

IPOH – Seorang ibu tunggal merayu agar anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas didapati hilang sejak 4 Ogos lalu.
Seri Wangi Mokhtar, 42, berharap anaknya, Seri Najwa Ferda Hasan, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar akan kembali ke rumah dalam keadaan selamat sebelum Aidilfitri ini.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, anak keduanya seorang yang sangat baik serta rapat dengan adik beradiknya yang lain.
Beliau yang tinggal di Rancangan Perumahan Tambahan (RPT) Tualang Sekah memberitahu anaknya tidak pulang selepas keluar dari rumah mereka kira-kira jam 6.45 pagi Khamis lalu.
“Selepas kami bersahur dia (Seri Najwa Ferda) bersiap-siap untuk ke sekolah dan pada hari itu dia memakai baju T berwarna biru dan seluar sukan.
“Selain itu, komputer riba, jalur lebar mudah alih (broadband) dan telefon bimbitnya turut dibawa bersama.
“Namun sehingga jam 5 petang (hari yang sama) saya mula rasa tidak sedap hati kerana anak saya masih tidak pulang ke rumah.
“Lagipun beberapa hari sebelum kehilangannya dia memang tidak ke sekolah kerana mempunyai masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Kerana terlalu bimbang, Seri Wangi cuba menghubungi telefon bimbit anaknya berkali-kali namun tidak berjawab.
“Kemudian saya menelefon rakan-rakan sekolahnya dan mendapati dia tidak hadir ke sekolah pada hari itu.
“Bagaimanapun, saya masih menaruh harapan dan menunggunya pulang tetapi selepas berbuka puasa saya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kampar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Seri Wangi berkata, ada saksi yang pernah melihat anaknya menaiki sebuah skuter berwarna merah pada pagi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superin-tendan Abdul Aziz Salleh mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes remaja perempuan hilang pada Khamis lalu.
Beliau berkata, polis giat menjalankan siasatan dari semasa ke semasa bagi menjejaki remaja perempuan berkenaan.
“Sehubungan itu, bagi sesiapa yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-465 2222,” katanya ketika dihubungi semalam. -SH

SHAH ALAM, 9 OGOS: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof enggan ditemuramah peguambela, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sama pada sesi temubual kes fitnah liwat II.
Anwar melalui laman Twitternya sebentar tadi memetik peguam Karpal Singh bahawa "tertuduh boleh hadir semasa sesi temuramah dengan saksi- saksi pembelaan".
Walau bagaimanapun menurut Anwar, Timbalan Pendakwaraya yang diketuai oleh Datuk Yusof Zainal Abidin akan merujuk kepada hakim mengenai perkara tersebut.
Bercakap kepada media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Karpal menegaskan bahawa tertuduh berhak dan akan hadir ketika pasukan peguambela menemuramah saksi- saksi.
Perkara tersebut turut disahkan Anwar yang menyatakan bahawa beliau akan menghadirkan diri pada sesi temuramah itu.
Hakim Zabidin Mohd Diah pada sebelah pagi mengumumkan bahawa pendakwaraya perlu menyediakan saksi-saksi yang telah ditawarkan kepada pasukan peguambela untuk ditemuramah.
Namun perkara yang mengelirukan apabila arahan tersebut turut menyatakan bahawa tindakan menemuramah saksi-saksi itu bergantung kepada kerelaan individu.
Tv Selangor kini masih cuba menghubungi peguam Sankara Nair untuk mendapatkan penjelasan lanjut. -tvsnews

KULIM - Sepasang kekasih masing-masing berusia 20 tahun dicekup kerana melakukan maksiat di dalam kereta oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) di kawasan jirat Cina di Tai San kira-kira jam 12.45 pagi, semalam.
Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, PADK telah menerima maklumat daripada orang awam yang membuat rondaan di kawasan itu kira-kira jam 12.30 pagi.
Apabila sampai di tempat kejadian, PADK mendapati pasangan terlibat masih berada di dalam kereta. Berikutan terkejut dengan kehadiran PADK, pasangan itu cuba melarikan diri tetapi gagal berbuat demikian kerana enjin kereta mereka mati.
Ketika ditahan pasangan perempuan duduk di kerusi pemandu dalam keadaan kerusi direbahkan.
“Dari siasatan awal mendapati, lelaki bekerja sebagai juruwang manakala pasangannya bekerja sementara di satu jabatan kerajaan di Kulim.
“PADK telah dimaklumkan sebelum ini oleh orang ramai tentang aktiviti maksiat yang sering berlaku di kawasan ini. Pihak kami juga turut menemui sekotak kondom dan beberapa lagi yang telah terpakai di luar kereta,” katanya.
Menurutnya, PADK menghadapi kesukaran untuk membawa pasangan perempuan ke balai apabila dia enggan keluar dari kereta.
“Bagaimanapun setelah dipujuk teman lelakinya dan beberapa penguat kuasa, dia bersetuju dan dibawa masuk ke van.
