
Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin diminta untuk mengemukakan permohonan maaf selama enam bulan oleh kumpulan AirAsia berhubung dengan dakwaan mengatakan babi dihidangkan dalam penerbangan pesawat syarikat itu untuk menggelakkan disaman sebanyak RM5 juta.
Beliau yang mengemukakan permohonan maaf kepada AirAsia pada bulan lalu di blognya Zamkata, berkata beliau tidak mampu membayar saman dan sara hidupnya hanya berdasarkan wang persaraan.
“AirAsia meminta saya menyiarkan permohonan maaf ini selama enam bulan tetapi saya akan siarkan untuk bertahun-tahun akan datang dengan tujuan penyebarannya lebih meluas dan bagi pengetahuan dari generasi ke generasi.
“Saya berterima kasih kepada Rocky's Bru yang menyatakan setiakawan bagi pihak penulis blog dan jaminan membela saya dalam menghadapi sebarang tindakan dari AirAsia,” katanya merujuk kepada penulis blog yang juga bekas Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan.
Dalam permohonan maafnya kepada AirAsia, beliau tidak menyangka artikel yang bertajuk, “Hidangan babi dalam penerbangan AirAsia, orang Islam patut tangguhkan dulu terbang dengan pesawat ini" di dalam blognya memberikan implikasi buruk kepada nama baik AirAsia dan AirAsiaX.
Katanya, selepas menerima surat tuntutan dari peguambela dam peguamcara AirAsia Berhad kira-kira sebulan dari tarikh penyiaran artikel tersebut, maka barulah beliau menyedari bahawa artikel itu memberikan implikasi atau gambaran,seolah-olah babi dihidangkan dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang mana dakwaan itu tidak benar sama sekali.
“Saya mohon maaf kepada AirAsia Berhad diatas sebarang kecederaan yang menimpa mereka kerana artikel tersebut dan saya berharap orang ramai tidak mempunyai sebarang prasangka bahawa babi ada dihidangkan di dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X.
“Saya yakin dan percaya bahawa AirAsia dan AirAsia X sangat prihatin terhadap sensitiviti agama kesemua penumpang mereka,” jelasnya menerusi blog Zamkata.
Hal ini dipanjangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranum semasa majlis sambutan Aidilfitri Utusan Melayu namun beliau enggan mengulas lanjut tentang tindakan saman yang diambil oleh AirAsia dan AirAsia X terhadap Zainuddin.
Kamaruddin berkata, AirAsia bukanlah anti Utusan meskipun syarikat penerbangan tambang rendah itu menarik balik iklan dalam akhbar milik Umno tersebut.
“Saya tahu sejarah Utusan dan Utusan adalah darah daging saya. Tuduhan seperti ini saya tidak dapat menerimanya,” jelas Zainuddin menerusi blognya. – 28 Ogos, 2013.
-TheMalaysianInsider
P/s: Kah kah kah...Siapa suruh fitnah!!
|

Beijing: Seorang kanak-kanak dicungkil matanya selepas dilapor diculik oleh seorang penyeludup organ.
Anggota keluarga menemui kanak-kanak berkenaan berlumuran darah tiga hingga empat jam selepas dia hilang ketika bermain di luar rumah.
Mata mangsa ditemui berhampiran tetapi korneanya hilang, menunjukkan seorang penyeludup organ bertanggungjawab terhadap serangan ngeri itu.
Polis menawarkan hadiah 100,000 yuan (RM52,800) kepada mereka yang dapat memberi maklumat hingga suspek, yang dipercayai wanita, dapat ditangkap.
“Mukanya berlumuran darah ketika ditemui. Matanya dicungkil,” kata bapa mangsa kepada Televisyen Shanxi.
Rakaman televisyen itu menunjukkan bahagian mata mangsa yang berbalut dibawa keluar dari bilik pembedahan dan ditempatkan di sebuah katil hospital, meraung kesakitan sementara anggota keluarganya menangis di sisi katil.
Budak itu didiberi dadah menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum penyerang mencungkil matanya, lapor stesen televisyen CCTV menerusi lamannya di Sina Weibo, versi Twitter China.
Budak itu bermain bersendirian di luar rumahnya apabila dia diculik petang kelmarin. Ibu bapanya menyedari dia hilang selepas memanggilnya untuk masuk ke rumah kira-kira jam 8 malam. Selepas dia tidak muncul, ibu bapanya melancarkan gerakan mencari dengan dibantu oleh sanak saudara lain dan akhirnya menemuinya di sebuah padang berhampiran, kira-kira tiga jam kemudian.
“Kami tidak menyedari matanya hilang apabila menemuinya. Kami menyangka dia jatuh dan cedera di muka,” kata bapa mangsa.
Kehilangan mata mangsa hanya diketahu apabila dia dirawat di hospital.
Perdagangan organ secara haram didorong oleh permintaan yang begitu banyak. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun. - Agensi
-Hmetro
|

Beginilah keadaan pusara P.Ramlee yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Gambar: Utusan Malaysia
PETALING JAYA: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.
“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.
"Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.
Mohd Tamyes Abd Wahid
Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.
Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.
Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.
Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.
"Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.
Mohd Hasnil Abu Bakar
Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.
"Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.
"Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.
Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.
“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.
Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.- mStar
|

KUALA LUMPUR - Seorang penumpang yang cedera dalam kemalangan bas dekat Genting Highlands semalam berkata pemandu bas itu telah memberhentikan basnya di tepi jalan sebelum kemalangan seolah-olah mengesyaki sesuatu tidak kena dengan kenderaan itu.
Nur Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, berkata sebelum bas terjunam ke dalam gaung pemandunya sempat memberhentikan bas dan turun selama tiga minit untuk melihat enjin bas sebelum naik semula dan menghidupkan enjin.
"Pada masa itu saya terdengar bunyi yang begitu kuat dari bahagian depan bas tetapi pemandu itu masih meneruskan perjalanan," katanya yang duduk di belakang pemandu bas dalam perjalanan itu.
"Masa itulah, tiba-tiba bas tidak dapat dikawal, cuba mengelak beberapa kereta dan bas tapi saya perasan bas ada melanggar dua tiga buah kereta sebelum sampai di suatu selekoh, bas terus menjunam jatuh ke dalam gaung," katanya yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh kepada Bernama ketika ditemui di hospital itu, dekat sini, hari ini.
Nur Maizatul yang merupakan mangsa kedua yang dibawa naik dari dalam gaung dalam insiden itu berkata ini merupakan pengalaman pertamanya pergi dan pulang dari Genting Highlands bersama kawan lelakinya, Mohd Razis Ibrahim, 23, dengan menaiki bas dan menjadi detik ngeri yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
"Saya ingat lagi masa itu keadaan sangat cemas, takut dan semua menjerit kuat. Tetapi saya tidak faham mengapa bas boleh bawa ramai penumpang sehingga ada yang sanggup berdiri dan duduk di pintu tangga bas," katanya sambil menambah kawannya kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Menceritakan pengalamannya ketika di dalam gaung itu, beliau berkata saat itu merupakan saat yang paling menakutkan apabila melihat ramai penumpang sudah bergelimpangan di sekitar bas itu dalam keadaan cukup menyayat hati.
"Saya lihat satu-satu daripada mereka depan mata saya sendiri, ada yang sudah tidak bernyawa, ada yang kritikal.
"Pada masa itu, saya meminta tolong lelaki sebelah kiri saya yang juga terselamat untuk membantu saya bangun kerana kaki saya patah tetapi dia pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana turut mengalami nasib yang sama seperti saya (patah kaki)," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Batu Caves dan menetap di Rawang bersama keluarganya.
Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Nor Fazli Sahazmi Ahmad Sharuddin, 26, berkata beliau bersama ibunya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada ayahnya yang mengatakan adiknya terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands.
"Ayah hubungi saya selepas seorang anggota bomba menelefonnya menggunakan telefon adik dan memberitahu adik selamat tapi cederanya agak teruk. Masa itu pukul 3.30 petang, saya tidak fikir apa terus pergi sana.
"Sejam kemudian saya sampai di tempat kejadian, saya buntu, saya pergi ke khemah yang menempatkan mayat-mayat, saya lihat satu persatu mayat sebab tidak pasti keadaan adik dan tak jumpa," katanya.
Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang, abang iparnya menelefon beliau memaklumkan Nur Maizatul berada di Hospital Sungai Buloh.
"Masa itu, rasa bersyukur sangat adik selamat, cuma mengalami cedera di muka, patah di bahagian tulang punggung, betis dan paha," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa warga Korea yang dirawat di Unit Kecemasan (ICU) Hospital Sungai Buloh, Kang Byoung Kuk berusia 60 tahun tidak dapat ditemubual kerana masih tidak sedar diri. - Bernama
-sinarharian
|
P/s: Ugutan demi ugutan diterima rakyat...Macam-macam idea untuk mendapatkan wang untuk kerajaan tapi syukur Malaysia masih aman
|

KULIM - Hasrat sepasang kekasih berusia 17 tahun untuk memadu kasih di kawasan semak berhampiran Jana kuasa TNB di sebuah taman perumahan di sini tidak kesampaian apabila aktiviti mereka berjaya dihidu polis yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya curiga apabila ternampak sebuah motosikal diletakkan berhadapan jana kuasa itu.
“Setelah mengepung kawasan belukar itu, kami ternampak seorang remaja lelaki keluar dari belakang semak dan beberapa minit kemudian seorang remaja perempuan pula keluar dari tempat sama.
"Siasatan mendapati mereka masih bersekolah dan memberikan alasan berbincang tentang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diduduki,” katanya kepada Sinar Harian.
Ghuzlan berkata, sepanjang ditahan, pelajar perempuan menunjukkan reaksi agresif seperti menangis, ingin mencederakan dirinya sendiri selain berpura-pura hendak pengsan.
Katanya, bagaimanapun setalah dimaklumkan kepada pasangan itu bahawa polis akan menghubungi kedua-dua keluarga remaja terlibat, keadaan mula terkawal.
"Kedua-dua remaja itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya. -sinarharian
|
DALAM SISTEM KEWANGAN, penarafan kredit yang dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit seperti Standard & Poor's, Moody's dan Fitch Ratings adalah penting untuk mengukur tahap keupayaan kewangan sesebuah negara. Dalam hal ini, semakin rendah penarafan yang diberi bermakna semakin tinggi risiko untuk negara tersebut untuk gagal membayar hutang (bon) yang diterbitkan.
