
PETALING JAYA: Penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim menolak dakwaan kononnya akan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Lisa Surihani pada tahun hadapan seperti mana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian pada Sabtu lalu.
Pihak KRU Studios dalam satu kenyataan kepada mStar Online di sini, Selasa berkata, laporan berita berkenaan adalah tidak benar dan ia mungkin berlaku salah faham.
“Akibat laporan berkenaan, Yusry telah dihujani dengan pelbagai soalan untuk pengesahan berita tersebut khususnya tentang beliau dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan Lisa Surihani pada tahun 2012.
“Dengan ini Yusry ingin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah memberikan kenyataan sedemikian dan spekulasi itu mungkin terjadi kerana salah faham,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataannya Yusry turut menambah pihaknya masih belum berbincang mengenai isu perkahwinan dan meminta semua pihak agar tidak keliru dengan pendedahan yang dibuat akhbar berkenaan.
Katanya, pada masa akan datang dia akan memaklumkan perkhabaran gembira mengenai hubungannya dengan Lisa Surihani kepada peminat termasuk pihak media untuk mengelak sebarang spekulasi.
Sabtu lalu sebuah akhbar yang memetik kenyataan Yusry dengan melaporkan pengarah filem Karak itu membayangkan akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan selepas gagal dengan perkahwinan pertama bersama aktres Erra Fazira. -MStar
Proses pemutihan PATI, usaha Umno-BN seludup pengundi
PETALING JAYA: Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikehendaki bersumpah untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional sebagai salah satu syarat dari proses pemutihan 6P, dedah Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin.
Zuraida tampil dengan skrip bersumpah yang digunakan Umno-BN untuk diberikan kepada warga asing tersebut, yang menunjukkan terdapat usaha menyeludup pengundi dengan berselindung di sebalik program berkenaan.
“Bukti-bukti dengan jelas menunjukkan kewujudan pengundi hantu . Ini mengesahkan kebimbangan ramai pihak bahawa Umno-BN sedang menyeludup pengundi dengan berselindung di sebalik program pemutihan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Keadilan, di Tropicana hari ini.
Turut hadir Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.
Menurut Zuraida, pihaknya berjaya menyusup masuk sebagai PATI dan memperoleh skrip atau borang sumpah itu.
Skrip itu antara lain memerlukan seseorang PATI menyokong dan mengundi Umno-BN, selain menyatakan ikrar taat setia kepada Yang di Pertuan Agong, sultan dan negara Malaysia.
Skrip itu berbunyi “Assalamualaikum, wallahi, wabillahi, watawallahi”
“Saya ….dengan nama Allah berikrar dan berjanji akan taat setia kepada Yang di Pertuan Agong, Sultan-sultan dan negara Malaysia.
“Saya/suami/isteri/anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/Barisan Nasional.
“Saya juga akan terus memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu”
“Saya berjanji akan menyimpan RAHSIA ke atas perkara ini dan jika saya ingkar saya akan menerima padahnya”
Beliau mencabar parti komponen Barisan Nasional sepetu MCA, MIC, Gerakan dan PBS untuk menyatakan pendirian sama ada bersetuju dengan muslihat menyeludup pengundi hantu menggunakan alasan pemutihan.
“Jika mereka berdiam diri bermakna mereka juga bersubahat dengan pengkhianatan yang mencabul kedaulatan negara. Muslihat Umno-BN akan tersebar luas dan menaikkan lagi kemkarahan rakyat,” tegas Zuraida. -Keadilan Daily

Ummi Hafilda hari ini melafazkan sumpah laknat mendakwa dirinya tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda seperti yang didakwa oleh lelaki itu.
Sumpah itu dilafazkan di mahkamah Kuala Lumpur setelah memfailkan permohonan penghakiman ingkar terhadap Baginda hari ini.
“Wallahi, Wabillahi, Watallahi...
“Saya buat sumpah ini di bulan Ramadan yang suci bahawa saya tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan Baginda Minda.
“Jika saya menipu, maka saya akan dilaknat,” katanya.
Ummi Hafilda diiringi oleh Penasihat Undang-undang Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Beliau mengemukakan permohonan itu setelah Baginda gagal menghadirkan diri di mahkamah seperti yang disyaratkan pada 8 Ogos lalu.