“Mereka akan disiasat di bawah seksyen 9 (1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1987. Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, pasangan perempuan ditahan di Balai Polis Lunas manakala teman lelakinya ditahan di Balai Polis Kulim.
“Mereka diarahkan membayar wang jaminan diri RM1,000 setiap seorang dan hadir ke mahkamah untuk dibicarakan pada tarikh yang akan ditetapkan.
“Sekiranya ingkar berbuat demikian, mahkamah tidak ada pilihan lain selain mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan itu,” katanya.
Azmi menasihatkan golongan remaja supaya tidak melakukan sebarang aktiviti maksiat sepanjang bulan Ramadan.
“Bulan ini adalah bulan untuk kita menambah amalan selain memohon keampunan dari Allah terhadap dosa yang lalu. Di bulan ini juga Allah membuka pintu rezeki dan kemaafannya bagi mereka yang bertaubat.
“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan segala perbuatan maksiat dilakukan kepada PADK. Dengan cara ini ia dapat diatasi,” katanya kepada Sinar Harian.-SH
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi.
Menurut Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor dalam satu kenyataan berkata, daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.
Berikut ulasan beliau berhubung perkara itu.
Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi. Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. Daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.
Maklumat pemilih yang mencipta sejarah ini adalah seperti di bawah:
Apabila semakan dibuat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) mengikut nombor kad pengenalan pemilih maka nama Kg Baru sebenarnya adalah Noraini Binti Abdullah. Persoalannya bagaimana SPR boleh melakukan kesilapan yang begitu memalukan? Bagaimana kecuaian ini boleh berlaku? Apakah Datuk Wan Ahmad Wan Omar masih menganggap isu ini hanyak layak di jawab oleh kerani SPR sahaja?
Maklumat Noraini Binti Abdullah adalah seperti berikut:
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah menjumpai pemilih dari kalangan pengundi hantu di mana nama pemilih ini tidak terdapat dalam rekod JPN. Pengundi hantu ini bernama Farhana Binti Abdul Rashid, no kad pengenalan 840505715012 dan mengundi di Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu.
Maklumat pengundi hantu ini adalah seperti berikut:
Semakan di laman Web JPN menunjukkan identiti Farhana Binti Abdul Rashid tidak wujud.
Persoalannya bagaimana SPR boleh mendaftarkan pengundi hantu sedangkan SPR mempunyai Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang telah dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS (Agency, link-Up System)?
Berdasarkan kepada peristiwa pada 2 Ogos 2011 di mana JPN mengubah status warganegara dalam tempoh satu jam setengah maka mungkin maklumat Farhana Binti Abdul Rashid akan berubah selepas media menyiarkan maklumat pengundi hantu ini.
Dewan Pemuda PAS Malaysia beranggapan mungkin telah berlaku kecuaian manusia yang menyebabkan sebuah kampung dibenarkan mengundi. Salah satu punca kepada masalah ini adalah kerana SPR tidak mempunyai sistem pengesahan pengundi yang benar-benar mantap. Kecuaian manusia tidak dapat dikesan oleh sistem selepas data-data dimasukkan.
Dewan Pemuda PAS juga mendesak kepada SPR agar menggugurkan bayaran RM10 bagi setiap bantahan dan RM200 bagi setiap bantahan yang ditolak. Bantahan ini merupakan salah satu kaedah mengesan kesilapan manusia. Bantahan ini dibenarkan semasa SPR mempamerkan rang daftar pemilih. Apabila bayaran yang dikenakan terlalu mahal maka ia akan membebankan mereka yang mahu membuat bantahan sedangkan bantahan ini bertujuan untuk membersihkan daftar pemilih SPR.
Ini bermaksud pembantah mahu membantu SPR membersihkan data mereka. Membersihkan daftar pemilih adalah tugas hakiki SPR. Malangnya SPR mengenakan bayaran yang tinggi untuk membantunya membersihkan daftar pemilih. Bayaran yang dikenakan oleh SPR kepada pembantah adalah termasuk perkara-perkara yang pelik dalam negara kita. Sepatutnya SPR memberi bayaran tanda penghargaan kepada mereka yang membuat bantahan bukannya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu membantu SPR.
Tempoh bantahan juga terlalu singkat dan tidak munasabah iaitu hanya 5 hari sahaja termasuk 2 hari bercuti. Contohnya dalam rang suku ke-2 tahun 2011, SPR hanya membenarkan bantahan pada 29 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011. Iaitu 5 hari bermula hari Jumaat hingga selasa. Tempoh ini terlalu singkat dan merumitkan. Bayaran dan tempoh yang terlalu singkat ini seolah-olah SPR mempunyai agenda tersembunyi bagi menyukarkan pembantah untuk membuat bantahan.
Dewan Pemuda PAS mendesak agar tempoh bantahan ini dipanjangkan dan bayaran kepada pembantah digugurkan. Ini bagi memudahkan semua pihak membuat pembersihan daftar pemilih di masa akan datang. -harakah
P/s: Alasan standard SPR: Kesilapan teknikal....

