Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa!!
Tetapi adakah pemuda dan pemudi di bawah yang kita mahukan menjadi pewaris negara Malaysia?
[HM] KUALA LUMPUR: Bagai tidak percaya menyaksikan ratusan remaja bawah umur leka berpesta ‘ladies night’ sambil meneguk arak di sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan Yap Ah Sak, Bukit Bintang di sini, awal pagi semalam.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 pagi oleh sepasukan tiga pegawai dan 15 anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti tidak bermoral itu.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya percaya pusat hiburan itu menjadi tumpuan remaja kerana tiada sekatan dilakukan pusat itu terhadap remaja bawah umur.
“Seramai 67 remaja perempuan dan 44 lelaki bawah umur ditahan untuk diambil keterangan dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada ibu bapa mereka.
“Hasil soal siasat, majoriti remaja terbabit ditahan untuk kali pertama bagi kesalahan berkenaan. Mereka dibebaskan atas jaminan ibu bapa selepas diberi kaunseling,” katanya ketika dihubungi. Razali berkata, hasil risikan pihaknya, setiap minggu terutama malam Khamis pusat hiburan terbabit meriah kerana selalu menganjurkan parti ‘ladies night’.
Turut ditahan, seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pengurus pusat hiburan terbabit.
“Polis akan mendakwa pengurus itu di mahkamah kerana membenarkan remaja bawah umur memasuki pusat hiburan itu tanpa sekatan had umur dan majoritinya pelajar sekolah.
“Kami akan usulkan perkara ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyekat sebarang pembaharuan lesen pusat hiburan itu,” katanya.
Menurutnya, pusat hiburan itu beroperasi sejak setahun lalu dan keuntungan motif utama pusat hiburan terbabit membenarkan remaja bawah umur memasuki tanpa sekatan.
“Pusat hiburan terbabit pernah diserbu dua kali masing-masing oleh IPK Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Polis akan menyiasat kes ini mengikut Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 yang boleh dikenakan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan remaja bawah 21 tahun tidak dibenarkan memasuki premis hiburan di ibu kota apabila Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dipinda pada 2003.
Comments (0)
Catat Ulasan