB Husam Musa adalah fitnah semata-mata, tidak benar, dan tidak berasas. Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salah laku yang didakwa.

SAYA SEDIA KALAH - HUSAM

Label:

PEREBUTAN jawatan Timbalan Presiden Pas di antara penyandang, Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu paling menjadi tumpuan pada Muktamar Pas Ke-55, minggu depan. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan Husam untuk menghuraikan perkara itu.

Kenapa Datuk menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden?

Apabila saya menyertai Pas pada 1982, satu daripada sebabnya saya percaya Pas perlu jadi parti peneraju utama dalam negara jika dasar Islam yang komprehensif mahu dilaksanakan. Saya berpendapat jika ada kerjasama politik dengan Umno dalam bentuk berkerajaan, ia akan menyekat kemaraan Pas. Tak mungkin Pas dapat bertanding pilihan raya di kawasan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan ini akan hadkan kerusi Pas lalu Umno tetap jadi parti utama dan perjuangan Islam akan terbiar. Buat masa ini saya berasa Pas mesti berusaha untuk keluar dan memenangi kerusi yang dikuasai Umno dan BN bagi mencapai cita-cita politik parti. Di kawasan ramai pengundi bukan Melayu, rakan Pas seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menguasai kerusi itu, jadi tugas Pas yang utama sekali ialah menarik sokongan Melayu di kawasan kubu kuat Umno seperti di Johor dan Pahang.

Apa reaksi ahli Pas terhadap keputusan Datuk bertanding Timbalan Presiden?

Alhamdulillah saya dapat banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) terima kasih kerana sanggup tawar diri walaupun menanggung risiko. Kalau nak jaga kedudukan, saya bertanding Naib Presiden, lebih selamat. Apabila bertanding Timbalan Presiden, risikonya sangat tinggi, lebih-lebih lagi dikatakan saya menerima pencalonan tidak berapa besar, tetapi sekurang-kurangnya saya berhasrat sampaikan niat atau pandangan politik saya yang tidak bersetuju dengan pimpinan tertentu mengadakan rundingan sulit dengan Umno, sekurang-kurangnya saya hendak daftarkan pandangan politik saya yang berbeza ini. Saya tidak pasti apakah keputusan ini paling baik tetapi sekurang-kurangnya tanggungjawab saya sudah selesai. Kalah atau menang, itu ditentukan oleh perwakilan. 

Dalam pemilihan kali ini, tidak boleh lari daripada isu pertembungan kumpulan pro-ulama dan Erdogan.

Datuk sendiri dikatakan sebagai ketua kepada puak Erdogan?

Kalau kita tengok buku sains politik, apabila nak wujudkan satu sasaran, kita kena namakan kumpulan, tetapi sampai hari ini saya tidak tahu siapa mulakan label Erdogan itu. Ada orang kata ia dimulakan blog anti-Husam tetapi saya tidak siasat siapa di sebalik blog itu. Isu ini diwujudkan sebaik timbul soal muzakarah atau muqabalah dengan Umno. Sasaran blog itu mungkin untuk merosakkan nama baik saya yang dianggap ancaman kepada usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pihak (Pas dan Umno). Sesetengah pihak mendakwa blog ini didalangi kumpulan di pejabat Jalan Raja Laut (Ibu Pejabat Pas), tetapi saya tak pasti adakah mereka, ahli parti atau orang luar di belakang blog ini. Blog inilah yang mempopularkan nama Erdogan dan kerana nama itu diberi percuma, saya tidak rasa apa-apa. Nak dikatakan bangga, jauh sekali untuk saya disamakan dengan Erdogan yang ada reputasi tinggi. Tentulah saya rendah diri untuk disamakan dengan Erdogan. Sebenarnya, kalau Pas liberal, saya liberal... kalau Pas konservatif, saya konservatif dan kalau Pas fundamental, saya pun fundamental. Saya masuk Pas bukan satu dua hari, jadi jika ada apa-apa kekurangan pada saya, bermakna Pas tidak melaksanakan tarbiah atau pendidikan kepemimpinan yang baik kerana kalau hampir 30 tahun dalam parti, masih lagi saya diragui oleh ahli, bermakna ada sesuatu tidak kena dengan pendidikan parti. Saya berpendapat ini (isu ulama dan profesional) usaha untuk memecahbelahkan Pas bagi membolehkan pihak lain mendapat manfaat daripada perpecahan ini. Prinsip yang saya nampak ialah Islam membuka peluang kepada setiap individu membangunkan diri untuk mencapai beberapa kualiti minimum. Kepemimpinan dalam Islam lebih fleksibel dan terbuka, tetapi struktur yang ada dalam Pas agak lengkap yang mana setinggi mana pun pemimpinnya, ulama atau bukan, tertakluk kepada Majlis Syura sebagai pengawal dan penentu dasar utama parti. Struktur itu sudah wujud dan saya tidak nampak perlu terlalu bimbang terhadap isu ini. Bagi saya, penyertaan saya ini mungkin hanya sementara mengikut keperluan waktu. Jika ada pemimpin lain lebih baik, saya pada bila-bila masa boleh membuka ruang untuk mereka naik dalam pimpinan parti.

Datuk rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mengundang tanggapan pengaruh Anwar makin berkembang dalam Pas?

Saya bukan saja rapat dengan kepemimpinan Pakatan Rakyat, tetapi juga dengan pemimpin Umno dan BN, saya boleh berkomunikasi. Masa jadi Ahli Parlimen, saya sentiasa berinteraksi dengan pemimpin Umno, boleh minum teh dengan Tun Daim Zainuddin, melawat pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau tidak lagi jadi Perdana Menteri dan boleh menghubungi menteri tertentu memberikan pandangan saya. Hubungan rapat tidak semestinya kita korbankan dasar parti. Saya nak bertanya kepada pengkritik itu apa ruginya Pas apabila saya rapat dengan Anwar, apakah prinsip parti sudah saya korbankan? Itu yang perlu diukur. Rapatnya kami bukan bererti saya boleh diperkudakan. Sampai hari ini pengkritik tidak boleh buktikan apa perkara yang saya kompromi dengan Anwar. Anwar diperlukan Pas menjelang pilihan raya hingga ada yang hampir merajuk kerana beliau tidak hadir dalam ceramah besar. Beliau dijemput berceramah di seluruh negara atas pentas Pas, mengapa pada waktu itu tidak timbul persoalan Pas tidak perlukan Anwar? Selepas berkuasa di Kedah, Perak, ada kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, menang di Kelantan dan ada perwakilan besar di Parlimen, timbul isu siapa jadi alat Anwar.

Datuk bertanding sebab tidak bersetuju dengan sikap liberal pemimpin tertentu kepada Umno, sedangkan muzakarah sudah direstui Presiden Pas?

Kedudukan Timbalan Presiden seperti pembantu juruterbang yang juga ada peranannya. Saya melihat Presiden ada pendekatan politik yang terlebih matang, tetapi sesetengah pemimpin Pas guna kedudukan mereka untuk pergi lebih jauh daripada apa yang direncanakan Presiden. Sebab itu, saya tidak ada masalah dengan Abdul Hadi dan saya yakin jika Timbalan Presiden boleh memberi input lebih meluas, Presiden akan membuat pilihan politik lebih tepat ketika itu. Apakah Datuk tidak akan memberi ruang langsung kepada Pas berbincang dengan Umno, terutama demi kepentingan bangsa dan agama. Persoalan kita ialah agenda Islam yang boleh dijayakan dengan pendukung yang komited. Umno, pada pendapat saya menolak dasar Islam dalam pemerintahan, bahkan peranan wahyu sendiri (al-Quran) sangat kecil dalam penentuan dasar dan budaya Umno. Kita tolak Umno bukan kerana permusuhan politik tetapi kerana untuk melaksanakan agenda Islam, orang yang menghayati agenda itulah yang perlu mengambil tempat dalam kerajaan. Kalau Umno sendiri menerima hakikat ini, tidak ada masalah bagi Pas untuk membantu Umno, tetapi jika setakat untuk menyokong Umno kekalkan kuasanya, apa guna Pas ditubuhkan kalau sekadar jadi kuda tunggangan Umno. Kalau Pas duduk di atas, Umno di bawah, saya tiada masalah. Kalau Umno benar-benar tekankan perpaduan Islam, maka kita kena ambil ukuran Islam seperti pemimpin paling bertakwa itulah yang jadi pemerintah paling tinggi. Kalau Abdul Hadi atau Nik Aziz jadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak jadi Timbalan Perdana Menteri, saya tiada masalah. Kalau Najib jadi Perdana Menteri, Abdul Hadi jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya rasa usaha Pas akan sia-sia.

Datuk dianggap sebagai anak didik Nik Aziz dan ia dikatakan kelebihan kepada Datuk dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden?

Prinsip saya ialah kita tidak boleh peralatkan orang lain untuk kepentingan kita. Hubungan saya dengan Nik Aziz ialah saya murid, beliau guru. Saya dibentuk oleh beliau, berada di bawahnya dalam kerajaan hampir 20 tahun dan dalam parti melalui kuliah dan usrah. Beliau membentuk pemikiran saya dan saya tahu apa dalam fikirannya dan cuba jayakan apa yang beliau hasratkan. Saya orang suruhan beliau, bukan beliau orang suruhan saya. Dalam isu seperti muqabalah, muzakarah dan lain-lain, Nik Aziz ada pandangan sendiri, sebab itu tiada siapa yang boleh ubah pandangan itu.