Oleh sebab itulah, tiga minggu lepas, apabila agensi penarafan Fitch menurunkan taraf unjuran kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif, ia cukup membimbangkan saya.
Mengapa Turunnya Penarafan Kewangan Negara?
Mengikut laporan Fitch, mereka menurunkan kadar penarafannya kerana melihat pengurusan kewangan kita adalah lemah. Hutang negara meningkat dari 39.8% peratus daripada KDNK (GDP) pada tahun 2008 kepada 51.6% pada tahun 2011 dan 53.3% pada akhir tahun 2012. Bajet defisit pula meningkat dari 3.8% pada tahun 2011 kepada 4.7% pada tahun 2012.
Kesan daripada penurunan penarafan ini dapat segera dirasa apabila Ringgit Malaysia susut di paras tiga tahun terendah berbanding Dollar Amerika dan 15 tahun terendah berbanding Dollar Singapura. Mata wang yang rendah ini menyebabkan barangan import menjadi semakin mahal dan barangan eksport menjadi semakin murah yang tentunya menekan kedudukan akaun semasa negara.
Selain itu, kesan penurunan penarafan ini juga menyebabkan pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon jatuh. Keadaan ini menurunkan keyakinan pelabur lalu menyekat aliran tunai dan kredit di dalam pasaran. Apabila ini berlaku, ia menambahkan bebanan kewangan awam lalu menjadikan sasaran mengurangkan defisit dan hutang awam semakin jauh. Kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk membayar faedah dan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.
Mengikut Fitch, berlakunya kelemahan pengurusan kewangan ini adalah kerana beberapa faktor. Pertama, jaminan kerajaan Malaysia kepada hutang luar jangka yang dibuat oleh agensi berkaitan kerajaan seperti 1MDB, PTPTN dan sebagainya yang meningkat kepada 15.2% daripada KDNK negara. Kedua, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak oleh Petronas. Ketiga, janji-janji pilihan raya oleh BN yang akan menambah beban kewangan negara. Keempat, subsidi tinggi yang menyempitkan lagi ruang untuk mengurangkan defisit perbelanjaan dan hutang negara.
Selain itu, ada juga penganalisis yang menyatakan pemilihan UMNO pada 5 Oktober ini, rasuah, kronisme dan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan turut mempengaruhi penurunan penarafan ini.
Apakah Malaysia Akan Jadi Seperti Greece dan Sepanyol?
Apabila soalan ditanya, pendapat rakyat kita terus terbahagi kepada dua, bergantung kepada parti mana yang disokong. Saya ingin mengingatkan soal kesihatan ekonomi negara adalah tanggungjawab kita bersama dan untuk itu kita tidak perlu mempolitikkan isu hutang negara ini.
Kembali kepada soal ini, jika kita melihat kepada pengalaman dua negara di atas, memang mereka menghadapi krisis kewangan kerana hutang. Greece misalnya, pada tahun 2012 mempunyai pendapatan per kapita sebanyak USD$27,875 (atau RM84,112), iaitu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Tetapi ekonomi Greece hancur disebabkan masalah hutang kerana semua bantuan kerajaan kepada rakyatnya adalah melalui pinjaman dari bank Jerman dan Perancis. Apabila mereka menghadapi masalah membayar hutang, Jerman dan Perancis mendesak Greece menaikkan kadar bunga, mengurangkan perbelanjaan awam dan mengecilkan pekerja sektor awam. Tindakan kerajaan Greece ini menyebabkan rakyat menderita, lalu berlakulah rusuhan di negara tersebut.
Sepanyol, sebuah negara maju dengan pendapatan per kapita pada tahun 2011 sebanyak USD$32,900 (atau RM100,098) juga begitu. Negara ini terlibat dengan hutang luar yang banyak kerana berlakunya spekulasi dalam pertumbuhan sektor hartanah. Akibatnya harga hartanah melambung tinggi dan ramai rakyat Sepanyol telah berhutang untuk melabur dalam sektor tersebut. Apabila rakyat gagal membayar hutang, maka sektor perbankannya runtuh menyebabkan kerajaan Sepanyol terpaksa berhutang untuk menghidupkan kembalinya bank-banknya yang hendak bankrap. Nisbah hutang kerajaan Sepanyol berbanding KDNK adalah 55.2% pada tahun 2009, tetapi telah melonjak naik dengan cepat menjadi 90.5% pada akhir tahun 2013.
Tetapi apabila dikaitkan dengan hutang kerajaan Malaysia yang banyak dan kemungkinan akan menjadi seperti dua negara Eropah di atas, saya ‘terpegun’ apabila terdapat juga pakar ekonomi yang menyatakan Malaysia tidak akan menjadi seperti Greece. Ini kerana walapun hutang negara adalah 53.1% daripada KDNK, tetapi 88.6% hutang negara adalah dari sumber dalaman dengan 11.4% sahaja pinjaman dari luar sedangkan hutang luar Greece adalah 93.2%. Greece juga adalah sebahagian dari Eurozone, dan oleh itu tidak mempunyai kawalan ke atas pengeluaran wangnya sendiri sedangkan Malaysia berdikari kerana sumber wangnya dikawal oleh Bank Negara. Betulkah begitu?
