Label: jenayah
Saya petik:
[HM] KAJANG: Bermodalkan sepucuk pistol palsu dan dua biji mercun, seorang perompak melarikan wang tunai kira-kira RM80,000 dalam kejadian rompakan di sebuah bank di Taman Taming Jaya, Balakong, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu berlaku begitu pantas, apabila perompak berkenaan yang memakai rambut palsu separas pinggang mengacukan pistol ke arah kakitangan dan pelanggan bank.
Difahamkan, suspek turut melemparkan mercun sebelum melarikan diri bersama hasil rompakan.
Seorang saksi enggan dikenali yang berada di dalam bank ketika kejadian berkata, perompak itu mengugut mahu mencederakan sesiapa yang melawan sebelum melompat masuk ke kaunter dan mengacukan pistol ke arah kepala salah seorang kakitangan bank.
Katanya, perompak itu mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam beg yang dibawanya.
“Selepas mengambil wang itu, dia memanggil kakitangan bank lain supaya keluar untuk dijadikan tebusan sebelum meloloskan diri dari bank itu.
“Sambil mengacukan pistol ke arah pinggang kakitangan bank itu, dia berjalan keluar sejauh sepuluh meter sebelum terus bertindak melarikan diri dan mencampakkan pistol mainan itu ke dalam parit berdekatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.
Saksi itu berkata, suspek kemudian melarikan diri sejauh 50 meter sebelum menaiki sebuah motosikal yang menghala ke jalan utama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, rompakan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang memakai rambut palsu separas pinggang dan dipercayai menggunakan pistol palsu bagi menakutkan orang awam.
Katanya, suspek melompat ke kaunter dan mengacukan pistol di kepala seorang kakitangan bank serta menyuruhnya memasukkan wang ke dalam beg yang diberi.
“Selepas selesai, suspek melompat keluar dan mengacukan pistol ke arah kakitangan lelaki yang dijadikan tebusan sebelum dapat keluar dari bank itu.
“Suspek melarikan diri dengan menggunakan motosikal jenis Honda EX5,” katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
(Gambar hiasan)
Salam.... Harap buang sementara pautan pada Perakkume kerana Malware