
KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang ditahan di penjara, akan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin.
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang membenarkan permohonan mereka bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Mohd Azman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.
"Setelah mahkamah menyemak perintah Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman, mahkamah memberi jaminan RM10,000, masing-masing kepada kedua-dua pemohon dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan," kata hakim itu.
Alvin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Vivian di Penjara Kajang menghadapi tiga pertuduhan.
Mereka tidak hadir di mahkamah pada Khamis.
Mohd Azman turut mengenakan empat syarat tambahan kepada mereka, iaitu pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah turut melarang mereka memuat naik artikel, komen, gambar lucah atau jelek serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.
Selain itu, mereka juga dihalang daripada menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet untuk memuat naik gambar, komen dan artikel yang boleh menghasut dan menimbulkan permusuhan antara kaum.
Bagaimanapun, Mohd Azman mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu dibicarakan bersama selepas mendapati ia melibatkan transaksi dan saksi sama.
Terdahulu, Chong berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya yang menafikan jaminan atas alasan kepentingan awam.
"Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh di mahkamah dan alasan kepentingan awam telah disalahtafsirkan oleh mahkamah seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan bermula," katanya sambil menambah pasangan itu mengemukakan permohonan maaf pada 14 Julai lepas.
Ishak pula berhujah jaminan tidak perlu diberi kepada kedua-dua pemohon dengan alasan mereka mempunyai kecenderungan untuk mengulangi kesalahan yang sama meskipun permohonan maaf telah dibuat.
"Walaupun permohonan maaf dibuat melalui YouTube dan Facebook, tetapi kedua-dua pemohon masih lagi memuat naik benda yang sama dan ini tidak menunjukkan mereka benar-benar menyesal," katanya.
Pada awal prosiding, mahkamah menolak bantahan awal pihak pendakwaan untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan pasangan itu.
Dalam hujahan bantahan awalnya, Chong juga membangkitkan isu bahawa kedua-dua anak guamnya diletakkan berasingan daripada tahanan lain di dalam penjara seolah-olah mereka sudah dihukum.
Hakim Azman berkata tindakan meletakkan pasangan itu berasingan menunjukkan pihak pendakwaan prihatin terhadap tertuduh.
"Kalau letak sekali takut mereka kena hentam. Kesian kepada mereka. Tengok betapa prihatinnya pendakwaan," katanya.
Pada 18 Julai lepas, Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.
Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
Kesemua kesalahan itu mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Penapisan Filem 2002 dan Kanun Keseksaan.- BERNAMA
-mStar
|

PUTRAJAYA: Isteri kepada penyanyi Datuk Hattan iaitu Datin Arianie Abidin terbuka hati untuk menerima kembali suaminya itu selepas bercerai pada 2005 kerana tersentuh dengan kesungguhan lelaki itu menambat kembali hatinya sejak sembilan tahun lalu.
Arianie, 42, berkata, walaupun mengambil masa yang lama untuk kembali sebagai suami isteri namun dia menganggap ia sebagai ketentuan Allah selain perpisahan itu banyak mengajar mereka tentang erti kehidupan.
"Kesungguhannya untuk memikat hati saya sejak sembilan tahun lalu akhirnya menyentuh hati saya walaupun saya mengambil masa yang lama untuk menerimanya semula.
"Bak kata pepatah kalau sudah jodoh tidak akan ke mana-mana dan saya berharap ia akan berkekalan sehingga akhir hayat kami," katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya di sini, Rabu.
Hattan dan Arianie sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan serba sederhana yang dihadiri kira-kira 200 tetamu.
Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dan Arianie dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Abdul Halim Mat Isa pada pukul 6 petang.
Ia adalah perkahwinan ketiga buat Hattan dan kali kedua dengan Arianie.
Pasangan itu pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 15 tahun.
Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.
Dalam perkembangan sama, Hattan berkata, beliau bersyukur kerana doanya untuk bersatu dengan Arianie akhirnya termakbul.