Bagaimana peluang Datuk untuk menang dan apa nasihat kepada perwakilan?

Saya harap perwakilan matang untuk jadikan Pas terus relevan dengan keadaan semasa dan keperluan masyarakat yang berharap Pas jadi alternatif kepada Umno dan dapat bawa perubahan kepada negara. Dalam pertandingan, saya serahkan kepada Allah, tetapi saya sedia untuk kalah. Ini pengorbanan saya, sekurang-kurangnya dari segi rekod, saya bertanding atas niat untuk kebaikan parti dan jika ditakdirkan menang, saya mesti jadi pembantu Presiden untuk membentuk gandingan yang baik. Saya juga berharap dapat mendekatkan Rusila dan Pulau Melaka (Abdul Hadi dan Nik Aziz). Kalau Rusila dan Pulau Melaka intim dan kuat, saya yakin Pas boleh meneraju perubahan politik terutama di negeri yang masih menjadi kubu Umno.
(husammusa.com)

PENANTI: TAHNIAH KEPADA AMINAH ABDULAH

Label:

PENULIS MENGUCAPKAN SYABAS KEPADA CALON BEBAS, AMINAH ABDULLAH (KAK MIN) KERANA BERANI MENCUBA NASIB DI PENANTI. WALAU PUN ISU YANG DIBAWA TIDAK BERKESAN DAN SEOLAH-OLEH "MEMAKAN DIRI" SENDIRI NAMUN DIA MASIH MAHU MENCUBA NASIBNYA PADA PILIHAN RAYA YANG AKAN DATANG.

IKUTI LUAHAN PERASAAN BELIAU DI BAWAH INI SELEPAS DIUMUMKAN KALAH DI PENANTI

"Kak Min menerima keputusan ini dengan hati terbuka, Kak Min sedikit pun tak rasa kecewa dengan keputusan ini.

"Bagi Kak Min, keputusan ini ialah seperti kalah dalam kemenangan... Kak Min menang kerana berjaya mengurangkan peratusan undi yang dimenangi oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat).

"Bagi Kak Min, jumlah orang keluar mengundi yang kecil ini ialah kerana penyokong Umno tidak keluar mengundi.

"Insya-Allah Kak Min akan cuba lagi pada masa-masa akan datang jika dipanjangkan umur, jumlah undi yang Kak Min terima pun taklah kecil sangat, nampaknya ada juga yang menyokong Kak Min."

PKR KEKAL MENANG DI PENANTI

Label:

BUKIT MERTAJAM: SEBAGAIMANA DIJANGKAKAN PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR) MENGEKALKAN KERUSI DEWAN UNDANGAN NEGERI PENANTI DALAM SAINGAN EMPAT PENJURU TANPA KEHADIRAN BARISAN NASIONAL (BN).

TIMBALAN PENGERUSI PERHUBUNGAN PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR) PULAU PINANG, MANSOR OTHMAN MENANG DENGAN MAJORITI 5,558 UNDI.

WALAUPUN MAJORITI PKR KALI INI MENINGKAT DUA KALI GANDA, TETAPI JUMLAH UNDI YANG DIPEROLEH CALON PARTI ITU MENURUN BERBANDING PILIHAN RAYA UMUM KE-12 TAHUN LALU.

MANSOR YANG MEMPEROLEH 6,052 UNDI MANAKALA TIGA CALON BEBAS IAITU AMINAH ABDULLAH MEMPEROLEH 392 UNDI, NAI KHAN ARI (494) DAN KAMARUL RAMIZU IDRIS (56).

SEBELUM INI MANSOR DISEBUT-SEBUT AKAN DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG JIKA MENANG PILIHAN RAYA KECIL HARI INI.

KEPUTUSAN ITU DIUMUMKAN OLEH PEGAWAI PENGURUS PILIHAN RAYA ROSLAN YAHAYA PADA PUKUL 7.10 MALAM DI DEWAN PERDANA, INSTITUT KEMAHIRAN BELIA NEGARA (IKBN) DI JALAN BERAPIT DI SINI.

KETIKA PILIHAN RAYA UMUM 2008, SERAMAI 12,667 DARIPADA 15,421 PEMILIH BERDAFTAR KELUAR MENGUNDI.

CALON PKR KETIKA ITU, MOHAMMAD FAIRUS KHAIRUDDIN MENERIMA 7,346 UNDI MANAKALA CALON BN, DATUK ABDUL JALIL ABDUL MAJID MEMPEROLEH 5,127 UNDI.
MAJORITI DIPEROLEH FAIRUS IALAH 2,219 UNDI.
(mstar)

SIKAP, TINDAKAN UMNO LEBIH BURUK DARIPADA CHENG PENG - ANWAR

Label:

PENANTI, 31 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, kelakuan Umno merampas Perak lebih teruk daripada isu Cheng Peng yang sengaja dimainkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghidupkan kembali kemarahan rakyat.

Tambahan lagi sekarang ini terlalu banyak isu dan skandal terpaksa dijawab oleh kepimpinan negara maka tiada jalan lain untuk beralih kepada isu kepulangan Cheng Peng untuk dijadikan sasaran.

"BN mainkan isu Cheng Peng untuk tingkatkan kemarahan rakyat tanpa mereka sedar tindakan merampas Perak dengan cara tidak beradab dan membelakangkan demokrasi lebih teruk daripada Cheng Peng," ujarnya ketika berceramah di Kubang Semang semalam.

BN hendak mainkan isu ini semata-mata untuk membangkitkan soal perkauman dan menimbulkan pandangan serong terhadap pembangkang yang menggangap isu ini sebagai isu kemanusiaan, katanya.

Menurut Anwar, jika BN sanggup meningkatkan kemarahan rakyat tentang isu Cheng Peng kenapa pada masa yang sama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula mengadakan lawatan ke China yang merupakan 'bapa komunis'.

Sepatutnya isu Cheng Peng itu tidak dimainkan untuk tujuan itu kerana yang perlu ditangani segera ialah kembalikan hak kepada rakyat di Perak supaya kestabilan dibina semula demi pembangunan negeri dan rakyat, jelasnya.

"Bila keadaan di Perak tidak stabil macam mana pelabur nak datang. Siapa yang rugi bukan sahaja kerajaan malahan rakyat yang paling menderita," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menyentuh mengenai pengundian di Penanti Anwar berkata, beliau yakin rakyat N12 Penanti tidak berubah haluan sokongan pada Pakatan Rakyat kerana calon bebas tidak mempunyai agenda membantu rakyat sebaliknya suka-suka atau mencari publisiti murahan.

Justeru, semua petugas sama ada daripada KeADILan, PAS dan DAP harus menjalinkan usahasama yang lebih padu untuk memastikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.
(harakah online)

PENULIS TIDAK MAHU MENGIYA ATAU MENIDAKKAN TENTANG APA YANG DIPERKATAKAN OLEH KETUA PAKATAN RAKYAT ITU TETAPI PEMBACA BOLEH MENILAINYA DENGAN FAKTA YANG ADA....

NAFI PELAKON KLIP VIDEO LUCAH : SISWI RELA BOGEL

KUALA LUMPUR: Angkara tuduhan palsu kononnya dia terbabit dalam klip video lucah, seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) merelakan tubuhnya diperiksa untuk dibandingkan dengan pelakon sebenar.

Malah, gadis berusia 20-an itu juga sanggup membuat ‘akujanji’ menafikan pembabitannya dengan sebarang adegan tidak bermoral bagi mematikan ‘niat kotor’ pihak tertentu yang cuba mengaitkan dia dengan aksi lucah dalam klip video berkenaan.

‘Pemeriksaan tubuh’ lebih setengah jam itu dilakukan pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini untuk membandingkan tubuh pelajar terbabit dengan pelakon yang dikaitkan dengannya dalam klip video berkenaan.

Hasil pemeriksaan terperinci itu, Jais mengesahkan pelakon wanita dalam klip video bukan pelajar itu.

Video klip satu minit itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit memaparkan pelakon wanitanya beraksi lucah oleh dua lelaki yang dipercayai disebarkan di IPT berkenaan dan melalui Internet.
Bagaimanapun, dua waris pelajar terbabit yang turut menerima klip video berkenaan membuat aduan kepada Jais kerana membabitkan maruah keluarga.

Mereka turut mendakwa pelajar terbabit adalah pelakon wanita tanpa seurat benang dalam klip video berkenaan.

Dakwaan menjijikkan itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan IPT yang cuba mendapatkan pengesahan mangsa dengan bantuan Jais sebelum tindakan tegas diambil termasuk kemungkinan menyingkir mangsa jika terbukti bersalah.

Mangsa yang bengang dan malu dengan dakwaan itu mengakui pelakon wanita dalam klip video berkenaan mirip wajahnya, tetapi mendakwa dia tidak mengenali dua lelaki berkenaan.

Bagi mendapatkan kepastian, mangsa dirujuk kepada Jais untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais, Shahrom Maarop, mengakui gadis berkenaan tampil untuk disoal siasat.

Bagi melengkapkan siasatan, katanya, tubuh mangsa turut diperiksa, termasuk mengukur saiz payu dara dan coli yang dipakai.

Pemeriksaan dilakukan beberapa anggota penguat kuasa wanita yang meminta kebenarannya membuka baju.

