Saya petik:
[KD] KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta penjelasan kerajaan berhubung kos penyelenggaraan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya yang menjangkau hampir RM49 juta setahun.
Dalam jawapan bertulis menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam, sejumlah RM48,789,115.03 dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.
Kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu didedahkan berjumlah RM32,972,115.55 sementara kos baik pulih pula RM3,581,744.78 setahun.
Lebih memeranjatkan, bil elektrik bagi kediaman perdana menteri dan timbalannya sahaja berjumlah RM10,267,868.15 dan bil air pula mencecah RM1,967,386.55 untuk tempoh yang sama.
Ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata penjelasan itu penting ketika rakyat diseru supaya berjimat cermat dan mengubah gaya hidup ekoran tindakan kerajaan mengurangkan subsidi.
“Apabila mendidik orang ramai supaya berjimat, ia sepatutnya bermula dengan pemimpin,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.
Sementara itu, Ahli parlimen Rasah, Anthony Loke pula menyatakan hairan tentang belanja besar yang ditanggung, terutama kos elektrik dan air yang mencecah jutaan ringgit setahun.
“Kami tidak tahu sebesar mana keluarga perdana menteri dan timbalannya sehingga hari ini,” katanya.
Menurutnya jika jumlah itu dibahagikan sepanjang lima tahun dan mengikut bulanan, kerajaan membelanjakan RM160,000 untuk bil elektrik dan RM33,000 untuk bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi.
“Ini cukup untuk bayar bil elektrik saya untuk selama 100 tahun dan air pula cukup untuk 6,000 orang,” katanya.
Comments (0)
Catat Ulasan