Rafizi (tengah) bersama lawannya, Gary Lim (kiri) dan seorang lagi calon Bebas
PETALING JAYA 24 APRIL: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, calon BN Parlimen Pandan, Gary Lim masih dalam siasatan polis dan Majlis Peguam berikutan tuduhan salah laku.
Dedah Rafizi, satu laporan polis dibuat firma guaman Shearn Delamore & Co terhadap Lim atas tuduhan salah laku, manakala surat kedua adalah dari Majlis Peguam mengesahkan mengenai surat tunjuk sebab.
Menurut surat firma tersebut yang ditandantangani pengurusnya Robert Lazar bertarikh 27 Disember 2012, Gary Lim atau nama sebenarnya, Lim Chin Yee diminta memulangkan aset syarikat termasuk alat tulis.
Surat tersebut menyatakan Lim meletakkan jawatan di firma tersebut pada 30 Oktober 2011.
“Adalah polisi kami kepada mereka yang berhenti memulangkan semua harta syarikat temasuk alat tulis. Ini termasuk kepala surat.
“Sekiranya surat (dengan imej yang dihantar kepada kami) bertarikh 1 Disember 2012, dengan demikian kami membuat kesimpulan En Lim mengambil kepala surat yang kosong bersamanya, apabila dia menamatkan kerja dengan kami.
“Seperti dinasihatkan, kami telah membuat laporan polis bertarikh 7 Disember 2012 dan salinannya dikepilkan bersama,” kenyataan surat Shearn Delamore & Co dipetik.
Manakala surat Majlis Peguam kepada Lim bertarikh 19 Februari 2013 menuntut surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari diserahkan berhubung ‘Orang Tidak Sah’ (Unauthorised Person).
“Dimaklumkan bahawa sekiranya gagal memberi respon dalam tempoh yang ditentukan, perkara tersebut akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin tanpa berhubung terus dengan kamu (Lim),” jelas kenyataan Majlis Peguam.
“Namun, sehingga hari ini dia (Lim) masih menafikan dikenakan tindakan disiplin atas salah laku dan laporan polis,” kata Rafizi, yang akan berentap dengan Lim pada PRU 5 Mei nanti.-keadilandaily
Comments (0)
Catat Ulasan