“Kami mendapati pelakon wanita dalam klip video itu bukan pelajar berkenaan. Malah, dia juga membuat ‘akujanji’ tidak pernah melakukan aksi lucah itu dengan teman lelaki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menafikan terbabit dalam penggambaran klip video itu walaupun mengakui pelakon wanita dalam klip video itu mirip wajahnya.

“Berdasarkan klip video berkenaan, memang pelakon wanita adegan lucah itu seakan-akan wajah gadis berkenaan.

“Siasatan kemudian dijalankan berdasarkan kemungkinan ada pihak cuba memalukan pelajar itu dengan menyebarkan klip video lucah kononnya mangsa turut beraksi,” katanya.

Beliau berkata, klip video itu memaparkan aksi seolah-olah pelakon wanita dirogol dua lelaki walaupun tidak menunjukkan sebarang penentangan terhadap tindakan terbabit.

Namun, berdasarkan siasatan, pelakon wanita bukan dirogol, tetapi merelakan dirinya diperlakukan sedemikian kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, Jais menjalankan siasatan apabila dua waris pelajar itu membuat laporan kononnya dia terbabit dalam aksi lucah seperti dipaparkan dalam klip video itu.

“Malah, apa yang mengejutkan, mereka mendakwa pelakon wanita adalah pelajar terbabit berdasarkan jam dan gelang yang dipakai sama dengan dimilikinya.

“Selepas diteliti, mangsa bagaimanapun tidak memiliki jam dan gelang terbabit. Kami akan memanggil waris mangsa berkenaan untuk disoal siasat mengenai dakwaan palsu dibuat,” katanya.

Justeru, Shahrom berkata, pihaknya akan memanggil dua waris mangsa yang membuat tuduhan berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, mangsa juga membuat laporan polis berkaitan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.
(harian metro online)

PENULIS BUKANLAH INGIN MENGULAS PASAL KLIP VIDEO LUCAH ITU TETAPI PENULIS TERINGAT ANTARA 10 DOSA BESAR DALAM ISLAM IALAH MENUDUH PEREMPUAN YANG BAIK MELAKUKAN ZINA. DOSANYA SAMA SEPERTI DOSA ORANG YANG MEMBUNUH TANPA HAK, LARI DARI MEDAN PERANG MENENTANG MUSUH ISLAM, MENDERHAKA KEPADA IBU BAPA, DAN SEBAGAINYA. FIKIR-FIKIRKAN....

ISU ALTANTUYA: BAWA BALIK BALASUBRAMANIAM, SIASAT SEMULA AKUAN BERSUMPAH

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Angkatan Muda KeADILan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara.
Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.
Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sebaliknya dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.
"Kita juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia.
"Isu ini ditimbulkan hanya strategi politik 'desperado' sesetengah pihak Umno/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan,keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali Umno/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, " katanya dalam satu kenyataannya.
Beliau berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini.
"Semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dari sokongan rakyat.
"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya.
(harakah online)

BAGI PENULIS, MAJORITI RAKYAT KINI SUDAH BIJAK MENILAI DAN MENGHAKIMI SESUATU ISU. MEREKA TIDAK MUDAH TERPENGARUH DAN BERHARAP KEPADA BERITA-BERITA RASMI KERAJAAN SEMATA-MATA KERANA BERITA YANG DISIARKAN OLEH MEDIA UTAMA TIDAK SEMESTINYA BENAR BELAKA. MEREKA AKAN MENCARI SUMBER ALTERNATIF SEPERTI BLOG-BLOG PARTI ATAU INDIVIDU YANG BERKALIBER.

PENULIS BERPENDAPAT AKUAN BERSUMPAH BALASUBRAMANIAM BERKAITAN ISU ALTANTUYA ADALAH MELIBATKAN MARUAH NEGARA DI MATA DUNIA. PENULIS BERASA PELIK MENGAPAKAH PIHAK BERKUASA TIDAK MENGAMBIL TINDAKAN TEGAS SEKIRANYA AKUAN BERSUMPAH ITU ADALAH FITNAH. MALAH KINI BALA HILANG ENTAH DI MANA. WALAUPUN BALA TELAH MENARIK BALIK AKUANNYA ITU PADA KEESOKAN HARINYA TETAPI IA TELAH MENCEMARKAN DAN MENGAIBKAN INDIVIDU YANG DISEBUT DI DALAM AKUAN BERSUMPAH TERSEBUT.

BUDAYA FITNAH DALAM POLITIK MALAYSIA

Label:

Fitnah ialah tuduhan (khabar, kisah, dan lain-lain) yang diadakan-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak. Perbuatan fitnah adalah sebahagian daripada perbuatan mengadu-domba yang menyebabkan berlaku permusuhan antara dua pihak.

Masyarakat yang dipenuhi dengan budaya fitnah akan hidup dalam keadaan berpecah belah dan bermusuhan. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.

Fitnah disebarkan bertujuan untuk memburukkan atau menjatuhkan imej individu atau kumpulan. Pada masa yang sama, perbuatan itu mungkin dapat menonjolkan dirinya sebagai orang yang lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu. Tetapi kalau nasibnya tidak baik, orang yang menyebarkan fitnah yang akan menerima aibnya.

Perbuatan fitnah boleh berlaku dalam rumah tangga yang berakhir dengan penceraian. Dalam dunia politik yang berakhir dengan musnahnya karier politik seseorang. Dalam dunia artis yang menjatuhkan maruah seseorang.

Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud:

“Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh”.

Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah”.
(Hadis riwayat Muslim)

Islam mempunyai kaedah yang lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Setiap Muslim wajib memperhalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam berita yang berunsur fitnah. Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), blog, dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas, dan murah.

Ramai orang yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya, tetapi disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Contohnya mereka akan “forward”kan sesuatu berita melalui email yang tidak diketahui kebenarannya kepada kawan-kawan.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil sahaja. Oleh sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa yang merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah akan menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dosa menyebar fitnah umpama api yang membakar ranting kering kerana api cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan “dengar khabar…..” mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita itu adalah benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita yang tidak benar.

Imam Al-Ghazali dalam buku “Ihya Ulumuddin” menjelaskan bahawa perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya. (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang oleh Allah seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya dalam surah al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.”

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah Islam di mana kematian khalifah ketiga kerajaan Khulafa’ Ar-Rasyidin di Madinah iaitu Saidina Usman bin Affan berpunca daripada fitnah yang disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan kerajaan Bani Umaiyah, malah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Kesimpulannya, kita sebagai individu Muslim hendaklah menjaga hati kerana hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia. Allah menilai amalan seseorang berdasarkan keikhlasan hati mereka. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.

ANWAR IBRAHIM TAWAR TKM 1 P.PINANG – DAKWA AMINAH

Label:

Semalam calon bebas di Pilihanraya Kecil Penanti, Aminah Abdullah yang juga bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang telah membuat pendedahan yang dia telah ditawarkan oleh DS Anwar Ibrahim dengan beberapa habuan menjelang PRK Penanti. Aminah dalam sidang medianya yang turut dihadiri oleh anak perempuan dan suaminya mendakwa DS Anwar terpaksa membuat tawaran kerana kekuatan yang ada padanya.

Tawaran DS Anwar yang kononnya dibawa oleh seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang berasal dari Pulau Pinang dan pembantu kepada exco Kerajaan negeri yang berketurunan Cina menawarkan habuan yang berikut:
- wang berjumlah RM80,000
- tawaran jawatan yang dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
- Aminah juga mendakwa, jika dia berjaya menewaskan calon PKR Mansor Othman dalam pilihanraya DUN itu, beliau akan dibenarkan menyertai parti itu dan diberikan jawatan timbalan satu ketua menteri.

Adakah semua dakwaan Aminah itu benar dan benar melainkan benar belaka?

Pengarah Strategi PKR Tian Chua menafikan parti itu cuba menyogok Aminah dan mencabar calon itu agar membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPR.

Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu akan menghantar segera surat peguamnya kepada Aminah agar menarik balik tuduhan tersebut dan meminta maaf.

Penulis hanya tergelak kecil apabila membaca dakwaan Aminah itu.Apakah motif sebenar beliau sehingga mengeluarkan dakwaan tersebut. Adakah beliau kecewa semasa berada di dalam PKR? Hanya pengundi Penanti yang boleh menilai kebolehan dan kekuatan Aminah.

Sebelum ini pun kita banyak mendengar dakwaan yang dibuat kepada Pakatan Rakyat tetapi selepas disiasat hanya dakwaan kosong semata-mata.

Dalam kempen pilihanraya kali ini juga kita masih menanti strategi biasa yang belum digunakan iaitu ahli PKR keluar parti beramai-ramai...

UMNO TETAP TURUN KE PENANTI

Umno takut untuk kalah namun masih nak tunjuk gah.... Semalam (23 Mei) Pemuda Umno Malaysia turun ke Penanti untuk membuat program penerangan. Lokasi sekitar 'Lubuk Meriam' dengan barisan penceramah 'hebatnya' seperti Lokman Adam.

Tajuk ceramah semalam semata-mata membelasah parti keADILan dan Anwar Ibrahim. Bermacam macam cerita fitnah tanpa fakta dihamburkan. Paling lucu menurut Lokman "Pemuda Umno jangan cepat rasa kecil, kita mesti bangga kerana Pemuda Keadilan nampak hebat kerana di barisi oleh bekas pemuda Umno yang dididik dengan hebat"....

cheGuBard tak perasan pula bila pernah masuk Umno ....hahahahaa....