Menurut Mohd Khairul, Malaysiakini, yang dinamakan oleh Ummi Hafilda sebagai defenden kedua, hadir apabila kes itu disebutkan.
“Kami telah failkan dokumen berkaitan ke atas dirinya termasuk mengiklan di Harian Metro tetapi dia (Baginda) gagal hadirkan diri,” katanya.
Pada 25 April lalu, Ummi Hafilda memfailkan semula saman fitnah yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi 13 April lalu, selepas peguam kedua-dua pihak tidak hadir ketika ia pertama kali disebut.
Dalam saman itu beliau mendakwa Baginda dalam satu temuramah di lobi Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah serta menyerangnya secara peribadi.
Ummi Hafilda mendakwa kenyataan Baginda itu dibuat untuk memalukannya dan berniat jahat seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal serta amat tidak jujur, selain terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang itu.
Mkini Dotcom Sdn Bhd pula didakwa telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah itu di lamanweb www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.
Beliau menuntut gantirugi am RM100 juta dan perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan fitnah terhadapnya. -M'kini
P/s: Ambil berkat bulan Ramadan ke?
Drebar van sekolah perkosa murid dijel 15 tahun, 13 sebatan
PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu van sekolah yang merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, termasuk anak saudaranya membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 13 kali sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Rozina Ayob terhadap tertuduh V Tiagarajan, 52, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapi selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah van di Jalan Othman 1/12 di sini, pada 26 Julai 2010. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika disabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kelucahan melampau dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan iaitu anak saudaranya di sebuah rumah di Jalan PJS 3/52 pada hari dan masa yang tidak dapat dipastikan, dua tahun lalu. Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, dia didakwa mengikut Seksyen 377E yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak itu meminta agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya dengan alasan menyesal dengan perbuatannya.
“Saya minta hukuman ringan kerana saya menyesal dengan perbuatan saya,” katanya sambil dilihat mengalirkan air mata.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memohon agar hakim memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh mengambil kira faktor mangsa adalah kanak-kanak dan perbuatan itu sebagai perbuatan yang keji. -hmetro
Gambar hiasan
GOMBAK: Akibat menolak ajakan berbuka puasa dengan suami, seorang wanita dibelasah suaminya selain diseret dalam keadaan bogel hingga cedera di badan dalam kejadian di Kampung Nakhoda Kanan, di sini, kelmarin.
Difahamkan, sebelum ini, pasangan terbabit sering bertengkar dan mangsa yang juga suri rumah berusia 30 tahun menjadi tempat melepas geram suaminya itu.
Sumber polis berkata, pada hari kejadian, lelaki berusia 30 tahun itu mengajak isterinya berbuka puasa, tetapi mangsa menolak pelawaannya kerana mahu berbuka di rumah kakaknya menyebabkan suaminya naik angin.
Akibatnya, mangsa dibelasah sebelum diseret dari tingkat satu rumah mereka ke tingkat bawah dalam keadaan bogel.
“Mangsa menangis dan merayu suaminya tidak bertindak demikian, tetapi lelaki itu tidak mengendahkannya,” katanya di sini, semalam. -hmetro
P/s: Suami mental....Sanggup perlakukan isteri sedemikian rupa

KUALA LUMPUR – Kedatangan Ramadan kali ini disambut dengan hiba oleh Azizan Hassan, 43, dan isterinya, Shahrizad Shafian, 40, apabila anak perempuan mereka menghilangkan diri sejak 12 Ogos lalu.
Menurut Shahrizad, anak mereka, Ameerah Asha Azizan, 17, tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan di Sekolah Menengah Puchong Utama 1 dekat sini.
Sharizad memberitahu, sebagai ibu dia amat bimbangkan keselamatan anak gadisnya kerana dia sebelum ini tidak pernah bersendirian di luar rumah tanpa ditemani ahli keluarga.
“Kali terakhir saya jumpa dia ialah semasa dia mahu ke sekolah Jumaat lepas. Dia beritahu akan pulang lewat sedikit sekitar pukul 4 petang kerana perlu menghadiri kelas tambahan.
“Namun pada pukul 5.30 petang dia menghubungi saya memberitahu bahawa dia lewat sebab tidak ada bas dan hari hujan,” ujarnya ketika datang ke pejabat Kosmo! di sini semalam. Bagaimanapun, pasangan itu mula bimbang apabila sehingga pukul 6.30 petang Ameerah Asha masih tidak pulang ke rumah di Puchong.
