ALOR SETAR - Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, Fadzil Hanafi mengisytiharkan akan bertanding calon Bebas untuk merebut kerusi Dun Alor Mengkudu kerana kecewa dengan pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon wanita kurang dikenali.
Bekas Adun Alor Mengkudu itu bukanlah muka baru dalam politik kerana memenangi kerusi itu dua penggal dan pernah menentang Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor di kerusi Dun Bukit Raya pada pilihan raya umum 1995.
Dakwanya, calon Dun Alor Mengkudu, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah kurang popular dalam kalangan masyarakat dan kemungkinan harapan untuk menang amat tipis kerana perlu berdepan calon muda yang lebih berpengaruh, Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya.
“Saya bertanding tiket Bebas bukan kerana tidak mendapat jawatan tetapi, sayang pada partiUmno dan BN dan terkilan sikap kepimpinan negeri menafikan hak calon boleh menang.
“Mereka bercakap soal calon ‘winnable candidate’ tetapi dalam masa sama tidak mempedulikan suara akar umbi yang mahu calon disukai rakyat dengan meletakkan calon pilihan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, di Kampung Kelumpang, Jalan Tok Keling, semalam.
Fadzil berkata, pucuk pimpinan tidak mengambil pengajaran terhadap tsunami politik yang melanda Kedah pada 2008 gara-gara pemimpin rakus mahu mempertahankan kedudukan tanpa mengambil kira suara akar umbi.
“Jika diikutkan pada pilihan raya umum kali ini, peluang untuk BN menawan semula Kedah cukup cerah namun, jika tersilap letak calon mungkin akan merumitkan lagi keadaan,” katanya.
Fadzil memilih untuk bertanding Bebas kerana mahu menjadi penyelamat parti dan kehendak akar umbi supaya dapat merampas semula kerusi Dun Alor Mengkudu daripada pembangkang.
“Saya tidak akan keluar dari Umno, jika ditakdirkan menang atas tiket Bebas saya akan kembalikan semula kerusi itu kepada Umno. Penyokong tidak perlu ragu-ragu untuk memberi undi mereka pada calon Bebas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau sedia menarik balik semula borang permohonan calon Bebas jika pucuk pimpinan membuat keputusan untuk menukar calon di kerusi itu pada saat akhir sebelum hari penamaan calon. -sinarharian
Comments (0)
Catat Ulasan