Menurut seorang teman pengendali laman pro Umno menyatakan semalam, beberapa teman 'pejuang cyber' Umno sudah mula berada di Penanti.

Rupanya Najib mula mula ingat tak nak masuk tanding sebab nak elak kena belasah...tetapi nampaknya sejak semalam keadaan berbeza...ternyata Najib tetap menjadi sasaran maka beberapa team telah diturunkan oleh Umno untuk 'counter' serangan. Dijangkakan 'team pcywar' Umno akan memulakan tugasnya secepat mungkin.

Hati - hatilah kepada petugas Pakatan Rakyat, jangan terlalu selesa.
(chegubard)

PENULIS BERASA HAIRAN BIN AJAIB. MENGAPAKAH UMNO BERCERAMAH DI PENANTI SEDANGKAN UMNO ATAU BN TIDAK BERTANDING? KALAU BENAR PILIHANRAYA DI PENANTI ADALAH MAINAN POLITIK PAKATAN RAKYAT, MENGAPAKAH UMNO MASIH INGIN BERCERAMAH DI SANA? APA YANG PENULIS FAHAM DI SINI IALAH UMNO TELAH TERMAKAN DENGAN MAINAN PAKATAN RAKYAT DAN HANYA BERANI DI LUAR GELANGGANG.....ATAU ADAKAH UMNO INGIN MEMBANTU CALON BEBAS UNTUK MENGALAHKAN PKR?

PILIHAN RAYA KECIL TENANG TANPA BN

Label:

PENANTI, 25 Mei - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, pilihan raya kecil Dun Penanti nyata aman terutamanya apabila Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Kubang Semang sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Penanti pada 23 Mei lalu.
Ceramah yang diadakakan di Kubang Semang itu membariskan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution.

Ini kerana katanya, polis tidak akan 'sibuk' untuk menjadi penggempur dan bekerja untuk BN bagi memastikan kedudukan BN selamat.

"Sejak pagi tadi semasa penamaan calon suasana cukup aman, polis pun tak ramai yang datang, tidak sama seperti prk Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebelum ini.

"Ketika di Kuala Terengganu polis dihantar seramai mungkin hingga mewujudkan suasana seolah-olah Kuala Terengganu berada sebagai sebuah daerah polis," katanya.
Namun kali ini, suasana aman kerana tidak ramai anggota polis yang ditugaskan bagi mengawal keadaan.

"Kita yakin sebenarnya jika pilihan raya ini tidak diganggu dengan kehadiran polis yang terlalu ramai, ia akan berada dalam keadaan aman," ujarnya.
Menyentuh isu di Perak, Nizar menyifatkan rampasan kuasa yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di sana sebagai satu 'perbuatan zalim' di abad ini.

"Tiada perbuatan lain yang sezalim ini, merampas hak rakyat yang memilih kerajaan yang sah dan menggunakan kuasa menghalalkan tindakan zalim mereka ini," katanya.
Lebih dahsyat lagi kata Nizar, BN menggunakan gelanggang mahkamah bagi mengesahkan lagi tindakan rampasan kuasa itu sebagai satu tindakan halal.

Nizar yang nyata kesal dengan rampasan kuasa oleh BN di Perak itu memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan membuatkan rakyat semakin benci dengan BN.
"Saya menyeru pengundi di Penanti ini agar memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat dalam masa yang sama sebagai singnal kepada kekejaman yang BN lakukan terhadap rakyat di Perak dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Inilah peluang kepada rakyat untuk terus menyatakan bantahan kepada kerajaan dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat, katanya lagi.
(harakah online)

BAGI PENULIS, KENYATAAN DS NIZAR ADA KEBENARANNYA. PASUKAN POLIS TIDAK PERLU LAGI BERKAMPUNG SEPERTI PRK KUALA TERENGGANU. PROVOKASI OLEH PIHAK TERTENTU PUN TIADA.

HUBUNGAN MALAYSIA - SINGAPURA BAGAIKAN DURI DALAM DAGING?

Label:

PENULIS AMAT TERTARIK DENGAN POSTING TERBARU DATUK RUHANIE AHMAD DALAM BLOGNYA BERKAITAN HUBUNGAN MALAYSIA SINGAPURA. PERASAAN PENULIS KETIKA MEMBACA ARTIKEL TERSEBUT BERCAMPUR BAUR. CEMAS ADA, TAKUT ADA, MARAH PUN ADA.
BAGI PENULIS, MALAYSIA DI BAWAH KEPIMPINAN DATUK SERI NAJIB DAN TAN SRI MUHYIDDIN PERLU LEBIH BERANI, TEGAS, DAN BIJAKSANA BERHADAPAN DENGAN NEGARA SINGA ITU, TETAPI BUKANLAH DENGAN CARA KONFRONTASI.

BAGI PENULIS, MALAYSIA PERLU MERANGKA SATU STRATEGI BARU DALAM MENANGANI HUBUNGAN DENGAN SINGAPURA. PADA ZAMAN TUN MAHATHIR, BELIAU TELAH MEMILIH SEMANGAT BERSAING DENGAN MEMACU MALAYSIA DARI SEGI PEMBANGUNAN EKONOMI DAN INSFRASTRUKTUR. PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR YANG MEMPUNYAI NILAI STRATEGIK SEPERTI PELABUHAN TANJONG PELEPAS DAN LAPANGAN TERBANG KLIA SEMUANYA ADALAH ATAS DASAR PERSAINGAN UNTUK “MERAMPAS” MONOPOLI SINGAPURA DALAM BIDANG EKONOMI. KETEGASAN DAN PERSAINGAN KENTAL SAHAJALAH AKAN DIGERUNI OLEH SINGAPURA.

BEBERAPA ISU YANG TERTANGGUH SEPERTI DUIT CPF PEKERJA MALAYSIA, ISU TANAH KTM, DAN ISU AIR PERLU DISELESAIKAN SEGERA. ISU TERSEBUT SUDAH LAMA DAN MASIH BELUM ADA JALAN PENYELESAIAN.

PENULIS JUGA MERASAKAN BAHAWA KEDUTAAN MALAYSIA JUGA SEPATUTNYA DIPILIH DALAM KALANGAN ORANG-ORANG YANG LEBIH BERANI DAN BIJAKSANA DALAM MEMPERTAHAN KEDAULATAN MALAYSIA.

DI BAWAH INI SAYA “COPY” DAN “PASTE”KAN ARTIKEL TERSEBUT. SELAMAT MEMBACA…

*************

Oleh Ruhanie Ahmad

Hubungan Malaysia - Indonesia adalah persahabatan saudara senusantara, biduk lalu kiambang bertaut, air dicincang tak akan putus. Hubungan Malaysia-Brunei adalah persahabatan abadi dua negara di mana persamaan sentiasa diraikan, perbezaan pula sentiasa dihormati. Hubungan Malaysia-Singapura adalah persahabatan yang berasaskan kepada pertalian sejarah bumi Melayu yang malang. Ada pihak mengatakan ianya bagaikan aur dengan tebing. Banyak pihak pula menyifatkannya umpama duri dalam daging. Begitulah hakikatnya menurut logika pemikiran Melayu tradisi.

Secara ilmiahnya, kajian hubungan antarabangsa adalah mengenai interaksi politik dan sosial antara negara, aktor bukan negara dan individu (Griffiths, O’Callaghan & Roach 2008:vii). Konsep hubungan antarabangsa pula merujuk kepada hubungan antara negara-bangsa. Tetapi, oleh kerana negara adalah aktor utama hubungan antarabangsa, pelbagai wacana oleh majoriti sarjana klasik mempersetujui bahawa hubungan antarabangsa adalah hubungan antara negara (Viotti & Kauppi 1999:26). Sementara itu, Millar (1969) pula menegaskan, dasar luar adalah dasar yang mempunyai dampak kepada hubungan sebuah negara dengan negara lainnya.

Berikutan lawatan rasmi Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ke Singapura semalam, apa agaknya diskripsi yang paling sesuai untuk menghuraikan hubungan Malaysia-Singapura? Bagai menanam tebu di bibir, di mana dengan wajah manis pemimpin besar Singapura menolak ide pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor? Umpama madu dan racun di mana Malaysia yang membekalkan berjuta-juta gelen air mentah ke Singapura setiap hari, tidak langsung dihormati sehingga menyebabkan Singapura enggan memahami matlamat Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor? Atau seperti melepaskan anjing tersepit, di mana Singapura yang amat memerlukan bekalan air diberikan bekalan air secukupnya, dan Singapura yang memerlukan ruang bumi baru-baru ini disediakan Iskandar Malaysia sebagai taman permainannya yang baru di bumi Malaysia, tetapi republik itu tidak langsung rasa terhutang budi walaupun setitik nilainya kepada Malaysia?