Bagi mendapat gambarannya, mari kita lihat hutang negara kita. Mengikut Laporan Ekonomi dan Beritasemasa.com, hutang negara pada tahun 1970 ialah RM3.5 bilion, 2001 RM121.4 bilion, 2005 RM189 bilion, 2007 RM247 bilion, 2009 RM348.6 bilion, 2010 RM390.356 bilion, 2011 RM438.467, suku kedua 2012 RM476.68 bilion, suku ketiga 2012 RM484.621, suku keempat 2012 RM505.7 bilion, dan suku pertama 2013 RM547.79 bilion menjadikan purata hutang rakyat Malaysia dalam lingkungan RM17,500 seorang.
Peningkatan kadar hutang ini sangat merisaukan. Namun, terdapat pakar ekonomi yang menyatakan kita tidak perlu risau dengan keadaan ekonomi negara kerana ia dalam keadaan yang cukup terkawal.
Kata pakar ekonomi ini, memang benar kerajaan mempunyai 50% hutang dari KDNK negara, tetapi hutang tersebut adalah untuk pembangunan sesioekonomi bagi menjaga kesejahteraan serta kesihatan rakyat. Katanya lagi, “prinsip ekonomi memerlukan kerajaan memainkan peranan jentera penyelamat.” Beliau menyatakan lagi “ekonomi Malaysia begitu resilient dan Malaysia tidak merasai ketenatan yang teruk, sungguhpun pertumbuhan ekonomi terrjejas.” Beliau juga menyatakan pendapatan per kapita negara adalah AS10,075, suatu peningkatan yang cemerlang.
Sebagai reaksi kepada apa yang dikatakan di atas, saya ingin timbulkan beberapa pertanyaan. Apakah untuk membangun, negara memerlukan pinjaman yang banyak? Sejauh manakah keberkesanan pinjaman tersebut dalam melonjakkan ekonomi negara? Hujah apakah yang boleh kita gunakan untuk menyatakan hutang yang banyak itu boleh menjana ekonomi negara? Saya timbulkan pertanyaan ini kerana bimbang sekiranya Malaysia sekali lagi terperangkap dalam krisis kewangan seperti yang berlaku pada tahun 1997-1998.
Betul, jumlah pendapatan per kapita kita meningkat, tetapi apakah kenaikan per kapita ini memberi kesan positif kepada kehidupan petani, nelayan dan pekerja kelas bawahan serta anak muda yang masih terkial-kial mencari peluang pekerjaan dan kehidupan? Inilah yang menjadi keperihatinan saya. Betul, saya bukan pakar ekonomi, tetapi dalam ilmu sains sosial, ia mengajar saya hutang yang banyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Lihat sahaja kepada kes-kes gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Tidakkah ia ada kaitan langsung dengan masalah ekonomi?
Atas hujah di atas, saya fikir sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas untuk mengelakkan satu lagi krisis kewangan berlaku. Kerajaan perlu peka kepada hutang negara kerana ia adalah bom jangka yang sedang menunggu waktunya untuk meletup. Ini bukan sekadar persepsi. Dua bulan lepas saya boleh menukar matawang ringgit dengan kadar USD1=RM2.98, tetapi pada hari ini ia telah menjadi USD1=RM3.32. Saya boleh katakan jika keadaan ini berterusan, hasrat untuk mencapai negara maju pada tahun 2020 hanyalah ilusi.
Langkah Mengatasi Masalah Hutang Negara
Hutang negara di atas adalah membimbangkan. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera—sama ada popular atau sebaliknya--untuk mengatasi masalah hutang ini. Pembentangan bajet pada 25 Oktober ini adalah peluang terbaik kerajaan untuk membetulkan kembali dasar kewangan dan fiskal negara.
Pertama, kerajaan perlu menilai semula janji menaikkan BR1M, mengkaji semula projek-projek mega yang lewat siap, mengatasi salahlaku urustadbir kewangan, menghapuskan ketirisan dan membanteras pemberian projek secara runding terus yang tidak menguntungkan negara. Projek gagal seperti PKFZ, bail-out kepada Perwaja, MAS yang melibatkan billion-billion ringgit perlu dilihat semula bagi mengelakkan kerajaan menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang yang tidak perlu. Ini kerana kebocoran dan ketirisan ini menyumbang kepada kenaikan pinjaman dan hutang kerajaan setiap tahun.
Kedua, kerajaan perlu melihat semula keperluan memperkenalkan GST, biarpun tidak popular, tapi jika itu cara terbaik untuk kesihatan ekonomi negara, yakinkanlah rakyat bahawa ini adalah dasar percukaian yang baik. Saya faham rakyat akan membantah GST kerana yang muncul di kepala mereka ialah kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan, tetapi yakinlah rakyat boleh menerimanya jika penerangan yang jelas dapat diberikan kepada mereka.
Ketiga, kerajaan perlu mencari langkah untuk meningkatkan pendapatan negara. Menteri tidak boleh duduk diam. Untuk pertanian misalnya, cari jalan bagaimana hendak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar satu produk pertanian terhebat di dunia. MARDI, FAMA dan lain-lain agensi di bawah Kementerian Pertanian perlu memikirkan hal ini, tidak cuup sekadar mengadakan pameran MAHA sahaja setiap tahun tetapi tidak ada peningkatan dari segi produk pertanian.
