
(Foto: MB Kelantan bersama pemimpin lima agama utama negara, Islam, Kristian, Budha, Sikh dan Hindu bertemu dan makan tengahari bersama semalam)
Tok Kiyai setuju 100 peratus dengan kenyataan MB Kelantan yang mengatakan umno adalah punca segala ketegangan di Malaysia. Apa tidaknya. Umnolah yang mengajar umat Islam di negara ini bahawa agama suku politik suku. Berbeza dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Tindakan umno ini jugaklah menyebabkan orang bukan Islam malah orang Islam sendiri semakin jauh dari Islam...[SINAR HARIAN] KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ketegangan yang berlaku di negara ini termasuk insiden kepala babi yang dilontarkan di dua masjid di Petaling Jaya semalam sebagai kesilapan besar yang dilakukan UMNO.
Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu berlaku disebabkan tindakan UMNO yang mengasingkan politik dan agama sehingga membuatkan generasi muda pada masa kini hilang rasa hormat kepada agama sendiri.
“Saya sebut terang-terang UMNO bertanggungjawab merubah kehormatan agama dalam hati rakyat Islam sendiri. Orang Islam sendiri yang sepatutnya hormat kepada agama tetapi bila UMNO buang agama daripada urusan hidup maka orang Melayu khasnya golongan muda terasa bahawa agama ini hanya satu dua perkara sahaja.
“Yang disebut sembahyang puasa, nikah kahwin, tengok anak bulan, itu sahaja. Akhir sekali orang Melayu sendiri iaitu generasi muda renggang daripada kesucian agama.
“Ini bahaya besar. Ini yang dipikul oleh UMNO dunia akhirat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Mahabah Kerajaan Negeri Kelantan bersama Ketua-ketua Agama Negeri Kelantan di sini, semalam.
Beliau berkata, UMNO sepatutnya membuang semangat kebangsaan dan mengambil semangat Islam.
“Yahudi membesar-besarkan Islam ini terrorist (penjenayah), Amerika membesar-besarkan Islam ini terrorist. Itu dia punya pasal. Tetapi Islam sendiri letak Islam ini aktiviti untuk Allah.
“Jadi apabila aktiviti hidup ini untuk Allah, macam mana kita nak asingkan agama daripada kegiatan hidup. Ini kesilapan UMNO di sini. Semua ini berpunca daripada Islam di dalam dasar hidup. Maka ada hidup yang berdasarkan Islam dan ada yang tidak berdasarkan Islam. Ini masalah besar,” katanya.
Terdahulu beliau meraikan lebih 300 ketua-ketua agama di seluruh Malaysia pada majlis tersebut.
KOTA BHARU, Jan 28 — Sambil menegaskan kehadirannya pada sesi penerangan malam ini mendapat perkenan Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus.
“Saya maklum kepada tuanku perkara ini, tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus tok li, bagus,” kata beliau pada program penerangan isu tuntutan royalti di sini.
Justeru Pengasas Petronas itu mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran wang royalti sebanyak lima peratus.
Pada masa yang sama Tengku Razaleigh juga berkata beliau tidak mempedulikan apa jua tomahan orang berhubung kehadirannya malam ini.
“Kalau ada orang kata, jawapan saya, peduli apa...,” kata beliau sambil menambah, kehadirannya adalah demi rakyat.
Pada sidang media, Tengku Razaleigh menyifatkan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengampu manakala Utusan pula akhbar dongeng.
“Jangan sebut nama itu depan saya. Mustapa pengampu Utusan dongeng,” katanya diminta mengulas kenyataan Mustapa bahawa kerajaan pusat hanya akan bayar wang ihsan pada kerajaan negeri.
Ditanya konflik antara wang ihsan dan royalti beliau berkata, “royalti bukan wang ihsan, wang ihsan bukan royalti.”
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menolak atau menerima bayaran royalti atau wang ehsan.