Dasar luar Malaysia memang berasaskan teori realisme di mana kelangsungan, kepentingan, kedaulatan dan keselamatan negara adalah nilai-nilai teras utamanya. Tetapi, proses evolusi menyebabkan Malaysia mempunyai hubungan luar yang sentiasa disesuaikan dengan perkembangan semasa. Oleb sebab itu Malaysia mengamalkan dasar luar yang digandingkan dengan teori interdependensi terhadap jiran tetangganya. Malaysia melaksanakan dasar luar untuk memperkayakan jiran tetangganya. Malaysia percaya kepada dasar luar yang digabungkan dengan teori keamanan. Ini bermakna, ciri-ciri resalisme yang menjadi asas kepada dasar luar Malaysia sentiasa digabungkan dengan teori interdependensi dan keamanan semata-mata untuk mewujudkan peaceful co-existence atau kehidupan bersama secara aman.

Tetapi, bagaimana dengan dasar luar Singapura? Mungkinkah Republik pulau itu akan terus tidak berganjak dengan dasar luarnya, iaitu realis-independen, tanpa sebarang ruang kompromi dan bertolak ansur dengan jiran tetangganya? Jika begitu hakikatnya, mungkinkah Malaysia akan mengkaji semula dasar luarnya dengan Singapura supaya sesuai dengan fahaman realis-independen yang dianuti oleh republik tersebut? Jika itulah hakikatnya, wajarkah Malaysia bertegas dengan Singapura bila satu daipada perjanjian airnya dengan Malaysia mansuh tempohnya pada 2011? Jika begitu hakikatnya, mustahilkah untuk Malaysia mengkaji seluruh hubungan dua halanya dengan republik itu supaya selaras dengan fahaman realis-dependen yang dipegang teguh oleh Singapura?

Pandangan di atas adalah cetusan minda peribadi saya selaku rakyat biasa Malaysia. Saya mencetuskan pandangan ini kerana saya beranggapan Singapura sejak era kepimpinan Abdullah Badawi seolah-olah tidak langsung mahu bertolak ansur dengan Malaysia. Silap siapa, saya tidak mampu untuk memastikannya. Tetapi, silap Malaysia paling ketara adalah sikap kita yang sentiasa mahu menjaga hati jiran tetangga tanpa mengira hakikat dan realiti pihak yang berjiran dengan kita.

Berasaskan cetusan pendapat ini, fikirkanlah semasak-masaknya berita ini yang saya petik daripada halaman N6 akhbar The Star bertarikh 21 Mei 2009 seperti berikut:

JOHOR BARU: Kota Iskandar, the sprawling new state administrative capital in Nusajaya, faces a major security risk as it is located near a Singapore firing range.

The range, inside the Sarimbun Camp, is operated by the Singapore Armed Forces and involves the use of a live ammunition from tanks and aircraft including helicopter gunships.

There have been instances when the explosions at the range have caused vibrations on the Malaysian side less than 2km away.

Banyak persoalan strategik timbul daripada berita di atas. Mengapa jadi begitu? Silap siapa? Atas nasihat siapa? Mengapakah sesuatu perancangan besar di kawasan sempadan tidak melalui kajian impak keselamatan yang menyeluruh?

Berasaskan cetusan pandangan ini juga saya ingin bertanya, jika Malaysia hendak membina jambatan ketiga merentangi Sulat Tebrau, di manakah lokasinya? Adakah lokasinya adalah lokasi yang sudah dikenalpasti oleh Singapura, iaitu lokasi yang betul-betul mengarah ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, bukankah satu syarikat swasta pernah membuat satu presentation di sebuah hotel lima bintang di Singapura kira-kira tiga tahun lalu, mengenai hasrat Singapura mahu membina sebuah jambatan raya atau superbridge yang kalis bom menuju ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, benarkah jambatan itu akan dibina mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura?

Waspadalah Malaysia. Ibu negeri Johor Darul Takzim kini berada dalam jarak bedilan kereta kebal dan kapal terbang berpeluru milik Singapura. Jika jambatan ketiga yang mahu dibina kelak adalah jambatan yang mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura menuju ke Nusajaya, perbetulkanlah keadaan ini dengan serta merta.

Dengan Singapura, hubungan Malaysia tidak perlu lagi berlembut atau berkasar. Tetapi, hubungan Malaysia-Singapura cukuplah sekadar untuk berhubungan tanpa pihak di pulau itu beranggapan Malaysia adalah negara yang boleh dipermainkan, dimanipulasi atau tidak perlu dihormati kedaulatan dan kemerdekaannya. Fikir-fikirkanlah!
(www.kuda-kepang.blogspot.com)

YDP AGONG BOLEH PECAT PM?

Label:

Mahkamah Rayuan petang 21 Mei 2009 telah mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal DS Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Bagi Naib Presiden Pas yang juga ahli exco kerajaan Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa, keputusan Mahkamah Rayuan itu memberi implikasi besar.

Menurut Husam dalam blognya, "Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agong atau Sultan boleh melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar yang baru tanpa Perdana Menteri atau Menteri Besar berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya."
"Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik Perdana Menteri yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?"

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Zambry, Husam menjelaskan bahawa posting beliau dalam blognya tiga hari sebelum keputusan telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan.

Kata Husam, "Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis Barisan Nasional (BN) sekali lagi Isnin atau Selasa ini.”

“Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini?”

Beliau menjelaskan bahawa bukanlah tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa.

Husam menyatakan, tiga atau lima atau tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka dilihat wajar.

Beliau seterusnya "meramalkan" Majlis BN akan bersidang dan kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat Perak dengan mengadap Sultan Azlan Shah untuk pembubaran.

"Memang itu yang dihasratkan oleh PR tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak. Pembubaran, ya. Proses undang-undang yang adil, juga ya." jelas Husam
AKHIL HAYY, MEDIA, DAN MASALAH RUMAH TANGGA
Rabu, Jun 03, 2009 | Author: Tuk Kiyai

Selasa, Jun 02, 2009 | Author: Tuk Kiyai

Isnin, Jun 01, 2009 | Author: Tuk Kiyai
PENULIS MENGUCAPKAN SYABAS KEPADA CALON BEBAS, AMINAH ABDULLAH (KAK MIN) KERANA BERANI MENCUBA NASIB DI PENANTI. WALAU PUN ISU YANG DIBAWA TIDAK BERKESAN DAN SEOLAH-OLEH "MEMAKAN DIRI" SENDIRI NAMUN DIA MASIH MAHU MENCUBA NASIBNYA PADA PILIHAN RAYA YANG AKAN DATANG.

IKUTI LUAHAN PERASAAN BELIAU DI BAWAH INI SELEPAS DIUMUMKAN KALAH DI PENANTI

"Kak Min menerima keputusan ini dengan hati terbuka, Kak Min sedikit pun tak rasa kecewa dengan keputusan ini.

"Bagi Kak Min, keputusan ini ialah seperti kalah dalam kemenangan... Kak Min menang kerana berjaya mengurangkan peratusan undi yang dimenangi oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat).

"Bagi Kak Min, jumlah orang keluar mengundi yang kecil ini ialah kerana penyokong Umno tidak keluar mengundi.

"Insya-Allah Kak Min akan cuba lagi pada masa-masa akan datang jika dipanjangkan umur, jumlah undi yang Kak Min terima pun taklah kecil sangat, nampaknya ada juga yang menyokong Kak Min."
PKR KEKAL MENANG DI PENANTI
Ahad, Mei 31, 2009 | Author: Tuk Kiyai
BUKIT MERTAJAM: SEBAGAIMANA DIJANGKAKAN PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR) MENGEKALKAN KERUSI DEWAN UNDANGAN NEGERI PENANTI DALAM SAINGAN EMPAT PENJURU TANPA KEHADIRAN BARISAN NASIONAL (BN).

TIMBALAN PENGERUSI PERHUBUNGAN PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR) PULAU PINANG, MANSOR OTHMAN MENANG DENGAN MAJORITI 5,558 UNDI.

WALAUPUN MAJORITI PKR KALI INI MENINGKAT DUA KALI GANDA, TETAPI JUMLAH UNDI YANG DIPEROLEH CALON PARTI ITU MENURUN BERBANDING PILIHAN RAYA UMUM KE-12 TAHUN LALU.

MANSOR YANG MEMPEROLEH 6,052 UNDI MANAKALA TIGA CALON BEBAS IAITU AMINAH ABDULLAH MEMPEROLEH 392 UNDI, NAI KHAN ARI (494) DAN KAMARUL RAMIZU IDRIS (56).

SEBELUM INI MANSOR DISEBUT-SEBUT AKAN DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG JIKA MENANG PILIHAN RAYA KECIL HARI INI.

KEPUTUSAN ITU DIUMUMKAN OLEH PEGAWAI PENGURUS PILIHAN RAYA ROSLAN YAHAYA PADA PUKUL 7.10 MALAM DI DEWAN PERDANA, INSTITUT KEMAHIRAN BELIA NEGARA (IKBN) DI JALAN BERAPIT DI SINI.

KETIKA PILIHAN RAYA UMUM 2008, SERAMAI 12,667 DARIPADA 15,421 PEMILIH BERDAFTAR KELUAR MENGUNDI.

CALON PKR KETIKA ITU, MOHAMMAD FAIRUS KHAIRUDDIN MENERIMA 7,346 UNDI MANAKALA CALON BN, DATUK ABDUL JALIL ABDUL MAJID MEMPEROLEH 5,127 UNDI.
MAJORITI DIPEROLEH FAIRUS IALAH 2,219 UNDI.
(mstar)
SIKAP, TINDAKAN UMNO LEBIH BURUK DARIPADA CHENG PENG - ANWAR
Ahad, Mei 31, 2009 | Author: Tuk Kiyai

PENANTI, 31 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, kelakuan Umno merampas Perak lebih teruk daripada isu Cheng Peng yang sengaja dimainkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghidupkan kembali kemarahan rakyat.