Keempat, kerajaan perlu menghentikan budaya ‘denial syndrome’ dan bersikap jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mengajar rakyat menilai ekonomi negara dari keupayaan pemberian BRIM dan tingginya nilai saham di BSKL sahaja sedangkan realitinya ekonomi negara dalam keadaan yang lemas. Kesihatan ekonomi negara perlu dilihat dari hutang negara yang kini mendekati tahap maksimum 55% daripada KDNK, defisit belanjawan dan juga nilai mata wang Ringgit yang semakin jatuh.
Jangan bawa lagi negara kita ke arah kekacauan krisis kewangan lagi. Bawalah negara ini ke arah negara berpendapatan tinggi, bukannya berhutang tinggi.
|

Cabar Ketua Wanita Umno: Halimah Mahu Tunggu Dan Lihat
KOTA TINGGI: Bekas Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Mohd Sadique meneruskan tanda tanya sama ada beliau akan menandingi jawatan tertinggi sayap itu apabila berkata: "Kita tunggu dan lihat, masa masih panjang."
Beliau demikian apabila ditanya pemberita apakah tuan punya badan mahu bertanding atau tidak, ketika ditemui pada rumah terbuka beliau sempena Aidilfitri di Dewan Serba guna Taman Kota Jaya di sini.
Anggota Parlimen Tenggara yang enggan memberi jawapan sahih itu, turut menegaskan yang penting sekarang ialah usaha memperkukuhkan parti bukan soal siapa bertanding.
"Kita perlu tentukan parti belajar daripada pilihan raya umum (PRU) yang lepas dan siap sedia untuk hadapi PRU14," katanya.
Halimah yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah antara yang disebut-sebut bakal mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi meneraju Wanita Umno pada pemilihan yang dijadualkan Oktober ini. Pendaftaran calon bagi kepimpinan sayap itu dijadualkan pada 21 September.
Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini dilapor menyatakan minat untuk mencabar Shahrizat.
Mengulas lanjut, Halimah berkata beliau mengharapkan pemilihan parti kali ini akan dijadikan platform untuk menyatukan anggota Umno. -BERNAMA
-mStar
|
PENDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada keperluan untuk Ahli Parlimen mengisytiharkan harta kerana mereka tidak mempunyai kuasa eksekutif.
Menurutnya, Ahli Parlimen boleh menjalankan aktiviti perniagaan selagi ia tidak melibatkan sebarang konflik kepentingan.
"Hanya anggota pentadbiran diminta untuk mengisytiharkan aset mereka supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuat pemeriksaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Peneroka Kebangsaan di Felda Sungai Tiang dekat sini Jumaat.
Pada Rabu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Datuk Johan Jaaffar mencadangkan semua ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) perlu mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen terhadap perang melawan rasuah. -mStar
P/s: Mungkin kenyataan Najib ini melegakan Ahli Parlimen BN...
|

Perkembangan operasi pembedahan R Sri Sanjeevan doktor berjaya mengeluarkan peluru dari tulang rusuk mangsa dan peluru tersebut kini dibawa ke makmal forensik di Cheras bagi ujian dijalankan.
Ahli keluarga mangsa diberitahu Bukit Aman mengambil alih kes tersebut kini.
Bapa Sanjeevan, P Ramakrishnan berkata pembedahan berjalan dengan lancar dan doktor memaklumkan Sanjeevan akan memberi tindak balas respond dalam tempoh 48 jam.
Sementara itu penasihat Mywatch S Gobi memberitahu beliau akan ke Cheras bagi memastikan peluru itu berada di makmal forensik.
Awal tadi, ahli keluarga Pengerusi Mywatch pada ketika ini dilaporkan tidak bersependapat dengan polis tentang hak untuk menyimpan peluru berada dalam badan Sanjeevan.
Sanjeevan pada ketika ini menjalani operasi pembedahan bermula dari jam 2.30 petang tadi bagi mengeluarkan darah beku dari hatinya dan peluru dari tulang rusuknya.
Ramakrishnan berkata empat anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Jempol dan Seremban tiba tengah hari tadi untuk mengambil peluru bagi dijadikan bahan bukti namun ditolak oleh bapanya.
"Saya menahan mereka dan memberitahu mereka tidak boleh memasuki dalam bilik pembedahan," kata Ramakrishnan.
Beliau kemudiannya berjumpa dengan Pengarah Hospital Serdang untuk membuat permohonan melihat peluru sebaik saja selesai pembedahan.
"Pengarah itu sangat baik hati tapi beliau memberitahu kami polis negeri sembilan telah pun membuat permohonan melalui surat untuk mendapatkan peluru," katanya.
Ramakrishnan yang merasa bimbang akan nyawa anaknya itu menjelaskan mengapa beliau mahu Bukit Aman mengambil alih kes ini kerana mengesyaki polis Negeri Sembilan adalah dalang disebalik kes tembakan.
"Kita akan buat apa saja yang kita mampu untuk menghalang mereka dari mengambil peluru untuk dijadikan sebagai bukti," kata bapanya.
Sanjeevan telah ditembak oleh dua suspek yang menunggang motosikal ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat di Bahau, Negeri Sembilan 27 Julai lalu.
Tembakan mengenai bahunya dan tulang rusuknya.