Pihak polis Perancis telah Berjaya memperolehi ‘dokumen penting’ dalam siasatan berkaitan rasuah oleh DCN, kompeni gergasi senjata Perancis kepada pegawai Malaysia termasuk Perdana Menteri Najib Razak, untuk mementerai kontrak pembelian.
Najib , 58 yang merupakan Menteri Pertahanan pada ketika itu telah memeterai pembelian tersebut pada tahun 2002. Pada masa yang sama, rakyat juga kesal di atas harganya yang terlalu tinggi. Dikhuatiri juga kapal selam yang serba canggih itu tidak sesuai untuk kawasan perairan Malaysia yang cetek. Kapal-kapal tersebut masih tersadai di perairan Sabah pada masa ini dan jauh sekali digunakan. Ada juga laporan yang menyatakan bahawa kapal-kapal tersebut mengalami kerosakan sistem akibat ketidak stabilan perairan kita.
“Kita berkemungkinan akan dapat maklumat pertama berkaitan penyiasatan polis Perancis yang telah bemula sejak 18 bulan yang lalu pada bulan September. Kita tahu bahawa polis telah menemui maklumat yang penting, “ berdasarkan kenyataan yang diberi Peguam Perancis William Bourdon kepada Asia Sentinel.
Personaliti VIP
William merupakan peguam Perancis yang dilantik oleh Suaram, NGO Malaysia yang telah membuat laporan bagi pihak rakyat terhadap DCN yang telah mendapatkan kontrak dengan cara tidak sah. Di Perancis, memberi rasuah untuk mendapatkan kontrak adalah kesalahan yang serius dan jika sabit kesalahan, DCN berhadapan kemungkinan membayar pampasan kepada rakyat Malaysia akibat meninggikan harga pembelian kepada kerajaan Malaysia.
Peguam Perancis dijadualkan tiba pada hari Khamis , dimana beliau akan berucap di hadapan rakyat Pulau Pinang mengenai perkembangan terbaru kes tersebut. Suaram juga telah memberi gambaran bahawa William juga akan memberi maklumat tentang beberapa lagi identiti yang terlibat di dalam skandal itu.
Pihak penyiasatan Perancis juga dipercayai telah dapat mengenalpasti individu penting yang turut menyertai Razak Baginda dan Altantuya Shaariibuu, ke Macau untuk menghadiri sebahagian dari rundingan kompleks untuk pembelian kapal selam. Altantuya Shaariibu telah menjadi mangsa pembunuhan kejam.
Spekulasi hangat mengatakan bahawa individu itu adalah Najib sendiri. Jika benar, ini akan membuktikan bahawa Najib bebohong mengenai dakwaannya tidak mengenali Altantuya. Selain itu, Altantuya juga dikatakan pernah menjadi kekasihnya sebelum diperkenalkan kepada Razak yang juga merupakan orang kanan dan wakil Najib. Pendedahan tersebut akan membuka ruang untuk perbicaraan semula kes pembunuhan yang menyaksikan dua bekas pengawal peribadi Najib dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuhnya. Namun demikian, perancang pembunuhan tersebut dipercayai masih bebas.
Pesonaliti-personaliti lain yang terlibat dalam skandal besar itu juga telah dikenal pasti dan identiti mereka juga akan didedahkan.
William juga dijangka akan memberi kejutan tentang beberapa pemberian komisyen lain yang baru dibongkar oleh pihak penyiasat. Lebih banyak lagi pembongkaran kotor akan diketahui melibatkan pembelian yang yang meragukan yang telah diketuai oleh Najib sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pembelian peralatan pertahanan.
Tiada ruang untuk bersembunyi bagi Najib
Hanya jika kerajaan Perancis sanggup membantu Najib dalam mendiamkan kes, Najib mungkin sudah tidak boleh bersembunyi lagi. Waktu yang diperlukan untuknya sudah semakin habis.
Bagi pihak yang memahami akan implikasi undang-undang bagi pihak Malaysia dan Perancis, adalah sukar untuk Najib melepaskan diri. Najib tidak boleh mengelak untuk terpaksa memberi penjelasan kepada rakyat bukan sahaja tentang sejauh mana penglibatannya didalam rasuah, sekaligus pembunuhan Altantuya.
Umno juga tidak mampu untuk menyelamatkan Najib. Dengan perbicaraan tentang skandal Scorpene yang bakal beerlangsung di mahkamah pada Ogos atau September, ramai di antara pemimpin parti yang tidak sabar untuk menyaksikan berakhirnya episod pemerintahan Najib yang dipenuhi dengan kegagalan, politik kotor dan rasuah yang berleluasa.