Jelas Hattan, mereka memilih untuk disatukan pada bulan Ramadan kerana mahu mengambil keberkatan bulan mulia umat Islam itu.
"Sukar saya nak gambarkan dengan kata-kata kegembiraan saya kerana doa saya selama bertahun-tahun akhirnya termakbul.
"Sampai saya tersasul semasa akad nikah kerana berasa sebak dan gembira pada masa sama," katanya.
Dalam perkembangan sama, anak tunggal pasangan itu melahirkan rasa gembira dengan penyatuan kedua ibu bapanya.
Adam berkata, walaupun sudah terbiasa tinggal berasingan dengan mereka dia bagaimanapun tidak sabar untuk memulakan kehidupan baru dalam sebuah keluarga.
"Saya sebenarnya tidak tahu ibu dan ayah akan berkahwin semula. Dapat tahu pun menerusi laporan akhbar dan apabila mereka bawa saya untuk membeli cincin kahwin.
"Saya bersyukur dengan penyatuan mereka dan berharap akan mendapat seorang adik selepas ini," katanya.
Sementara itu, Hattan dan Arianie tidak merancang untuk mendapatkan cahaya mata buat masa ini namun tidak menolak sekiranya dikurniakan Allah.
Pasangan itu juga memberitahu akan membawa anak mereka bercuti ke London hujung tahun ini selain tidak sabar untuk berhari raya sebagai keluarga. -mStar
|

Kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berlarutan berikutan ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah membatalkan pengantaraan minggu lalu berkaitan penarikan balik saman terhadap menteri dalam negeri itu.
Peguam kepada Amir Bazli, Karpal Singh, berkata anak guamnya tidak berpuas hati dengan perbicaraan yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Shah Alam minggu lalu.
“Dia berasa terancam. Ahmad Zahid tidak hadir ke mahkamah sebagai tertuduh tetapi sebagai seorang menteri.
“Beliau diiringi polis, pengawal peribadi dan kira-kira 30 penyokong. Semua ini adalah elemen ancaman,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Berikutan itu, Karpal berkata, mereka memutuskan untuk membatal semua yang berlaku antara Amir Bazli dan Ahmad Zahid ketika menggunakan pengantara.
Pengantara ialah Rohani Ismail yang juga Hakim Mahkamah Seksyen menjalankan rundingan kira-kira 90 minit tanpa kehadiran peguam.
Amir Bazli selepas proses rundingan itu kemudian menarik balik saman manakala Ahmad Zahid membatalkan saman balas.
Datuk Shamsul Bahrain Ibrahim mewakili pasukan guaman Ahmad Zahid memberitahu wartawan, pampasan diputuskan tanpa campur tangan peguam.
Amir Bazli pula menyatakan rasa puas hati dengan hasil pengantaraan tetapi sukar menerima terma berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Pengantaraan Malaysia, Datuk Khutubul Zaman Bukhari, berkata rundingan biasanya dijalankan dengan kehadiran peguam.
Khutubul yang juga bekas Pengerusi Majlis Peguam, berkata peguam turut hadir semasa terma dan syarat dirangka bagi penyelesaian luar mahkamah.
Amir Bazli memfail saman pada Julai 2007 terhadap Ahmad Zahid ketika itu timbalan menteri kerana menumbuk mukanya pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor.
Beliau mendakwa, Ahmad Zahid turut mengugut membunuhnya dan menahannya tanpa kebenaran di kediaman Zahid di Country Heights dan meminta ganti rugi kerosakan khas, umum dan teruk.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan pertuduhan itu dan mendakwa Amir Bazli mereka-reka cerita berkenaan, sebelum memfail saman balas terhadap Amir Bazli. – 23 Julai, 201 -TheMalaysianInsider
|
Abby menyifatkan perkahwinannya dengan Farhan adalah jodoh yang tidak disangka selepas hanya dua minggu berkenalan.