Terdahulu Tengku Razaleigh tiba di Stadium Sultan Mohd IV di sini kira-kira 9.30 malam tadi dengan diarak 50 beca sebagai simbolik 'usaha' kerajaan negeri itu membawa pertikaian bayaran royalti.
Kehadiran beliau untuk memberi penerangan mengenai isu berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa.
Difahamkan iringan beca adalah kehendak penarik beca Kelantan sendiri untuk membawa Tengku Razaleigh sebagai tanda sokongan penerangan beliau terhadap tuntutan royalti negeri.
Menjelang program penerangan isu tuntutan royalti malam ini, Stadium Sultan Mohd IV mula dibanjiri orang ramai sejak pukul 6 petang tadi.
Tengku Razaleigh akan berucap memberi penerangan mengenai isu itu.
Pengerusi bersama program Gegar ini, Dr Abdul Halim Yusof menjangkakan tidak kurang 50,000 orang akan mengikuti program tersebut.
“Tengok pada keadaan sekarang saya rasa lebih dari 50,000 akan hadir,” kata beliau ketika ditemui di kawasan stadium kira-kira 6.30 petang tadi.
Difahamkan program akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat dan kuliah royalti.
Kira-kira 7 petang tadi, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir dengan diiringi timbalannya dan exco-exco kerajaan, wakil rakyat serta pegawai kerajaan negeri. Sumber di sini.TOK KIYAI: Itulah perbezaan ketara antara Ku Li dengan Mustapha Mohamed. Ku Li tetap membela rakyat Kelantan walaupun berbeza fahaman politik dan Mustapa tidak lebih daripada juara pengampu KERAjaan umno BN....
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, hari ini berkata polis tidak akan mengambil keterangan daripada MP Gombak, Azmin Ali kerana beliau bercakap atas kepentingan politik semata-mata. Baca selanjutnya di sini dan di sini.
Sebelum ini. Azmin Ali mendedahkan satu maklumat yang diperolehnya yang mendakwa sebahagian yang dituduh berhubung kes serangan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur tempoh hari adalah dari ahli pemuda Umno. Azmin menjelaskan bahawa beliau sedang mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan nama-nama tersebut kepada umum.Mengapakah dakwaan Azmin yang begitu besar polis tidak mahu ambil keterangan?? Atau memang betul pembakaran gereja tersebut angkara umno?
Kalau sebelum ini maklumat yang tersebar melalui internet yang tidak tahu betul atau salahpun kerajaan BN boleh ambil tindakan inikan pula kenyataan mulut dari Azmin Ali. Bagi saya, kalau isu itu menguntungkan politik umno sudah pasti mereka akan segera mengambil tindakan. Dalam isu ini, jelas menunjukkan Menteri Dalam Negeri seolah-olah tidak serius untuk menyelesaikan isu ini. Bagi saya, polis sepatutnya menyiasat dakwaan Azmin itu untuk mengetahui sejauhmana kebenaran dakwaan tersebut agar rakyat dapat menilai dan mengetahui siapakah dalang dan jembalang yang sebenarnya.

"Saya lihat trend hari ini, survival Umno itu hanya boleh diperolehi melalui permainan isu kaum dan agama.
Itulah kata-kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sewaktu melawat tempat kepala babi yang dilontar di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya awal pagi semalam. Demikian lapor harakahdaily.Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak akan mendedahkan satu maklumat yang diperolehnya yang mendakwa sebahagian yang dituduh berhubung kes serangan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur tempoh hari adalah dari ahli pemuda Umno. Azmin menjelaskan bahawa beliau sedang mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan nama-nama tersebut kepada umum.Malah beliau menjelaskan bahawa berdasarkan senarai nama tertuduh yang telah didakwa di mahkamah, sebahagian daripada mereka adalah pemuda Umno bahagian Gombak dan bahagian Ampang.Azmin berharap Umno menghentikan sentimen seperti ini kerana ia cukup bahaya kepada rakyat Malaysia.