Kini, Najib telah merasakan tekanan yang kuat dan lebih memburukkan, dia telah mengambil beberapa keputusan yang tidak bijak. Terbaru adalah kekerasan terhadap rakyat yang berarak bagi menuntut kebebasan dan ketelusan pilihanraya dua minggu yang lepas. Ini mengurangkan populariti dan kredibiliti Najib yang semakin menjunam di mata rakyat justeru menjadikan Najib sasaran mudah.
Kerajaan BN sepatutnya melapor kepada pihak berkuasa Perancis apabila laporan mengenai skandal besar Scorpene mula-mula diketahui. Namun, oleh kerana pengaruh Najib yang kuat, tiada seorang pun yang berani menuntut supaya siasatan awam dijalankan.
Peliknya, sejumlah 114 juta euro (RM570 juta) yang diberikan kepada firma Perimekar sebagai perjanjian sampingan hanya dianggap sebagai kontrak servis dan penyelengaraan sahaja. Ironinya, umum mengetahui firma yang meragukan itu tiada langsung pengalaman dan rekod dalam industri berteknologi tinggi itu.
Banyak laporan telah diterima dari rakyat Malaysia yang musykil akan kos sebenar yang telah mencapai lebih dari RM7 bilion. Nyata sekali Najib telah menyembunyikan kos sebenar dari Parlimen dan mengambil keputusan untuk sentiasa memohon bajet tambahan untuk menyelengara kapal-kapal tanpa memberitahu berapakah kos sebenar yang telah ditanggung oleh pembayar cukai. Sehingga kini, polis Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah enggan mengambil tindakan untuk menyiasat kes ini.
Kisah lain disebalik perjanjian kotor
Berbagai soalan bakal diajukan oleh mereka yang akan menghadiri sesi bersama William pada 21,22 dan 23 Julai nanti. Selain dari status kes dan pembongkaran yang telah dibuat, perhatian juga akan tertumpu pada Altantuya, si cantik yang malang, pernah menjadi juru bahasa untuk Baginda.
Apa yang bermain dalam minda rakyat Malaysia adalah apakah sebenarnya hubungan di antara Najib dan Altantuya? Rakyat bukanlah ingin menjaga tepi kain hubungan antara Najib dan Altantuya tetapi ini penting untuk mengetahui sejauh mana PM yang merupakan DPM pada ketika itu sanggup berbohong untuk menjadi perdana menteri.
Jika ingin tahu dengan lebih lanjut lagi, anda mesti datang ke majlis makan malam untuk mendengar dan bertanya soalan, Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel memberitahu Malaysian Chronicle. - Malaysia Chronicle

SENAI – Gambar berbentuk kubah berwarna-warni yang ditampal pada bekas kuih raya ternama di sini dilihat mempunyai unsur yang mengelirukan umat Islam.
Seorang guru dari Mersing yang enggan dikenali berkata, gambar pelekat pada bekas kuih raya berperisa tat itu diamatinya memaparkan gambar sebuah gereja di Rusia.
“Saya tergerak untuk berkongsi maklumat kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam khasnya di bulan Ramadan ini.
“Pada mulanya, saya langsung tidak perasan akan perkara ini. Segalanya bermula apabila anak saya yang berumur tiga tahun memberitahu gambar masjid di pelekat bekas kuih raya yang saya beli itu cantik dan mempunyai banyak warna,” katanya dalam kiriman e-mel kepada Sinar Harian, di sini.
Dia terus meneliti gambar masjid berkenaan dan terlihat tanda salib di puncaknya.
Hasil carian di Internet, gambar yang digunakan sebagai pelekat bekas kuih kuih itu adalah gambar gereja St Basil’s Cathedral di Moscow, Rusia yang berusia 120 tahun.
Pada mulanya dia cuba berfikiran positif dengan beranggapan gambar itu mungkin dipilih kerana warna kubahnya yang cantik dan berwarna-warni, bagaimanapun dia berpendapat perkara itu perlu dikekang sebelum menjadi lebih parah.
Sementara itu, Sinar Harian turut menghubungi syarikat pengeluar kuih tat tersebut, KB Sdn Bhd di Sungai Sendok, Muar, untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan.
Pengurus Akaunnya, C Ling Yoe mengakui kesilapan itu dan memberitahu tidak menyedari cetakan pelekat tersebut merupakan gambar sebuah gereja di Rusia kerana kerja-kerja mereka bentuk pelekat dilakukan syarikat pereka cetak yang dilantik.
“Terlebih dahulu, kami mohon maaf. Perkara ini terjadi kerana kami percaya dengan pereka letak dan mereka merupakan syarikat lantikan kami setiap tahun.
“Kami hanya menyedari perkara ini dalam lima hari lalu, hasil aduan pembeli di sebuah pasar raya yang memasarkan produk tersebut. Tindakan segera telah diambil, sejak tiga hari lalu kami kerahkan gantian pelekat baru bagi produk yang diedarkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
Ling Yoe berkata, syarikatnya tidak akan menarik balik produk tersebut dari pasaran kerana masalah yang timbul bukan disebabkan produk, tetapi pelekat yang dilabelkan.