PETALING JAYA: Setelah lima tahun menjanda, bekas anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi akhirnya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang 12 tahun lebih muda daripadanya.
Mereka bernikah pada 9 Julai lalu iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, berkata, dia menyifatkan perkahwinannya dengan Farhan, 24, adalah jodoh yang tidak disangka selepas hanya dua minggu berkenalan.
"Pertemuan bermula di sebuah pasar raya di mana kami tiba-tiba sahaja bertentang mata.
"Selepas dua minggu berkenalan, dia melamar saya dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Apa yang kami lakukan semua ini adalah kerana Allah. Saya tak tahu nak kata apa kerana ini adalah jodoh daripada-Nya. Saya berharap agar semua pihak mendoakan kebahagiaan kami sehingga akhir hayat," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat di sini.
Abby bagaimanapun enggan mendedahkan pekerjaan pemuda tersebut, lokasi pertemuan mereka dan di manakah mereka diijabkabulkan sehinggalah beberapa perkara selesai.
Tambah Abby, dia tahu ada yang akan memberi respons positif dan negatif mengenai perkahwinannya itu, namun dia percaya apa yang dilakukan mereka adalah perkara yang baik dan ia adalah jodoh.
Dalam pada itu, beritahu Abby lagi, Farhan merupakan anak kelahiran Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan dan dia bakal berjumpa dengan keluarga suaminya itu selepas berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut, Terengganu.
"Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami merestui perkahwinan ini walaupun mereka terkejut pada mulanya. Ini pun saya baharu nak berkenalan dengan keluarga suami di Kelantan selepas PRK nanti.
"Saya dapat rasakan perkahwinan ini juga adalah sesuatu yang menenangkan lebih-lebih lagi melihat wajah suami yang sentiasa tenang dalam apa-apa jua situasi," ujarnya.
Pasangan tersebut bercadang akan mengadakan resepsi perkahwinan mereka pada 31 Ogos depan dan majlis di pihak lelaki pula akan diadakan seminggu selepas itu.
Bagaimanapun, lokasi masih belum ditetapkan lagi.
Abby sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5. -mStar
|
'Saya tak tahu bungkusan itu ada RM60,000'
Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don, yang menghadapi pertuduhan menerima rasuah, semalam memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa dia tidak mengetahui satu bungkusan plastik yang ditemui di rumahnya mengandungi wang tunai RM60,000.
Wahid, 60, berkata dia menerima bungkusan itu tanpa memeriksa kandungannya memandangkan ia diserahkan kepadanya oleh seorang rakan.
Bungkusan plastik itu ditemui di atas sebuah meja di belakang pintu utama rumahnya, katanya semasa menjawab soalan Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dalam prosiding hari pertamanya membela diri terhadap pertuduhan rasuah itu.
Menurut Wahid, dalam serbuan yang dilakukan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) (kini SPRM) pada 10 Julai 2008 di kediamannya di Jalan Duta di Kuala Lumpur, turut ditemui wang tunai RM12,300 di ruang tamu dan RM90,500 lagi di bilik tidur.
Dia turut menafikan wang RM102,800 itu antara yang dibayar oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian kepadanya dalam urusan mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa menerima rasuah RM60,000 dari Low pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, di sini pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Pada 15 Okt 2010, Mahkamah Sesyen membebaskan Wahid daripada pertuduhan itu. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan supaya dia dipanggil membela diri atas pertuduhan itu.
Dalam keterangannya, Wahid berkata serbuan BPR itu dilakukan selepas rakannya itu (Low) secara tiba-tiba datang ke rumahnya untuk menyerahkan bungkusan plastik berkenaan.
"Dia (Low) datang dengan tergesa-gesa sambil menyerahkan bungkusan itu dan menyuruh saya menyerah (bungkusan) kepada kawannya bernama 'Sim'," kata Wahid.
