Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Kim kesal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak dan mengambil semua fail peruntukan kawasan DUN wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) negeri ini.
Menurutnya, tindakan SPRM itu seolah-olah melancarkan kempen ‘memancing’ bukti pada semua Pejabat Daerah di Selangor.
Chang Khim mendakwa, tindakan itu dibuat berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin merampas kembali Selangor daripada pemerintahan PR.
Sambil menyifatkan perbuatan itu tidak profesional dan satu tindakan ‘politik’, Chang Khim mengakui tidak mempunyai masalah jika SPRM ingin menjalankan tugas mereka secara profesional dengan memeriksa mana-mana fail peruntukan ADUN di mana-mana Pejabat Daerah seluruh negara.
“Tetapi, sekarang ini nampaknya tindakan itu hanya dibuat dan dilakukan di Selangor,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Chang Kim turut meminta pihak yang sepatutnya menerima peruntukan berkenaan memaklumkan kepada SPRM jika tidak menerima peruntukan itu.
“Sila pergi ke pejabat SPRM dan maklumkan kepada mereka (SPRM) sekiranya mereka (orang ramai) tidak menerima duit peruntukan berkenaan supaya ia dapat membantu SPRM menyiasat saya,” katanya.
Chang Kim yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Pinang menggesa SPRM menyelesaikan siasatan berkenaan dalam tempoh dua minggu.
“Saya minta supaya mereka (SPRM) dapat mengesahkan dalam tempoh dua minggu sama ada terdapat kes terhadap saya atau tidak.
"Ini kerana kita tidak mahu perkara ini ditangguhkan bertahun-tahun sehingga tiada jawapan mengenainya dan orang ramai akan beri pandangan serong terhadap dirinya,” katanya.
SUMBER di sini.
Comments (0)
Catat Ulasan