“Kami telah menjalankan perniagaan sejak 30 tahun lalu dan produk tat ini pula sejak lima tahun lalu. Produk kami sememangnya mendapat pengiktirafan sijil halal dan kami bersedia disiasat.
“Kami juga kesal dengan apa yang berlaku dan berharap tiada keraguan oleh orang ramai kerana produk tat kami dipasarkan di seluruh Malaysia,” katanya.
Menurutnya, dianggarkan sebanyak 10,000 kotak kuih tersebut telah diedarkan dengan 24 balang kuih bagi setiap kotak dijual pada harga RM10 hingga RM12.
“Kami sedar keadaan ini akan menjatuhkan jualan produk kami di pasaran. Bagaimanapun apa yang penting, kami telah cuba memperbaiki keadaan,” katanya. -SH

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Rosmah Mansor tidak boleh lari lagi daripada hadir ke mahkamah memberi keterangan dalam kes Fitnah II apabila mereka diperintahkan berbuat demikian hari ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mahkamah ditangguhkan sebentar tadi.
“Kami mengalu-alukan keputusan ini. Kami sememangnya menantikan peluang untuk menemuramah saksi termasuklah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Rosmah.
Saya tak nampak sebarang sebab mereka perlu menangguhkan lagi kes ini atau mencari alasan untuk tidak hadir,” kata Anwar.
Pasukan peguam Anwar setakat ini hanya berjaya menemubual lima daripada 25 saksi yang ditawarkan pendakwa raya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini membenarkan permohonan peguam Anwar untuk memanggil 20 lagi baki saksi ke mahkamah.
Najib dan Rosmah tersenarai di antara 20 saksi tersebut.
Bercakap lanjut, Anwar berkata kehadiran Najib dan Rosmah ke mahkamah adalah sebahagaian daripada tugas mereka kerana mereka sememangnya terlibat dalam kes Fitnah II sejak dari awal lagi.
“Mereka perlu anggap ini sebagai sebahagian daripada tugas mereka.
“Mereka terlibat sejak dari awal lagi seperti yang kita nyatakan dan mereka perlu bersedia untuk berhadapan dengan kita,” kata Anwar.
Najib dilaporkan menemui pengadu, Saiful Bukhari Azlan dua hari sebelum beliau mendakwa kononnya kejadian liwat berlaku.
Dalam kenyataannya kepada media sebelum ini, Najib mendakwa kononnya beliau menemui Saiful untuk membincangkan soal biasiswa. Anehnya, Saiful sendiri adalah pelajar pusat pengajian tinggi yang gagal menamatkan pengajian kerana prestasi akademik yang teruk.
Peguam Anwar, Sankara Nair pula berkata keputusan hakim hari ini menyebabkan saksi-saksi yang tetap enggan ke mahkamah berhadapan tindakan undang-undang jika masih berdegil.
“Mereka tak boleh cakap mereka tak mahu bercakap. Mereka (saksi) perlu hadir kerana ia perintah mahkamah.
“Mereka terikat dengan undang-undang untuk hadir. Jika tidak, kita akan rujuk mereka kepada hakim,” kata Sankara.
Selepas Hakim Zabidin menyampaikan keputusannya tadi, Timbalan Pendakwa Raya memohon perbicaraan ditangguhkan kepada 15 Ogos depan.
Ia dibuat Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dengan persetujuan peguam bela atas alasan Pendakwa Raya memerlukan satu minggu untuk pengurusan mengaturkan temuramah dengan saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan.
Ini kerana, dua daripada saksi-saksi yang diminta, iaitu pembantu rumah kepada pemilik kondominium, Haji Hasanuddin Abdul Hamid kini dilaporkan berada di Indonesia. - KeadilanDaily

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dipanggil ke mahkamah sebagai saksi dalam kes perbicaraan fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain Najib dan Rosmah, mahkamah juga membenarkan pihak pembela, memanggil 18 saksi lain termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada awal perbicaraan yang menyaksikan hari pertama Anwar dipanggil membela diri.
Zabidin dalam keputusannya berkata apabila pendakwa raya menawarkan saksi maka pendakwaraya bertanggungjawab memastikan saksi hadir ke mahkamah.
Hakim juga bersetuju peguam bela berhak menemubual saksi dengan syarat mereka sedia dipanggil.
“Justeru, mahkamah membenarkan kedua-dua permohonan (untuk temu bual 15 saksi) termasuk perdana menteri Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah, bekas IGP (Tan Sri Musa Hassan),” katanya.
Dalam permohonan sebelum ini, Anwar memohon mahkamah mengarahkan pihak pendakwa memastikan kehadiran semua saksi, yang ditawarkan di akhir kes mereka, untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan.
Anwar mahu memanggil Najib, Rosmah, pemilik unit kondominium, Hasanuddin Abd Hamid, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.
