[FMT] KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) keluar BN kerana tidak sanggup melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam kepimpinanan BN, kata Timbalan Presiden sapp, Datuk Eric Mojimbun.
Tegasnya, teguran yang dibuat oleh parti-parti kecil dalam BN khususnya, SAPP, langsung tidak diambil peduli oleh mereka, walaupun tujuan SAPP adalah ikhlas demi melihat kelangsungan pentadbiran dan kepimpinan BN menuju ke arah landasan yang betul.
“Kita bukan merajuk tetapi tindakan kita mahu menyelamatkan rakyat dan negeri ini dari terus menuju kemunduran yang berterusan, kerana kita dalam 47 tahun bersama membentuk Malaysia hak asasi kita mengikut dalam Perlembagaan terus terbiar, maksudnya kita rakyat Sabah terus dibelenggu kemiskinan,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis induksi ahli-ahli baru SAPP kawasan Kemabong di Hotel Perkasa dekat sini pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Frankie Chong Yu Chee, mantan Menteri Kewangan semasa kerajaan Parti Berjaya Datuk Haji Mohd Noor Mansor, Naib Presiden SAPP Jimmy Jawatah, Ahli Majlis Tertinggi Steven Gaimin dan Ketua Pergerakan Pemuda SAPP Pedalaman, Rudy Sulaiman Mairi.
Eric seterusnya menegaskan bahawa selagi kepimpinan SAPP masih berada dalam BN selagi itu hak parti itu bersuara lantang untuk menyuarakan sesuatu perkara yang bertentangan dengan aspirasi rakyat khususnya di Sabah tidak digalakkan malah dilabel sebagai menentang dasar perjuangan kerajaan BN.
Tegas beliau, SAPP tidak dapat menyembunyikan kemarahannya terhadap kelibat segelintir pemimpin bersifat kuku besi Kuala Lumpur berhubung penyelesaian masalah pendatang asing tanpa izin (PATI), kad pengenalan palsu, penyelewengan dan korupsi yang berleluasa sehingga sehingga kini masalah tersebut masih tergantung.
“Perjuangan SAPP semata-mata untuk membela rakyat Sabah dalam usaha mahu memertabatkan bangsa dan maruah negeri selain meningkatkan taraf hidup rakyat dengan harapan lambat laun rakyat akan terkeluar daripada kepompong kemiskinan,” tegas Eric.
Eric yang juga Ahli Parlimen Sepanggar seterusnya menegaskan, bahawa agak malang sekali laporan media baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila Bank Dunia mengatakan Sabah merupakan negeri yang termiskin di Malaysia.
“Saya bertanya diri saya sendiri, siapa yang mengakibatkan masalah ini berlaku? Sejurus itu ia mengingkat saya, siapa lagi kalau bukan tindak tanduk pemimpin pemimpin Umno di Semenanjung yang suka membazir dan menggunakan peruntukan yang berlebihan untuk kroni-kroni mereka tetapi tidak sampai kepada sasaran tepat. Siapa yang menjadi mangsa? Sudah tentunya kita di Sabah kerana pembangunan tidak sampai.
Kalau sampai pun lambat,” tegas beliau dengan nada kesal sambil merujuk beberapa kawasan di pedalaman yang penduduknya merungut kerana jalanraya rosak terok tidak dinaik taraf malah rakyat mendakwa setiap hari bergelut dengan lumpur.
Terdahulu, wakil peserta Induksi Kemabong yang juga mantan Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Kemabong Saul Salleh yang telah menyertai SAPP sebulan lalu berkata, beliau tidak sanggup lagi bersekongkol dengan perjuangan Umno yang sering dicurigai rakyat keikhlasannya terhadap membangunkan kawasan di situ.
Katanya, cukuplah Umno bertapak di situ selama empat penggal namun untuk meneruskannya sudah tidak ada kemungkinan lagi kerana mereka telah muak dengan kelibat buruk kepimpinan Umno selama ini ibarat pepatah ada mengatakan “Bertuan di mata, ber ‘Raja’ di mulut dan ber ‘Sultan’ di hati”.
Sebaliknya tegas Saul, rakyat jelata di peringkat akar umbi sudah faham dengan jelas bahawa mereka (rakyat) memerlukan perjuangan sebuah parti tempatan seperti SAPP kerana hanya parti tempatan sahaja yang mengerti masalah rakyat di Sabah dan mampu menyelesaikan masalah mereka.
Comments (0)
Catat Ulasan