JOHOR BAHRU - Selepas lebih 10 hari penemuan mayat seorang gadis yang dibunuh sebelum mayatnya dikerat dan dibakar dalam sebuah ladang kelapa sawit, seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.
D Kalaiselvan, 46, dituduh membunuh Nur Rahayu Qomarodin, 16, di ladang tersebut di Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai di sini, antara jam 2.30 pagi hingga 2.50 pagi, 18 Jun lalu.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hafizah Johor Arif Johor terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.
Sementara keluarga gadis malang berkenaan diwakili peguam, Khairul Azwad Sariman yang bertindak sebagai pemerhati.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 20 September depan untuk mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Kisah pembunuhan Nur Rahayu sedikit mengejutkan, bermula dengan laporan kehilangan remaja itu oleh ibu bapanya pada 18 Jun lalu hinggalah mayatnya ditemui dalam keadaan menyedihkan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Nur Rahayu dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan.
Ketika dijumpai, mayatnya hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan Hindu di Masai.
Berhubung kes itu polis kemudian menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin. -SH
Comments (0)
Catat Ulasan