Selain 5 saksi itu, Ketua Pembangkang itu juga mahu menemu bual 10 saksi alibi. Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan pada hari ini hingga 26 Ogos. -KeadilanDaily
MUNGKIN ramai pembaca yang sudah mengetahui tentang berita kemunculan matawang syiling baru Malaysia yang diumumkan di laman sesawang rasmi Bank Negara Malaysia baru-baru ini [BNM].
Pembaharuan yang jelas boleh diperhatikan, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling berwarna kuning keemasan dengan nilai RM 0.50 dan RM 0.20 di samping duit syiling bernilai RM0.10 dan RM0.05 bewarna perak dengan cetakan corak yang baru.
Namun begitu, satu perkara yang agak mengejutkan apabila dilihat jelas terdapat cetakan corak "Star of David" yang menyerupai bendera Israel pada duit syiling baru bernilai RM0.10. Rujuk gambar di bawah ini.
Persoalannya, adakah "Star of David" sengaja dicetak pada duit syiling terbaru ini atau ia skadar suatu kebetulan? Apa perlunya lambang bintang enam ini diguna untuk menggantikan lambang bulan dan bintang pada syiling lama?
Jika dilihat, lambang bulan dan bintang pada duit syiling sebelum ini menggambarkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Jika "Star of David" pula digunakan, adakah ia menggambarkan sokongan secara tersirat Malaysia kepada negara Yahudi Israel dan agenda Freemason?
Jelas sekali, inilah hasil nasihat Yahudi APCO yang dibayar RM77 juta setahun oleh kerajaan sebagai penasihat pentadbiran kerajaan Rosmah Mansor. Sumber: milosuam
Panas! Masih ingat dengan blog kontroversi yang menghina Islam beberapa bulan lepas? Yaa.. Blog MakCik Hajjah Sitt Al-Wuzara. Kata-kata serta gambar-gambar dalam blog makcik jahanam tu sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Ketika itu, pasti ramai yang sangat berharap ingin melihat wajah dan identiti sebenar pemilik blog jahanam tersebut.
Kini, wajah dan identiti 'makcik' tersebut sudah terbongkar dan didedahkan hasil usaha team hackers gaysec. Untuk maklumat lanjut, boleh lawati website mereka, iaitu http://www.gaysec.org
Nama sebenar MakCik Hajjah Sitt Al-Wuzara tersebut adalah Nor Arlene Tan Binti Khalid. Seorang perempuan berumur 26 tahun. Dia berdarah kacukan Cina dan Melayu. Kredit: Solihinzubir.com
Di bawah ini adalah petikan daripada blog MakCik Hajjah Sitt alwuzara:
AMPANG: Tukang sapu di Apartmen Astaria, di sini, antara lapan lelaki warga asing yang ditahan dalam serbuan di pangsapuri itu selepas dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang dikerat beberapa bahagian, Rabu lalu.
Difahamkan, polis turut menemui peralatan dipercayai digunakan dalam pembunuhan kejam sebelum mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam sebuah pangsapuri terbiar di tingkat lima Blok Chryssa pangsapuri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata tujuh lelaki warga asing itu ditahan dalam sebuah unit tidak jauh dari tempat mayat wanita dan kanak-kanak terbabit ditemui.
“Hasil siasatan polis dan maklumat awam, polis membuat pemeriksaan ke atas rumah berkenaan sebelum menahan mereka yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan itu. “Semua suspek yang berusia antara 26 dan 38 tahun itu ditahan pada jam 12.25 tengah malam semalam (kelmarin). “Susulan penahanan itu, kita mengesan seorang lagi suspek dan menahannya pada jam 2.20 pagi di sebuah hotel di Jalan Ampang pada hari sama,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin.
Mohd Adnan berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa suspek adalah tukang sapu di pangsapuri berkenaan selain pekerja restoran dan hotel.
Menurutnya, semua suspek yang ditahan itu kini direman hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Selain itu, pemilik pangsapuri terbiar yang menjadi tempat mayat wanita dan kanak-kanak lelaki itu ditemui juga sudah dikenal pasti.
“Polis turut sudah mengambil keterangan pemilik pangsapuri berkenaan yang juga warga tempatan untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca pembunuhan dan hubungan antara mangsa dan semua suspek yang ditahan.
Malah, Mohd Adnan memberitahu polis sudah mengenal pasti mayat wanita terbabit sebagai warga asing namun, masih belum mengetahui hubungan kedua-dua mangsa. -hmetro

KUALA TERENGGANU - Tatkala umat Islam lain bergembira menyambut Ramadan dengan pelbagai juadah berbuka puasa, seorang bapa di Kampung Tuan Chik Haji di sini, hanya mampu termenung mengenang nasib anaknya yang menghidap penyakit ketumbuhan buah pinggang.