Menurut bapa Sanjeevan, sebelum insiden tersebut mangsa dikatakan menerima panggilan dari seseorang.
"Saya terdengar dia menjerit ketika bercakap dalam telefon, Sanjeevan ada menyebut tentang maklumat yang telah bocor dan akan memberitahu wartawan. Sanjeevan juga menyebut nama pegawai polis dari Negeri Sembilan," kata ayahnya.
"Setiap bukti harus di lakukan Bukit Aman termasuk siasatan kes ini," kata bapanya lagi.
Tambahnya nama pegawai polis yang disebut Sanjeevan ketika perbuatan telefon juga dilihat pernah melawat mangsa di hospital.
"Dia datang antara jam 10 malam dan 12.30 pagi. Pegawai itu datang melawat Sanjeevan tiga kali pada minggu lepas," kata Ramakrishnan.
Ramakrishnan berkata, dia tiada disitu ketika pegawai itu datang melawat kerana mereka tidak dibenarkan bermalam di hospital.
"Kami mengikut peraturan hospital. Kenapa dia tidak boleh mengikut perkara sama. Saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena,"katanya.
Difahami pegawai polis tersebut merupakan anggota polis yang terlibat dalam siasatan kes itu.
Dua hari sebelum ini. Ramakrishnan membuat laporan polis meminta siasatan kes tembak anaknya dijalankan Bukit Aman.
Dia ditemani oleh penasihat Mywatch S.Gobi Krishnan, hadir di balai polis Travers, Kuala Lumpur.
Mereka juga menuntut untuk mengatakan pertemuan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.
Beberapa jam sebelum Sanjeevan ditembak, beliau menulis di laman Twitter mengenai seorang polis yang disyaki terlibat dalam sindiket telah menggut beliau dan keluarganya.
Sanjeevan juga dikatakan ada berjumpa dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengadu kepada pemimpin itu mahu mendedahkan anggota polis yang turut terlibat dalam kegiatan sindiket dadah.
Sanjeevan mendakwa menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali dan memberi amaran kepada mangsa. - 15 Ogos, 2013.
-TheMalaysianInsider
|

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata anak lelakinya, Muhammad Nedim, bertugas dengan beliau untuk berkhidmat kepada golongan muda di kawasan Parlimen Padang Rengas di Perak.
Beliau juga berkata anaknya tidak dibayar gaji oleh kerajaan meskipun disenarai sebagai pegawai khas di bawah kementerian berkenaan.
"Beliau (Muhammad Nedim) melakukan beberapa tugas khas untuk saya dan boleh juga digelar sebagai pegawai khas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan the Red Carpet, muzium lilin interaktif pertama Malaysia di Seksyen 7 i-City di sini.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika ditanya berkaitan status anaknya di bawah kementerian yang diterajui beliau.
Muhammad Nedim diminta menganjurkan program bagi membolehkan Mohamed Nazri berinteraksi dengan golongan belia di kawasan Parlimen Padang Rengas kerana beliau tidak memiliki akaun Facebook dan Twitter.
"Anak saya bukan ahli politik dan beliau tidak terlibat dalam sebarang urusan di kementerian saya. Saya meminta beliau melakukan tugasan untuk saya di kawasan Parlimen saya," katanya.
Mohamed Nazri berkata beliau berupaya meraih 6,000 undi daripada pengundi muda yang pertama kali membuang undi dan memperoleh majoriti lebih besar pada pilihan raya umum lepas kerana mampu berinteraksi dengan golongan muda menerusi program yang dianjur anaknya itu.
Malah, katanya, Muhammad Nedim sudah bekerja dengan beliau sejak pilihan raya umum pada 2008.- Bernama
-sinarharian
P/s: Tak bergaji rupanya anak Nazri ni...Bagusnya....anak bapak...Senangnya kalau bapak jadi menteri...semua boleh jadi...Kah kah kah
|
SUNGAI PETANI – Sambutan Aidilfitri kali ini hambar bagi seorang ibu muda walaupun baru melahirkan bayi perempuan empat bulan lalu. Harapan mahu mengecap kebahagiaan setelah berjaya membina mahligai bersama lelaki dicintai hanya tinggal harapan semata-mata.
Menceritakan masalah dihadapinya, Azlina (bukan nama sebenar), 18, sanggup mengorbankan masa remaja untuk mendirikan rumah tangga walaupun pertemuan dengan bakal suami pada mulanya diatur oleh keluarga kedua-dua pihak.
Menurut Azlina, sebelum disatukan, mertuanya sering ke kampungnya di Tawar, Kedah kerana menguruskan proses pajak pokok getah berdekatan rumahnya.
Kemesraan yang terjalin antara bapa mertua yang dikenali sebagai Ahmad dengan kedua ibu bapa akhirnya menyebabkan Ahmad tertarik untuk menjadikan Azlina sebagai menantu.
Konflik tercetus
Azlina berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan lamaran berkenaan dan akhirnya proses perbincangan diteruskan ke peringkat merisik dan bertunang. Dengan hanya berkenalan selama tempoh empat bulan, kedua-dua keluarga mengambil keputusan untuk menikahkan mereka.
Difahamkan, bagaimanapun, konflik tercetus apabila wang hantaran diletakkan kedua ibu bapa Azlina mendapat tentangan daripada pihak lelaki.
