Saya petik:
[kosmo] KOTA BHARU - Seorang kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Mohd. Fakri Mohamad Noor, 48, tidak pernah memohon cuti sakit sejak dia memulakan kerjayanya pada tahun 1986.
"Bagi saya, cuti sakit hanya betul-betul kepada orang yang sakit dan tidak mampu bekerja sahaja. Sebab itu setiap kali doktor tawarkan sijil sakit, saya tolak.
"Biasanya, saya akan hubungi pejabat untuk ambil cuti tahun saja,'' katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Kakitangan LKTN di sini semalam.
Pada majlis itu, Mohd. Fakri yang kini Ketua Komunikasi Korporat LKTN bersama 11 kakitangan lain menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman di atas kesetiaan mereka berkhidmat lebih 25 tahun dengan organisasi itu.
Mohd. Fakri yang memulakan kerjayanya sebagai Juruteknik Pembangunan Kawasan LKTN pada 1986 juga bernasib baik kerana selama tempoh perkhidmatannya, dia tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang teruk dan tidak pernah dimasukkan ke hospital
"Mungkin amalan penjagaan kesihatan yang saya lakukan turut membantu, misalnya tidak minum air sejuk dan tidak menghisap rokok,'' katanya.
Tambahnya, selepas menerima anugerah itu, dia kini berazam untuk cuba mengekalkan prestasi itu sehinggalah pencen pada usia 58 tahun nanti.
"Biarlah jadi sejarah sendiri buat diri saya. Saya ada tempoh 10 tahun lagi sebelum pencen dan kalau boleh saya akan cuba bertahan untuk tidak memohon cuti sakit.
"Mungkin saya boleh menjadi salah seorang penjawat awam di negara ini yang tidak pernah memohon cuti sakit sejak bekerja sampai pencen,'' katanya.
P/s: Bersyukurlah dengan nikmat kesihatan yang diberikan...
Comments (0)
Catat Ulasan