Tambahan lagi sekarang ini terlalu banyak isu dan skandal terpaksa dijawab oleh kepimpinan negara maka tiada jalan lain untuk beralih kepada isu kepulangan Cheng Peng untuk dijadikan sasaran.

"BN mainkan isu Cheng Peng untuk tingkatkan kemarahan rakyat tanpa mereka sedar tindakan merampas Perak dengan cara tidak beradab dan membelakangkan demokrasi lebih teruk daripada Cheng Peng," ujarnya ketika berceramah di Kubang Semang semalam.

BN hendak mainkan isu ini semata-mata untuk membangkitkan soal perkauman dan menimbulkan pandangan serong terhadap pembangkang yang menggangap isu ini sebagai isu kemanusiaan, katanya.

Menurut Anwar, jika BN sanggup meningkatkan kemarahan rakyat tentang isu Cheng Peng kenapa pada masa yang sama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula mengadakan lawatan ke China yang merupakan 'bapa komunis'.

Sepatutnya isu Cheng Peng itu tidak dimainkan untuk tujuan itu kerana yang perlu ditangani segera ialah kembalikan hak kepada rakyat di Perak supaya kestabilan dibina semula demi pembangunan negeri dan rakyat, jelasnya.

"Bila keadaan di Perak tidak stabil macam mana pelabur nak datang. Siapa yang rugi bukan sahaja kerajaan malahan rakyat yang paling menderita," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menyentuh mengenai pengundian di Penanti Anwar berkata, beliau yakin rakyat N12 Penanti tidak berubah haluan sokongan pada Pakatan Rakyat kerana calon bebas tidak mempunyai agenda membantu rakyat sebaliknya suka-suka atau mencari publisiti murahan.

Justeru, semua petugas sama ada daripada KeADILan, PAS dan DAP harus menjalinkan usahasama yang lebih padu untuk memastikan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.
(harakah online)

PENULIS TIDAK MAHU MENGIYA ATAU MENIDAKKAN TENTANG APA YANG DIPERKATAKAN OLEH KETUA PAKATAN RAKYAT ITU TETAPI PEMBACA BOLEH MENILAINYA DENGAN FAKTA YANG ADA....
NAFI PELAKON KLIP VIDEO LUCAH : SISWI RELA BOGEL
Sabtu, Mei 30, 2009 | Author: Tuk Kiyai
KUALA LUMPUR: Angkara tuduhan palsu kononnya dia terbabit dalam klip video lucah, seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) merelakan tubuhnya diperiksa untuk dibandingkan dengan pelakon sebenar.

Malah, gadis berusia 20-an itu juga sanggup membuat ‘akujanji’ menafikan pembabitannya dengan sebarang adegan tidak bermoral bagi mematikan ‘niat kotor’ pihak tertentu yang cuba mengaitkan dia dengan aksi lucah dalam klip video berkenaan.

‘Pemeriksaan tubuh’ lebih setengah jam itu dilakukan pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini untuk membandingkan tubuh pelajar terbabit dengan pelakon yang dikaitkan dengannya dalam klip video berkenaan.

Hasil pemeriksaan terperinci itu, Jais mengesahkan pelakon wanita dalam klip video bukan pelajar itu.

Video klip satu minit itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit memaparkan pelakon wanitanya beraksi lucah oleh dua lelaki yang dipercayai disebarkan di IPT berkenaan dan melalui Internet.
Bagaimanapun, dua waris pelajar terbabit yang turut menerima klip video berkenaan membuat aduan kepada Jais kerana membabitkan maruah keluarga.

Mereka turut mendakwa pelajar terbabit adalah pelakon wanita tanpa seurat benang dalam klip video berkenaan.

Dakwaan menjijikkan itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan IPT yang cuba mendapatkan pengesahan mangsa dengan bantuan Jais sebelum tindakan tegas diambil termasuk kemungkinan menyingkir mangsa jika terbukti bersalah.

Mangsa yang bengang dan malu dengan dakwaan itu mengakui pelakon wanita dalam klip video berkenaan mirip wajahnya, tetapi mendakwa dia tidak mengenali dua lelaki berkenaan.

Bagi mendapatkan kepastian, mangsa dirujuk kepada Jais untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais, Shahrom Maarop, mengakui gadis berkenaan tampil untuk disoal siasat.

Bagi melengkapkan siasatan, katanya, tubuh mangsa turut diperiksa, termasuk mengukur saiz payu dara dan coli yang dipakai.

Pemeriksaan dilakukan beberapa anggota penguat kuasa wanita yang meminta kebenarannya membuka baju.

“Kami mendapati pelakon wanita dalam klip video itu bukan pelajar berkenaan. Malah, dia juga membuat ‘akujanji’ tidak pernah melakukan aksi lucah itu dengan teman lelaki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menafikan terbabit dalam penggambaran klip video itu walaupun mengakui pelakon wanita dalam klip video itu mirip wajahnya.

“Berdasarkan klip video berkenaan, memang pelakon wanita adegan lucah itu seakan-akan wajah gadis berkenaan.

“Siasatan kemudian dijalankan berdasarkan kemungkinan ada pihak cuba memalukan pelajar itu dengan menyebarkan klip video lucah kononnya mangsa turut beraksi,” katanya.

Beliau berkata, klip video itu memaparkan aksi seolah-olah pelakon wanita dirogol dua lelaki walaupun tidak menunjukkan sebarang penentangan terhadap tindakan terbabit.

Namun, berdasarkan siasatan, pelakon wanita bukan dirogol, tetapi merelakan dirinya diperlakukan sedemikian kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, Jais menjalankan siasatan apabila dua waris pelajar itu membuat laporan kononnya dia terbabit dalam aksi lucah seperti dipaparkan dalam klip video itu.

“Malah, apa yang mengejutkan, mereka mendakwa pelakon wanita adalah pelajar terbabit berdasarkan jam dan gelang yang dipakai sama dengan dimilikinya.

“Selepas diteliti, mangsa bagaimanapun tidak memiliki jam dan gelang terbabit. Kami akan memanggil waris mangsa berkenaan untuk disoal siasat mengenai dakwaan palsu dibuat,” katanya.

Justeru, Shahrom berkata, pihaknya akan memanggil dua waris mangsa yang membuat tuduhan berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, mangsa juga membuat laporan polis berkaitan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.
(harian metro online)

PENULIS BUKANLAH INGIN MENGULAS PASAL KLIP VIDEO LUCAH ITU TETAPI PENULIS TERINGAT ANTARA 10 DOSA BESAR DALAM ISLAM IALAH MENUDUH PEREMPUAN YANG BAIK MELAKUKAN ZINA. DOSANYA SAMA SEPERTI DOSA ORANG YANG MEMBUNUH TANPA HAK, LARI DARI MEDAN PERANG MENENTANG MUSUH ISLAM, MENDERHAKA KEPADA IBU BAPA, DAN SEBAGAINYA. FIKIR-FIKIRKAN....

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Angkatan Muda KeADILan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara.
Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.
Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sebaliknya dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.
"Kita juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia.
"Isu ini ditimbulkan hanya strategi politik 'desperado' sesetengah pihak Umno/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan,keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali Umno/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, " katanya dalam satu kenyataannya.
Beliau berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini.
"Semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dari sokongan rakyat.
"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya.
(harakah online)

BAGI PENULIS, MAJORITI RAKYAT KINI SUDAH BIJAK MENILAI DAN MENGHAKIMI SESUATU ISU. MEREKA TIDAK MUDAH TERPENGARUH DAN BERHARAP KEPADA BERITA-BERITA RASMI KERAJAAN SEMATA-MATA KERANA BERITA YANG DISIARKAN OLEH MEDIA UTAMA TIDAK SEMESTINYA BENAR BELAKA. MEREKA AKAN MENCARI SUMBER ALTERNATIF SEPERTI BLOG-BLOG PARTI ATAU INDIVIDU YANG BERKALIBER.

PENULIS BERPENDAPAT AKUAN BERSUMPAH BALASUBRAMANIAM BERKAITAN ISU ALTANTUYA ADALAH MELIBATKAN MARUAH NEGARA DI MATA DUNIA. PENULIS BERASA PELIK MENGAPAKAH PIHAK BERKUASA TIDAK MENGAMBIL TINDAKAN TEGAS SEKIRANYA AKUAN BERSUMPAH ITU ADALAH FITNAH. MALAH KINI BALA HILANG ENTAH DI MANA. WALAUPUN BALA TELAH MENARIK BALIK AKUANNYA ITU PADA KEESOKAN HARINYA TETAPI IA TELAH MENCEMARKAN DAN MENGAIBKAN INDIVIDU YANG DISEBUT DI DALAM AKUAN BERSUMPAH TERSEBUT.
BUDAYA FITNAH DALAM POLITIK MALAYSIA
Khamis, Mei 28, 2009 | Author: Tuk Kiyai
Fitnah ialah tuduhan (khabar, kisah, dan lain-lain) yang diadakan-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak. Perbuatan fitnah adalah sebahagian daripada perbuatan mengadu-domba yang menyebabkan berlaku permusuhan antara dua pihak.