RM20 juta...Itulah jumlah wang ehsan minyak yang akan diberikan kepada Kelantan hasil pengeluaran hasil minyak dan gas di Medan Bumi Selatan, Blok PM301 yang berdekatan dengan perairan Kelantan.
Itu jumlah yang dikatakan oleh menteri umno yang juga anak Kelantan.
Betul ke RM20 juta? Setahun saya Kerajaan Kelantan menuntut wang royalti berbilion-bilion...
Mungkin puak-puak umno sudah berkira-kira untuk mengagihkan wang tersebut kepada puak-puak mereka untuk membantu rakyat Kelantan yang miskin, membina jalan raya, dan "macam-macam" lagi.
Datuk Mustapha Mohamed dalam laporan bernama menjelaskan kerajaan Pusat tidak dapat menyerahkan sepenuhnya RM20 juta itu untuk ditadbir sendiri oleh kerajaan Kelantan kerana khuatir wang ehsan itu akan disalah guna bagi tujuan lain.
Takut disalahguna oleh Kerajaan negeri?? Bagi Tok Kiyai, rakyat Kelantan sudah tahu siapa yang akan menyalahgunakan duit ehsan itu.
Mustapha juga berkata, wang itu akan dimanfaatkan dengan telus bagi membantu rakyat Kelantan meningkatkan tahap pendidikan, membasmi kemiskinan dan keperluan lain yang difikir perlu oleh satu jawatankuasa khas.
Telus untuk membantu rakyat? Bukankah wang ehsan itu hak kerajaan negeri yang memerintah? Mengapa beriya-iya sangat Mustapha dan puak-puak umno nak menguruskan duit tersebut untuk rakyat Kelantan?
Tok Kiyai ingin bertanya, mengapakah rakyat Terengganu masih miskin walaupun sudah lama mendapat wang ehsan? Jawapannya ialah kerana wang tersebut tidak sampai kepada golongan sasar. Mengapa tidak sampai? Anda jawablah sendiri.
(Foto: Shamsul Iskandar Mohd Akin)Akibat rakus kuasa, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperalatkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan demi kepentingan politik Umno-Barisan Nasional(BN).
Muhyiddin mengarahkan ratusan pegawai Jasa untuk memastikan Umno-BN kembali meraih majoriti dua pertiga di Parlimen serta merampas kembali Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dari Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau mengeluarkan arahan itu tanpa menghormati prinsip bahawa kakitangan awam yang dibayar gaji dengan duit rakyat, tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan politik mana-mana pihak kerana mereka berkhidmat untuk rakyat bukan parti.
Namun, Muhyiddin membelakangkan prinsip asas perkhidmatan awam itu dan bingkas mengeluarkan arahan berkenaan kepada Jasa ketika majlis perjumpaan pegawai-pegawai Jasa peringkat kebangsaan di ibu negara.
Beliau berkata, pegawai Jasa hendaklah menonjolkan kestabilan politik dan ekonomi di bawah Umno-BN menerusi program-program mereka dan menampakkan Umno-BN kononnya bertindak membela rakyat.
“Pegawai-pegawai Jasa mesti berubah sepenuhnya dalam pendekatan mereka terhadap pengundi dan sasaran,” kata Muhyiddin.Muhyiddin turut menetapkan KPI (Key Performance Index) bagi pegawai Jasa hingga pilihan raya ke 13 akan diukur atas kebolehan mereka membantu memastikan Umno-BN mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan menawan kembali negeri-negeri yangdikuasai Pakatan Rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, ketika dihubungi berkata, kenyataan Muhyiddin itu jelas mendedahkan unsur-unsur salah guna wang rakyat untuk mendokong BN supaya terus kekal memerintah.
“Wang rakyat sepatutnya digunakan tanpa mengira fahaman politik, saya cabar pihak SPRM supaya menyiasat Muhyiddin kerana penyelewengan wang rakyat untuk tujuan kepentingan Umno adalah melanggar akta pencegahan rasuah,” kata Shamsul.
