Jumaat ini, empat hari sebelum pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir berlangsung, penasihat GMP Sasterawan Negara A Samad Said dijadual turun berkempen bagi memenangkan calon PAS Mohd Salleh Man atas pendiriannya membantah dasar kontroversi itu.
Setiausaha gabungan NGO itu Hasni Abas memberitahu Malaysiakini hari ini, A Samad, atau panggilan mesranya Pak Samad, akan berceramah dan mengedarkan risalah anti-PPSMI.
"GMP akan berada di Permatang Pasir pada 21 Ogos malam. Pak Samad dan exco GMP akan ke sana," jelas Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Hasni menjelaskan, dalam mesyuarat GMP Sabtu lalu bagi membincangkan tindakan susulan badan itu susulan pengumuman pemansuhan PPSMI, badan itu tidak akan mengambil langkah berdemonstrasi sekali lagi – dalam masa terdekat.
"Pak Samad ada usulkan perkara itu. Tetapi kita putuskan tidak perlu buat masa ini, kita tidak mahu (bersikap) provokatif. Kita jumpa dulu," katanya.
Sebaliknya, tambah Hasni, GMP akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pelajaran mempersoalkan kelambatan pemansuhan itu, tidak seperti proses pelaksanaannya pada 2003 yang hanya mengambil masa enam bulan.
GMP juga ingin bertemu dengan menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membangkitkan isu tersebut.
Comments (0)
Catat Ulasan