Saya petik:
[MStar] KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Anuar Zain, 41, yang bakal mengadakan persembahan Amazingly Anuar Zain April's Affair sempena Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 6 April depan, rela diperlakukan apa sahaja oleh peminatnya sekalipun aksi tersebut kurang disenangi segelintir pihak.
Menjawab pertanyaan berhubung reaksi peminat yang teruja sehingga sanggup memeluk, mencium dirinya pada acara yang serupa tahun lalu, Anuar berkata, perkara itu sebaliknya telah disensasikan daripada realiti sebenar.
"Memang benar peminat menyerbu, memeluk dan melakukan macam-macam apabila saya menghampiri mereka dalam persembahan tetapi perkara itu lebih disensasikan daripada kenyataan yang sebenar.
"Sebagai penyanyi, mereka (peminat) adalah keutamaan saya. Saya rela diperlakukan dengan apa juga reaksi spontan mereka," jawabnya sambil menguntumkan senyuman.
Tambah penyanyi yang kini popular dengan lagu Sedetik Lebih itu, dia tiada sebarang masalah dengan keterujaan mereka walaupun ke tahap melakukan aksi yang dianggap keterlaluan oleh segelintir pihak.
"Bukan saya mahu galakkan atau sokong peminat bertindak memeluk dan melakukan aksi yang mungkin dianggap keterlaluan, cuma ia berlaku secara spontan dan tidak boleh dielakkan.
"Acara begini hanya berlangsung setahun sekali dan sememangnya untuk meraikan para peminat daripada golongan setiausaha, jadi biarlah.
"Saya rela dan tidak kisah pun selagi tindakan itu masih boleh dikawal, tidak mengganggu persembahan dan tidak melanggar batas," katanya yang dijangka menyampaikan sepuluh buah lagu dalam majlis itu.
Bertemakan Taman Romantik, majlis makan tengah hari pada 6 April depan itu bakal diacarakan oleh pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad bermula 12 tengah hari hingga 3 petang.
Dalam majlis itu peminat diminta untuk berpakaian mengikut tema warna iaitu putih, merah jambu atau lavender (ungu muda).
Peminat yang mengenakan pakaian terbaik berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik termasuklah lima set rantai mutiara berjumlah RM25,000 sumbangan Rafflesia, pakej penginapan di PNB Darby Park dan percutian ke Paris, Perancis.
Bayaran bagi menyaksikan minggu setiausaha anjuran PNB Darby Park ini dikenakan di antara RM450++ hingga RM550++ bagi setiap orang. Untuk tempahan dan keterangan lanjut, hubungi 03-7490 3443/3496/3579 atau layari www.pnbdarbypark.com.
Comments (0)
Catat Ulasan