Menurut Shamsul, tindakan ini menunjukkan Umno sudah terdesak dan sanggup lakukan apa saja, malah kenyataan sebegini tidak pernah diumumkan secara terbuka sebelum ini.Sementara itu AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan arahan Muhyiddin kepada pegawai JASA sebagai satu lagi bentuk pencerobohan terhadap jabatan awam.
“Kakitangan perkhidmatan awam tidak dibayar gaji oleh Umno dan peranan perkhidmatan awam bukan untuk memenangkan mana-mana parti atau menjatuhkan mana-mana kerajaan,” kata Ahli Parlimen Tumpat itu.
Jasa ditubuhkan pada 11 Mei 1960 dengan nama asal, Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK).
Tujuan asal penubuhan Jasa adalah untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan politik serta memberi kesedaran dan kefahaman yang berkualiti, tepat dan jelas dalam aspek siasah dan agama.SUMBER di sini.

Kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap penulis blog yang memohon maaf secara terbuka kerana menyedari kesilapan dalam penulisan blog mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Bagaimanapun, katanya, penulis blog yang terbabit dengan sesuatu kesalahan haruslah membuat permohonan maaf secara formal kepada pihak yang berkaitan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penulis blog Anduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu.
Penulis blog berusia 29 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, Kelantan, semalam setelah polis menerima lebih dari 20 laporan mengenai tulisan dalam blognya.
Susulan daripada kecaman pelbagai pihak, penulis blog itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog itu dan menarik balik artikelnya itu.
Rais sebelum ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun.

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Perak bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan berlaku pada bila-bila masa.
Pengerusinya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, (gambar) sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya ini, program wacana adalah satu langkah bagi memperkemaskan jentera pilihan raya negeri bagi parti itu.
“Langkah ini mengalu-alukan semua cabang KEADILAN negeri untuk memperkemaskan jentera pilihan raya masing-masing bagi menghadapi pilihan raya setelah sebahagian besar cabang KEADILAN negeri menghantar nama bagi calon Dewan Undangan Negeri(DUN) terutama 20 DUN Mac 2008.
“Saya yakin Barisan Nasional (BN) juga faham mereka telah mengambilalih kuasa pada Februari 2009 dengan tidak berdemokrasi dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak,” katanya kepada Free Malaysia Today selepas merasmikan Program Wacana Pilihanraya di sini, hari ini.
Mustaffa berkata, sesi ceramah gerakan rakyat yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mendapat sokongan rakyat terhadap parti berkenaan.
“Kehadiran lebih 10,000 penduduk di Sungai Manik, Teluk Intan semalam, memperlihatkan semangat dan komitmen untuk meneruskan perjuangan parti berkenaan dan yakin rakyat semakin bijak dalam menghadapi cabaran.
“Beliau mengharapkan pembelaan rakyat diteruskan walaupun ada cubaan untuk menghantar semula beliau ke Penjara Sungai Buloh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Parti KEADILAN Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda berkata, beliau yakin pilihan raya negeri akan diadakan dalam masa yang terdekat.
“Antara faktor pilihan raya negeri diadakan berikutan Perak perlu dibubarkan kerana krisis politik masih belum selesai dan kedudukan kerajaan sedang dalam proses perbicaraan.
“Faktor lain apabila Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama dengan Perdana Menteri dalam lawatannya ke India dilihat sebagai satu perbincangan berkenaan politik Perak serta Pengerusi SPR mengadap Sultan Perak sebagai satu petanda cukup baik,” katanya.

KUALA LUMPUR, Jan 25 — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ahli Parlimen parti bagi kawasan Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin akan berhadapan dengan tindakan disiplin.
Kata Anwar, wakil rakyat itu sudah melampaui batasan, malah beliau turut kecewa dengan tindakan terbarunya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad.
