Saya petik:
[BH] KUALA LUMPUR: Klip video seks membabitkan lelaki didakwa mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi didedahkan di internet semalam dan kali ini versinya dikatakan hampir lengkap.
Tiga video terbabit yang dimuat naik di sebuah blog bertajuk ‘anwarcctv’ dan sehingga petang semalam, ratusan ribu pengunjung sudah mengunjungi kandungan rakaman berkenaan terutama menerusi laman video YouTube.
Klip video ketiga itu mempunyai latar suara muzik bermula dengan lagu Hawaii 5-O, diikuti lagu dangdut Kelantanese; lagu It Wasn't Me oleh pop reggae Shaggy; lagu kumpulan tempatan The Fabulous Cats –Papa Jahat sebelum diakhiri dengan lagu Zee Avi–Kantoi.
Bagaimanapun, klip video itu disunting menjadi 15 minit dan tiga saat berbanding rakaman selama hampir 22 minit yang ditayangkan oleh ‘Datuk T’ kepada media sebelum ini di Carcosa Seri Negara di sini, pada 21 Mac lalu.
Klip video seks itu bagaimanapun dikatakan dipadam dari YouTube lewat petang semalam kerana dipercayai melanggar syarat dan terma YouTube.
Mac lalu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik bersama ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim mengaku mereka adalah trio yang menggelarkan diri sebagai Datuk T dan bertanggungjawab mendedahkan rakaman video dan menayangkannya kepada media, di Carcosa Seri Negara sebelum diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
Polis kemudian mengesahkan rakaman video seks itu adalah tulen dan bukan rakaman yang diubah suai. Ketulenan rakaman berkenaan disahkan pakar tempatan yang dilantik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu memastikan kesahihan video seks terbabit kerana timbul pelbagai tang-gapan orang ramai mengenainya, terutama Anwar mendakwa ia konspirasi politik bagi menjatuhkannya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan rakaman video berkenaan dimuat turun pihak dipertanggungjawabkan membuat salinan rakaman asalnya oleh ‘Trio Datuk T’ sebelum ia diserahkan kepada polis.
Malah, beliau yakin pihak terbabit dapat dikenal pasti dalam tempoh terdekat berdasarkan tarikh, masa dan lokasi rakaman video seks itu dimuat turun dalam laman video berkenaan.
“Apa yang pasti, ini bukan kerja polis, kita boleh tahu jika rakaman itu dimuat naik ‘orang dalam’ polis kerana tapisan keselamatan kita cukup ketat. Besar kemungkinan sumber rakaman video (yang dimuat naik) itu adalah pihak bertanggungjawab yang membuat salinan dari versi asalnya sebelum diserahkan untuk membantu siasatan,” katanya.
Comments (0)
Catat Ulasan