"Anak saya memberitahu dia tidak sempat disetubuhi suaminya walaupun lelaki itu cuba menarik seluarnya ketika ingin 'bergurau' di sebuah hotel di sini," katanya yang memberi keterangan pada prosiding perbicaraan untuk membatalkan perkahwinan pasangan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Abdullah Man.
Siti Sarnan yang mewakili plaintif (Siti Nur Zubaidah) berkata demikian ketika menjawab soalan peguam mereka, Mohd. Zaki Zainal Abidin sama ada anaknya itu pernah bersetubuh selepas pasangan tersebut berkahwin.
Sementara itu, defendan pertama yang juga bapa kepada Siti Nur Zubaidah, Hussin Salleh, 54, turut hadir di mahkamah sementara defendan kedua, Shamsuddin pula tidak hadir dan kedua-dua mereka tidak diwakili mana-mana peguam.
Ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya mendakwa dia bertindak menendang suaminya dan melarikan diri apabila lelaki itu cuba menarik seluarnya selepas mereka berkahwin.
"Malah hasil pemeriksaan di Hospital Sungai Buloh, Selangor juga mendapati anak saya tidak disetubuhi," ujarnya.
Bagaimanapun, Siti Sarnan memberitahu, anaknya hanya mendakwa dirotan di punggung oleh suaminya kerana tidak menunaikan sembahyang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka memandangkan anaknya belum baligh dan masih bersekolah.
Menurutnya, anak kedua daripada enam beradik itu juga belum matang dan belum layak bergelar isteri kerana tidak pandai memasak serta suka bermain seperti kanak-kanak lain.
"Selain itu, jarak usia anak saya dengan suaminya jauh kira-kira 30 tahun malah dari segi fizikal mereka juga amat berbeza," katanya.
Siti Sarnan berkata, beliau diberitahu oleh suaminya bahawa anak perempuannya itu telah berkahwin dengan Shamsuddin di sebuah madrasah di bandar Machang pada 18 Februari lalu.
"Saya juga mempertikaikan tentang tatacara perkahwinan mereka kerana tiada surat nikah dan tiada apa-apa rekod pun yang membuktikan perkahwinan mereka," katanya.
Abdullah kemudian mengarahkan Siti Sarnan membawa saksi ketika sambungan bicara yang ditetapkan pada 13 Oktober ini.
-kosmo
Comments (0)
Catat Ulasan