“Saya sentiasa berikan beliau ruang untuk menyatakan pandangan tetapi bukan selalu saya bersetuju dengannya.
“Saya telah menasihatkan beliau agar tidak menyebabkan ketegangan di kalangan rakan kami (Pakatan Rakyat) tetapi beliau telah melepasi batasan,” kata beliau selepas menyampaikan ceramah perdana di Taman Keramat di sini malam tadi.
Anwar mengesahkan beliau telah menulis kepada Zulkifli (gambar) dan mengharapkan penjelasannya sebelum esok.
“Saya telah menghantar emel kepada beliau, jadi beliau akan memberikan penjelasan sebab saya mahu merujuk perkara ini kepada jawatankuasa disiplin dan biro politik yang akan mengadakan mesyuarat pada Selasa ini (esok).
“Saya berharap beliau boleh menyediakan jawapannya sebelum itu,” kata Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.
Anwar juga ditanya mengapa Zulkifli tidak pernah dirujuk kepada kepimpinan parti.
“(Kini) saya didesak untuk meminta kepimpinan parti agar mengesyorkan tindakan sesuai terhadap beliau.
“Beliau seharusnya datang kepada kami, mengapa tidak anda membawanya kepada kepimpinan parti? Beliau tidak pernah menyampaikan kepada kami,” katanya.
Bagaimanapun Anwar percaya bahawa Zulkifli seharusnya diberikan peluang untuk menjelaskan pendirian beliau.
“Saya tidak percaya pada permintaan dipecat sebelum proses yang sewajarnya dan benarkan beliau memberi penjelasan,” katanya.
Petang semalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pucuk kepimpinan PKR mengambil tindakan disiplin terhadap Zulkifli yang membuat aduan di bawah Akta Hasutan terhadap Khalid.
Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Zulkifli tidak sewajarnya membuat aduan polis meminta rakan sejawatannya dari PAS itu disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Tindakan YB Zulkifli bertentangan dengan prinsip dan semangat Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah tindakannya itu adalah ala Umno.
Zulkifli yang pernah disiasat jawatankuasa disiplin PKR dua tahun lalu berhubung isu lain, kelmarin membuat aduan polis ekoran saranan Khalid agar enakmen agama Islam Selangor disemak atas alasan ia sudah ketinggalan zaman.
Khalid juga berucap pada ceramah perdana malam tadi yang dianjurkan oleh AMK.
Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak tawaran Pusat untuk melantik wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa pemantau wang ehsan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri.
Wajarlah, kerana hak kerajaan negeri sepatutnya hanya untuk negeri. Nampaknya umpan Datuk Awang Adek Hussin tak mengena dan hanya bermanis mulut membuat tawaran, sedangkan sudah terang lagi bersuluh mereka membolotnya. Eloknya juga Tuk Guru berpendirian begitu. Mereka yang dah merompak harta kita, diajaknya kita membahagikan harta kita kepada puak mereka dan kita hanya memerhati sahaja.
Kalaupun menjadi wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa tersebut boleh menyesakkan nafas dan menyeksa batin juga. Projek-projek yang dilaksanakan, sudah barang tentu kroni pejuang wang juga yang akan dapat. Kuasa di tangan mereka dan wakil kerajaan negeri nanti ternganga juga jawabnya. Mereka cuma putar alam memperlihatkan mereka baik, menipu rakyat yang mereka tidak meminggirkan kerajaan negeri.
Wang royalti yang sepatutnya diterima kerajaan negeri, terik urat-urat merih Awang Adek mengatakan kerajaan negeri tak layak mendapatnya. “Mereka sebelum ini mendakwa Kelantan tiada hak, tetapi sekarang ada hak, cuma dengan nama ehsan, kita berdoa pada Allah, sama ada awak (pemimpin Umno) nak kata ada hak atau tak ada hak, petrol ni tak ada di Kuala Lumpur,” ujar Tuk Guru. Apabila menjadi wang ihsan mereka bermanis muka pula.