Ditanya sama ada dia mengetahui bungkusan itu mengandungi wang tunai, Wahid menjawab: "Saya tidak tahu. Saya tidak membuka bungkusan tersebut."
Abdul Razak: "Kalau Low letak bom, Datuk terima begitu sahaja ke?"
Wahid: "Mungkin, sebab dia kawan saya."
Abdul Razak: "Bahaya ni, pukul 10 malam, Datuk terima apa sahaja. Kalau dadah?"
Wahid: "Mungkin (saya terima) sebab dia kawan saya."
Wahid menjelaskan disebabkan tidak mengetahui kandungan bungkusan itu, dia tidak menolak pemberian rakannya itu.
Selesai Wahid memberi keterangan, Abdul Razak memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk mencabar kesahihan keterangan Wahid berikutan percanggahan fakta ketika siasatan kes itu dengan pembelaan Wahid hari ini.
Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan esok untuk mendengar permohonan itu dan menyambung perbicaraan.- Bernama
-Malaysiakini
|

KUALA BESUT - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek hari ini mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.
Katanya ia juga bertujuan mengajar pihak berkenaan yang cuba mengaut keuntungan supaya sedar tindakan tidak bertanggungjawab mereka tidak akan berhasil.
"Pengguna perlu guna kuasa untuk ajar pihak tidak bertanggungjawab, kalau tengok harga naik jangan beli ayam tapi beli daging pula," katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Pulau Perhentian dekat sini, hari ini.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Hasan mengulangi gesaan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga ayam sesuka hati sebaliknya menanam perasaan mendahulukan rakyat agar negara terus sejahtera.
"Saya lihat masih ada peniaga yang degil. Fikirlah balik...pada saya letaklah kepentingan negara lebih daripada lain-lain supaya kita tak jadi macam negara lain yang huru-hara.
"Kita sedang pantau dan cari punca kenaikan harga ayam adakah daripada pembekal, pemborong atau peniaga sendiri," katanya.
Selain itu Hasan berkata kira-kira 74 wakil industri termasuk pembekal ayam dan pengeluar gula memberi jaminan untuk tidak menaikkan harga barangan pada musim perayaan Aidilfitri selain memastikan bekalan mencukupi.
"Persatuan Penternak Unggas Melayu di Selangor telah memberi jaminan akan memberi sokongan kepada kementerian untuk memastikan bekalan sentiasa cukup supaya harga kekal," katanya.
Mengenai Ops Harga 2013, Hasan berkata sejak dilancar pada 6 Julai lalu hingga Khamis lepas (11 Julai) sebanyak 26,854 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.
Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah pemeriksaan itu 60 kes telah dikenakan tindakan dengan jumlah rampasan bernilai RM10,071 dan kompaun RM7,150.
"Kes-kes yang dikenakan tindakan itu 59 membabitkan kesalahan tidak meletak tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual dan satu lagi kes dikenakan tindakan kerana menjual barang harga kawalan (gula kasar) melebihi harga maksimum yang ditetapkan," katanya. - Bernama
-sinarharian
P/s: Itulah saja yang menteri boleh buat?
|

KUALA LUMPUR 10 JULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan secara terperinci bagaimana syarikat penerbangan Malindo Air dibenar beroperasi sebelum mendapat Lesen Perkhidmatan Udara dan diberikan layanan istimewa.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua mempersoal tindakan Najib melancarkan Malindo Air pada 11 September 2012 sedangkan syarikat itu hanya mendapat Lesen Perkhidmatan Udara dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada Februari 2013 sebagaimana disahkan Kementerian Pengangkutan kepadanya pada 4 Julai lalu.
“Mengikut jawapan Kementerian Pengangkutan, antara sebab pemberian Lesen Perkhidmatan Udara adalah ‘Kedudukan Kewangan yang kukuh’ dan ‘Lulus Audit Teknikal’ sedangkan mengikut laporan terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Malindo Air hanya mempunyai modal berbayar RM1 juta sahaja.