Masyarakat yang dipenuhi dengan budaya fitnah akan hidup dalam keadaan berpecah belah dan bermusuhan. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.

Fitnah disebarkan bertujuan untuk memburukkan atau menjatuhkan imej individu atau kumpulan. Pada masa yang sama, perbuatan itu mungkin dapat menonjolkan dirinya sebagai orang yang lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu. Tetapi kalau nasibnya tidak baik, orang yang menyebarkan fitnah yang akan menerima aibnya.

Perbuatan fitnah boleh berlaku dalam rumah tangga yang berakhir dengan penceraian. Dalam dunia politik yang berakhir dengan musnahnya karier politik seseorang. Dalam dunia artis yang menjatuhkan maruah seseorang.

Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud:

“Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh”.

Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah”.
(Hadis riwayat Muslim)

Islam mempunyai kaedah yang lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Setiap Muslim wajib memperhalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam berita yang berunsur fitnah. Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), blog, dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas, dan murah.

Ramai orang yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya, tetapi disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Contohnya mereka akan “forward”kan sesuatu berita melalui email yang tidak diketahui kebenarannya kepada kawan-kawan.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil sahaja. Oleh sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa yang merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah akan menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dosa menyebar fitnah umpama api yang membakar ranting kering kerana api cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan “dengar khabar…..” mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita itu adalah benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita yang tidak benar.

Imam Al-Ghazali dalam buku “Ihya Ulumuddin” menjelaskan bahawa perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya. (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang oleh Allah seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya dalam surah al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.”

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah Islam di mana kematian khalifah ketiga kerajaan Khulafa’ Ar-Rasyidin di Madinah iaitu Saidina Usman bin Affan berpunca daripada fitnah yang disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan kerajaan Bani Umaiyah, malah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Kesimpulannya, kita sebagai individu Muslim hendaklah menjaga hati kerana hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia. Allah menilai amalan seseorang berdasarkan keikhlasan hati mereka. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.
ANWAR IBRAHIM TAWAR TKM 1 P.PINANG – DAKWA AMINAH
Selasa, Mei 26, 2009 | Author: Tuk Kiyai
Semalam calon bebas di Pilihanraya Kecil Penanti, Aminah Abdullah yang juga bekas ketua Wanita PKR Pulau Pinang telah membuat pendedahan yang dia telah ditawarkan oleh DS Anwar Ibrahim dengan beberapa habuan menjelang PRK Penanti. Aminah dalam sidang medianya yang turut dihadiri oleh anak perempuan dan suaminya mendakwa DS Anwar terpaksa membuat tawaran kerana kekuatan yang ada padanya.

Tawaran DS Anwar yang kononnya dibawa oleh seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang berasal dari Pulau Pinang dan pembantu kepada exco Kerajaan negeri yang berketurunan Cina menawarkan habuan yang berikut:
- wang berjumlah RM80,000
- tawaran jawatan yang dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
- Aminah juga mendakwa, jika dia berjaya menewaskan calon PKR Mansor Othman dalam pilihanraya DUN itu, beliau akan dibenarkan menyertai parti itu dan diberikan jawatan timbalan satu ketua menteri.

Adakah semua dakwaan Aminah itu benar dan benar melainkan benar belaka?

Pengarah Strategi PKR Tian Chua menafikan parti itu cuba menyogok Aminah dan mencabar calon itu agar membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPR.

Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu akan menghantar segera surat peguamnya kepada Aminah agar menarik balik tuduhan tersebut dan meminta maaf.

Penulis hanya tergelak kecil apabila membaca dakwaan Aminah itu.Apakah motif sebenar beliau sehingga mengeluarkan dakwaan tersebut. Adakah beliau kecewa semasa berada di dalam PKR? Hanya pengundi Penanti yang boleh menilai kebolehan dan kekuatan Aminah.

Sebelum ini pun kita banyak mendengar dakwaan yang dibuat kepada Pakatan Rakyat tetapi selepas disiasat hanya dakwaan kosong semata-mata.

Dalam kempen pilihanraya kali ini juga kita masih menanti strategi biasa yang belum digunakan iaitu ahli PKR keluar parti beramai-ramai...
UMNO TETAP TURUN KE PENANTI
Selasa, Mei 26, 2009 | Author: Tuk Kiyai
Umno takut untuk kalah namun masih nak tunjuk gah.... Semalam (23 Mei) Pemuda Umno Malaysia turun ke Penanti untuk membuat program penerangan. Lokasi sekitar 'Lubuk Meriam' dengan barisan penceramah 'hebatnya' seperti Lokman Adam.

Tajuk ceramah semalam semata-mata membelasah parti keADILan dan Anwar Ibrahim. Bermacam macam cerita fitnah tanpa fakta dihamburkan. Paling lucu menurut Lokman "Pemuda Umno jangan cepat rasa kecil, kita mesti bangga kerana Pemuda Keadilan nampak hebat kerana di barisi oleh bekas pemuda Umno yang dididik dengan hebat"....

cheGuBard tak perasan pula bila pernah masuk Umno ....hahahahaa....

Menurut seorang teman pengendali laman pro Umno menyatakan semalam, beberapa teman 'pejuang cyber' Umno sudah mula berada di Penanti.

Rupanya Najib mula mula ingat tak nak masuk tanding sebab nak elak kena belasah...tetapi nampaknya sejak semalam keadaan berbeza...ternyata Najib tetap menjadi sasaran maka beberapa team telah diturunkan oleh Umno untuk 'counter' serangan. Dijangkakan 'team pcywar' Umno akan memulakan tugasnya secepat mungkin.

Hati - hatilah kepada petugas Pakatan Rakyat, jangan terlalu selesa.
(chegubard)

PENULIS BERASA HAIRAN BIN AJAIB. MENGAPAKAH UMNO BERCERAMAH DI PENANTI SEDANGKAN UMNO ATAU BN TIDAK BERTANDING? KALAU BENAR PILIHANRAYA DI PENANTI ADALAH MAINAN POLITIK PAKATAN RAKYAT, MENGAPAKAH UMNO MASIH INGIN BERCERAMAH DI SANA? APA YANG PENULIS FAHAM DI SINI IALAH UMNO TELAH TERMAKAN DENGAN MAINAN PAKATAN RAKYAT DAN HANYA BERANI DI LUAR GELANGGANG.....ATAU ADAKAH UMNO INGIN MEMBANTU CALON BEBAS UNTUK MENGALAHKAN PKR?
PILIHAN RAYA KECIL TENANG TANPA BN
Isnin, Mei 25, 2009 | Author: Tuk Kiyai
PENANTI, 25 Mei - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, pilihan raya kecil Dun Penanti nyata aman terutamanya apabila Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Kubang Semang sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Penanti pada 23 Mei lalu.
Ceramah yang diadakakan di Kubang Semang itu membariskan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan Saifuddin Nasution.

Ini kerana katanya, polis tidak akan 'sibuk' untuk menjadi penggempur dan bekerja untuk BN bagi memastikan kedudukan BN selamat.

"Sejak pagi tadi semasa penamaan calon suasana cukup aman, polis pun tak ramai yang datang, tidak sama seperti prk Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebelum ini.

"Ketika di Kuala Terengganu polis dihantar seramai mungkin hingga mewujudkan suasana seolah-olah Kuala Terengganu berada sebagai sebuah daerah polis," katanya.
Namun kali ini, suasana aman kerana tidak ramai anggota polis yang ditugaskan bagi mengawal keadaan.

"Kita yakin sebenarnya jika pilihan raya ini tidak diganggu dengan kehadiran polis yang terlalu ramai, ia akan berada dalam keadaan aman," ujarnya.
Menyentuh isu di Perak, Nizar menyifatkan rampasan kuasa yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di sana sebagai satu 'perbuatan zalim' di abad ini.

"Tiada perbuatan lain yang sezalim ini, merampas hak rakyat yang memilih kerajaan yang sah dan menggunakan kuasa menghalalkan tindakan zalim mereka ini," katanya.
Lebih dahsyat lagi kata Nizar, BN menggunakan gelanggang mahkamah bagi mengesahkan lagi tindakan rampasan kuasa itu sebagai satu tindakan halal.

Nizar yang nyata kesal dengan rampasan kuasa oleh BN di Perak itu memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan membuatkan rakyat semakin benci dengan BN.
"Saya menyeru pengundi di Penanti ini agar memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat dalam masa yang sama sebagai singnal kepada kekejaman yang BN lakukan terhadap rakyat di Perak dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Inilah peluang kepada rakyat untuk terus menyatakan bantahan kepada kerajaan dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat, katanya lagi.
(harakah online)

BAGI PENULIS, KENYATAAN DS NIZAR ADA KEBENARANNYA. PASUKAN POLIS TIDAK PERLU LAGI BERKAMPUNG SEPERTI PRK KUALA TERENGGANU. PROVOKASI OLEH PIHAK TERTENTU PUN TIADA.
HUBUNGAN MALAYSIA - SINGAPURA BAGAIKAN DURI DALAM DAGING?
Isnin, Mei 25, 2009 | Author: Tuk Kiyai
PENULIS AMAT TERTARIK DENGAN POSTING TERBARU DATUK RUHANIE AHMAD DALAM BLOGNYA BERKAITAN HUBUNGAN MALAYSIA SINGAPURA. PERASAAN PENULIS KETIKA MEMBACA ARTIKEL TERSEBUT BERCAMPUR BAUR. CEMAS ADA, TAKUT ADA, MARAH PUN ADA.
BAGI PENULIS, MALAYSIA DI BAWAH KEPIMPINAN DATUK SERI NAJIB DAN TAN SRI MUHYIDDIN PERLU LEBIH BERANI, TEGAS, DAN BIJAKSANA BERHADAPAN DENGAN NEGARA SINGA ITU, TETAPI BUKANLAH DENGAN CARA KONFRONTASI.