Bagi Marzuki Rani, 50, seorang nelayan dengan pendapatan tidak menentu saban bulan, Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak membawa sebarang pengertian apabila seorang daripada 12 anaknya disahkan menghidap penyakit berkenaan, selain memiliki dua kemaluan, atau lebih tepat khunsa.
Anaknya, Muhammad Aidiel Ashraf Mustaqin Marzuki, 5, perlu diberi rawatan rapi walau apapun halangan yang terpaksa dihadapi, termasuk kekangan kewangan.
Marzuki berkata, penyakit anak kesebelasnya itu mula dikesan apabila darah keluar ketika Muhammad Aidiel membuang air kecil sekitar Oktober tahun lepas.
“Isteri saya, Rokiah Nasir, 41, mendapati kencing anak kami berdarah, lalu membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui semalam.
Marzuki berkata, mulai saat itu, dia sering kesuntukan duit kerana terpaksa berulang alik merawat anaknya di HSNZ dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Sepanjang tempoh pembedahan dan menjalani rawatan susulan anak di HKL pada 20 November lepas, saya terpaksa mencari duit sehingga RM12,000 untuk makan minum dan tambang,” katanya.
Bedah enam minggu lagi
Menurutnya, Muhammad Aidiel kini mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dua kali seminggu, iaitu pada Ahad dan Khamis, untuk memasukkan ubat kemoterapi bagi menghilang rasa sakit dan tidak bermaya anaknya itu.
“Setiap kali isteri saya pergi di HUSM Kubang Kerian, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM300 dan RM500 untuk kemoterapi dan perbelanjaan makan minum serta tambang perjalanan.
“Saya cuma nelayan, mana nak dapatkan duit sebanyak itu setiap kali pergi mendapatkan rawatan di sana,” katanya.
Marzuki juga berkata, memandangkan Muhammad Aidiel khunsa, seorang doktor mengesyorkan anaknya itu menjalani pembedahan membuang kemaluan perempuan dan ia dijangka dilakukan dalam tempoh enam minggu lagi.
Bagaimanapun, dia tidak tahu di mana pembedahan itu akan dilakukan kerana belum dimaklumkan doktor.
Selain itu, Muhammad Aidiel berdepan masalah mata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyakit ketumbuhan buah pinggang yang dihidapnya.
Marzuki berkata, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
“Walaupun dapat bantuan daripada JKM, ia masih belum cukup untuk saya merawat anak. Saya cuba juga minta bantuan daripada sumber lain, namun sehingga kini masih hampa,” katanya sayu.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Marzuki menerusi talian 019-9812337. BERNAMA
-SH
PAS S'gor dakwa tangkap sindiket edar IC
PAS Selangor mendakwa pernah tersua dengan satu kumpulan sindiket yang didakwa mengedar kad pengenalan kepada warga asing dalam satu kejadian beberapa bulan lalu.
Setiausahanya Khairuddin Othman berkata, pihaknya menyerbu dua rumah berasingan di Paya Jaras, Subang dalam satu operasi yang dijalankan bagi menangkap sindiket berkenaan.
Khairuddin mendakwa, "tuan rumah" berkenaan sedang mengedarkan kad pengenalan kepada sekumpulan yang dipercayai warga Indonesia dan Kemboja ketika serbuan dijalankan sekumpulan ahli PAS Selangor.
"Tuan rumah" itu kemudiannya didakwa berjaya melarikan diri sebelum polis tiba ke lokasi berkenaan, kata Khairuddin dalam satu sidang media di pejabat ahli parlimen Shah Alam hari ini.
Dalam kejadian pada Februari lalu itu, sejumlah kad pengenalan yang ditemui di tempat berkenaan kemudiannya disemak menggunakan alat pengimbas, katanya.
Peliknya, kad pengenalan itu boleh dibaca melalui pengimbas tetapi semakan di sistem dalam talian Jabatan Pendafaran Negara (JPN) menunjukkan identiti pemegang kad tersebut sebagai penduduk tetap (PR), katanya.
“Kita sudah buat laporan polis, tetapi tidak ada jawapan,” kata pengamal undang-undang itu lagi yang masih menunggu makluman berhubung hasil siasatan polis berhubung kes berkenaan.
“Kita tidak pertikai ada yang layak dapat IC. Tetapi bila jumpa dalam web JPN (berbeza), itu yang timbul persoalan besar,” katanya yang giat mendedahkan “kelemahan” sistem pilihan raya akhir-akhir ini.
Dalam sidang media sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad pula berkata, kes tersebut mengingatkannya kepada kes yang berlaku di Sabah apabila BN berjaya menguasai semula negeri itu.
“Semua yang terlibat mengaku ceritakan apa dilakukan BN. Jadi ia bukan mustahil (di semenanjung) lebih-lebih lagi pemberian IC memang tidak telus,” katanya yang menyifatkan insiden tersebut “seperti retak kecil atas seketul bongkah ais”.
Sementara itu, Khairuddin juga mendakwa menemui kepelikan terbaru dalam kontroversi daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, semakannya semalam menemui terdapat nama dalam daftar pemilih tetapi tiada rekod dalam sistem JPN.