“Manakala Nadi Sdn Bhd (pemilik saham utama Malindo Air) seperti dibongkar tahun lalu melanggar Akta Syarikat 1965 kerana tidak memfail penyata kewangan sejak 2007 atau selama enam tahun berturut-turut,” tegasnya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Malindo Air merupakan usaha sama National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Group yang diumum Najib akan beroperasi pada 1 Mei 2014.
Menurut Phua, semua tindakan membuktikan Najib konsisten melaksana dasar berteraskan kroni sekaligus merugikan wang dan membahayakan nyawa mereka.
“Soalan penting perlu dijawab Najib, adakah lesen penerbangan ini dilulus sebab pemilikan 10 peratus saham NADI Sdn Bhd melalui syarikat DZJJ Sdn Bhd yang dimiliki anak Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, manakala 5.7 peratus syarikat NADI pula dimiliki Kementerian Kewangan,” katanya lagi.
Pua berkata, rekod juga menunjukkan syarikat itu membahayakan nyawa pengguna.
“Syarikat usahasama PT Lion Group merupakan syarikat penerbangan yang mempunyai trek rekod amat diragui di Indonesia dan antarabangsa. Lion Mentari Air misalnya diharamkan di Eropean Union.
“Pada 14 April 2013 pula, Lion Air terhempas di Bali, ramai juruterbangnya ditahan kerana dadah dan syarikat itu dihukum oleh Kementerian Pengangkutan Indonesia, manakala pada Julai 2011, Lion Air pernah digantung beberapa bulan atas faktor ‘on-time performance’ yang terlalu teruk,” katanya. -keadilandaily
|
Putri Salbiah ketika dibawah keluar dari Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan kad pengenalan. - Foto Ihsan Berita Harian.
KUALA LUMPUR: Seorang pelakon popular 80-an didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan menipu dengan menyamar selain dua tuduhan memalsukan kad pengenalan, tiga tahun lalu.
Putri Salbiah Megat Razalli, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menipu Ng Miow Hia, 48, dalam satu urus niaga pembelian tanah dengan memperkenalkan dua individu sebagai pemilik tanah di Mukim Rim di Jasin, Melaka.
Dia didakwa telah memperkenalkan Ng kepada Majid Senan dengan nama Ahmad SK Duis dan Yang Azizah Mohamed Yaccob dengan nama Sipah Duis @ Sipak Duez semasa bertemu di sebuah restoran di KLCC pada 1 April 2010.
Putri Salbiah juga dituduh mengulangi perbuatan itu di lokasi sama pada 23 Jun 2010.
Empat kesalahan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekalinya jika disabitkan kesalahan.
Putri Salbiah juga didakwa memalsukan kad pengenalan untuk kegunaan Majid dan Yang Azizah dengan nama palsu mereka di antara Januari dan April 2010.
Kesalahan di bawah Peraturan (25)(1)(j) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) itu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan tertuduh enggan bekerjasama dalam siasatan kes tersebut.
Tambah Anthony, tertuduh juga sebelum ini pernah melarikan diri ke Brunei yang kemudiannya di tangkap oleh pihak berkuasa negara itu pada 9 Julai lalu sebelum di reman di Mahkamah Majistret di Miri sebelum didakwa.
Peguam Mohd Shahrullah Khan pula berkata, Putri Salbiah telah kembali ke Brunei untuk menjaga bapanya yang sakit dan meminta ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain bagaimanapun menetapkan ikat jamin sebanyak RM24,000 dikenakan terhadap Putri Salbiah bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan.
Beliau menetapkan 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan memerintahkan pihak pendakwa membatalkan perintah tahanan yang dibuat di Miri dan mahkamah akan mengeluarkan surat kepada Mahkamah Majistret di Miri bagi tujuan tersebut.
Putri Salbiah sebelum ini dikenali dalam filem 80-an iaitu Rantau Sepanjang Jalan di samping pelakon Sarimah dan Ahmad Mahmud.