Disebabkan isu terbabit, keluarga pihak lelaki naik marah menyebabkan Ahmad membawa pulang Azlina ke kampungnya di Jeniang, Kedah dengan kerelaan Azlina.
Azlina yang sudi untuk berkahwin dengan bakal suami, Kamal, 26, (bukan nama sebenar) juga tidak bersetuju dengan keputusan keluarga yang meletakkan wang hantaran sebanyak RM7,824 kerana membebankan pihak lelaki.
Disebabkan mabuk cinta, Azlina kemudian bersetuju cadangan Ahmad supaya mereka dibawa ke sempadan Siam iaitu di Betong, Thailand untuk dinikahkan tanpa wali bapa yang berada di Ladang Ketemba, Tawar.
Menurutnya, bakal suami nampak sempurna, mendengar kata orang tua dan bertanggungjawab, tetapi setelah diijabkabulkan, hidup mereka seperti menempah neraka.
Tinggal asing dengan mertua
Kamal dan Azlina dibenarkan tinggal di sebuah rumah kecil belakang rumah Ahmad bagi memberi peluang kedua pengantin baru itu menjalani hidup berdikari sebagai pasangan suami isteri.
Selepas itu, bermulalah episod duka dalam hidup Azlina yang kemudiannya dikurniakan seorang bayi pada Mac 2013.
“Hari demi hari, saya mulai kenal sikap Kamal sebenar. Sejak mula, dia sudah meminta wang dengan saya.
“Sekiranya tidak diberi, dia mula mengamuk dan memukul hingga saya tidak tahan. Apa lebih memalukan, dia mula ketagih air ketum menyebabkan keluarga terabai,” katanya.
Azlina berkata, Kamal ada menyatakan hasrat berhenti dari perbuatannya itu setelah mengetahui Azlina mengandung, tetapi, ia sekadar angan-angan kosong sahaja.
“Dia tetap ketagih minuman itu sehinggalah saya melahirkan anak. Bagaimanapun, dia masih dengan dunianya sendiri tanpa mempedulikan makan minum saya dan anak kami,” katanya.
Azlina berkata, sejak berpindah ke rumah belakang, kedua ibu bapa Kamal sudah tidak lagi mencampuri urusan mereka dan kesemuanya ditanggung sendiri.
“Cuma ada sesekali saya mengadu kepada mereka sekiranya tidak tahan dengan perangai panas baran dan suka memukul suami, namun dengan sikap Kamal yang sebegitu, mereka juga tidak mahu ambil kisah langsung kisah keluarga kami,” katanya.
Menurutnya, akibat tidak tahan sering dipukul dan diherdik, dia mengambil keputusan pulang ke kampung halaman mendapatkan bantuan kedua ibu bapa yang telah lama ditinggalkan.
Katanya, mujur kedua ibu bapa kandung memaafkan dan masih mengambil berat tentang dirinya selain bertekad mahu berpisah dengan suaminya. Bagi menjalankan proses perceraian, Azlina mendapatkan khidmat nasihat Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.
Perlu pengesahan dokumen kahwin sebelum cerai
Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah, Zaiferi Zainul Abidin berkata, pasangan tersebut perlu ke Mahkamah Syariah untuk proses tersebut.
“Mereka perlu mendapatkan surat akuan nikah terlebih dahulu untuk mendaftarkan nikah sebelum melakukan proses perceraian di Malaysia.
“Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan surat pengesahan dari Kedutaan Malaysia di Thailand mengatakan pernah berlaku pernikahan di Betong serta beberapa dokumen sokongan berkaitan diperlukan,” katanya.
Menurut Zaiferi, segala dokumen berkenaan perlu dihantar ke Pejabat Agama Daerah dan Mahkamah Syariah.
“Perbuatan bernikah di sempadan amat mengganggu institusi kekeluargaan Islam kerana seandainya berlaku konflik rumah tangga, pasangan sukar untuk mendapatkan kaunseling atau pun perkara berkaitan tuntutan faraid atau harta sepencarian.
“Dia juga sudah melahirkan anak, ia semakin sukar dan bagaimana untuk bercerai di Malaysia sedangkan pernikahan pun tiada dalam rekod (tidak didaftarkan),” katanya.
Beliau bagaimanapun menasihati remaja atau ibu bapa supaya berfikir secara rasional sebelum melakukan tindakan keterlaluan yang boleh membawa padah.
Katanya, kebanyakan kes seumpama ini telah mengganggu institusi kekeluargaan dan lebih sukar sekiranya pasangan telah lama berkahwin dan mempunyai anak hasil perkahwinan di sempadan. -sinarharian
|
ZAINAB menunjukkan tempat Amirul ditembak selepas bersahur.
Pasir Puteh: “Saya terdengar lelaki itu
menceritakan kepada rakannya ada orang diupah untuk menembaknya dan
beberapa minit kemudian dia ditembak di depan mata saya.”
Itu kata Norhadiyana Zakaria, 25, yang menyaksikan seorang penoreh
getah, Amirul Tajo Nasir, 40, mati ditembak enam das selepas bersahur
di kedai makan di Kampung Gong Mengkeleh di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, Norhadiyana yang bekerja di
kedai makan berkenaan turut terkena satu das tembakan di lutut kanan dan
kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang
Kerian.