Adanya Jawatankuasa Pembangunan Wang Ehsan, tidak ke mana juga, nanti dikautnya juga oleh mereka dan sekiranya dibuat pembangunan untuk rakyat nilai menjadi berganda-ganda juga sebagaimana jirannya juara runtuh Terengganu. Wang untuk pembinaaan masjid dipulunnya juga. Sekiranya wang untuk disalurkan terus kepada rakyat, Umno jugalah yang merasa, bantuan itu, bantuan ini, muka yang sama memajaknya sampai bila-bila. Orang Umno dapatlah merasa lembu subsidi, telaga subsidi, atap rumah subsidi, baja subsidi dan ada bini disubsidikan juga. Orang Pas hanya menjeling, kalau nak pakat-pakat usaha sendiri. Jawatankkuasa tiada maknanya juga, kalau kita bising-bising mereka pekak badak semuanya.
Jadi esok lusa tuan-tuan lihatlah di akhbar dilenyeknya Nik Aziz dan dilumatnya Kerajaan Negeri Kelantan dengan tuduhan-tuduhan yang pelbagai rekaan sendiri akibat penolakkan Tuk Guru. Maka masing-masing mulalah berlagak mereka yang betul, lagi-lagi kalau ditanya Rais Yatim, boleh meleleh liurnya dengan ulasan bahasanya.
Sama-sama kita berusaha dan mendoakan agar ketidakadillan yang menodai kita selama ini dan akan datang akan terhindar serta kental semangat pejuang-pejuang-Nya.
SUMBER: http://www.ek-ele.co.cc/2010/01/wang-ehsan-umpan-yang-tidak-mengena.html
Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri kira-kira 100,000 rakyat Kelantan akan diadakan di Stadium Sultan Mohammad ke IV Kota Bharu bagi menuntut royalti minyak pada Khamis, 28 Januari ini.Perhimpunan dan solat Hajat itu akan diadakan ekoran keengganan kerajaan pusat membayar royalti minyak seperti termaktub dalam Akta Petroleum 1974.Program itu bermula dengan solat Maghrib, solat Isyak dan solat Hajat yang akan diimamkan oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.
Antara program lain termasuklah penerangan yang akan disampaikan oleh pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan ceramah royalti minyak oleh Pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah.
Pada November lalu, Perdana Menteri Najib Razak memberitahu Kerajaan Pusat akan membayar wang ehsan kepada Kelantan menggantikan royalti minyak mulai tahun ini.
Tuntutan royalti minyak diperjuangkan oleh kerajaan negeri mulai Julai lalu setelah Jabatan Perangkaan menyebut Kelantan antara negeri pengeluar petroleum sejak 2004.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan para pemimpin lain dari Pakatan Rakyat dijangka hadir.

Kesemua "enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)" tidak akan mencapai KPI-nya (Indeks Prestasi Utama), seandainya tiada KPI untuk keadilan. Malah, dengan pencabulan hak asasi, krisis Perak yang berlanjutan, usaha untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan sebagainya, PM Najib Abdul Razak dibidas kerana gagal dalam KPI keadilannya.
Walaupun ada yang cuba membezakan antara konsep "KPI" dengan "target" (matlamat), malah menekankan bahawa tercapainya KPI tidak semestinya membawa makna tercapainya matlamat, namun tetap bersetuju bahawa "KPI" ini sekadar slogan atau retorik Najib untuk menang dalam pilihan raya umum.
Demikianlah pandangan dan kritikan yang dilemparkan dalam satu ceramah umum berjudul "Di Mana KPI Keadilan, Tuan Najib?", anjuran SELPROA (Persatuan Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.
Antara penceramahnya ialah V. Sivakumar (Yang Dipertua PR DUN Perak), Tian Chua (Ahli Parlimen Batu-PKR), Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor-PAS), Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara-DAP) dan Razak Ismail (Presiden Selproa). Ceramah yang dipengerusikan oleh Syed Ahmad Putra ini dihadiri kira-kira 70 orang. Baca lanjut di sini.