Dia juga pernah menjadi pelakon utama dalam filem Keluarga 99 pada tahun 1987 bersama Salih Yaacob, Mr. Os dan Din Glamour. -mStar
|
Pelakon wanita yang dicekup bermain mahjung di sebuah bilik VIP di pusat siber di Bandar Puteri, petang semalam.
PUCHONG – Kesucian 1 Ramadan yang sepatutnya dihormati, dicemari dua wanita Islam termasuk seorang pelakon drama apabila dicekup bermain mahjung di sebuah pusat siber di Bandar Puteri di sini, semalam.
Pelakon yang pernah diberi jolokan nama seorang artis seksi luar negara itu kelihatan resah dan berjalan mundar-mandir dalam bilik berkenaan apabila wajahnya dirakam.
Difahamkan, kedua-dua wanita itu dipercayai tidak berpuasa, menghisap rokok serta menikmati minuman yang terhidang dan memberi alasan sakit perut ketika dicekup di bilik VIP di tingkat tiga premis terbabit.
Ketika serbuan, wanita berusia lingkungan 30-an itu leka bermain mahjung bersama dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan serbuan ke pusat siber yang turut menjalankan aktiviti permainan snuker itu, petang semalam.
Hasil pemeriksaan mendapati perniagaan pusat siber yang turut menawarkan aktiviti perjudian itu tidak mempunyai lesen sah daripada MPSJ.
Dalam serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran bersama 23 anggota, premis itu dikenakan tindakan sitaan manakala peralatan dirampas.
Mohd Rasip berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada pengunjung.
“Kami bertindak merampas 42 set komputer mengandungi perisian perjudian atas talian dan dua televisyen.
“Tindakan diambil di bawah UUK 3 Undang-undang kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ,” katanya.
Beliau berkata, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya kemudian dibebaskan selepas butir keterangan diri diambil. -sinarharian
|
CHRISTINA yang cedera parah selepas disimbah cuka getah oleh suaminya dirawat di Hospital Bau semalam.
BAU – Perasaan cemburu yang meluap-luap seorang pesara tentera terhadap isterinya yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan Awang Hitam sejak 2007 sampai ke kemuncaknya apabila lelaki itu bertindak nekad menyimbah cuka getah pada wanita tersebut.
Kejadian di Kampung Pejiru di sini pada pukul 12.30 tengah malam itu mengakibatkan Christina Nyoeh, 43, cedera parah akibat melecur teruk di muka, tangan dan badan. Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai promoter jualan di sebuah pasar raya baru pulang makan angin di Sabah bersama lelaki Afrika tersebut.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, kejadian itu disyaki berlaku selepas suspek nekad hendak membunuh isterinya setelah tidak dapat menahan sabar.
“Sebelum kejadian, suspek menonton televisyen bersama lima anaknya manakala isterinya pula sedang nyenyak tidur di dalam bilik.
“Sebaik anak-anak pasangan itu masuk tidur, suspek terus ke dapur untuk mengambil sebotol cuka getah lalu menyimbahnya ke seluruh badan mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!. -kosmo
|
Tinggal kenangan...Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Mesir di Cairo selepas lawatan beliau ke Gaza.
Media Malaysia seperti TV3 melabelkan Dr Mursi sebagai diktator. Apakah pula komen PM Malaysia mengenai rampasan kuasa di Mesir?
|
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang guru parah ditembak di Pasir Mas semalam.
KOTA BHARU – Seorang guru yang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas sejak dua bulan lalu ditemui dalam keadaan parah selepas terkena tembakan di lehernya dalam kejadian di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas dekat sini semalam.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terlibat menembak Mat Zaki Hashim, 35, dari Kampung Tualang, Bunut Susu, Pasir Mas.