Amirul yang baru selesai bersahur bersama dua rakannya di
kedai itu mati selepas ditembak di dada, perut dan punggung oleh
seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal.
Norhadiayana
berkata, dia memang mengenali mangsa yang menjadi pelanggan tetap gerai
makan itu yang dibuka awal bulan lalu dan dimiliki ibu angkatnya,
Zainab Derani, 44.
|

Kuala Lumpur: Dia bukan sekadar menendang dan memijak isterinya selama lebih 20 minit, malah mengugut untuk menyihir dan membunuh wanita itu dalam kejadian di rumah mereka di Sungai Besi, di sini, kelmarin.
Itu amukan seorang lelaki berusia lewat 30-an yang berang apabila isterinya berusia 37 tahun enggan menyerahkan wang RM5,000 kepadanya yang mahu dijadikan belanja perkahwinan dengan wanita lain dalam kejadian jam 6 pagi.
Tidak cukup dengan itu, anak mereka berusia lapan tahun turut dipukul lelaki terbabit kerana kemahuannya tidak dipenuhi.
Tidak tahan dengan tindakan kejam suaminya itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Menurut sumber, lelaki terbabit yang juga penjawat awam dilapor merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan seorang wanita selepas Aidilfitri ini namun dia tidak mempunyai wang cukup sebelum meminta daripada isterinya.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, sumber itu berkata, selepas selesai bersahur jam 6 pagi, suspek meminta wang daripada isterinya.
“Wanita itu memberitahu suspek dia tiada wang apatah lagi RM5,000 seperti diminta,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek kemudian memaki hamun isterinya itu sebelum mendakwa mangsa menyusahkannya kerana menyebabkannya tidak dapat berkahwin lagi.
“Ketika dimaki hamun, mangsa mendiamkan diri namun suspek gagal mengawal kemarahannya sebelum memukul wanita berkenaan.
“Mangsa bukan sekadar ditumbuk, dia juga disepak dan dipijak. Perbuatan itu dilakukannya lebih 20 minit,” katanya.
Katanya, suspek yang gagal mengawal diri turut memukul anak mereka berusia lapan tahun.
Menurutnya, suspek mengugut untuk membunuh isterinya itu sekiranya dia gagal menyediakan wang berkenaan.
“Suspek juga mendakwa akan menggunakan cara halus ataupun menyihir isterinya itu jika dia gagal berkahwin dengan kekasihnya itu,” katanya memberitahu lelaki itu hanya berhenti memukul mangsa apabila abang kandung wanita terbabit datang ke rumah.
Katanya, suspek meninggalkan rumahnya sebelum mangsa membuat laporan polis.
Dalam laporannya, mangsa mendakwa, kejadian itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya dia dan anaknya sering dipukul suaminya itu.
Katanya, dia tidak membuat laporan polis sebelum ini kerana terlalu menyayangi lelaki itu selain mahu memberikan peluang kepada suaminya untuk berubah.
Difahamkan, mangsa cedera di seluruh badan dan kepala dan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah hospital berhampiran.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Arasa mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.- hmetro
P/s: Suami bangang!!!
|
Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Empat lelaki termasuk seorang pegawai Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis selepas menembak seekor
kerbau dipercayai untuk dijual menjelang Aidilfitri dalam kejadian di
Bukit Tagar, Hulu Selangor, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, empat suspek terbabit dikatakan
leka memunggah daging kerbau yang sudah siap dilapah ke dalam dua
kereta di kawasan hutan itu.
“Perbuatan itu terbongkar selepas penduduk kampung mendengar bunyi
tembakan, pantas memaklumkan kepada pemilik ternakan yang kemudian
melaporkannya kepada polis.
Difahamkan, lokasi itu memang dijadikan tempat mengumpul
ternakan oleh pemiliknya hampir setiap hari. Tindakan empat suspek itu
dipercayai untuk mengaut untung mudah dengan menjual daging kerbau di
pasaran menjelang Aidilfitri tidak lama lagi berikutan permintaan tinggi
umat Islam ketika itu.
Ditahan lepas kejadian
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahaya
Affandi, berkata keempat-empat suspek berusia 20 hingga 30-an
termasuk pegawai SPRM berpangkat Penolong Pesuruhjaya itu ditangkap
beberapa jam selepas kejadian.
“Polis merampas tiga senapang, sebilah parang dan dua kereta
yang digunakan untuk kegiatan itu dan merakam keterangan pemilik
kerbau dan beberapa individu bagi membantu siasatan terutama motif
empat suspek bertindak sedemikian. Semua suspek ditahan reman,”
katanya.
Tidak berkompromi
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Pengurusan dan
Profesionalisme SPRM, Datuk Zakaria Jaafar, berkata pihaknya tidak akan
berkompromi dengan tingkah laku pegawai yang boleh menjejaskan reputasi
suruhanjaya itu, sama ada ketika bertugas mahupun di luar waktu
bertugas.
“SPRM juga memandang serius sebarang bentuk tindakan dan
perbuatan mana-mana pegawai yang menyalahi peraturan dan undang-undang
negara," katanya dalam satu kenyataan semalam, sambil menambah pihaknya
sudah mengambil tindakan secara dalaman terhadap pegawai berkenaan.-BeritaHarian
P/s: Gaji tak cukup....So, buat part time le...Kah kah kah...
|