Sumber foto: malaysiasensasi.net
Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak perempuannya, Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran berkenaan satu sikap golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga. Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya. Nauzubillah! Moga Allah melindungi kita semua.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggeng-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka (sanggul/fesyen rambut) bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim).
Kakak memakai baju adik 8 tahun
Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya ialah perempuan itu menutup sebagaian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau ia memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya.
Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “through”, kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutup rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian ketat.
Wahai kaum hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w. tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.
Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang yang melihatnya terpesona dan tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri mereka dan menarik perhatian para pelanggan.
Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini adalah isim fa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan. - one-ummah.net
Comments (0)
Catat Ulasan