Di negara Malaysia Bolehland, Tok Kiyai tak hairan bin ajaib langsung dengan kejadian fail sulit penjenayah yang hilang di Mahkamah Majistret Ampang. Mana tidaknya, kalau enjin jet yang beratus-ratus kilogram boleh hilang apalah sangat setakat helaian kertas yang amat ringan lagi kecil.
Fail sulit itu sama ada dicuri oleh "dalang" yang diupah oleh seseorang atau sebagainya, hanya Allah yang tahu tapi apa yang pasti tahap keselamatan fail-fail sulit di mahkamah perlu dipertingkatkan demi keselamatan dan keharmonian negara. Kita tidak mahu orang yang bersalah/penjenayah terlepas bebas dalam masyarakat dek kerana perkara sebegini.
[KOSMO] KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Ampang membuat laporan polis berhubung kehilangan satu fail siasatan seorang penjenayah yang masih dalam perbicaraan seperti yang dilaporkan di muka depan Kosmo! semalam.
Sumber mahkamah yang enggan dikenali memberitahu, laporan itu dibuat kira-kira pukul 11 pagi semalam di Balai Polis Ampang Jaya.
Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada polis dan mahkamah berharap tertuduh kes dadah itu yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin dapat ditahan secepat mungkin untuk disoal siasat.
Tertuduh lelaki berusia 30 tahun dalam kes itu menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dia yang ditahan polis pada 11 November 2006 dibebaskan selepas seorang wanita membayar wang jaminan sebanyak RM7,000.
Pada 6 Disember lalu, satu waran tangkap telah dikeluarkan selepas lelaki itu gagal menghadiri perbicaraan dan kes tersebut akan disebut semula pada 2 Februari ini.
Menurut sumber itu, kes tersebut adalah yang pertama membabitkan kehilangan fail sulit dari simpanan mahkamah berkenaan.
Beliau bagaimanapun berpendapat, adalah terlalu awal untuk mengaitkan kehilangan itu dengan peranan kakitangan mahkamah sendiri.
Comments (0)
Catat Ulasan