[HM] KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun diikat kedua-dua tangannya, dibogelkan dan dicabul seorang lelaki yang memecah masuk rumah majikannya di Jalan Budiman, di Cheras Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dikatakan bersendirian di rumah manakala majikannya di tempat kerja. Difahamkan, anggaran kerugian dianggarkan bernilai RM6,000 selepas beberapa barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dilarikan.
Menurut sumber, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bertindak memecahkan pagar sebelum mengumpil pintu dapur di bahagian belakang kediaman itu ketika mangsa sedang mengemas rumah.
“Suspek yang dipercayai bersenjatakan pisau itu dikatakan cuba menggeledah rumah berkenaan sebaik memasukinya.
“Pembantu rumah itu terperanjat apabila melihat suspek berada dalam rumah berkenaan.
“Dia kemudiannya menjerit meminta tolong namun berjaya dihalang suspek sebelum kedua-dua tangannya diikat menggunakan tali oleh lelaki terbabit,” katanya.
Sumber berkata, suspek kemudian mengarahkan pembantu rumah itu mendiamkan diri selain mengugut mencederakannya jika membuat bising sebelum menggeledah rumah itu mencari barangan berharga.
“Selepas menggeledah kira-kira 20 minit dan berpuas hati dengan hasil rompakan itu, suspek mula melakukan perbuatan tidak bermoral kepada pembantu rumah itu,” katanya.
(Gambar hiasan)
Comments (0)
Catat Ulasan