BAGI PENULIS, MALAYSIA PERLU MERANGKA SATU STRATEGI BARU DALAM MENANGANI HUBUNGAN DENGAN SINGAPURA. PADA ZAMAN TUN MAHATHIR, BELIAU TELAH MEMILIH SEMANGAT BERSAING DENGAN MEMACU MALAYSIA DARI SEGI PEMBANGUNAN EKONOMI DAN INSFRASTRUKTUR. PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR YANG MEMPUNYAI NILAI STRATEGIK SEPERTI PELABUHAN TANJONG PELEPAS DAN LAPANGAN TERBANG KLIA SEMUANYA ADALAH ATAS DASAR PERSAINGAN UNTUK “MERAMPAS” MONOPOLI SINGAPURA DALAM BIDANG EKONOMI. KETEGASAN DAN PERSAINGAN KENTAL SAHAJALAH AKAN DIGERUNI OLEH SINGAPURA.

BEBERAPA ISU YANG TERTANGGUH SEPERTI DUIT CPF PEKERJA MALAYSIA, ISU TANAH KTM, DAN ISU AIR PERLU DISELESAIKAN SEGERA. ISU TERSEBUT SUDAH LAMA DAN MASIH BELUM ADA JALAN PENYELESAIAN.

PENULIS JUGA MERASAKAN BAHAWA KEDUTAAN MALAYSIA JUGA SEPATUTNYA DIPILIH DALAM KALANGAN ORANG-ORANG YANG LEBIH BERANI DAN BIJAKSANA DALAM MEMPERTAHAN KEDAULATAN MALAYSIA.

DI BAWAH INI SAYA “COPY” DAN “PASTE”KAN ARTIKEL TERSEBUT. SELAMAT MEMBACA…

*************

HUBUNGAN MALAYSIA - SINGAPURA BAGAIKAN DURI DALAM DAGING?
Oleh Ruhanie Ahmad

Hubungan Malaysia - Indonesia adalah persahabatan saudara senusantara, biduk lalu kiambang bertaut, air dicincang tak akan putus. Hubungan Malaysia-Brunei adalah persahabatan abadi dua negara di mana persamaan sentiasa diraikan, perbezaan pula sentiasa dihormati. Hubungan Malaysia-Singapura adalah persahabatan yang berasaskan kepada pertalian sejarah bumi Melayu yang malang. Ada pihak mengatakan ianya bagaikan aur dengan tebing. Banyak pihak pula menyifatkannya umpama duri dalam daging. Begitulah hakikatnya menurut logika pemikiran Melayu tradisi.

Secara ilmiahnya, kajian hubungan antarabangsa adalah mengenai interaksi politik dan sosial antara negara, aktor bukan negara dan individu (Griffiths, O’Callaghan & Roach 2008:vii). Konsep hubungan antarabangsa pula merujuk kepada hubungan antara negara-bangsa. Tetapi, oleh kerana negara adalah aktor utama hubungan antarabangsa, pelbagai wacana oleh majoriti sarjana klasik mempersetujui bahawa hubungan antarabangsa adalah hubungan antara negara (Viotti & Kauppi 1999:26). Sementara itu, Millar (1969) pula menegaskan, dasar luar adalah dasar yang mempunyai dampak kepada hubungan sebuah negara dengan negara lainnya.

Berikutan lawatan rasmi Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ke Singapura semalam, apa agaknya diskripsi yang paling sesuai untuk menghuraikan hubungan Malaysia-Singapura? Bagai menanam tebu di bibir, di mana dengan wajah manis pemimpin besar Singapura menolak ide pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor? Umpama madu dan racun di mana Malaysia yang membekalkan berjuta-juta gelen air mentah ke Singapura setiap hari, tidak langsung dihormati sehingga menyebabkan Singapura enggan memahami matlamat Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor? Atau seperti melepaskan anjing tersepit, di mana Singapura yang amat memerlukan bekalan air diberikan bekalan air secukupnya, dan Singapura yang memerlukan ruang bumi baru-baru ini disediakan Iskandar Malaysia sebagai taman permainannya yang baru di bumi Malaysia, tetapi republik itu tidak langsung rasa terhutang budi walaupun setitik nilainya kepada Malaysia?

Dasar luar Malaysia memang berasaskan teori realisme di mana kelangsungan, kepentingan, kedaulatan dan keselamatan negara adalah nilai-nilai teras utamanya. Tetapi, proses evolusi menyebabkan Malaysia mempunyai hubungan luar yang sentiasa disesuaikan dengan perkembangan semasa. Oleb sebab itu Malaysia mengamalkan dasar luar yang digandingkan dengan teori interdependensi terhadap jiran tetangganya. Malaysia melaksanakan dasar luar untuk memperkayakan jiran tetangganya. Malaysia percaya kepada dasar luar yang digabungkan dengan teori keamanan. Ini bermakna, ciri-ciri resalisme yang menjadi asas kepada dasar luar Malaysia sentiasa digabungkan dengan teori interdependensi dan keamanan semata-mata untuk mewujudkan peaceful co-existence atau kehidupan bersama secara aman.

Tetapi, bagaimana dengan dasar luar Singapura? Mungkinkah Republik pulau itu akan terus tidak berganjak dengan dasar luarnya, iaitu realis-independen, tanpa sebarang ruang kompromi dan bertolak ansur dengan jiran tetangganya? Jika begitu hakikatnya, mungkinkah Malaysia akan mengkaji semula dasar luarnya dengan Singapura supaya sesuai dengan fahaman realis-independen yang dianuti oleh republik tersebut? Jika itulah hakikatnya, wajarkah Malaysia bertegas dengan Singapura bila satu daipada perjanjian airnya dengan Malaysia mansuh tempohnya pada 2011? Jika begitu hakikatnya, mustahilkah untuk Malaysia mengkaji seluruh hubungan dua halanya dengan republik itu supaya selaras dengan fahaman realis-dependen yang dipegang teguh oleh Singapura?

Pandangan di atas adalah cetusan minda peribadi saya selaku rakyat biasa Malaysia. Saya mencetuskan pandangan ini kerana saya beranggapan Singapura sejak era kepimpinan Abdullah Badawi seolah-olah tidak langsung mahu bertolak ansur dengan Malaysia. Silap siapa, saya tidak mampu untuk memastikannya. Tetapi, silap Malaysia paling ketara adalah sikap kita yang sentiasa mahu menjaga hati jiran tetangga tanpa mengira hakikat dan realiti pihak yang berjiran dengan kita.

Berasaskan cetusan pendapat ini, fikirkanlah semasak-masaknya berita ini yang saya petik daripada halaman N6 akhbar The Star bertarikh 21 Mei 2009 seperti berikut:

JOHOR BARU: Kota Iskandar, the sprawling new state administrative capital in Nusajaya, faces a major security risk as it is located near a Singapore firing range.

The range, inside the Sarimbun Camp, is operated by the Singapore Armed Forces and involves the use of a live ammunition from tanks and aircraft including helicopter gunships.

There have been instances when the explosions at the range have caused vibrations on the Malaysian side less than 2km away.

Banyak persoalan strategik timbul daripada berita di atas. Mengapa jadi begitu? Silap siapa? Atas nasihat siapa? Mengapakah sesuatu perancangan besar di kawasan sempadan tidak melalui kajian impak keselamatan yang menyeluruh?

Berasaskan cetusan pandangan ini juga saya ingin bertanya, jika Malaysia hendak membina jambatan ketiga merentangi Sulat Tebrau, di manakah lokasinya? Adakah lokasinya adalah lokasi yang sudah dikenalpasti oleh Singapura, iaitu lokasi yang betul-betul mengarah ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, bukankah satu syarikat swasta pernah membuat satu presentation di sebuah hotel lima bintang di Singapura kira-kira tiga tahun lalu, mengenai hasrat Singapura mahu membina sebuah jambatan raya atau superbridge yang kalis bom menuju ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, benarkah jambatan itu akan dibina mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura?

Waspadalah Malaysia. Ibu negeri Johor Darul Takzim kini berada dalam jarak bedilan kereta kebal dan kapal terbang berpeluru milik Singapura. Jika jambatan ketiga yang mahu dibina kelak adalah jambatan yang mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura menuju ke Nusajaya, perbetulkanlah keadaan ini dengan serta merta.

Dengan Singapura, hubungan Malaysia tidak perlu lagi berlembut atau berkasar. Tetapi, hubungan Malaysia-Singapura cukuplah sekadar untuk berhubungan tanpa pihak di pulau itu beranggapan Malaysia adalah negara yang boleh dipermainkan, dimanipulasi atau tidak perlu dihormati kedaulatan dan kemerdekaannya. Fikir-fikirkanlah!
(www.kuda-kepang.blogspot.com)
YDP AGONG BOLEH PECAT PM?
Ahad, Mei 24, 2009 | Author: Tuk Kiyai