Gambar yang dikirimkan kepada mStar Online menunjukkan seorang lelaki yang mirip Afique sedang khayal menghidu dadah.
[mStar] PETALING JAYA: Pelakon Afique Hussain menyangkal dakwaan kononnya dia mengambil dadah apabila gambarnya yang seolah-olah sedang khayal dikirimkan oleh peminat kepada mStar Online baru-baru ini.
Afique, 27, bagaimanapun mengakui gambar tersebut adalah dirinya dan menjelaskan ia diambil oleh seorang krew semasa penggambaran drama bersiri berjudul Seindah Sakura yang ditayangkan di TV3 beberapa bulan lalu.
"Ya gambar itu adalah diri saya tetapi ia hanyalah bagi memenuhi watak saya sebagai Roni dalam drama bersiri Seindah Sakura arahan Zul Huzaimy," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Dalam pada itu Afique memberitahu dia akan lebih berwaspada sebelum mendedahkan sebarang gambar peribadi miliknya selepas ini kerana bimbang pihak luar mungkin menggunakan ia untuk memburukkan namanya.
Afique berkata, walaupun sedikit kesal dengan kejadian itu namun dia mengambilnya sebagai satu pengajaran.
"Foto itu saya pernah gunakannya sebagai gambar profil di Black Berry Messenger (BBM) tetapi tidak sangka pula ada pihak yang mengambilnya dan menyebarkan menerusi e-mel untuk memburukkan saya," ujarnya.
Bagaimanapun kata Afique, penyebaran foto berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak memberi kesan kepadanya kerana yakin masyarakat sudah pandai menilai.
"Mungkin kepada mereka yang mengikuti drama Seindah Sakura akan tahu bahawa gambar tersebut adalah salah satu adegan daripada drama tersebut kerana saya memegang watak jahat.
"Saya juga tidak berasa marah atau terkilan kerana menganggap ia mungkin orang yang cuba menyebar gambar tersebut berniat baik untuk memberi peringatan kepada artis baru seperti saya bahawa tingkah laku kami diperhatikan," ujarnya.
Comments (0)
Catat Ulasan