Akhirnya Kelantan mengambil keputusan untuk menyaman Petronas. Kita berharap semoga isu royalti ini menemui jalan penyelesaian. Sekiranya tidak, adakah Kerajaan Kelantan akan membawa kes ini ke mahkamah antarbangsa?
Saya yakin rakyat Kelantan yang berada di lembah Klang akan hadir beramai-ramai di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk memberikan sokongan kepada MB.
Saya yakin rakyat Kelantan yang berada di lembah Klang akan hadir beramai-ramai di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk memberikan sokongan kepada MB.
Saya petik:
[SH] KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan semalam, mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi minyak negara, Petronas berhubung dengan tuntutan royalti minyak yang didakwa sepatutnya diberikan kepada Kerajaan Negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, writ saman tersebut akan dikemukakan di bahagian Perdagangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Isnin ini.
“Hari ini (semalam) kita membincangkan writ saman kepada Petronas dan mengambil keputusan untuk memfailkan di Mahkamah Tinggi (Dagang) Jalan Duta Isnin ini, hadir menyokong tuntutan itu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, semalam.
Terdahulu, kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk Nik Abdul Aziz mendengar taklimat lebih sejam dari peguam yang mewakili Kerajaan Negeri yang diketuai Tommy Thomas.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mac lalu sebulat suara meluluskan usul memberi mandat kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.
Kerajaan Pas Kelantan tidak mengiktiraf pemberian wang ihsan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan menuntut lebih RM 1 bilion royalti yang dikatakan hak mutlak milik Kerajaan Negeri.
Husam berkata, selepas dari memfailkan writ tersebut, Menteri Besar akan mengadakan solat hajat di Masjid wilayah supaya Kerajaan Pusat membuka jalan mengembalikan hak kerajaan Kelantan.
Dalam perkembangan yang sama, seramai 40 ulama di negeri ini akan mengetuai Munajat Royalti bagi memohon tuntutan hak royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan dikembalikan Kerajaan Pusat.
Ketua kumpulan, Md Zulaimi Kazin berkata, ulama dari beberapa buah pondok, terutama dari Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumbuh akan bermunajat di dalam negara serta di Makkah bagi menyokong tuntutan itu.
“Pemilihan ulama tersebut dibuat dari kalangan ulama di pondok, ulama kawasan dari Dewan Ulama Pas dan ulama dalam kalangan ahli akademik. Paling penting misi ini akan menyampaikan mesej yang jelas kepada Kerajaan Pusat dan Petronas bahawa rakyat Kelantan turut bangkit menuntut hak mereka,” katanya.
Comments (0)
Catat Ulasan