“Nombor (kad pengenalan) saja ada,” katanya sambil menyifatkan perkara itu sebagai “kad pengenalan kosong”.-M'kini
JASMINE mengaku menerima bantuan daripada sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya.
ALKITAB versi bahasa Melayu diberikan kepada setiap orang Islam yang menyertai pertubuhan agama Kristian.
Sogok wang gadai akidah
KUALA LUMPUR: Ada pertubuhan di negara ini berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makan minum percuma kepada golongan miskin dan menghadapi masalah kewangan yang beragama Islam sebelum memesongkan akidah mereka hingga sanggup menukar agama akibat desakan hidup.
Difahamkan, ada individu Islam menerima elaun tetap sehingga RM1,000 sebulan dengan hanya mengikuti program pertubuhan itu dua kali seminggu. Malah segelintir peserta turut mengakui menerima bantuan menyelesaikan beban hutang, termasuk ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.
Ia dipercayai taktik pertubuhan terbabit bagi menarik orang ramai mengikut program mereka dengan sebahagian besar sasaran adalah golongan gelandangan dan ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap serta dibebani masalah kewangan.
Setiap peserta turut dijanjikan `kehidupan baru’ oleh pemimpin pertubuhan terbabit yang menggambarkan dirinya seolah-olah `penyelamat’ jika mengikuti segala program diatur, termasuk kesediaan menukar agama.
Bekas pengikut pertubuhan itu yang mahu dikenali sebagai Adazhan, 30-an, mengakui pernah dilatih menjadi paderi sepanjang 10 tahun menjadi pengikut program berkenaan, termasuk menukar agama isteri dan anak-anaknya sebelum kembali ke pangkal jalan.
Ketika ‘diselamatkan’ daripada kesempitan hidup, Adazhan mengakui menerima tawaran bantuan pertubuhan itu adalah pilihan hidup untuk menyelamatkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.
Malah, kesungguhannya mengikut program membolehkannya menghadiri kursus menjadi paderi dan dijanjikan Rumah Doa sendiri dengan pembiayaan penuh pertubuhan untuk menjalankan aktiviti keagamaan.
“Dulu saya terima bantuan kewangan RM500 sebulan. Bagi yang ada isteri, mereka diberi tambahan RM300 dan RM100 bagi seorang anak. Bagi saya yang hidup merempat ketika itu, cuma itu pilihan terbaik. Sekarang, jumlah bantuan bertambah dan difahamkan, ada yang dapat lebih RM1,000 sebulan.
“Saya percaya ramai sudah terpedaya selepas termakan pujukan dan terhutang budi dengan bantuan diterima. Cuma, mereka takut menukar status agama dalam MyKad,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau mencadangkan supaya mereka yang terpedaya, tidak dikenakan hukuman atau ditangkap kerana bimbang menyebabkan keadaan lebih teruk, sebaliknya didekati secara lembut dengan membetulkan semula akidah dan diberi bantuan sepatutnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu majlis makan malam anjuran sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya, susulan laporan terdapat unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Difahamkan, 50 orang Islam menghadiri majlis itu ketika serbuan dibuat, namun hanya 12 daripada mereka termasuk lapan wanita berjaya ditahan dan diarahkan memberi keterangan di Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam, 9 Ogos ini kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Sementara itu, salah seorang peserta wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan mendedahkan peserta Islam ditegah mempercayai Nabi Muhammad SAW, tetapi diminta mengikut suruhan Nabi Isa melalui ceramah dan nyanyian sepanjang majlis berlangsung.
Hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, wanita itu berkata, pertubuhan terbabit mensasarkan individu yang menghadapi masalah kewangan seperti kumpulan mualaf dan golongan yang kecewa dengan kerajaan sebagai ahli sebelum ejen berperwatakan alim seperti haji dan imam dihantar mendekati mangsa.
“Mereka menabur janji mampu menyelesaikan masalah dihadapi sebelum sasaran dibawa menghadiri majlis suai kenal dan sesi ceramah secara sulit. Biasanya, minat menyertai pertubuhan ini timbul selepas mendengar syarahan ketua agama dari Sabah, Sarawak dan Indonesia,” katanya yang menyertai pertubuhan itu bersama suami dua tahun lalu.
Jasmine yang dijanjikan bantuan kewangan untuk menyelesaikan hutang dan keperluan harian, berkata dalam setiap program dianjurkan, peserta diberikan kitab Injil berbahasa Melayu seterusnya diajar menyanyi lagu dakwah Kristian, disusuli diberikan ‘minuman istimewa’ diikuti upacara pembaptisan. -beritaharian
P/s: Jika benar cerita di atas, tindakan JAIS tempoh hari ada asasnya. Berdasarkan maklumat, terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11(4). Dengan kata lain, ada usaha untuk memurtadkan orang Islam.