[BERNAMA] Para pemimpin dan penyokong parti pembangkang yang sering melaung-laungkan kebebasan bersuara sepatutnya bersikap terbuka apabila Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegur Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata beliau hairan apabila ada yang mahukan tindakan diambil terhadap Dr Hasan sedangkan sebagai wakil rakyat dan bekas pegawai tinggi kerajaan, pandangan yang diberikannya adalah betul.
Tindakan sehingga menyuruh Dr Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri itu dipecat adalah membelakangi prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh parti pembangkang selama ini, katanya kepada pemberita ri Rumah Terbuka Umno Bahagian Tanjung Karang yang diterajuinya di sini pada hari Ahad.
Sebelum ini, Dr Hasan telah menegur kaedah para pegawai daerah yang disiasat bagi mengetahui kemanakah wang peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri sebelum Pilihan Raya Umum 2008 dibelanjakan yang didakwa menghina dan memperkotak-katikkan maruah pegawai-pegawai kerajaan.
"Jadi kalau pegawai daerah ini disoal siasat secara terbuka, ini bagi saya menghina dan mempersoalkan kerja-kerja yang dibuat oleh pegawai dalam negeri Selangor kerana bagi kita semasa Barisan Nasional memerintah, pegawai-pegawai kerajaan negeri telah terbukti membantu kerajaan Barisan Nasional membangunkan negeri Selangor," katanya.
Comments (0)
Catat Ulasan