Menurut Shahrizad, mereka telah keluar mencari Ameerah Asha di sekitar sekolah dan juga hentian bas namun tidak berjaya dan telefon bimbitnya gagal dihubungi sehingga kini.
“Tidak ada sesiapa nampak dan tahu di mana dia berada termasuk guru dan rakannya,” katanya.
Shahrizad memberitahu, anak sulung daripada dua beradik itu merupakan seorang yang lemah lembut dan sangat menghormati ibu bapa.
“Dia juga seorang yang sangat menepati waktu dan akan menghubungi saya sekiranya dia terlewat pulang,” katanya.
Ujarnya, Ameerah Asha bakal menduduki ujian percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 5 September ini dan merayu orang ramai agar membantu mencari anaknya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu boleh menghubungi Azizan di talian 013-7743477 atau Shahrizad (012-6430432). -kosmo

JASIN – Sekolah Harapan yang dibuka bagi membantu remaja hamil di sini memerlukan kira-kira RM2 juta bagi membina asrama baharu sekali gus dapat menempatkan lebih ramai penghuni.
Pengerusinya, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, dengan pembinaan asrama tersebut, sekolah itu akan berupaya menampung sehingga 60 remaja perempuan pada satu-satu masa berbanding 30 orang pada ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada remaja hamil untuk berlindung di sekolah itu namun kemasukan mereka terpaksa ditangguhkan kerana kemudahan asrama yang terhad.
“Sejak ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 17 September tahun lalu, ia telah memberi perlindungan kepada 80 remaja hamil luar nikah dan 59 bayi selamat dilahirkan.
“Berdasarkan peranannya yang amat besar untuk memberi pelindungan kepada remaja bermasalah, kita perlukan asrama baru untuk menempatkan mereka,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada 30 penghuni sekolah itu Jalan Pegawai di sini semalam.
Ab. Rahaman berkata, pihaknya sedang menyiapkan permohonan bagi mendapatkan peruntukan itu sama ada daripada kerajaan negeri atau kerajaan Pusat.
Katanya, remaja bermasalah yang memasuki sekolah tersebut berjaya dibimbing apabila mereka menunjukkan keinsafan selepas menerima didikan agama dan bantuan kaunseling.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, 45 daripada 59 bayi yang dilahirkan di sekolah itu kini berada di bawah jagaan keluarga remaja yang hamil luar nikah.
“Lapan lagi bayi telah diserahkan kepada keluarga angkat dan lima lagi masih berada di sekolah tersebut bersama ibu masing-masing,” katanya.-kosmo
P/s: Ramainya anak zina di luar sana....

Salah seorang Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa duit lebihan zakat digunakan untuk membina bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Menurut Pegawai itu fakta ini diperolehi dari Mufti Melaka sendiri.
Beliau berkata demikian semasa perbincangan pihaknya dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari di Ibu Pejabat SPRM Melaka di Alai minggu lalu.
Persoalan yang timbul di sini ialah:-
1) Benarkan bangunan itu dibina dengan wang lebihan zakat?
2) Benarkan dakwaan bahawa Mufti menyatakan bangunan itu dibina dengan wang lebihan zakat?
3) Benarkan wang zakat negeri Melaka berlebih kerana tidak ada lagi asnaf yang layak menerima zakat sedangkan bilangan orang miskin masih ramai, anak-anak kita yang belajar di dalam dan di luar negara masih ramai yang tiada bantuan, orang-orang yang berjuang Fi Sabilillah masih ramai dan lain-lain.
4) Halalkan wang zakat digunakan untuk tujuan membina bangunan dan jika ianya dibenarkan ia tergolong asnaf yang mana satu?
Persoalan ini timbul ekoran 'follow up' yang dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari terhadap laporan yang dibuat oleh PAS pada bulan Februari lalu terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Kita sebagai rakyat mengharapkan SPRM menyiasat perkara ini, malangnya SPRM meminta PAS pula menyiasatnya keraan menurut SPRM mereka tidak menemui sebarang penyelewengan dan salah satu pihak terbabit. -sofiwahab
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Isnin mengesahkan mentega jenama 'Pure Creamery Butter-Golden Churn' yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.
Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berbeza.
"Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu. Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sehubungan itu juga, Othman meminta pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru.
Beliau berkata mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.
Othman berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.
Pada 19 Julai lepas Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas. - BERNAMA

ALOR GAJAH - Sikap pembangkang tidak menunjukkan kesungguhan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama sebelum ini, ternyata mengecewakan banyak pihak, terutama rakyat.
Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, pembangkang nampak tidak serius dengan masalah murtad membabitkan umat Islam yang dilihat semakin membimbangkan.
“Mereka seperti tidak berminat untuk mengambil tahu tentang isu serbuan di gereja terbabit, walaupun seramai 12 orang yang beragama Islam dikesan menghadiri majlis tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian di program Menghayati Ramadan dan penyampaian sumbangan kepada Ibu-ibu Tunggal Seri Mastana di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah semalam.
Beliau meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mana-mana jabatan berkaitan berperanan lebih tegas dalam bertindak memantau keadaan yang boleh memecahbelahkan umat Islam.
Bekas ketua menteri Melaka itu memuji keberanian Exco Agama Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang berpendirian tegas menyokong tindakan Jais dalam melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas gereja terbabit.
“Keberanian beliau perlu dicontohi ahli Pas lain supaya mereka tahu pentingnya isu ini kerana membabitkan akidah umat Islam. Malah, isu memurtadkan umat Islam di negeri Selangor bukan sesuatu baru.
“Tetapi pembangkang dilihat lebih berminat meraih undi semata-mata supaya kekal berkuasa, sedangkan mereka gagal pertahankan kepentingan umat Islam kerana soal akidah adalah sesuatu yang sensitif,” katanya.-SH
KUALA LUMPUR: “Isu ini sudah pun selesai jadi Siti harap pelanggan tidak lagi panik atau takut untuk menggunakannya,” kata Presiden SimplySiti Sdn Bhd (SS), Datuk Siti Nurhaliza Taruddin ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Beliau yang terkilan dengan spekulasi mengenai status halal produknya itu berkata, disebabkan isu berhubung status halal SS, jualan produk terbabit terjejas teruk.
“Spekulasi ini begitu cepat tersebar sehingga ada antara pelanggan yang bertindak memulangkan produk SS dan meminta wang mereka dikembalikan.
“Perkara ini sangat memberi pengajaran kepada Siti, namun Siti berharap semua pihak jelas dengan status halal SS kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun sudah mengeluarkan kenyataan mengenai status produk SS.
“Apapun, Siti tetap bersyukur kerana isu ini dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.
Baru-baru ini, pemilik blog mendakwa menerima surat jabatan agama mengenai senarai nama syarikat yang tidak berjaya mendapat sijil pengesahan halal Malaysia, termasuk SS. -hmetro
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sekilas pandang, kelibatnya benar-benar seperti orang Islam sehinggalah pemeriksaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati dia yang mengemis di pintu masuk utama Masjid Kampung Baru, di sini, diyakini bukan beragama Islam.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu itu, lelaki terbabit yang berusia 86 tahun dan dipercayai berasal dari Thailand itu pandai berlakon meminta simpati dan turut memakai kopiah selain menyimpan janggut.
Pemeriksaan penguat kuasa JKM ke atas warga emas itu menemui wang tunai RM354 disorok di dalam kedua-dua kasutnya selain terdapat segugus kunci bilik hotel sewaannya.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM, Mujah Hamat berkata, lelaki itu tidak berkata-kata dan dipercayai bisu, namun dia jelas berang apabila wangnya dirampas.
Menurutnya, sebagai tanda protes dia melondehkan seluarnya hingga menampakkan alat sulitnya dan didapati tiada tanda-tanda dia berkhatan sebagaimana orang Islam.
“Berikutan itu kami percaya dia bukan orang Islam, apatah lagi dia berasal dari Thailand,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi tiga jam membabitkan 23 anggota dan pegawai itu, JKM turut menahan seorang lelaki, orang kelainan upaya (OKU) warga tempatan dan menemui sejumlah wang.
Menurutnya, operasi dilakukan tiga lokasi utama iaitu sekitar Masjid Negara, Masjid Jamek dan Masjid Kampung Baru, di sini.
“Bagaimanapun ramai pengemis yang sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran JKM,” katanya tidak menolak kegiatan itu didalangi sindiket terancang.