Menurut Jalaluddin, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu selepas mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh seorang lelaki berusia 50-an dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Kembara pada pukul 12.15 tengah hari.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dekat sini dan keadaannya dilaporkan stabil. Kita sedang mengenal pasti motif dan suspek terlibat.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan guru di sebuah sekolah kebangsaan di Tumpat yang dalam proses dikenakan tindakan tatatertib kerana dua bulan tidak hadir bertugas,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. -kosmo
|
JAKARTA - Kira-kira 50 orang cedera selepas gempa bumi kuat berukuran
6.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah Aceh, utara Sumatera,
Indonesia, semalam.
"Kita menjangkakan puluhan penduduk mengalami kecederaan," kata ketua agensi pengurusan bencana, Fauzi.
Gempa yang tercetus pada pukul 2.37 petang waktu tempatan berpusat di
35 kilometer (km) barat daya daerah Benermeriah pada kedalaman 10km.
"Laporan daripada pusat meteorologi mengatakan, tingkat dua sebuah
hospital runtuh susulan gempa berlaku," katanya yang masih belum
memastikan jumlah mangsa.
Gegaran turut memusnahkan sekurang-kurangnya 10 buah kediaman dalam Aceh.
Setakat ini, wilayah Aceh sering dilanda gempa dan jumlah korban paling
tinggi direkodkan pada Disember 2004 iaitu sebanyak 175,000 orang dan
ratusan ribu kediaman musnah akibat tsunami. - Bernama
|
Bukit Jalil: Kecewa, sedih dan marah. Mungkin itu perasaan penyerang
Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Talaha selepas pasukannya
hanya bergelar naib juara Piala FA kelmarin.
Pemain terbaik negara itu antara tonggak utama Johor DT yang bermain
bermati-matian sepanjang 90 minit sebelum ditewaskan bekas pasukannya,
Kelantan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemuncak kekecewaan pemain dengan gelaran Mat Yo itu terbukti apabila
dia membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk ke
bilik persalinan.
Norshahrul juga enggan ditemuramah media selepas perlawanan berkenaan.
Marah, kecewa
Jika dinilai permainan penyerang kebangsaan itu, dia memang berhak
untuk berasa marah dan kecewa kerana Johor DT mempunyai keupayaan untuk
muncul juara, tetapi Norshahrul tidak banyak mendapat bantuan rakan
sepasukan.
Namun paling mengecewakan Norshahrul apabila golnya pada minit ke-63
dibatalkan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang terlebih dulu meniup
wisel kerana mendakwa penyerang itu mengasari Azizi Matt Rose.
Perlu sokongan
Bagi penyerang hebat seperti Norshahrul, kilauan trofi sudah tentu
menjadi ganjaran paling bermakna dalam karier mereka, tetapi bola sepak
bukan setakat kemahiran individu.
Dia memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk berfungsi sebagai perancang dan juga penjaring.-beritaharian
|

SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan kegiatan jenayah rompakan di negara ini begitu serius, susulan insiden yang turut membabitkan rumahnya semalam.
Menurutnya, kejadian seumpama itu yang dikategorikan sebagai jenayah adalah masalah nyata bukan persepsi semata-mata.
“Insiden ini adalah peringatan kepada kita semua bahawa jenayah merupakan masalah serius di negara kita.
"Masalah ini adalah perkara yang nyata, bukan semata-mata persepsi,” katanya yang dipetik dari laman sosial Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu juga mengesahkan kejadian rompakan di kediaman ibunya yang juga kediamannya berlaku pada Sabtu.
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah mengirim mesej melalui SMS, FB dan Twitter tentang kejadian rompakan di rumah ibu saya semalam yang juga merupakan kediaman saya.
“Syukur Alhamdulillah tiada siapa yang cedera,” tulisnya lagi.
Khairy turut menyatakan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis sudah membuat kenyataan tentang kejadian ini dan saya serah kepada PDRM (Polis di Raja Malaysia) untuk menjalankan siasatan,” ujarnya. -sinarharian
|