KOTA BAHARU - Kelantan dijangka menjadi tuan rumah Muktamar Agung Pas ke-56 Jun ini dan buat pertama kali akan menjemput pemimpin bukan Islam menyertainya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendekatan baru itu bertujuan agar pemimpin bukan Islam mengetahui dengan jelas matlamat perjuangan Pas yang berasaskan ajaran Islam.
"Kita akan menjemput pemimpin bukan Islam seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen dan beberapa pemimpin lagi supaya mereka turut mengulas dan memahami dengan jelas mengenai agama Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS," katanya dalam kuliah Jumaat, di sini.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau juga akan menyediakan buku terjemahan daripada kitab tulisan ulama terkenal dunia Dr Yusoff Qardawi untuk penghayatan pemimpin bukan Islam.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjelaskan beliau menghadap Sultan Selangor hari ini atas permintaannya sendiri. Demikian lapor the malaysian insider hari ini.
Malah katanya ia juga tiada kaitan dengan isu panas kini iaitu penggunaan kalimah “Allah”.
Khalid menjelaskan bahawa beliau sudah lama memohon untuk menghadap Tuanku.“Jadi saya diberi peluang untuk menghadap, membuat kunjungan hormat sebagai wakil rakyat Shah Alam.
Anggota Lajnah Politik PAS ini menambah, dalam kunjungan hari ini beliau akan mendapatkan wawasan Tuanku berhubung pembangunan Shah Alam.Khalid menjelaskan bahawa beliau akan mendapatkan pandangan baginda tentang peranan yang boleh beliau mainkan dalam pembangunan kawasan Shah Alam khususnya. Bagi pihak gerombolan umno pasti akan membawa berita ini dengan versi yang berbeza. Gerombolan umno pasti akan mengatakan bahawa Khalid Samad dipanggil Sultan kerana menghina baginda dan kerana adanya beberapa laporan polis yang dibuat pencacai terhadap Khalid.
Setiausaha Kerja Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Hussein Ahmad dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya untuk disoalsiasat berhubung penjualan pasir di Selangor.
Pegawai SPRM mengambil tiga dokumen dari pejabat Hussein Ahmad iaitu profil syarikat-syarikat yang terbabit dalam penjualan pasir, lawatan ke Hangzhou pada November 2009 dan terbaru lawatan ke Beijing minggu lalu.
Exco Yaakob Sapari berkata penangkapan Hussein Ahmad mencurigakan kerana soal kelulusan perlombongan pasir dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri untuk menguruskan industri itu.
“Pejabat saya tidak ada kuasa untuk meluluskan mana-mana permohonan pasir, semua urusan permohonan dikendalikan di Kumpulan Semesta”
“Profil yang diambil semalam itu, saya dah semak dengan kumpulan semesta. Mereka tidak ada memohon mana-mana kontrak dan dia tak dapat kontrak pun di Semesta"
Mengulas mengenai lawatan ke China, Yaakob berkata laporan SPRM mendakwa kunjungan itu ditaja oleh kontraktor pasir, sebenarnya mereka dihantar oleh kerajaan negeri.
“Berhubung lawatan ke China, ia lawatan rasmi Kerajaan Negeri yang dibayar oleh Kerajaan Negeri “
Beliau tidak menolak kemungkinan penangkapan ini adalah ulangan taktik lama Umno-BN menggugat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
“SPRM dapat aduan daripada orang, tapi bila kena pada kita nampak cepat dan cekap sekali SPRM ini” katanya. Sumber di sini.
Tok Kiyai: Dulu isu lembu, kereta peribadi MB, bendera, Elizabeth Wong dan Teoh. Sekarang ini isu pasir pulak dah... Lepas ni apa pula isu yang mereka akan bawa...