Dalam operasi itu, JKM turut merampas peralatan yang dibawa pengutip derma dan mereka perlu hadir ke pejabat JKM untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Mujah berkata, sejak awal Ramadan hingga kini, pihaknya sudah membuat empat operasi menangkap pengemis sekitar ibu kota dan menahan 41 orang termasuk kanak-kanak.
Katanya, kebanyakan ditahan membabitkan pengemis warga asing terdiri daripada warga India, China, Thailand. -hmetro
KOTA BHARU, 14 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak membenar masjid menggunakan pembesar suara menyiar bacaan al-Quran sebelum Subuh selari dengan syarak.
Menteri Besar berkata, Islam tidak menggalakkan bacaan al-Quran diperdengar dengan kuat terutamanya menggunakan pembesar suara kecuali azan.
"Hanya azan sahaja yang perlu dikuatkan dengan tujuan untuk menyeru umat Islam menunaikan solat dan meninggalkan sementara urusan dunia," katanya selepas merasmikan pelancaran Koperasi Rakyat Kelantan Berhad di KTC hari ini.
Beliau diminta mengulas larangan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menggunakan pembesar suara di masjid sebelum solat Subuh kerana ia dianggap mengganggu ketenteraman masyarakat berbilang kaum.
Sebelum ini media melaporkan JHEAIPP mengarahkan semua masjid dan surau menghentikan bacaan al Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh kerana bercanggah dengan hukum syarak.
Arahan tersebut juga selaras dengan keputusan masyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri berkenaan pada 7 April lalu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam jangan begitu seronok membaca al-Quran dengan menggunakan pembesar suara kerana ia tidak elok dan boleh mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak sedang tidur.
"Di Kelantan mungkin tak apa, sebab sudah menjadi perkara biasa, namun sesetengah tempat mungkin tidak boleh dan keputusan itu perlu dihormati," ujarnya.
Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, suasana masyarakat berbilang kaum perlu diambil kira apabila memperdengarkan bacaan al Quran secara kuat sebelum Subuh.
Katanya, bagi penduduk tinggal di negara yang majoritinya orang Islam perkara seperti itu tidak berbangkit kerana orang ramai sudah faham.
“Apa yang diputus di Pulau Pinang itu selaras dengan kehendak syarak kerana suasana persekitarannya bukan hanya didiami orang Islam sahaja.
“Syarak hanya membolehkan azan dilaungkan dengan kuat bagi menyedarkan orang yang tidur supaya bangun menunaikan solat,” ujarnya di sini.
Tindakan JHEAIPP turut disokong pensyarah USM, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang memberi contoh Rasulullah saw pernah melarang orang membaca al-Quran secara kuat dalam masjid kerana boleh mengganggu jemaah lain.
(Gambar hiasan)
ARAU: “Saya minta maaf ustaz, saya janji tak buat lagi. Saya mengaku berkhalwat dan berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi,” kata seorang wanita berusia 27 tahun yang ditahan bersama pasangannya kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel, di sini, malam kelmarin.
Sebelum itu, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) terpaksa menunggu 15 minit sebelum wanita berkenaan dan pasangannya berusia 27 tahun membuka pintu untuk pemeriksaan.
Malah, wanita itu memberi alasan tidak melakukan perbuatan terkutuk di dalam bilik itu, sebaliknya hanya menemani teman lelakinya untuk menukar pakaian.
Pasangan berkenaan yang bertugas sebagai pegawai kerajaan dikatakan baru mendaftar masuk ke hotel selepas waktu berbuka, dan lelaki terbabit sanggup datang dari Pulau Pinang untuk bertemu kekasihnya sempena cuti hujung minggu.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Jaips, Suhaimi Ahmad berkata, dalam pemeriksaan jam 11 malam itu, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik yang dihuni pasangan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, mereka mengambil masa 15 minit sebelum dibuka wanita terbabit lalu anggota penguat kuasa memperkenalkan diri untuk membuat pemeriksaan.
“Wanita berkenaan mengaku berada dalam bilik bersama teman lelaki ketika disoal sebelum lelaki terbabit keluar dari bilik air tanpa memakai baju,” katanya. -hmetro
KENINGAU: Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin.
Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya.
Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam.
Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.
Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.
Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.
Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.
“Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.
“Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.
Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -hmetro
(Gambar hiasan)